KAABAH YANG DIRINDUI

>> Thursday, June 30, 2016






KAABAH YANG DIRINDUI
[Sebuah Catatan Lama Yang Hampir Lupus]




Setiap hari dalam masa sebulan lebih kami berada di Kota Suci Mekah, kami mengunjunginya dengan penuh keharuan. Kami terpikat dengannya, Kami terpesona dengannya. Kami kagum dengannya. Kami sentiasa rindu untuk berada di sisinya. Ia adalah rumah Allah. Kaabah yang mulia. Kaabah umat Islam di seluruh dunia yang sanggup merantau begitu jauh, merentasi lautan dan gunung ganang untuk berdamping dengannya walaupun untuk sekejap masa.


Kaabah, Baitillahil Haram adalah satu-satunya rumah ibadat yang tertua di dunia. Inilah sebahagian dari keagungannya dari sejak dulu hingga sekarang. Allah berfirman dalam Kitab Suci al-Quran. Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia beribadat kepada Tuhannya ialah Baitullah yang berada di Mekah yang berkah dan dijadikan petunjuk hidayah kepada seluruh alam.”. Ali-Imran:96.


Bila berada di sisi Kaabah, sesuatu keajaiban akan menyelubungi diri orang-orang yang beriman. Pada waktu mulia dan kudus itu, mereka lupa pada segala-galanya, mereka lupa pada keluarga di rumah, mereka lupa pada harta dan kekayaan, mereka lupa pada pangkat dan darjat yang mereka miliki. Tegasnya mereka lupakan siapakah diri mereka sebenarnya, kerana pada detik-detik yang murni itu, fikiran, perasaan, hati dan jiwa mereka hanya tertumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah SWT, Tuhan Semesta Alam, dan secara spontan pula mereka akan merasa persoalan-persoalan akhirat yang akan mereka tempuhi nanti sebagai manusia yang hidup di dunia, kerana setiap yang hidup akan berakhir dengan kematian dan akan menemui Tuhannya.


Setiap masa, siang atau malam, sepanjang dua puluh empat jam sehari semalam di musim haji, baik dalam waktu panas terik, waktu mata hari tegak di atas ubun-ubun, ataupun dalam keadaan dingin, waktu hujan turun mencurah-curah, Kaabah tidak pernah kesunyian dari manusia, malah berduyun-duyun dikelilingi oleh orang bertawaf yang merupakan sebahagian dari rukun Haji.


Sepanjang bertawaf itu, tidak putus-putus kita mendengar laungan takbir, tahlil, tasbih dan tahamid membesarkan Allah terus bergema, dari bumi suci Mekah, terus menerawang angkasa, membelah langit yang tidak berhujung dan bertepi; manusia hanya hamba-hmba Allah maha kerdil, berada di tengah-tengah lautan manusia, berombak-ombak seperti gelumbang di lautan, setiap orang berada di tengah-tengah samudera manusia lelaki dan perempuan, orang-orang yang sempurna fizikal dan juga orang-orang yang tidak sempurna, orang-orang sakit dan orang-orang yang sihat berada bersama-sama dalam keadaan setaraf di sisi rumah Allah itu; tidak ada siapa yang besar di situ, tidak ada siapa yang berdarjah di situ selain dari Allah, dan orang-orang beriman akan merasa diri mereka telah tercaing-caing, berkeping-keping yang tidak lagi sempunra keadaannya, dan mereka merasa seolah-olah roh mereka akan keluar meninggalkan  jasad mereka kerana ingin menikmai kebahagian abadi yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang saleh, beriman dan bertaqwa dan mereka merasa seolah-olah mereka berada di hadapan Allah dan berdialog langsung dengannya tanpa sebarang perantaraan, mereka menjadi lupa kepada diri mereka dan segala kehendak nafsunya  yang bersifat keduniawi. Pada waktu itu rumah Allah yang mulia itu persis sebuah bola mata hari yang menjadi pusat sistem cakarwala di mana manusia yang beredar mengelilinginya seperti bintang-bintang yang bertaburan di dada langit beredar mengelilinginya. Waktu itu Kaabah menjadi lambang ketetapan dan keabadian Allah sedangkan manusia menjadi lambang kepada makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lemah, kerdil dan tidak berdaya.


Dalam suasana sebegitu rupa tiba-tiba mereka merasa pipi mereka basah dibanjiri air mata yang telah melimpah dari tasik hati mereka yang bersih murni. Tapi mereka tidak tahu kenapa mereka menangis, apa yang membuat mereka menangis? Mereka mungkin keharuan, tapi apa yang mengharukan mereka? Semuanya tidak dapat mereka pastikan. Mereka menangis mungkin kerana terlalu cinta dan khusyuk? Mereka menangis mungkin kerana megenangkan segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan? Mereka menangis mungkin  kerana menyesal di atas dosa-dosa itu dan  mengharap keredaan dan keampunan dari Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Pegampun. Mereka menangis mungkin kerana menaruh penuh harapan Allah akan membebaskan mereka dari segala macam kesangsaraan dan penderitaan yang mereka tanggung? Mereka menangis mungkin kerana semuanya itu atau sebab-sebab lain yang tidak mereka ketahui. Sesunguhnya air mata mudah tumpah di sisi rumah Allah yang mulia itu. Walau bagaimanapun pada umumnya manusia menangis kerana merasa cinta terhadap Allah, kagum terahdap kebesaran dan kemuliaan-Nya, dan menyesal kerana melakukan dosa dengan melanggari segala perintah dan larangannya selama ini.


Sebaliknya ada pula orang-orang yang tidak menangis, air matanya tidak tumpah ketika mendekati Kaabah, dan mereka mungkin mempunyai sebab-sebab yang tersendiri. Mereka hanya asyik melihat, merenung dan memerhatikan Rumah Allah itu dengan mata hati dan jiwa mereka. Namun begitu, jika diperhatikan ketenangan dan ketenteraman terpancar indah pada wajahnya yang berseri-seri. Orang-orang seperti ini mungkin menyedari dan menginsafi segala dosa-dosa yang yang telah dilakukannya dengan penuh penyesalan dan menghunjam keazman yang kukuh di hadapan Kaabah tidak akan mengulanginya lagi, dan berikrar akan mengubah tingkah lakunya yang buruk dan berjanji akan mengerjakan amal saleh semata-mata.


Akasnya sepanjang berada di sisi Kaabah, manusia hanya sentiasa merasa berada berhampiran dengan Rumah Allah yang mengalirkan rasa khusyuk dan cinta yang kudus yang tidak bertepi terhadap Allah SWT Yang Maha Kaya. Mereka sentiasa merasa berada di tengah-tengah lautan cinta yang tidak terbatas lagi.



Justeru orang-orang Islam yang behadapan dengan Kaabah, berada di sisinya, berteduh di bawah naungannya dan sebenarnya beriman dan mempunyai kemampuan berfikir, sudah tentu seluruh jiwa raga mereka akan terpesona dengannya, kesannya akan menimpa akal fikiran dan perasaan dan jiwa mereka sebagai orang Islam tulen dan murni. Iman mereka akan melonjak dan mencetuskan api keazaman  di hati mereka untuk datang lagi mengunjunginya, untuk kali kedua,  ketiga dan seterusnya selagi hayat dikandung badan; kerana mereka tidak pernah jemu berada berhadapan dan di sisi Kaabah, Rumah Allah yang mulia itu.


Kaabah di Mekah itu letaknya betul-betul di bawah Baitul Makmur yang terletak bertentangan dengn Arasy. Di situlah ribuan para Malaikat tawaf, kerana Baitul Makmur adalah Kaabah bagi penghuni-penghuni langit ketujuh, sedangkan Kaabah di Mekah adalah tempat tawaf makhluk-makhluk di bumi. Sesungguhnya setiap langit ada rumah Allah tempat para penghuninya beribadat dan Rumah Allah yang berada di langit dunia [langit pertama] pula dianggil Baitul ‘Izzah.

Baginda Rasulullah SAW pernah melihat Baitul Makmur di langit ketujuh itu, iaitu pada waktu malam Israk Mikraj. Baginda SAW pernah bersabda mengenainya, “Baitul Makmur adalah masjid yang berada di langit. Ia betul-betul di atas Kaabah. Seandainya Baitul Makmur jatuh, maka ia akan menghempap Kaabah. Setiap hari solat di sana 70,000 Malaikat”.

Kami, suami isteri, [Asiah Yaacob-semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] menunai ibadat Haji pada tahun 1996 yang lalu. Dua puluh tahun telah berlalu. Tapi kenangan pada Kaabah masih bergayut di hati. Masih terlihat-lihat apa-apa gerak-geri kami sewaktu berada di sekitar Kaabah Rumah Allah yang mulia itu bersama dengan para jemaah yang lain yang datang dari se antero dunia. Semoga kami  dapat menemuinya kembali. Demikianlah Kaabah yang dirindui.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP