>> Friday, October 8, 2021

 

 

BERZIKIR 




BERAMAI-




RAMAI 




MENGHAMBAT 




PENYAKIT

 



Di negara kita pada masa-masa yang lampau ada beberapa jenis penyakit yang menjadi ancaman dan ditakuti oleh orang ramai.



Antara penyakit yang ditakuti itu  ialah penyakit yang dipanggil penyakit taun yang merupakan sejenis wabak penyakit yang mudah menular.



Antara tanda-tanda penyakit taun ialah cirit birit dan muntah-muntah. Justeru orang Kelantan memanggilnya penyakit “cerah muntah”- maksudnya “berek-berek dan muntah-muntah”.



Pada masa itu penyakit taun atau cerah muntah ini merebak di musim kemarau.



Orang-orang kampung, ada mempunyai berbagai-bagai usaha untuk mengatasi penaykit taun baik secara sendirian atau kerjasama atau usaha gotong royong sesama mereka untuk mengatasi bencana yang menimpa itu.



Usaha bermula bila ada penduduk kampung tersebut atau kampung yang bersebelahan terkena penyakit taun yang ditakuti waktu itu. Sekarang alhamdulullah penyakit taun sudah tidak ada lagi.

 




Antara usaha-usaha yang mereka lakukan ialah mana-mana mereka yang mempunyai kemampuan akan mengundang jiran-jiran dan keluarga bersembahayang hajat berjumaah di rumah mereka masing-masing memohon Allah jauhkan dari segala bencana.



Biasanya jika sebelah malam, acara akan diadakan selepas solat Isyak dan jika siang hari diadakan selepas solat Jumaat. Selepas solat tuan rumah akan menyediakan jamuan makan  kepada peserta yang hadir.



Kebersihan rumah dan kawasan persekiaran akan lebih diberi keutamaan. Segala sampah sarap akan dikumpul, dibakar atau ditanam dalam tanah mana-mana yang tidak boleh dibakar seperti tin-tin kosong.

 


Pada waktu petang menjelang watu Maghrib mana-mana rumah yang dibina tinggi dari muka bumi akan memperasapkan rumah mereka, iaitu dengan membakar kulit-kulit bawang dan meletakkan dibawah rumah mereka



Mereka juga mengadakan kerjasama atau bergotong royong sesama mereka untuk membersihkan seluruh kampung. Mereka akan keluar beramai-ramai mencari sampah sarap seluruh kampung untuk dibersihkan, terutama di tanah-tanah lapang dan di tepi-tepi jalan kampung. Kekerapan gotong royong ini diadakan mengikut keperluan keadaan.



Pakaian peninggalan pesakit yang buruk dan usang dibakar atau dihanyutkan ke sungai.



Walau bagaimanapun tindakan paling penting mereka lakukan ialah mereka mengadakan perarakan keliling kampung menghalau pembawa penyakit tersebut. Mereka beramai-ramai keluar pada waktu malam, biasanya selepas Isyak sambil beramai-ramai mereka berzikir berulang-ulang kali:

 



Lailahaillah




Lailahaillah




Lailahaillah




Lailahaillah




Lailahaillah




Lailahaillah










 

sambil berjalan di seluruh kampung. Tujuan mereka ialah untuk menghalau makhluk halus yang dipercayai membawa dan menyebar penyakit taun itu.



Acara ini dilakukan mengikut keperluan, mungkin dalam masa beberapa hari sekali sehingga ancaman penyakit tidak ada lagi.





Sepanjang musim penyakit ini juga penduduk-penduduk kampung berhati-hati ketika hendak menjawab salam yang disampai pada malam hari di rumah mereka, kerana dibimbangi salam itu diberi oleh makluk-makhluk halus yang bertujuan untuk membawa penyakit.





Baginda Rasulullah SAW  besabda tentang gotong royong yang bermaksud:






“Barangsiapa yang membebaskan satu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskannya dari satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan akhirat. Barangsiapa memberikan kemudahan kepada orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan sentiasa  menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya” (HR. Muslim)

 







 

Tulisan ini berdasarkan  perkara yang berlaku di kampung asal saya, Kampung Kedai Salor pada masa yang lalu, kampung yang amat saya rindukan.

 



Pondok Rahmat



Kota Bharu Kelantan Darulnaim



Jumaat: 8 Oktober 2021/



1 Rabiulawal 1443

 



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP