SABARLAH PAK JEMBEL

>> Sunday, April 29, 2018










SABARLAH PAK JEMBEL

Menjelang penamaan calon
Yang pasti berebut datang mendampingi pengundi
Merayu, meratap dan menangis
Membasahi lantai merayu sebuah undi

Selepas calon disyahkan
Jalan jalan lebuk dengan gilis kaki para penyokong
Masuk kampung keluar kampung merayu undi
Dengan janji janji manis bermadu
Beras, gula, gandum dan sabun ditabur mengiring janji

Calon calon berkunjung berjalan kaki
Di atas batas berlumpur dan di lorong sempit bersemak
Ke hulu ke hilir
Menaiki tangga usang dan menjenguk ke dalam gobak
Kok kok ada sesiapa yang perlu bantuan segera diberi

Kedai kedai kopi penuh melilih
Calon calon menunggu menghidang makanan
Semua yang hadir makan free
Ada suara berseru seru, “datang, datanglah jangan malu”.

Selepas mengundi mendapat majoriti
Jalan jalan sepi kembali
Kedai kedai kopi jadi macam biasa sunyi dan  sepi
Siapa makan bayar sendiri
Halaman halaman rumah tidak dijejaki
Wakil rakyat telah mengabur diri
Dengan anak dan bini, serta para kroni yang menagih rezeki

Jangan menyesal Pak Jembel
Panggung wayang kulit ditutup buat sementara
Kelir telah dicabut
Gendang dan kecapi telah berhenti dipalu
Tunggulah tahun tahun mendatang jika ada rezeki
Panggung wayang kulit baru akan dididrikan
Rama dan Sita muncul kembali
Bersama Wak Long dan Pak Dogol
Bermain lagu lama
Untuk tuntunan rakyat jembel yang kelaparan

Sabarlah Pak Jembel kalau ada rezeki,
Beras, gula, gandum dan sabun datang lagi
Tahun tahun yang mendatang belum pasti......
Kalau masih ada rezeki





Lorong Masjid al Qasmi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.

27hb. April 2012








Read more...

KEHIDUPAN DI ZAMAN MODERN, PEMUDA PEMUDI DALAM KERUNTUHAN BUDI

>> Wednesday, April 18, 2018




KEHIDUPAN DI ZAMAN MODEN, PEMUDA PEMUDI DALAM KERUNTUHAN BUDI




KINI Zaman Modern. “Sputnik” atau zaman manusia mahu naik ke bulan. Apa tujuan mereka  hendak naik ke bulan tidak kita tuliskan di sini, yang hendak kita katakan  ialah zaman ini manusia berusaha hendak naik ke bulan.

Manusia bermula dari zaman batu, zaman besi dan kini zaman modern. Umur dunia ini mengikut ilmu sains sudash 2 ribu milion tahun lebih. Oleh itu manusia maskin sehari main maju, makin pandai.

Dalam zaman baru, manusia semuanya mahu baru. Dari sekecil kecilnya  hingga sebesasr besarnya. Bermula dari makan, minum, pakaian, penghiburan, adat resam dan segala galanya mahu diperbaharu, yang modern dipermodernkan lagi.  Kerana terkejar kejarkan modern manusia jadi gila.

Perkataan “modern” bukannya perkataan Melayu jati.  Terjemahan yang tepatnya ialah “baru” atau “baharu”. Kalau dikatakan zaman modern tidak salah juga dikatakan “zaman baru”, tapi kerana masyarakat Melayu menganggap perkataan “baru”  tidak baru lagi lalu dipermodernkan  dengan dipakai “modern”.
Masyarakat Melayu belum puas dengan perkataan “modern” lalu dipermodernkan lagi. Zaman ini dipanggil pula “Zaman Septunik”. Sepuluh tahun lagi “Zaman Septunik”  akan berubah pula menjadi zaman “Sepunik”. Ini kemungkinan kalau orang orang Eropah mahu naik ke bintang dengan kenaikan yang dipanggil “Sepunik” dan orang kita akan memanggil “Zaman Sepunik”.

Manusia modern berusaha pula mempermodernkan dunia.

Mengejar modern memang bagus tapi bukan di semua tempat. Umpamanya kita tidak dapat mempermodernkan perkara perkara yang mengenai ibadat.

Penyakit Gila Modern

Dalam dunia hari ini ada bermacam macam penyakit. Ada penyakit kurap, penyakit panau, penyakit kudis, penyakit gila dan lain lain lagi. Gila ada macam macam pula, ada gila betina, ada gila babi, aga gila thalak, ada gila meriam, ada gila baka, dan gila yang paling baru “Gila Modern”.

Dalam masyarakat kita yang banyak terkena penyakit jenis gila ini ialah pemuda pemudi. Boleh dikatakan 90 peratus daripada pemuda pemudi kita yang terkena penyakit ini.

Penyakit gila babi, gila meriam, gila baka ada dukun dan hospitalnya. Tapi dalam dunia ini tidak ada hospital untuk orang “Gila Modern”.

Saya berharap tidak berapa lagi manusia akan mereka hospital untuk orang orang yang “Gila Modern”.

Penyakit ini mudah berjangkit pada orang orang yang suka meniru niru, tak hairanlah kita kalau pemuda pemudi kita mudah meniru, kerana dari ibu bapa mereka lagi suka meniru.

Penyakit “Gila Modern” ini amat merbahaya sekali. Di dalam masyarakat kita sekarang di mana mana kita dapat melihat kurban kurban penyakit ini.

Gadis gadis lari dari ibu bapa kerana menurut jejaka pilihan hatinya sudah perkara biasa.

Acap kali berlaku wanita melahirkan anak  dengan tidak mempunyai bapa bapa yang syah. Kadang kadang anak itu dilempar ke dalam longkang atau dimasukkan ke dalam tong dan dihanyutkan ke sungai.

Untuk mengelakkan pembunuhan anak anak mengapa kerajaan tidak mengadakan rumah rumah untuk wanita wanita meletak anak yang tidak mempunyai bapa yang syah sebagaimana yang dibuat oleh negerinnegeri barat. Mungkin anak anak itu menguntungkan kerajaan pula.

Pertunjukan tarian bogel, separuh bogel, telanjang bulat telah ditunjukkan dan mendapat sambutan hangat. Dan kerajaan pula tidak mengadakan apa apa bantahan. Selain dari itu tarian tarian roc & roll sangat sangat menjadi jadi hingga banyak gadis gadis yang melupakan kewajipannya di rumah dan di sekolah. Dan banyak lagi korban korban penyakit gila modern ini.

Datangnya Dari Barat

Penyakit gila yang merebak di sini datangnya dari Eropah. Kebanyakkannya dari England, Amerika, Perancis, Amerika Selatan dan lain lain.

Kita hairan bagaimana benda benda yang datang dari barat itu sesuai dengan timur. Pada di sini tidak ada “winter”, dan tidak ada “summer”. Tambahan pula kita di sini beragama Islam, satu agama yang diakui Tuhan.

Keruntuhan Budi

Kerana terkejar kejar modern, pemuda pemudi kita rosak peribadinya. Tubuh kasar mereka sahaja berada di Malaya sedangkan hati dan jiwa mereka berada di barat.

Mereka telah ditipu oleh kemodernan kerana pengaruh penjajahan barat melenakan dari kesempurnaan akal.
Kerana pengaruh baratlah masyarakat kita sekarang jauh merosot. Kerana pengaruh baratlah masyarakat kita sekarang berfahaman kebendaan. Jika ada tetamu yang datang bukan budi pekerti yang ditanya, tapi apa pangkatnya, berapa gajinya. Begitu juga hendak mengkahwinkan anak anak perempuan yang dipentingkan bukan perangai dan budi tapi hartabenda dan kekayaan peminang yang ditanya.

Saya khuwatir kalau gadis gadis kita terjadi seperti gadis gadis di barat yang kebanyakan dari gadis gadisnya menjadi ibu sebelum menikah.

Yang Membiakkan Penyakit Ini

1.Kerana kurang didikan tentang budi dan agama.

Inilah merupakan pokok segala sebab mengapa pemuda pemudi kita rosak peribadinya. Ibu bapa mereka tidak mengambil berat dalam soal agama dan budi pekerti.

2.Pengaruh masyarakat

Masyarakat juga mempengaruhi jiwa pemuda pemudi. Dalilnya kebanyakan pemuda pemudi di bandar telah rosak peribadinya.

3.Suka meniru

Terlampau meniru dengan tidak menggunakan akal dan perasaan sendiri, atau meniru bukan untuk kebaikan negeri dan masyarakat.

4.Buku buku lucah dan cabul

Kini banyak pengeluaran buku buku lucah dan cabul. Buku buku ini bertujuan menaikkan nafsu semata mata. Kadang kadang buku buku itu disertakan dengan gambar gambar yang menaikkan bulu roma.

5.Filem filem lucah dan cabul

Pengaruh buku buku tidaklah begitu mendalam seperti pengaruh filem filem Pengaruh filem amatlah mendalam pada masyarakat.

6. Tempat tempat hiburan

Taman taman hiburan di mana ditempatkan pelacur pelacur menjadi pelayan  rumah rumah pelacuran menjadi tumpuan pemuda pemuda.

7. Sosial

Pergaulan sosial yang terlampau bebas menyebabkan terjadinya perkara perkara yang tak diingini.  Batasan antara pemuda dan pemudi tidak ada. Kita tahu mendekatkan hawa dan adam samalah seperti mendekatkan minyak dengan api.

Demikianlah kehidupan pemuda pemudi di zaman modern dalam keruntuhan budi.

Sekianlah untuk menungan ibu bapa dan juga pemuda pemudi kita, moga moga dengan tulisan ini dapatlah menjadi bandingan kepada masyarakat kita yang sedang kucar kacir mengejar modern dengan tidak berhujung atau pangkal. Sekianlah.

Catatan:
Ketika mencari secara santai sebuah lagi cerpen lama saya dalam Majalah Fesyen [masih belum nerjumpa, saya bertemu dengan sebuah rencana saya yang berjodol seperti rencana ini yang disiarkan oleh Majalah Asmara:

5 Tahun Majalah Asmara
Bilangan 63 tahun 6
Oktover 1959,
GELIGA LIMITED’
16, Nassim Road,
Singapore 10.


Lorong Masjid al Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.








                 

Read more...

KENAPA RAMBUT BERUBAN

>> Saturday, April 14, 2018











KENAPA RAMBUT BERUBAN












KADANG KADANG kita tertanya-tanya berapa banyakkah rambut yang Allah jadikan di atas kepala kita, sebagaimana kadang-kadang kita tertanya-tanya berapa banyakkah bintang-gemintang yang ada di dada langit.

Mengikut kajian sains di atas setiap buah kepala manusia terdapat kira-kira 100,000 helai rambut.

Dari sejak seorang manusia dilahirkan ke dunia rambut yang tumbuh di atas kepalanya itu tidaklah berkekalan sepanjang masa sampai ke tua atau sampai ke hujung hayatnya, kerana rambut di atas kepala itu  sentiasa gugur setiap hari.

Menurut kajian sains, setiap hari sebanyak 80 helai rambut gugur dari kepala seseorang setiap hari itu.

Walaupun rambut di kepala tidak berkekalan usianya sejajar dengan usia empunya kepala, tapi setiap minggu rambut yang ada di kepala itu tumbuh kira-kira sepanjang 2 hingga 3 cm atau 0.08-0 inci.

Pernah pula kejadian walaupun tempat rambut tumbuh itu di kepala, tapi kadang-kadang ada juga rambut yang tumbuh memenuhi muka sebagaimana pernah berlaku pada masa yang lalu. Ilmu kedoktorannya memanggil  “werewolf syndrome”.

Biasanya warna rambut itu hitam, tapi dalam keadaan tertentu, walaupun usianya tidak berkekalan  ia boleh berubah warnanya menjadi kelabu atau putih.

Kenapa Rambut Beruban

Rambut manusia di dunia ini, seperti kulit manusia juga, ada mempunyai beberapa warna aslinya, antaranya warna merah, blond, brown, putih dan hitam. Dalam setiap urat rambut manusia itu terdapat bahan bahan tertentu, antaranya dipanggil melanin, iaitu sejenis pigmen yang memberi warna kepada rambut. Melanin ini bukan sahaja menentukan warna rambut, tapi juga menentuk warna kulit manusia, seperti hitam atau putih.

Justeru jika melanin itu banyak terdapat dalam rambut, maka kian hitamlah rambut itu, tapi jika jumlah melanin itu berkurangan, maka kurang hitamlah rambut itu. Rambut yang sangat hitam itu disebut “hitam berkilat”.



                                                  Sukakan Botak


Jumlah melanin, banyak atau sedikit, tidaklah statitik, ia berubah dari dari masa ke masa, dan ini menyebabkan warna rambut juga berubah dari masa ke masa mengikut seukatan melanin yang terdapat padanya.

Biasanya warna rambut seseorang berubah mengikut usianya, seperti rambut putih atau kelabu, yang berpunca dari kemerosotan melanin dalam rambuat itu sendiri yang kian mengurang dalam usia tua.

Justeru itu rambut beruban adalah proses necral dalam usia tua.

Perubahan warna rambut ini biasanya berlaku antaranya dalam usia 45 hingga 65 tahun. Mengikut kajian dalam sepanjang usia tersebut terdapat seramai 74 peratus manusia yang beruban rambuatnya.

Mengikut kajian juga satu daripada sepuluh orang tidak beruban rambutnya selepas usia 60 tahun ke atas,

Tegasnya rambut berubah warna menjadi beruban, putih atau kelabu kerana kemerosotan bahan malanin atau ianya tidak berfugsi lagi, kerana meningkatnya usia seseorang. Walau bagaimanapun rambut beruban warna kelabu boleh berlaku bila bila masa pada seseorang di sepanjang hayatnya.

Tidak Sukakan Uban

Ada sesetengah manusia tidak sukakan uban yang tumbuh di atas kepala mereka, terutama kaum wanita menyebabkan mereka merasa rimas, malah mungkin juga, terganggu dan malu, kerana rambut uban itu mencerminkan mereka telah berusia.





Rasulullah SAW pun beruban.

Justeru mereka sedaya upaya berusaha untuk menghilangkan uban di atas kepala mereka dengan mengambil tindakan tindakan tertentu, baik kepada kaum lelaki atau wanita beruban.

Di antara tindakan yang biasa diambil ialah memakai warna hitam pada rambut, orang lelaki atau perempuan, menggondol kepala kepada lelaki, dan juga mencabut rambut rambut uban itu kalau tidak banyak memenuhi kepala.



Dilarang Mencabaut Uban

Rasulullah SAW mencegah umatnya mencabut uban di kepala. Sabda Baginda SAW:

“Janganlah mencabut uban. Tidaklah seorang Muslim yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, melainkan uban itu menjadi cahaya baginya pada Hari Kiamat nanti”.
Dan-
“Uban adalah cahaya bagi seorang Mukmin. Tidaklah seseorang beruban walaupun sehelai dalam Islam melainkan setiap ubannya akan dihitung sebagai satu kebaikan dan meninggikan darjahnya”.

Di dalam Kitab Suci al Quran, Allah berfirman:

“Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir dan apakah tidak datang kepadamu “peringatan”. Fathir: 37.

Mengikut sesetengah mufasir perkataan “peringatan” dalam ayat tersebut bermaksud “Uban”.





Pada masa masa dahulu di kampung kampung, di waktu petang hari,  para nenek dan ibu kelihatan  duduk di atas tangga membiarkan anak atau cucunya mencabut uban di atas kepala mereka. Biasanya mereka menggunakan sejenis alat pencabut uban yang khas yang dipanggil “penggepit rambut”, untuk mencabutnya sehelai demi sehelai. Alasannya ialah rambut yang mulai tumbuh beruban itu menggatalkan kulit kepala.

Luar Biasa

Walau bagaimanapun kadang kadang berlaku perkara yang menyempang dari biasa, iaitu terdapat seseorang yang kepalanya mungkin mempunyai dua warna dalam satu masa, seperti hitam dan kelabu.

Di samping itu ada juga sesetengah orang rambutnya beruban sebelum waktunya yang wajar, iaitu ketika masih muda belasan tahun kerarna kekurangan zat zat tertentu.

Dalam kejadian kejadian tertentu pula ada manusia yang rambutnya tumbuh memenuhi seluruh bahagian mukanya.

Demikianlah Allah SWT menjadikan apa sahaja yang Ia Kehendaki, kerana Ia Maha Pencipta yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksanana.




Lorong Masjid alQasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.







Read more...

TAMANKU

>> Wednesday, April 11, 2018










TAMANKU












Banyak bunga indah mekar di taman sari
Semerbak mewangi,
Tiada bunga di tamanku
Yang kehilangan kembangnya ditelan masa.

Tangan-tangan mesara menghulurkan bunga padaku
Untuk ditanam ditamanku,
Tidak tersentuh oleh daku
Tamanku telah kesusutan nutrien untuk membaja bunga lagi.

Di tamanku ada kumbang kesendirian
Segar menghirup madu dari cakarwala langit
Membasuh segala kesepian

Tamanku tetap indah berseri
Tanpa bunga yang berkembang,
Penuh madu tercurah dari langit,
Seekor kumbang yang keinsafan
Di kala senja berlabuh
Membatasi penerbangan.

Demikianlah tamanku
Keindahannya tetap terjaga
Kewangiannya sentiasa semerbak
Jirusan madu dari Ilahi
Senitasa segar dalam rahmat Ilahi.

Amin!

Pondok Rahmat
11 April 2018.

AKU BUKAN PENYAIR

Aku bukan penyair
Bukan sastrawan,

Sekadar perakam masa
Pencatat peristiwa
Penggoris hatiku
pelakar perasaanku
Kekal di lambaran sejarah.

Aku bukan
Djazlam Zainal
Yang ilham luruh bercelabak
Mewangi medan.


Pondok Rahmat.
11.April, 2018






Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP