DAUN-DAUN BERGUGURAN
>> Tuesday, March 24, 2015
DAUN-DAUN BERGUGURAN
************
“Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang
gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi
dan tidak ada pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis
dalam Kitab yang nyata [Lauh Mahfuzh]. Al-An ‘Am [6]:59.
****************************************
Lumrahnya setiap pokok mempunyai daun. Daun itu ada aneka jenis dan bentuk.
Aneka warnanya, walaupun pada umumnya hijau. Daun amat penting kepada pokok. Ia dapat menentukan hayat sesepohon
pokok.
Daun adalah salah satu daripada beberapa bahagian yang penting kepada
pokok. Lain-lain bahagian yang penting, ialah akar, batang, bunga, buah dan biji-bijinya.
Daun, batang dan akar adalah bahagian-bahagian penting yang sentiasa berada
bersama setiap pokok yang hidup, sedangkan bunga, buah dan biji muncul kemudian dari waktu
ke waktu sepanjang kehidupan sesepohon pokok.
Pada sesepohon pokok, daun-daun itu tumbuh pada ranting atau tangkai atau
gagangnya. Biasanya keadaan daun itu nipis, datar dan berwarna hijau. Biasanya juga
daun-daun itu tumbuh sejajar, dan tugasnya menerima cahaya mata hari sebanyak
yang mungkin demi kepentingan pokok.
Kalau kita perhatikan akan kita dapati bahawa bahagtian atas daun itu yang
menadah embun keadaannya licin sedikit daripada keadaan sebelah bawahnya.
Daun adalah sebahagian daripada benda hidup yang terdapat pada pokok.
Sebagai sesuatu yang hidup, seperti makhluk-makhluk hidup yang lain juga ia
memerlukan makanan dan udara untuk bernafas.
Semua bahagian daripada sepohon pokok adalah bernafas, termasuklah
daun-daun. Ia bernafas menerusi pori atau lubang pada kulit daun dan
sebagainya. Ada begitu banyak pori pada kulit-kulit daun yang hanya dapat
dilihat dengan kaca pembesar, tapi tidak kelihatan dengan mata kasar.
Justeru pokok akan mati tanpa udara, sebagaimana manusia akan menemui
ajalnya tanpa udara. Manusia dan haiwan bernafas menggunakan paru-parunya tapi
pokok bernafas menggunakan pori-pori itu. Sementara itu ikan-ikan pula bernafas
dengan menggunakan insangnya dengan mengambil udara daripada air di mana dia
hidup. Ikan akan mati jika dalam air tidak mempunyai udara..
Daun yang berwarna hijau amatlah penting kepada setiap pokok, kerana daun
hijau inilah yang membina makanan untuk
sesepohon pokok yang diambil daripada karbon dioxida [carbon dioxied] yang
terdapat dalam udara dan air yang dibekalkan oleh akar-akarnya dengan bantuan
cahaya mata hari.
Mari kita pergi jauh sedikit untuk melihat bagaimana Allah menjadikan
daun-daun pokok itu dalam keadaan istimewa sebagaimana makhluk-makhluk yang
lain juga.
Pada kebanyakan daun ada tiga bahagian yang penting yang berbeza-beza dari
sejenis pokok dengan sejenis pokok yang lain.
Bahagian-bahagian itu ialah tapak, di mana terletaknya di bahagian bawah
tangkai dan helai, atau daunnya. Tangkai ini fungsinya menyambung daun kepada
ranting. Helai itu adalah bahagian yang paling penting kepada seluruh helaian
daun itu.
Kita dapat melihat, pada helaian daun itu terdapat banyak urat-urat yang
beraneka jenis, ada yang besar dan sebaliknya ada pula yang halus atau kecil
yang kita panggil urat rambut.
Bila sehelai daun diserang penyakit, maka bahagian antara urat-urat itulah
yang terlebih dahulu mengalami kerosakan. Kemudian urat-urat daun itu akan
rosak yang dimulai oleh urat daun yang besar, dan dikuti oleh urat daun yang
kecil.
DAUN-DAUN YANG GUGUR
Daun-daun pokok itu biasanya tidak berkekalan, tapi akan gugur juga dari
waktu ke waktu. Sama ada sedikit atau banyak.. Biasanya ada beberapa keadaan
daun-daun pokok akan gugur, antaranya di musim panas dan di musim sejuk.
Namun begitu, daun-daun juga akan mati dan gugur berderaian ke bumi tanpa
mengira sejuk atas panas. Tapi daun baru akan muncul kembali menggantikan daun
yang luruh itu, tumbuh pada ranting-ranting dan batang-patang pokok.selagi pokok itu hidup.
Keadaan pokok musim sejuk di Istambul
Kecuali daun-daun itu gugur kerana diserang penyakit yang akan membawa maut kepada pokok.. Dalam keadaan kesakitan seperti itulah daun-daun itu akan gugur, sehelai demi helai, sehingga batang pokok itu kering dan mati. Dan akhirnya pokok menjadi gondol seperti kepala yang dibotakkan.
Biasanya di negara kita, dan negara-negara tropikal yang tidak mempunyai
musim sejuk, sesetengah pokok gugur daun-daunnya pada musim panas, pokok yang
daunnya berguguran hampir seluruhnya ialah pokok getah. Ia dikenali dengan
musim daun luruh. Pada masa daun meluruh ini getah yang ditoreh tidak banyak
yang keluar dari batangnya, sehinggalah daun-daunnya tumbuh kembali menghijau
pada dahan-dahannya beberapa waktu kemudian.
Namun begitu kebanyakan pokok-pokok di negara Tropikal daun-daunnya tidak gugur dalam masa serentak atau sama
atau bermusim seperti di negara-negara sejuk. Tapi daun-daun itu boleh gugur
bila-bila masa di sepanjang tahun, Antaranya pokok kelapa yang berpelepah itu daun-daunnya
gugur dari masa ke masa di sepanjang tahun.
Tapi di negara-negara yang cuacanya mempunyai musim sejuk, daun-daun kebanyakan pokok akan luruh dengan
sendirinya pada musim gugur yang tiba selepas musim panas untuk menyambut
ketibaan musim sejuk yang berlangsung selama beberapa bulan di sepanjagn tahun.
Di antara negara-negara yang mempunyai musim sejuk ialah Amerika,
Australia, England dan Russia dan banyk negara-negara di Eropah. Di
negara-negara tersebut daun-daun sesetengah pokok akan berguguran sebelum tiba
musim sejuk. Justeru ranting-ranting pokok menjadi gondol seperti kepala
manusia botak.
Bila musim sejuk berlalu ia disambut oleh musim bunga. Ketika ini
pucuk-pucuk daun pokok akan berkembang kembali, dan menumbuhkan daun-daun pada
musim panas dan akan gugur kembali pada musim luruh menjelang musim sejuk.
Jika daun-daun itu enggan gugur pada musim sejuk, pokok itu akan terdedah
kepada cuaca sejuk yang boleh
menyebabkannya mati kesejukan, sebagaimana manusia yang terdedah kepada
kesejukan akan menemui ajal kesejukan.
Oleh itu hanya pokok-pokok yang daunnya halus-halus seumpama jarum sahaja
yang boleh hidup tanpa keguguran daunnya di sepanjang msuim sejuk, kerana ianya
tidak banyak terdedah kepada cuaca sejuk seperti pokok-pokok yang daun yang
lebar. Antara pokok yang mempunyai daun yang halus ialah pokok pine [cemara]
yang boleh tahan hidup walaupun terdedah kepada cuaca sejuk yang boleh
membekukan manusia.
Demikianlah ia berlaku berulang-ulang tahun selagi bumi ini berkembang,
selagi peredaran iklim tidak berubah, musim sejuk menjadi panas dan musim panas
menjadi sejuk.
Daun-daun pokok gugur dan tumbuh sebagaimana manusia mati dan hidup silih
berganti. Manusia dan usianya seperti daun-daun dan usianya. Daun-daun boleh
gugur di segenap peringkat usia, dalam masa berpucuk, ketika daun muda dan juga
waktu daun tua, ia boleh gugur bila-bila masa. Demikian jugalah dengan manusia,
bayi boleh mati, kanak-kanak boleh mati, orag dewasa boleh mati dan orang tua
pun boleh mati, bila tiba ketentuannya.
Berhubung dengan hal ini saya teringat kepada kata-kata Allahyrahman
pengarang yang terkenal, Yusof Zaky
Yaacob tentang usianya. Ketika itu beliau sedang menerima rawatan pembedahan.
Katanya kepada saya, “
“Pada satu ketika dalam masa tidak sedarkan diri itu, hamba merasa nyawa
hamba seperti sehelai daun kering yang bolak-balik, melayang-layang ditiup
angin menunggu saat untuk jatuh...Tapi oleh sebab semangat hamba untuk hidup
kuat, hamba terus berjuang hingga berjaya mengatasi keadaan yang kritikal itu,
dan hamba pun terselamat. Kalau semangat hamba tidak kuat, dan umur tidak
panjang, entahlah apa yang akan berlaku.....mungkin......”.
Walau apapun kita haruslah ingat bahawa Allah SWT mengetahui
segala-galanya, tidak ada apa pun yang tersembunyi dari-Nya:
“Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang
gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi
dan tidak ada pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis
dalam Kitab yang nyata [Lauh Mahfuzh]. Al-An ‘Am [6]:59.
Kg. Parit, Pasir Tumboh,
KB.Kelantan
0 comments:
Post a Comment