TIMUN BATANG,TIMUN CHINA, TIMUN BETIK, TIMUN TIKUS
>> Sunday, April 24, 2016
TIMUN BATANG, TIMUN CHINA, TIMUN
BETIK DAN TIMUN TIKUS.......???
Timun ialah sejenis tumbuhan menjalar yang buahnya boleh dimakan.
Timun Batang
Di negara kita ada beberapa jenis timun. Semua timun-timun ini buah-buahnya boleh dimakan. Ada yang boleh dimakan mentah, dan juga boleh dimasak bila hendak dimakan.
Timun yang paling popular ialah timun cina atau tembikai. Buahnya rasa manis dan sedap dimakan, terutama di musim panas.
Lebih istimewa lagi jika dibuat jus dengan jalan mengisarkan isi buahnya untuk diminum.
Di kampung-kampung kadang-kadang kulit timun cina ini dibuat sayur lemak, dicampurkan dengan sayur-sayuran yang lain, setelah kulit hijaunya dibuang. Biasanya menjadi sebahagian daripada sayur koklok.
Sejenis timun lagi ialah timu betik. Bentuknya semacam buah betik dan berjalur-jalur kuning memanjang.
Rasanya tawar, perlu dimakan dengan gula melaka. Lebih istimea kalau dimakan dengan santan mentah yang dimasukkan gula melaka, kemudian disejuk dalam peti ais.
Ulam Timun
Timun tikus. Ianya tumbuh menjalar, dan biasanya tidak ditanam, tapi tumbuh meliar. Bunganya putih dan buahnya, kecil, bulat dan hijau. Ia tumbuh liar menjalar, biasanya di atas pagar. Timun ini dikatakan boleh dibuat sayur, bukan untuk dimakan mentah. Namun saya tidak pernah melihat ia terjual di mana-mana pasar.
Timun Batang
Timun yang satu lagi yang tidak kurang popularnya ialah timun batang [cucumber]. Tidak seperti timun cina, timun batang boleh didapati di sepanjang musim.
Timun batang yang dipasarkan ada berwarna hijau, kuning dan perang. Saya lebih suka timun berwarna kuning, kerana isinya lembut, rasa manis dan boleh dimakan bersama kulitnya. Kadang-kadang di kampung, kanak-kanak memakannya begitu sahaja sebaik-baik sahaja dipetik dari pokok, seperti mereka memakan buah yang biasa. Timun yang hijau itu kulitnya keras dan kadang-kadang terasa pahit, terutama di bahagian kepala dan hujungnya.
Timun batang berguna untuk dimasak atau dimakan mentah sebagai ulam dan dimakan ketika makan nasi. Biasa juga dihidangkan dengan satei yang berkuah bersama bawang besar yang dipotong.
Pada masa dahulu saya adalah seorang peminat timun batang. Saya makan mentah dengan mencicahnya pada sambal atau budu yang telah dipecet cili api.. Biasanya dimakan dengan ikan panggang tawar.
Saya juga suka makan timun yang dicelur. Rasanya manis.
Mencelur timun tidak boleh dipotong atau dikerat, nanti kemasukan air, dan ini
boleh merubah rasanya dan isi kandungannya. Rebus atau celur sahaja sebiji-sebiji
begitu sahaja, tapi jangan biarkan ia terlalu masak.
Saya juga suka makan acar timun mentah yang begitu mudah untuk membuatnya, menggunakan bahan air sejuk dan gula. Boleh dimasukkan lada yang dipotong-potong kecil. Garam dan cuka. Semuanya secukup rasa. Namanya acar mentah, pelalu makan.
Atau lebih komplikited sedikit bila dimasak dengan menggunakan cuka, air, garam, gula dan bawang merah. Semuanya secukup rasa. Kemudian jerang atas dapur hingga masak. Kita panggil acar timun masak.
Namun saya lebih suka makan timun batang masak sayur air. Dan saya suka memasaknya sendiri. Bahannya timun, ikan panggang tawar, bawang merah dan lada benar [lada hitam]. Semuanya ditumbuk, tapi jangan sampai hancur. Masakkan dengan air, dan masukkan garam secukup rasa. Lebih banyak ikan, lebih sedap rasanya.
Di negeri saya, Kelantan timun batang ini digunakan sebagai ulam nasi kerabu, laksa atau laksam bersama-sama dengan daun kesum, kacang panjang dan sebagainya.
DI masa mutakhir ini, timun yang dipotong halus-halus dimasukkan ke dalam daging burger bersama dengan daun salad.
Timun juga digunakan untuk dicampurkan dengan gulai lemak ikan, untuk nasi belauk.
Timun Batang Jadi Penawar
Sewaktu saya berada di Jawa Timur, sahabat saya di sana memberitahu mereka menggunakan timun batang untuk merawat gastrik. Caranya timun dicincang, lalu ditumbuk, diperah untuk diambil airnya dan diminum.
Demikian juga caranya untuk merawat penyakit batuk atau alahan dengan cuaca. Ambil sebiji timun, kupas kulitnya, kemudian diparut. Timun parut itu hendaklah diperas, kemudian airnya dicampur dengan segelas air kosong,lalu ditapis, dan diminum.
Acar Timun Mentah
Ketika saya mula-mula kahwin, kira-kira empat puluh tahun yang lampau isteri saya sering menggunakan timun sebagai bahan untuk mencuci muka. Timun itu dikerat nipis-nipis berkeping-keping dan digosok-gosokkan pada muka untuk menghilangkan kekotoran yang menempel di situ. Selepas mencuci muka, sekeping timun akan diletak di atas kedua kelopak mata yang dipejamkan untuk seketika. Rasanya menyegarkan.
Timun juga dengan cara yang sama digunakan untuk merawat jerawat, kutil dan eksema, dengan cara menggosokkan keratan timun itu di atas tempat yang bermasalah itu.
Timun
batang dapat mencegah kedut-kedut awal pada muka seseorang dengan cara yang
sama seperti di atas.
Tapi
adakah kita semua mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan semuanya itu,
sedangkan setiap hari kadang-kadang hendak makan pun hampir tidak berkesempatan
kerana diburu oleh tugas dan kerja?
Timun Batang Dari Sudut Sejarah
Menjejak
sejarah, timun batang telah lama digunakan sebagai ubat untuk merawat penyakit.
Berbagai-bagai bangsa di dunia menggunakan timun untuk kesihatan.
Antaranya
mereka menggunakan timun untuk merawat anggota-anggota dalaman badan yang
kepanasan, untuk mencuci anggota-anggota dalaman dan merawat radang.
Orang-orang
Greek dan Rum purba didapati menggunakan timun sebagai bahan perubatan untuk
merawat penyakit.
Orang-orang
China telah lama menggunakan timun sebagai penawar. Mereka memakan timun untuk
menyejukkan dalaman badan mereka yang terlajak panas.
Orang-orang
India pula didapati sudah lama memakan timun sebagai penyejuk badan dan juga untuk
mencegah daripada terkena “bakaran cahaya matahari”, ketika mereka secara langsung ditimpa
panas terik mata hari.
Pakar-pakar
kesihatan juga telah mengetahui berbagai-bagai kegunaan timun dari segi
kesihatan.
Mengikut
mereka, timun yang dimakan atau diminum jusnya dapat menyingkirkan bahan-bahan
beracun yang terdapat dalam darah dan ianya
merupakan pencucui darah yang semula
jadi.
Timun
batang dapat menurunkan tekanan darah, melancar dan melawaskan kencing.
Timun
batang juga jika dimakan boleh menghilangkan kesakitan kerana penyakit gout dan arthiris, iaitu penyakit yang berpunca
daripada urit asid yang berlebihan dalam
badan.
Kajian-kajian
juga menunjukkan bahawa timun batang dapat merangsangkan pertumbuhan rambut dan
kuku.
Dan
ia juga dikatakan dapat mengurang risiko penyakit kanser perut.
Timun juga terkenal sebagai penyejuk badan semula jadi dan dapat menghilangkan dahaga jika dimakan, terutama di musim panas seperi sekarang.
Cubalah
buat sejenis minuman dari timun batang yang enak dan menyegarkan. Sediakan
segelas jus timun batang, masukkan sirap
manis, gula perang dan madu. Semuanya secukup rasa, kemudian kacau dan minum
untuk kesegeran badan.
Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Parit,
0 comments:
Post a Comment