JANGAN SUKA MENZALAMI DIRI SENDIRI

>> Saturday, March 1, 2014












 
JANGAN MANZALIMI DIRI SENDIRI 



                                     Jangan Memberatkan Orang Lain



Sedar atau tidak sedar, kebanyakan kita suka memberat atau membebankan diri sendiri. Kita melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak wajar kita lakukan. Melebihi dari kemapuan yang kita miliki, hingga menzalami diri kita sendiri.


Kita memeras diri kita sendiri, seperti para majikan yang tidak bertimbang rasa memeras buruh-buruhnya, dengan tujuan untuk mendapat hasil yang berlebihan. Kita mengharap terlalu banyak diri kita memberikan kepada kita, walapun kita sedar ianya di luar jangkauan kemampuan kita.


Tidak cukup dengan itu, kita juga mengharapkan orang lain pun dapat memberikan sesuatu  yang lebih banyak kepada kita, sesuatu yang luar biasa kepada kita, walaupun kita tahu di luar daripada kemampuan mereka untuk memberikannya.


Harapan yang tinggi menggunung ini, baik kepada diri sendiri, ataupun kepada orang lain, boleh membawa kita kepada kemusnahan, penderitaan dan kelemahan semangat juang. Semua ini tidak perlu menimpa kita, kiranya kita meletakkan harapan yang wajar dan saksama ke atas sesuatu.


Ada banyak perkara yang patut kita elakkan daripada berlaku ke atas diri kita untuk menjauhkan kita aripada mudah mendapat rasa kelemahan semangat dan kecewa yang tidak sewajarnya menimpa anda.


-JANGAN sama sekali mengharap orang lain wajib memberi perhatian atau  menaruh minat yang lebih terhadap kita. Kerana setiap orang mungkin mempunyai hal-hal diri masing-masing, malah mungkin menghadapi problam yang melengkari sekeliling  pinggang mereka. Justeru tidak mungkin mereka akan memberi lebih perhatian kepada kita.


-JANGAN mengharap orang-orang tertentu, seperti doktor atau pengawal keselamatan memberi perhatian yang lebih sedikit keapda kita. Kerana dibimbangi harapan itu terdampar dibatu pejal dan pecah berderai yang boleh menyebabkan kita merasa tertekan atau kecewa. Mereka semua sibuk dan mempunyai peraturan-peraturan mereka sendiri dan urusan masing-masing.


-JANGAN merasa terlalu kecewa jika ada kawan atau kawan-kawan yang berselisih dengan kita ketika berjalan di jalan-jalan tanpa memandang atau menegur kita, kerana mereka mungkin tidak ternampak kita atau kerana kerana ada urusan yang lebih penting yang perlu disegerakan.


 -JANGAN merasa terlalu kesal dan jika ada dari kawan kita yang memotong percakapan kita untuk menamatkan percakapan. Kerana kita harus percaya mereka mungkin mempunyai sebab-sebab tertentu untuk berbuat demikian, seperti ada urusan yang lebih penting yang perlu dilakukannya, atau mungkin juga mereka merasa tidak secucuk dengan tajuk percakapan kita.


-JANGAN merasa kesal jika kita tidak dihormati atau diketawakan. Walau setinggi mana pun kedudukan kita di dunia ini, kita hanya seorang hamba Allah yang maha lemah dan maha kerdilnya. Pangkat dan darjat tidak ada ertinya di sisi Allah, Maha Pencipta. Kata orang, tidak lemah ular, jika menyusur akar.


-JANGAN sama sekali menunjukkan kita seorang yang tidak mementingkan kesihatan, seperti tidak mengindahlan pakaian kita yang basah, seperti kasut kita yang basah. Kerana kesihatan itu amat penting dijaga. Ingatlah mencegah lebih baik dari merawat walaupun oleh doktor yang pakar. Oleh itu jangan abai-abaikan hal-hal yang boleh menganggu atau merosakkan kesihatan kita.


-JANGAN merasa bodoh jika kita merasa perlu berihat atau  tidur kerana kita merasa keletihan. Rihat dan tidur adalah penting, malah tidur itupun merupakan sebahagian daripada kerihatan. Kita tidak patut memaksa diri kita terus bercokah menahan rasa letih dan mengantuk yang memang kita perlukan, untuk memulihkan kembali tenaga kita yang telah kita pergunakan sepanjang masa.


-JANGAN berfikir satu kebodohan jika kita terpaksa melepaskan sesuatu atau menunjukkan perasaan hati kita kepada orang lain. Tidak perlu kepada kita untuk memegang sesuatu yang tidak kita sukai atau bertentangan dengan kemahuan kita yang wajar. Demikian juga bukanlah satu keaiban kepada kita untuk menunjukkan perasaan kita, seperti menyukai sesuatu atau tidak sukakan sesuatu.


-JANGANLAH merasa kecewa jika kita kadang-kadang terpaksa makan biskut, atu kopi an sandiwic dan seumpamannya  untuk makan, tanpa makan sepenuhnya sebagaimana biasa. Hal seperti ini adalah perkara biasa kepada pekerja-pekerja di bandar-bandar dan di kota-kota besar, yang selalu sibuk dan kalut, terutama di peringkat atasan.


-JANGAN makan dan minum terlalu banyak. Jangan makan makanan yang tidak sesuai dengan kita. Kedua-duanya merbahaya dan boleh memusnahakn diri kita sendiri. Makanlah sekadar yang perlu dan pilihllah yang sesuai dengan diri kita, supaya memberi lebih manfaat dan tidak menimbulkan kesan-kesan yang tidak diingini.
                                                              

-JANGANLAH  kita selalu melakukan kerja-kerja dengan tergesa-gesa dan kelam kabut untuk menyelesaikannya, kerana kita mengambil masa yang lambat untuk memulakanya. Ketika ada masa kita suka berlengah-lengah, tunggu dan tunggu dulu, sehingga tiba masa panamatnya, menyebabkan kita terpakasa bekerja lebih keras untuk menyelesaikannya di masa yang diperlukan.


Kenapa bersikap demikian? Kenapa tidak selesaikannya lebih awal, untuk mengelak kita daripada kelam kabut dan tidak keruan yang  mungkin menyebabkan kita  tidak dapat menyelesaikannya dengan sempurna, yang akan akan menambahkan beban kita yang tidak perlu, jika kita bertindak lebih awal.


-JANGAN jadi orang yang cerewet yang menghendaki segala-galanya berjalan dengan cukup sempurna dari A sampai Z. Janganlah kita merasa kecewa jika tidak semuanya berjalan dengan sempurna dengan apa yang kita kehendaki. Jangan jadi “Mr. Perfect”, kelak tidak ada apa yang dapat kita lakukan atau perolehi yang memuaskan hati kita. Tidak ada kesempurnaan yang mutlak dalam dunia ini.


-JANGAN bekerja seorang diri dengan lebih keras dan memakan masa yang lama, kerana kengganan kita untuk melatih orang lain menjadi pembantu kita, atau kerana kita keberantan untuk menyerahkan kerja kita itu kepada orang lain, kerana pada fikiran kita tidak ada sesiapa dapat melakukan pekerajaan tersebut dengan sempuna selain daripada hanya kita.


Sikap ini adalah sikap orang yang sombong, megah, merasa diri sendiri sahaja yang pandai, dan orang lain semua tak berguna. Sikap yang merugikan dan menyusahkan diri sendiri sahaja yang perlu segera disingkirkan andainya kita salah seorang daripada mereka yang bersifat demikian.


-JANGAN berfikir semua orang kritikal dan tidak sukakan kita. Berfikir demikian amatlah salahnya. Ia hanya berjaya meletakkan kita dalam keadaan keluh kesah, tidak puas hati, kecewa, dan mencurigai setiap orang tanpa sebab-sebab yang logik. Ini membeban dan menzalami diri sendiri.


-JANGAN jadi manusia yang sukar untuk bertolak ansur, sukar meminta maaf, sukar untuk memberi maaf dan sukar untuk melupakan segala kesalahan orang terhadap kita.  Ini akan membebankan diri sendiri. Sebaliknya jadilah orang yang sebaliknya, iaitu orang yang suka bertolak ansur, suka memberi maaf, mudah melupakan segala perlakuan orang yang tidak disenangi terhadap kita.                            


-JANGAN jadi manusia yang cemburu dan iri hati. Manusia yang tidak pernah  merasa puas hati andainya kita tidak berada di atas orang lain. Tidak merasa puas hati andainya, gaji kita tidak lebih tinggi dari gaji kawan-kawan kita, tidak merasa senang hati jika kereta kita tidak sehebat kereta jiran-jiran tetangga kita, atau merasa tidak puas jika rumah kita tidak sebesar dan seindah rumah-rumah jiran kita. Dan sebagainya yang semuanya mengundang bencana kepada diri sendiri semata-mata. Berpada dan bersyukurlah dengan apa yang ada.


-JANGANLAH terus menerus menaruh kebimbangan selepas kita selesai melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya sejauh yang kita mampu. Kerana kebimbangan kita tidak akan mampu mengubah keadaan. Ia sudah selesai. Bertenanglah. Haraplah keputusan yang sebaik-baiknya. Berdoalah kepada Allah semoga kita berjaya. Kita telah memulakan kerja dengan  nama Allah dan mengkhirinya juga dengan nama Allah. Dialah Maha Penentu. Berilah penentuan yang sebaik-baiknya kepada kita.




Jangan Berpransangka
kepada orang lain



-JANGAN merasa rungsing dan bimbang terhdap apa yang akan berlaku di masa hadapan. Ia masih berada di alam ghaib. Hadapilah hari ini dengan sebaik-baiknya. Serahkan kepada Allah pada masa hadapan. Kerungsingan kita tidak akan membawa kita ke mana, selain daripada membawa keharuan dan kedukacitaan dan kebimbangan yang tidak berasas. Berhentilah menzalami diri sendiri. 


-JANGAN menaruh kebimbangan yang berlebihan terhadap seseorang lebih daripada sepatutnya, sedangkan kita tahu mereka telah bertekad untuk mengambil jalan mereka sendiri. Biarlah mereka melakukan apa yang mereka inginkan, dan berdoalah untuk kejayaan mereka.


-JANGANLAH kita selalu mengamalkan sikap terlalu mengambil berat dan bertanggunjawab terhadap sesuatu yang tidak sedikit pun bersangkut paut dengan kita. Sesuatu yang tidak menjadi tanggungjawab kita. Biarkanlah orang yang berkenaan menyelesaikan dahulu dan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya. Tidak salah untuk menghulurkan bantuan, tapi bukanlah dengan mengambilalih tugas mereka.


-JANGAN lupa pula untuk berdoa kepada Allah. Antaranya doa yang bermaksud:


a] "Ya Allah, Engkaulah Tuhan-ku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Engkau telah menjadikanku dan aku adalah hamba-Mu dan aku di atas perintah dan perjanjian-Mu sekadar keupayaanku, aku berlindung dengan-Mu daripada segala kejahatan yang telah aku lakukan, aku mengakui nikmati-Mu ke atasku dan aku mengaku akan dosaku. Ampunilah dosaku, sesugguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau".

b]"Wahai Tuhan yang tetap hidup, yang kekal memerintah selama-lamanya, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perelokkanlah segala urusanku dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentulan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata".


Dari apa yang diperkatakan di atas, nyatalah kita hendaklah belajar menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya yang banyak mempunyai kelemahan dan kekurangan. Manusia yang tidak berusaha untuk melampaui batas-batas kemampuan dan kewajaran diri sendiri untuk muncul sebagai manusia yang adiwan, yang serba boleh yang akhirnya akan melemparkan kita  ke dalam tong sampah sedih dan dukacita. Di samping itu jangan pula menjadi manusia yang suka marah-marah dan menyakiti orang lain, kerana mereka  juga manusia seperti kita. Jangan mengharap dari mereka lebih daripada apa yang dapat dan patut mereka berikan. Bersikap kemanusiaanlah kepada diri kita sendiri dan juga diri orang lain.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP