EMPAT TOKOH ISLAM DENGAN KEMEWAHAN DUNIA

>> Sunday, June 19, 2016





EMPAT TOKOH ISLAM DENGAN KEMEWAHAN DUNIA





Abu Bakar as-Sidik Bapak Baju Robek

Beliau adalah khalifah yang pertama selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW. Dan memegang jawatan khalifah dari tahun 13 hingga 35 Hijriah bersamaan dengan 632-634 Masihi. Lahir tahun 51 sebelum Hijriah [573M].


Pada suatu hari Baginda Rasulullah saw menganjurkan para sahabatnya untuk bersedekah. Seruan itu disambut oleh para sahabat dengan gembira.


Sayidina Abu Bakar as-Sidik menyahut seruan Baginda saw dengan membawa semua harta kekayaannya untuk disedekahkan.


Baginda saw pun bertanya, “Apakah yang kau tinggalkan untuk anak-anakmu di kemudian hari?”.


Sayidina Abu Bakar kedengaran menjawab, “Allah dan Rasulnya sahaja, dan Allah akan memberikan aku lagi dengan berganda-ganda banyaknya”.


Bagaimana pula dengan pakaiannya sebagai seorang yang berkuasa, dengan kekayaan mulai melimpah-ruah di zaman pemerintahannya?


Beliau memakai pakaian yang koyak rabak dan bertampal-tampal, sehingga beliau digelar orang “Bapa’ berbaju robek”.


“Abu Bakar seorang yang bersifat tenang dan amat sabar. Mempunyai rasa tanggungjawab kepada rakyat. Ahli pidato yang fasih lidahnya, lancar tutur katanya dan dapat memikat hati pendengar. Beliau merupakan seorang kastria yang tidak mahu surut ke belakang dalam menjalankan kebenaran”. Haji Dusuki bin Haji Ahmad dalam Kamus Pengetahuan Islam.


Umar bin al-Khattab

Beliau adalah khalifah Islam yang kedua mulai 13 Hijriah sehingga 23 Hijriah bersamaan dengan 634 hingga 644 Masihi yang megang kuasa selepas Sayidina Abu Bakar wafat. Dizaman pemerintahan beliau negara Islam penuh melimpah dengan kekayaan dari segenap pelosok dunia.


Sayidina Umar radhiallahu-anhu tidak ketinggalan daripada menyahut seruan Baginda Rasulullah saw untuk bersedekah itu. Beliau membawa separuh daripada kekayaannya untuk disedekahkan.


Maka Rasulullah saw pun bertanya kepada beliau, “Apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?”.


Jawab Sayidina Umar ra, “Separuh daripada hartaku, dan Allah akan menambahkan aku lagi”.


Pakaian khalifah ini juga tidak kalah dengan pakaian yang menutupi badan Sayidina Abu Bakar. Pakaiannya penuh dengan seribu tampalan dan setengahnya pula terbuat dari kain yang kasar.


Bagaimana dengan makanan Sayidina Umar Ibnul Khattab ra yang dikelilingi oleh harta kakayaan dunia itu?


Makanannya tetap berupa roti kering dengan minyak biasa,


Sayidina Umar, “Terkenal sebagai pembina negara Islam kerana kejayaannya dalam membentuk pentadbiran baru dalam mengembang dan memajukan agama Islam. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang berani, tegas dalam kira bicara, berterus terang menyatakan fikiran dan pandangannya dalam satu-satu masaalah”. Haji Dusuki bin Haji Ahmad, dalam Kamus Pengtahuan Islam.


Usman bin Affan

Khalifah Islam yang ketiga selepas kematian Khalifah Sayidina Umar Ibnul Khattab, mulai dari tahun  23 Hijriah hingga 35 Hijriah, bersamaan dengan 644 hingga 656 Masihi.


Sayidina Usman ra datang untuk menyahut seruan Baginda saw untuk bersedekah itu. Beliau membiayai semua perbelanjaan ketenteraan orang-orang yang tidak tidak berpunya, termasuk senjata, kenderaan dan segala kelengkapan perang.


“Seorang hartawan dan dermawan yang banyak mengorbankan hartanya untuk kepentingan sebaran agama Islam. Dalam Perang Tabuk, sewaktu suasana begitu genting dan meleset, beliau berderma 950 ekor kuda dan 1000 dinar wang kepada tentera Islam”. Haji Dusuki bin Haji Ahmad dalam Kamus Pengtahuan Islam.


Ali bin Abu Talib Harimau Allah

Sayiddina Ali bin Abu Talib dilantik menjadi Khalifah Islam keempat. Beliau dilahirkan di Mekah pada tahun 23 sebelum Hijriah bersamaan dengan 600 M.


Khalifah Sayidina Ali bin Abu Talib, ketika memegang tampuk pemerintahan negara Islam yang penuh dengan kemewahan pernah membeli sehelai kain yang hanya berharga empat dirham, dan membeli sehelai baju yang hanya berharga lima dirham.


Kemudian beliau mendapati lengan baju yang beliau beli itu terpanjang sedikit. Beliau langsung pergi ke kedai jahit dan meminjam gunting, lalu bertindak sendiri menggunting lengan baju yang lebih panjang itu.


Sayidina Ali, “Beliau seorang yang sangat alim dalam soal hukum dan sangat berani sehingga menerima gelaran Harimau Allah. Menghadiri semua peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah selain daripada Perang Tabuk”. Haji Dusuki bin Haji Ahmad dalam Kamus Pengetahuan Islam.


Demikianlah seimbas susuk-susuk keperibadian empat orang tokoh agung Islam yang tidak ada taranya dalam keperibadiannya yang unggul. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk berdiri teguh di belakang mereka dan mencontohi segala kemuliaan keperibadian mereka dalam mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini.


Masih ramai lagi barisan pemimpin Islam yang begitu mulia sifatnya, dan bukan sahaja tidak kedekut dengan harta kekayaan dunia mereka, malah mereka dengan murah hati menggunakan harta benda mereka itu di jalan Allah, dengan menggunakan harta benda kurniaan Allah itu sebagai wasilah atau sebab untuk mereka mencari keredaan Allah.


Tapi pada zaman mutakhir ini ramai dari manusia yang memiliki harta benda dunia yang melimpah-ruah, malah ada di antaranya memiliki dengan cara tidak halal atau syubhat, sedangkan mereka penuh sedar bahawa mereka mengumpulkan segala harta mreka itu dengan cara yang menyeleweng tapi masih boleh hidup tenang dan aman tanpa mrasa takut dan gentar akan ditimpa oleh kemurkaan Allah, kerana hati mereka telah menjadi gelap kelam akibat terikat dengan harta dunia yang disifatkan oleh Allah sebagai bahan-bahan hiburan untuk bersuka ria belaka.


Semoga kita semua sentiasa  berada ke jalan yang diredai Allah, jalan menuju Akhirat yang kekal dan abadi dengan menjadi hamba-hamba-Nya yang mulia sebagai ditunjukkan oleh para-para hamba-hamba Allah yang memiliki kemuliaan peribadi unggul yang bersemarak sepanjang zaman dari dunia hingga ke akhirat.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP