PEMERINTAHAN BERAJA DI KELANTAN

>> Saturday, October 10, 2015






PEMERINTAHAN BERAJA DI KELANTAN


SEJARAH kewujudan pemerintahan beraja di Kelantan yang berteraskan Islam telah lahir kira-kira pertengahan abad kelima belas, iaitu di bawah pemerintahan Raja Kumar, di sekitar TH 814 [TM 1411]. Tapi dari mana asal usul Raja Kumar ini masih belum dapat dipastikan hingga sekarang. Baginda Raja Kumar telah membuat hubungan baik dengan Raja China.




                                          Istana Balai Besar


Kemudian, selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar yang berakhir hinngga TM 1465. Selepas itu pada akhir krun kelima belas, iaitu dalam TH 868 [TM 1465] Negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Mansor Shah yang mengganti paduka ayahandanya Sultan Iskandar Shah. Kemasyuran Negeri Kelantan telah sampai ke Melaka. Kemudian dalam tahun TM 1506, Baginda Sultan Mahmud, Sultan Melaka yang akhir, telah mengirim balatentera untuk menyerang Negeri Kelantan. Akhirnya seorang puteri Baginda Sultan Mansor Shah yang bernama Onang Kuning telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Melaka, yang kemudian menjadi bonda kepada Sultan Muzaffar Shah pemerintah Perak yang pertama TM 1531.


Setelah Sultan Mansor mangkat, maka puteranya, Raja Gombak telah dilantik menjadi Sultan Kelantan pada TH 928 [TM 1526]. Bila baginda mangkat, cucuandanya Raja Ahmad yang diambil sebagai anak angkatnya telah ditabal menjadi Sultan Kelantan pada TH 992 [TM 1584]. Baginda berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Mara D’Raja sepupu kepada Raja Hussin di sebelah isteri putera Lela Wangsa Pahang.


Tiga tahun kemudian Baginda telah dikurniakan seorang puteri yang dinamakan Che Wan Kembang. Ketika puterinya berusia empat tahun, Baginda Raja Ahmad pun mangkat. Oleh sebab Che Wan Kembang masih kecil, maka Raja Hussin dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja pemerintah Kelantan. Enam belas tahun kemudian baginda pun mangkat, maka Che Wan Kembang menjadi raja yang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan pada TH 1018 [TM 1610].


Pusat Kerajaan di Gunung Chinta Wangsa menjadi masyhur dan dilawati oleh pedagang-pedagang termasuk orang-orang Arab yang memanggil Che Wan Kembang dengan nama “Paduka Che Siti”. Baginda Che Siti sangat suka dan gemarkan kijang yang dipersembahkan oleh rakyat baginda dari Gunung Ayam sehingga diterapkan gambar kijang itu di atas wang mas perbelanjaan negeri, kemudian gambar kijang itu dijadikan sebahagian daripada Lambang Kerajaan Kelantan sehingga sekarang.


Pada masa Baginda Paduka Che Siti memerintah Kerajaan yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa itu, maka di sebelah timur laut negeri itu pula ada sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal, yang diperintah oleh Raja Sakti, dalam TH 1046 [TM 1638]. Dua belas tahun kemudian Raja Sakti, mangkat lalu puteranya bernama Raja Loyor dilanitk menjadi raja penggantinya  dalam TH 1959 [TM 1649]. Baginda mendapat seorang putera beranama Raja Sakti dan seorang puteri bernama Puteri Saadong, tapi putera baginda itu mangkat sejak kecil lagi.


Paduka Che Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa telah berangkat menghadap Raja Loyor dan mengambil Puteri Saadong dijadikan anak angkat baginda kerana baginda tidak mempunyai putera atau puteri. Puteri Saadong seorang puteri yang cantik parasnya sehingga rakyat di Chinta Wangsa menggelarkan Puteri Saadong nama timangan Puteri Wijaya Mala. Berita kecantikan Puteri Saadong sampai kepada Raja Maha Besar Siam, lalu menghantar rombongan meminangnya tapi pinangan itu telah ditolak. Kemudian untuk menyelamatkan pertalian D’Raja, Puteri Saadong pun dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah. Tapi atas desakan Raja Maha Besar Siam, yang dipandang menjadi ancaman kepada keselamatan negeri, maka Raja Abdullah mengizinkan permaisurinya, Puteri Saadong berangkat ke Bangkok. Tapi bila Puteri Saadong kembali semula dengan selamat, maka tercetuslah perbalahan antara suami isteri itu yang berakhir dengan Raja Abdullah mangkat tertikam dengan pemacak sanggul Puteri Saadong.


Dengan kehendak Puteri Saadong, Raja Abdul Rahim adikanda Raja Abdullah telah dilantik menjadi Sultan pada TM 1082 [TM 1671] dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah. Selepas itu Puteri Saadong pun berangkat ke Gunung Chinta Wangsa melalui Bukit Marak dan dari situ Baginda tidak kelihatan lagi. Kemudian Sultan Abdul Rahim juga mangkat ditikam orang di tepi Tasek Lelayang Mandi, dengan kemangkatan itu maka terputuslah Kerajaan Mahligai dan selepas itu wujud kembali Kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada TM 1086 [TH 1675].


Salah seorang daripada puteri Sultan Omar, raja Pah berkahwin dengan putera Wan Dain Patani [Dato’ Pangkalan Tua] bernama Tuan Besar [Long Bahar] dan dilantik menjadi Raja di Bukit Jarum Legeh, dan menjadi utusan Baginda Raja Omar ke Bangkok. Bila baginda Sultan Omar mangkat dalam TH 1132 [TM 1721] maka menantu baginda Long Bahar ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak kakandanya Raja Kechil Sulong. Keturunan Long Bahar adalah berasal dari Raja Sulawasi.


Baginda Long Bahar mangkat pada TH 1146 [TM1733] dan ditabalkan puteranya bernama Long Sulaiman Raja Pemerintah Kelantan. Salah seorang daripada putera Baginda ialah Long Yunus. Serangan merebut takhta telah berlaku beberapa kali sepanjang TH 1169 [TM 1756] yang berakhir dengan mangkatnya Long Sulaiman. Kemudian iparnya Long Pandak dilantik menjadi Sultan dan adikandanya Long Muhamad dilantik menjadi Raja Muda, bersemayam di Kok Keranji. Tapi bila Baginda Long Pandak menikam mati isterinya Engku Pasir Mas kerana cemburu kepada sepupunya Long Gafar, maka tercetuslah pepernagan di Kubang Labu[i]. Angkatan Long Gafar menyerang Kubang Labu dan memasuki kota serta menikam Long Pandak sehingga membawa maut. Kemudian Long Muhamad diangkat mengganti Raja Kubang Labu.


Dalam TH 1176 [TM 1762] Long Gafar bersama-sama Long Yunus berangkat ke Terengganu dengan membawa seekor ayam sabungan yang bernama “Bakas Racun” untuk melawan ayam orang-orang Bugis. Setelah mendapat kemenangan dan mendapat harta pertaruhan yang mengandungi tujuh buah jong lalu dipersembahkan kepada Sultan Mansor Shah, Terengganu. Pada masa itu Long Yunus telah berkahwin dengan Tuan Che Jumat puteri kepada Engku Tenang Wangsa.


Lima bulan kemudian, Long Yunus dan Long Gafar telah mendengar berita kezaliman pemerintahan Long Muhamad di Kubang Labu, kedua-duanya pun berangkat menyerang Kota Kubang Labu untuk kali yang kedua pada malam hari. Serangan itu membawa maut. Long Muhamad telah terbunuh dan jenazahnya dimakamkan di permakaman Gong Chepa di sebelah hilir Lorong Gajah Mati sekarang. Kemudian pada akhir TH 1176 [TM 1762] Baginda Long Yunus ditabal menjadi Sultan pemerintah Kelantan. Baginda mengurniakan gelaran “Engku Maharaja Perdana Menteri” kepada Long Gafar dan diberi kuasa memerintah di kawasan Jeram sehingga ke Sungai Pasir Tumboh.


Baginda Long Yunus telah dikurniakan dengan beberapa orang putera dan puterinya, dan puterinya yang bernama Che Ku Tuan Nawi dikahwinkan dengan Tengku Muhamad putera Yang Di Pertuan Terengganu. Bila Long Gaffar mangkat dimakamkan di Limbat. Setahun kemudian pada 27 Zulhijjah 1209 [TM 1798]  Baginda Long Yunus pula mangkat dan dimakamkan di Langgar Kota Bharu. Oleh sebab baginda tidak melantik bakal penggantinya dan tidak pula meninggalkan apa-apa wasiat, maka menantu baginda Tengku Muhamad Ibni Di Pertuan Terengganu telah dilantik menggantinya bagi sementara waktu.


Kemudian pada TH 1221 [TM1801] Baginda Long Muhamad, putera Long Yunus ditabal menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhamad 1. Baginda menghantar Pa’ Wan Mahmud sebagai utusan menghadap Raja Maha Besar Siam. Sebagai tanda perhubungan setia baginda telah menghantar sejenis bunga mas ke Bangkok setiap tiga tahun sekali. Baginda Sultan Muhamad 1 tidak mempunyai putera dan puteri lalu baginda mengambil anak saudara baginda yang bernama Long Senik Putera Long Tan [Temenggong Aria Pahlawan] sebagai putera angkatnya. Bila baginda mangkat pada TH 1251 [TM 1835] maka Long Jenal yang bergelar Raja Bendahara Banggol menaiki takhta  Kerajaan Kelantan atas kehendaknya sendiri. Wasiat Baginda Sultan Muhamad 1 hendak menabalkan Long Senik putera angkatnya itu menjadi Sultan setelah baginda mangkat tidak terlaksana.


Lebih kurang tujuh bulan Baginda Long Jenal memerintah Kelantan, maka meletuslah perang saudara. Bila peperangan tamat, maka Maharaja Siam telah mempersembahkan kepada Baginda Long Senik alat-alat kebesaran Kerajaan Kelantan termasuk persalinan dan pakaian kebesaran negeri pada masa itu.  Pada TH 1253 [TM 1837] Baginda Long Senik telah ditabal menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran  Sultan Muhamad 11 yang dikenal dengan nama Sultan Mulut Merah.


Bila banginda mangkat dalam TH 1304 [TM 1886] maka ditabalkan puteranya bernama Long Sulong menjad Sultan dengan gelaran Sultan Ahmad. Bagnda mangkat dalam TH 1307 [TM 1889] dan ditabal puternya Long Kundor menjadi Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhamad 111 yang dikenali dengan nama Raja Bendahara. Pada TH 1308 [TM 1890] mangkatlah baginda dengan meninggal empat orang putera dan empat puteri. Oleh sebab puteranya yang bernama Tengku Long Senik, bakal Sultan masih muda, maka ditabalkan saudaranya Long Mansor menjadi sultan bergelar Sultan Mansor.


Baginda Sultan Mansor mangkat hari Khamis 3 Syawal 1317 [TM 1899] tanpa meninggal putera dan puteri, lalu Tengku Long Senik [Raja Kelantan] menaiki takhta kerajaan dan pada 25 Jamadil-Akhir 1329 [TM 22 Jun, 1911] ditabalkan menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhamad IV. Baginda telah mengadakan persetiaan dengan Kerajaan Maha Besar Siam dalam TM 1902 dan menerima seorang Inggeris menjadi Penasihat Kelantan bagi pihak Raja Maha Besar Siam bernama Mr.W.H. Graham bersama dengan seorang pegawai Inggeris bernama Mr. H.W. Thosom dari Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1909 satu perjanjian persetiaan dengan Kerajaan Inggeris telah ditandatangani yang menamatkan persetiaan dengan Kerajaan Siam tersebut.


Baginda Sultan Muhamad IV mangkat pada malam Khamis 12 Rabi’ul-Akhir 1339 bersamaan 23 Disember 1920, dan ditabal Tengku Ismail [Raja Kelantan], menjadi Sultan dan dimahkotakan pada hari Khamis 20 haribulan Sha’ban bersamaan 28 haribulan April 1921. Sepanjang pemerintahan baginda selama dua puluh empat tahun berbagai-bagai kemajuan telah dicapai. Baginda mangkat pada jam 7.10 minit malam Rabu 3 haribulan Jamadil-Akhir, 1363 bersamaan 20 haribulan Jun 1944 di Istana Jahar, Kota Bharu dan dimakamkan di Langgar.


Oleh sebab Baginda Sultan Ismail tiada mempunyai putera dan puteri, maka paduka adikandanya Tengku Ibrahim [Raja Kelantan] dilantik menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ibrahim pada hari Rabu 21 haribulan Jun 1944, dan dimahkotakan pada hari Selasa 15 Zulki’dah 1363, bersamaan dengan 31hb. Oktober 1944. Dalam zaman pemerintahan baginda beberapa kesukaran yang berpunca dari ancaman pengganas telah berlaku tapi semuanya dapat diatasi dengan selamat. Baginda telah mengurniakan Perlembagaan Tubuh kepada rakyat. Dalam pemerintahan baginda Negeri-negeri Melayu telah mencapai kemerdekaan. Negeri Kelantan telah mencapai kemajuan yang cemerlang. Baginda mangkat di Istana Seri Chemerlang pada jam 2.30 petang hari Sabtu 13 Muharram, 1380, bersamaan 9 haribulan Julai 1960 dengan meninggalkan 11 putera dan puteri.


Sebagai penggantinya, anakanda Baginda Tengku Yahya Petra D.K.,S.P.M.K., S.J.M.K., S.M.M., telah diisytiharkan menjadi Sultan Kelantan pada jam 2.45 petang hari Ahad 16 Muharram 1380, bersamaan dengan 10 haribulan Julai 1960 dalam suasanan yang bertafakur, di hadapan jenazah paduka ayahandanya di hadapan singgahsana yang turun temurun bagi Kerajaan Negeri Kelantan, sebagai Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim dan Jajahan Takluknya dengan gelaran Sultan Yahya Petra. Pada 21 Jamadil-Akhir 1380, bersamaan dengan 10 haribulan Disember 1960 telah diadakan perayaan puja umur baginda yang pertama, dan baginda telah dimahkotakan bersama-sama dengan Raja Perempuan pada hari Isnin 4 haribulan Safar, 1961 di istana yang bersejareah, iaitu Istana Balai Besar.


Baginda memerintah Negeri Kelantan selama 19 tahun dengan aman dan sentosa. Baginda telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Yang Di Pertuan Agong pada 22 Julai 1970. Kemudian dalam Persidangan Majlis Raja-Raja pada 21 September, 1975 Baginda telah dipilih memegang teraju  pemerintahan Negara Malaysia sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Agong yang keenam. Dalam zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, Negara Malaysia telah menempoh zaman kemajuan yang cemerlang dan pembangunan yang amat pesat.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong mangkat pada 2 Jamadil-Awal 1399 bersamaan dengan 29 Mac, 1979 di Istana Negara Kuala Lumpur. Almarhum telah dikebumikan di Makam D’Raja Langgar Kota Bharu Kelantan.


Berikutan dengan kemangkatan Seri Paduka Baginda itu, maka putera Baginda Tengku Ismail Petra D.K. [Negeri Sembilan], D.K [Selangor], D.K. [Perak], D.K. [Terengganu], D.K. [Johor], D.K. [Kedah],  D.K. [Perlis], D.P.S,S [Sarawak], D.P. [Sarawak], S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.S.K. Tengku Mahkota Kelantan telah ditabal dan diisytiharkan menjad Sultan dan Pemerintah Negeri Kelantan Darulnaim.
Upacara Perayaan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Anis bin Tengku Abdul Hamid D.K., S.P.M.K., dilangsung di Istana Balai Besar pada 13 Jamadil-Awal bersamaan 30 Mac,1980 dengan penuh adat istiadat mengikut adat resam kebesaran Raja-Raja Kelantan yang turun temurun yang mencerminkan masa hadapan yang gemilang pada rakyat Kelantan.


Kemudian KDYMM Sultan Ismail Petra telah berkenaan melantik putera baginda, Tengku Muhammad Faris Petra pada 6 Oktober, 1985, sebagai Tengku Mahkota Kelantan yang akan mewarisi takhta kerajaan nanti.


Sultan Muhammad Ke V



Berikut dengan kegeringan serius yang dialamai oleh KDYMM Sultan Ismail Petra, maka anakanda baginda, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, 42 tahun telah dimasyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010. Baginda adalah Sultan Kelantan yang ke-29 dan memakai gelaran Sultan Muhammad Ke- V.


Baginda sebagai Tengku Mahkota telah berkahwin dengan Tengku Zubaidah Tengku Norudin [Kangsosal Pipitpakdee] keluarga Di Raja Patani, Thailand  pada tahun TM 2004, tapi berpisah tanpa zuriat.


Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, dan Baginda telah menukar perkataan “Daulat Tuanku” yang dituju untuk baginda kepada perkataan “Allahu Akbar”, dengan harapan semua orang mendapat pahala ketika menyebutnya. Baginda juga telah menukar panggilan diri baginda “beta” kepada kata-kata “Saya” sahaja ketika bertitah.


Baginda Sultan Muhammad ke V telah dilantik menjadi KDYMM Timbalan Yang Di Pertuan Agong.


[Catatan: Rencana ini sebahagian daripada  kandungan teks asal buku Cenderamata Mersyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-141 di Kota Bharu Kelantan pada 28-29 Disember 1987 yang disediakan oleh Mohd Zain Saleh. Setelah membaca recana tersiar dalam cenderamata itu dan rencana asal beliau, maka  baru-baru ini beliau merasa  terpanggil untuk menyiarkannya kembali dalam Pondok Rahmat. Beliau adalah salah seorang anggota Jawatankuasa Kecil Publisiti Dan Seranta, Majlis Persidangan Raja-Raja itu. Tidak ada apa-apa perubahan yang beliau lakukan ke atasnya, kecuali sedikit tambahan mengenai Sultan Muhammad Ke V di bahagian akhir  tulisan  itu. Catatan ini perlu beliau buat kerana dibimbangi  akan berbangkit sesuatu perkara berhubung dengannya nanti. Harap maklum.]



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan Darulnaim.




[i] Mohd Zain Saleh dan isteri Asiah Yaacob pernah membuat skrip drama radio mengenai kisah berdarah di Kubang Labu ini dan disiarkan secara bersiri oleh Radio Malaysia Kota Bharu sekitar tahun 1960an.







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP