KAABAH YANG DIRINDUI

>> Thursday, June 30, 2016






KAABAH YANG DIRINDUI
[Sebuah Catatan Lama Yang Hampir Lupus]




Setiap hari dalam masa sebulan lebih kami berada di Kota Suci Mekah, kami mengunjunginya dengan penuh keharuan. Kami terpikat dengannya, Kami terpesona dengannya. Kami kagum dengannya. Kami sentiasa rindu untuk berada di sisinya. Ia adalah rumah Allah. Kaabah yang mulia. Kaabah umat Islam di seluruh dunia yang sanggup merantau begitu jauh, merentasi lautan dan gunung ganang untuk berdamping dengannya walaupun untuk sekejap masa.


Kaabah, Baitillahil Haram adalah satu-satunya rumah ibadat yang tertua di dunia. Inilah sebahagian dari keagungannya dari sejak dulu hingga sekarang. Allah berfirman dalam Kitab Suci al-Quran. Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia beribadat kepada Tuhannya ialah Baitullah yang berada di Mekah yang berkah dan dijadikan petunjuk hidayah kepada seluruh alam.”. Ali-Imran:96.


Bila berada di sisi Kaabah, sesuatu keajaiban akan menyelubungi diri orang-orang yang beriman. Pada waktu mulia dan kudus itu, mereka lupa pada segala-galanya, mereka lupa pada keluarga di rumah, mereka lupa pada harta dan kekayaan, mereka lupa pada pangkat dan darjat yang mereka miliki. Tegasnya mereka lupakan siapakah diri mereka sebenarnya, kerana pada detik-detik yang murni itu, fikiran, perasaan, hati dan jiwa mereka hanya tertumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah SWT, Tuhan Semesta Alam, dan secara spontan pula mereka akan merasa persoalan-persoalan akhirat yang akan mereka tempuhi nanti sebagai manusia yang hidup di dunia, kerana setiap yang hidup akan berakhir dengan kematian dan akan menemui Tuhannya.


Setiap masa, siang atau malam, sepanjang dua puluh empat jam sehari semalam di musim haji, baik dalam waktu panas terik, waktu mata hari tegak di atas ubun-ubun, ataupun dalam keadaan dingin, waktu hujan turun mencurah-curah, Kaabah tidak pernah kesunyian dari manusia, malah berduyun-duyun dikelilingi oleh orang bertawaf yang merupakan sebahagian dari rukun Haji.


Sepanjang bertawaf itu, tidak putus-putus kita mendengar laungan takbir, tahlil, tasbih dan tahamid membesarkan Allah terus bergema, dari bumi suci Mekah, terus menerawang angkasa, membelah langit yang tidak berhujung dan bertepi; manusia hanya hamba-hmba Allah maha kerdil, berada di tengah-tengah lautan manusia, berombak-ombak seperti gelumbang di lautan, setiap orang berada di tengah-tengah samudera manusia lelaki dan perempuan, orang-orang yang sempurna fizikal dan juga orang-orang yang tidak sempurna, orang-orang sakit dan orang-orang yang sihat berada bersama-sama dalam keadaan setaraf di sisi rumah Allah itu; tidak ada siapa yang besar di situ, tidak ada siapa yang berdarjah di situ selain dari Allah, dan orang-orang beriman akan merasa diri mereka telah tercaing-caing, berkeping-keping yang tidak lagi sempunra keadaannya, dan mereka merasa seolah-olah roh mereka akan keluar meninggalkan  jasad mereka kerana ingin menikmai kebahagian abadi yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang saleh, beriman dan bertaqwa dan mereka merasa seolah-olah mereka berada di hadapan Allah dan berdialog langsung dengannya tanpa sebarang perantaraan, mereka menjadi lupa kepada diri mereka dan segala kehendak nafsunya  yang bersifat keduniawi. Pada waktu itu rumah Allah yang mulia itu persis sebuah bola mata hari yang menjadi pusat sistem cakarwala di mana manusia yang beredar mengelilinginya seperti bintang-bintang yang bertaburan di dada langit beredar mengelilinginya. Waktu itu Kaabah menjadi lambang ketetapan dan keabadian Allah sedangkan manusia menjadi lambang kepada makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lemah, kerdil dan tidak berdaya.


Dalam suasana sebegitu rupa tiba-tiba mereka merasa pipi mereka basah dibanjiri air mata yang telah melimpah dari tasik hati mereka yang bersih murni. Tapi mereka tidak tahu kenapa mereka menangis, apa yang membuat mereka menangis? Mereka mungkin keharuan, tapi apa yang mengharukan mereka? Semuanya tidak dapat mereka pastikan. Mereka menangis mungkin kerana terlalu cinta dan khusyuk? Mereka menangis mungkin kerana megenangkan segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan? Mereka menangis mungkin  kerana menyesal di atas dosa-dosa itu dan  mengharap keredaan dan keampunan dari Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Pegampun. Mereka menangis mungkin kerana menaruh penuh harapan Allah akan membebaskan mereka dari segala macam kesangsaraan dan penderitaan yang mereka tanggung? Mereka menangis mungkin kerana semuanya itu atau sebab-sebab lain yang tidak mereka ketahui. Sesunguhnya air mata mudah tumpah di sisi rumah Allah yang mulia itu. Walau bagaimanapun pada umumnya manusia menangis kerana merasa cinta terhadap Allah, kagum terahdap kebesaran dan kemuliaan-Nya, dan menyesal kerana melakukan dosa dengan melanggari segala perintah dan larangannya selama ini.


Sebaliknya ada pula orang-orang yang tidak menangis, air matanya tidak tumpah ketika mendekati Kaabah, dan mereka mungkin mempunyai sebab-sebab yang tersendiri. Mereka hanya asyik melihat, merenung dan memerhatikan Rumah Allah itu dengan mata hati dan jiwa mereka. Namun begitu, jika diperhatikan ketenangan dan ketenteraman terpancar indah pada wajahnya yang berseri-seri. Orang-orang seperti ini mungkin menyedari dan menginsafi segala dosa-dosa yang yang telah dilakukannya dengan penuh penyesalan dan menghunjam keazman yang kukuh di hadapan Kaabah tidak akan mengulanginya lagi, dan berikrar akan mengubah tingkah lakunya yang buruk dan berjanji akan mengerjakan amal saleh semata-mata.


Akasnya sepanjang berada di sisi Kaabah, manusia hanya sentiasa merasa berada berhampiran dengan Rumah Allah yang mengalirkan rasa khusyuk dan cinta yang kudus yang tidak bertepi terhadap Allah SWT Yang Maha Kaya. Mereka sentiasa merasa berada di tengah-tengah lautan cinta yang tidak terbatas lagi.



Justeru orang-orang Islam yang behadapan dengan Kaabah, berada di sisinya, berteduh di bawah naungannya dan sebenarnya beriman dan mempunyai kemampuan berfikir, sudah tentu seluruh jiwa raga mereka akan terpesona dengannya, kesannya akan menimpa akal fikiran dan perasaan dan jiwa mereka sebagai orang Islam tulen dan murni. Iman mereka akan melonjak dan mencetuskan api keazaman  di hati mereka untuk datang lagi mengunjunginya, untuk kali kedua,  ketiga dan seterusnya selagi hayat dikandung badan; kerana mereka tidak pernah jemu berada berhadapan dan di sisi Kaabah, Rumah Allah yang mulia itu.


Kaabah di Mekah itu letaknya betul-betul di bawah Baitul Makmur yang terletak bertentangan dengn Arasy. Di situlah ribuan para Malaikat tawaf, kerana Baitul Makmur adalah Kaabah bagi penghuni-penghuni langit ketujuh, sedangkan Kaabah di Mekah adalah tempat tawaf makhluk-makhluk di bumi. Sesungguhnya setiap langit ada rumah Allah tempat para penghuninya beribadat dan Rumah Allah yang berada di langit dunia [langit pertama] pula dianggil Baitul ‘Izzah.

Baginda Rasulullah SAW pernah melihat Baitul Makmur di langit ketujuh itu, iaitu pada waktu malam Israk Mikraj. Baginda SAW pernah bersabda mengenainya, “Baitul Makmur adalah masjid yang berada di langit. Ia betul-betul di atas Kaabah. Seandainya Baitul Makmur jatuh, maka ia akan menghempap Kaabah. Setiap hari solat di sana 70,000 Malaikat”.

Kami, suami isteri, [Asiah Yaacob-semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] menunai ibadat Haji pada tahun 1996 yang lalu. Dua puluh tahun telah berlalu. Tapi kenangan pada Kaabah masih bergayut di hati. Masih terlihat-lihat apa-apa gerak-geri kami sewaktu berada di sekitar Kaabah Rumah Allah yang mulia itu bersama dengan para jemaah yang lain yang datang dari se antero dunia. Semoga kami  dapat menemuinya kembali. Demikianlah Kaabah yang dirindui.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan.





Read more...

MAJLIS KEBUDAYAAN NEGERI KELANTAN HULUR SUMBANGAN RAMADAN

>> Monday, June 27, 2016







MAJLIS KEBUDAYAAN NEGERI KELANTAN HULURKAN SUMBANGAN RAMADAN


Pada hari Sabtu, 20 Ramadan 1437 [25 Jun 2016] kami di Pondok Rahmat menerima kunjungan sekumpulan pegawai-pegawai Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan.





Pada mula-mulanya saya agak terkejut menerima kunjungan mereka secara tiba-tiba begitu, walau bagimanapun beberapa orang daripadanya saya cukup kenal, dan pernah berurus kira dengan mereka di masa-masa yang lalu.


Biasanya selain dari keluarga, yang datang ke pondok kami ialah pelajar-pelajar yang ingin membuat temuduga atau temubual mengenai thesis-thesis pengajian yang sedang mereka lakukan.


Tapi kali ini rombongan yang datang ialah dari Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan. Mereka membawa kabar gembira, menyampaikan hadiah-hadiah sempena dengan bulan Ramadan yang mulia.


Dua buah kantung yang penuh berisi yang “berat menanam” diserahkan kepada saya sebagai sumbangan bulan Ramadan tahun ini.


Di samping itu ada lagi sebuah sampul berisikan sumbangan tunai. 


Alhamdulillah.


Mereka memberitahu saya inilah sumbangan daripada Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan yang disampaikan kepada penggiat-penggiat sastera dan budaya negeri ini.


Yang amat penting ialah yang tersirat di belakang sumbangan itu, iaitu membuktikan bahawa pihak berkuasa  menghargai sumbangan-sumbangan kecil kami kaum penulis, penggiat  sastera dan budaya selama ini


Anehnya saya tidak bertanya-tanya siapakah nama-nama mereka, selain dari mereka yang saya kenali itu.


Saya ucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada mereka di atas sumbangan itu.


Terimakasih daun keladi. 


Salam hormat dari saya.



-Mohd Zain Saleh

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan.



Read more...

MOHAMMAD YAACOB SUKA MENDENGAR RINTIHAN RAKYAT

>> Sunday, June 26, 2016






MOHAMMAD YAACOB SUKA MENDENGAR BISIKAN RAKYAT





Salah seorang dalam senarai bekas Menteri Besar Kelantan, ialah Tan Sri Dato’ Hj. Mohamad Yaacob, bergelar Dato’ Bentara Kanan. Beliau dilahirkan pada tahun 1926 dan meninggal dunia pada 2009.

Beliau ialah Menteri Besar Kelantan yang ke 16 dalam jaluran Menteri Besar Kelantan. Beliau dilantik menjadi MB Kelantan setelah Barisan Nasional memenangi pilihanraya pada tahun 1978.

Dalam zaman beliaulah negeri Kelantan mulai membangun dengan pesat setelah sekian lama ktinggalan dan terabai dari arus pembangunan sebelumnya.

Beliau adalah seorang yang gemar mengambil berat tentang negeri dan nasib rakyat negeri ini. Sepanjang karirernya sebagai Menteri Besar beliau sering melawat ke desa-desa dan kampung-kampung untuk melihat dan mendengar sendiri pendapat-pendapat serta keluhan dan rintihan untuk diambil tindakan yang sewajarnya.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.



Read more...

SAKIT SENDI:PANTANG-PANTANG KETIKA SAKIT

>> Friday, June 24, 2016






SAKIT SENDI:PANTANG-PANTANG
KETIKA SAKIT






Sendi ialah bahagian yang menyambung satu anggota tulang dengan anggota tulang yang lain, seperti sendi lutut, sendi bahu, sendi jari  dan sebagainya.


Dalam keadaan yang normal semua sendi-sendi itu mudah digerak-gerakkan, terutama untuk sesuatu tujuan seperti untuk berjalan, untuk makan dan sebagainya.


Allah jadikan setiap hujung tulang-tulang sendi itu bertutup dengan selaput sendi atau rawan yang fungsinya amat penting untuk mencegah daripada berlakunya pergesiran antara tulang yang bersambung itu. Ia juga bertindak sebagai pelapit atau pengalas bila sesuatu keadaan yang megejutkan berlaku, seperti terjatuh atau terhantuk.


Semua sendi diliputi oleh selaput sendi tersebut yang dilapisi sebelah dalamnya oleh sejenis anggota yang dipanggil selaput synovial. Selaput synovial ini mengeluarkan sejenis cecairan yang licin yang dipanggil selaput synovial. Ia memelihara selaput sendi yang kejadiannya tidak mempunyai urat darah dan berfungsi melicinkan sendi, supaya dapat bergerak dengan mudah dan lancar.


Tapi sendi-sendi itu akan terasa sakit atau sengal-sengal bila kedua hujung tulang bersambung itu bergesel antara satu sama lain andainya rawan-rawan yang menjadi pelapis itu rosak atau koyak, menyebabkan sendi-sendi itu tidak lagi mempunyai pelapik atau pengalas seperti biasa.


Jika berlaku pergesiran sendi-sendi itu ianya amatlah menyakitkan. Sendi-sendi itu menjadi sakit, selepas terlalu banyak digunakan atau terabai tanpa dipergunakan beberapa lama.


Sendi-sendi itu juga sakit bila berlaku radang pada selaput synovial. Ianya berlaku tepat di mana di mana selaput sendi bertemu. Rasa sakit itu mungkin berlaku secara timbul tenggelam atau secara berkala.  Ia boleh menyebabkan seseorang kehilangan selera makan, demam, berat badan menurun, merasa letih dan lemah tanaga.


Penyakit sendi ini lebih banyak menyerang orang-orang tua daripada orang-orang muda, orang-orang yang gemuk lebih daripada orang-orang yang kurus, dan kaum wanita lebih ramai dari kaum lelaki, duda-duda lebih banyak menghidap penyakit sendi lutut, iaitu dengan kadar dua kali ganda lebih ramai daripada lelaki yang berkahwin, dan mereka yang terlibat dalam sukan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat sakit lutut jenis ini daripada mereka yang tidak terlibat dalam sukan.


Pada mula-mulanya penghidap-penghidap sakit sendiri ini merasa sakit dan kejang pada sendi pada sebelah pagi.


Sejak kebelakangan ini kian ramai penduduk dunia yang menghidap penyakit sendi. Pada tahun 1999 seramai 37 juta rakyat Amerika menderita penyakit sendi. Ini bererti satu daripada 3 keluarga rakyat Amerika menghidap penyakit sendi, sdangkan pada tahun 1957 rakyat Amerika yang menghidap gangguan penyakit sendi hanya kira-kira seramai 8 juga orang sahaja.




Setiap tahun ia menelan lebih dari 13 billion dolar untuk merawat penyakit sendi di Amerika, namun begitu ia tidak bermakna jika dibandingkan dengan penderitaan yang harus ditanggung oleh penghidap-penghidap penyakit sendi itu sendiri. Wang ringgit tidak dapat membeli kesakitan.


Makan Untuk Rawatan


Persis dengan kebanyakan penyakit-penyakit yang lain, makanan mempunyai kesan-kesan tertentu terhadap penyakit. Makanan untuk mencegah dan makanan untuk merawat. Demikian juga dengan penyakit sendi. Ada makanan-makanan untuk mencegah dan makanan untuk merawat.


Makanan yang patut dikurangi ialah daging merah, sebaik-aiknya sekali seminggu sudah memadai, demikian juga perlu dikurangi berbagai-bagai jenis daging yang diproses, organ-organ dalaman haiwan, saperti paru-paru, buah pinggang, otak, hati dan seumpamanya, kulit ayam, makanan-makanan garing, makanan-makanan yang dihasilkan dari tenusu yang kaya dengan lemak.


Sebaliknya pula makanan-makanan yang perlu diambil untuk menjaga kesihatan dan memperolehi tenaga yang setinggi-tingginya ialah banyak makan buah-buahan, semua kacang dan lintel, pasta, biji-bijian dan banyak minum air putih, susu tanpa lemak dan makanan yang diperbuat dari kacang soya.


Di samping itu ada beberapa jenis herba yang dipercayai berkesan untuk merawat dan mencegah penyakit sendi iaitu bawang putih. Bawang putih juga berguna untuk penyakit-penyakit lain. Ia juga dikatakan dapat merangsangkan sistem kekebalan badan.


Penghidap penyakit sendi lutut yang obes, tentu lebih menderita kesakitannya daripada mereka yang tidak obes badannya, kerana beban yang ditanggung oleh lututnya berkurangan. Justeru jauhkan obesiti.


Gambaran penyakit sendi ini bukanlah memberi petunjuk bahawa penghidap-penghidap penyakit sendi terpaksa hidup menyingkir dan terasing dan terpenjara dengan penyakit sendinya. Tapi mereka mestilah merawat penyakit yang menimpanya itu, dan mematuhi segala peraturan yang diberikan oleh pakar-pakar, termasuklah mengawal pemakanan dan juga mempunyai pandangan hidup yang positif.




Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Parit,
Passir Tumboh, Kota Bharu Kelantan.



Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP