KUALA KRAI PASKA BANJIR 2014

>> Thursday, January 29, 2015




KUALA KRAI PASKA BANJIR 2014


Walaupun banjir kira-kira se purnama telah lewat, tapi cerita-cerita tentang banjir masih meniti dari bibir ke bibir, dan terpampang medi-media massa memutarkan berbagai-bagai perkara menngenai banjir.


Banyak kisah-kisah banjir telah dibongkar. Kebanyakannya mengoris hati dengan nasib ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. Namun begitu ada juga cerita-cerita lucu, cerita-cerita simpati, cerita-cerita yang memengkalkan hati dan sebagainya. Pendeknya aneka cerita berbaur-baur yang menjadikan warna-warni kisah banjir yang menarik.











KUALA KRAI

Beberapa hari yang lalu, kami sekeluarga telah berangkat menziarah sisa-sisa banjir di Kuala Krai, salah sebuah daerah yang paling teruk ditelan banjir. Maksud kami hendak terus  ke Manek Urai dan La’loh. Tapi tidak kesampaian, kerana kesuntukan masa. Kami juga dilarang untuk meneruskan hajat tersebut kerana keadaan di Manek Urai pada waktu itu terlalu sesak dengan pendatang-pendatang yang kebanyakannya berkunjung untuk menyampaikan bantuan-bantuan banjir.








Di Kuala Krai, di Manek Urai dan di La’loh, kami mempunyai keluarga. Tapi anak saya dan keluarganya tinggal di Sungai Durian, KK, salah sebuah kawasan yang teruk ditenggelami banjir. Tapi rumah anak saya itu letaknya di dataran tinggi, di sisi bukit, maka ianya terlepas dari landaan banjir. Alhamdulillah. Sedangkan rumah-rumah yang terletak di atas tanah rata separas jalan raya dan di kaki bukit semuanya habis tenggelam.









Pondok Sungai Durian, termasuk bangunan-bangunan pondoknya, masjidnya dan rumah-rumah kediaman kakitangan-kakitangannya habis ditelan banjir. Apa yang dapat kami lihat hari itu ialah pondok-pondok kayu yang menjadi sisa-sisa kemusnahan banjir. Ada pondok-pondok yang senget, terkopak dindingnya, beralih tempat letaknya, dan ada juga yang roboh dan hancur berkecai ditelan kuasa air. Beratus-ratus buah pondok telah musnah.












Masjid Sungai Durian juga ditenggelami air. Karpet yang baru dihampar menutupi lantai masjid yang luas untuk keselesaan jemaah telah musnah berendam air. Waktu saya sampai itu beberapa helai tikar dihampar buat sementara untuk jemaah bersolat. Sebahagian lantainya masih gondol tanpa penutup.


Hati saya amat sayu melihatnya. Selama kira-kira lapan tahun saya tinggal di Sungai Durian, di masjid itulah tempat kami bersolat setiap hari dan juga belajar dari guru-guru yang sentiasa berkhdimat menabur bakti kepada manusia. Pada masa-masa yang lalu, sering juga air sungai melimpah, tapi, air hanya sekadar melalui di sekitar masjid sahaja dan terus mengalir, tanpa menaiki masjid seperti baru-baru ini.


Apa hendak buat. Itulah ketentuan Ilahi untuk menguji hamba-hamba-Nya.


Saya juga meninjau rumah teres  kami yang terletak tidak jauh dari Pondok Sungai Durian. Rumah teres dua tigkat. Kami telah dimaklumkan lantai tingkat atas pun telah dicecah air menyebabkan semua penghuni-penghuni terpaksa berpindah. Ada yang terpaksa keluar ikut tingkap tingkat atas kerana tidak sempat berpindah, kerana sama sekali tidak menduga air naik begitu pentas dan tinggi. Dan mereka diselamatkan oleh perahu-perahu yang kebetulan lalu di situ.


Seorang jiran kami, seorang tukang jahit wanita memberitahu, semua barang dalam rumahnya telah rosak, terbalik dan berendam air. Tujuh buah mesin jahitnya telah rosak, dan masih belum dibaiki, serta dua buah mesin membuat kusyen kereta suaminya juga turut ditenggelami air. Ini tidak termasuk lagi alat-alat rumah, seperti peti sejuk, dapur, dan sebagainya.


“Tak tahulah apa kami nak buat selepas ni?”, katana dalam nada keluhan yang berat.


BANDAR KUALA KRAI

Arah ke hujung hari pula kami memasuki bandar Kuala Krai yang masih berhabuk dan berdebu. Kesan-kesan banjir amat jelas kelihatan. Kemusnahan. Banyak  kedai yang masih belum beroperasi, antara sebabnya kerana bangunan-bangunan itu tidak dapat dibersihkan kerana ketiadaan air, atau air tidak memadai untuk mencucui. Bekalan air paip tidak memadai dan hujan pula tidak turun.


Semua bank-bank masih belum beroperasi. Mereka yang memerlukan khidmat bank terpaksa pergi ke bandar-bandar yang tidak terlibat dengan banjir.

Ada beberapa buah kedai kelihatan sedang dibasuh dengan menggunakan air yang diangkut dengan kennderaan sendiri yang dimuat dalam tong-tong atau tangki-tangki.


Pada masa dulu, tempat yang sering kami kunjungi semasa kami tinggal di Kuala Krai ialah Perpustakaan Awam. Ia terletak di atas tanah tinggi berhampiran dengan Balai Polis Kuala Krai, yang letakna tidak jauh dari Sungai Kelantan dan Tangga Bradley tempat menyukat banjir. Saya dimaklumkan perpustakaan itu telah tenggelam. Alat-alat dan buku-buku yang tidak sempat diselamatkan dalam perpustakaan itu telah musnah ditelan banjir.


Kami pernah melihat dalam foto Pasar Besar Kuala Krai sedang digenangi air. Pasar itu dua tingkat. Macam-macam barang diperdagangkan di situ, termasuk di sekeliling pasar itu yang dibina gerai-gerai dan bangsal-bangsal menjual bermacam-macam  barangan, makanan dan pakaian dan alat-alat rumahtangga. Hari itu kami lihat, para penjual sedang berjualan dengan membina bangsal-bangsal sementara di kawasan hadapan pasar. Kami tidak sempat untuk meninjau di kawasan belakang pasar.


Adalah mengambil masa dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit untuk membina semula bandar Kuala Krai yang telah rosak teruk ditelan banjir. Bagi mereka yang pernah berada di bandar Kuala Krai sebelumnya sudah tentu hatinya terpukul melihat wajah Bandar Kuala Krai selepas banjir sekarang. Jauh berubah.




Di tengah-tengah Bandar Kuala Krai, di sebatang jalan yang sibuk, menantu kami Azaliza Ismail, isteri Ahmad Faris Zaini telah beberapa tahun membuka klinik pergigigan- Klinik Gigi Azaliza. Hampir semua benda yang ada dalam bangunan itu telah musnah dimamah banjir. Yang tinggal ialah lantai dan dinding batunya yang dibungkus  oleh selut-selut dan lumpur banjir. Ribuan ringgit telah musnah seperti dengan peniaga-peniaga lain di Bandar Kuala Krai yang tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka.


Tidak ada apa yang boleh dibuat lagi. Ia hanya akan menjadi satu kenangan pahit yang membayangi sejarah yang akan terus tersimpan dalam lipatan masa.


Ketika kami bertolak balik ke Kota Bharu hari telah larut petang. Syukurlah sebahagian daripada Pasir Tumboh tidak ditenggelami banjir, termasuklah kawasan rumah kami yang Allah selamatkan dari banjir. Namun begitu kami juga telah bersiap-siap untuk pindah jika keadaan memaksa. Tapi ke mana?


Ya Allah syukur kepada Engkau yang telah melimpah rahmat-Mu kepada kami dengan menyelamatkan kami daripada bencana banjir.


”Tidaklah seorang Muslimim itu ditimpa kepayahan, kelelahan, kecemasan, kesusahan, kesakitan, mahupun kesedihan hinggakan duri yang menyakitinya pun melainkan akan menyababkan Allah SWT berkenan menghapuskan dosa-dosanya”. –Muttafaq Alaih.


Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kel.




Read more...

KUNYIT DALAM PERAWATAN TRADISIONAL

>> Sunday, January 25, 2015




KUNYIT DALAM PERAWATAN TRADISIONAL



Dalam segi perubatan tradisional kunyit mempunyai berbagai-bagai kegunaan untuk rawatan untuk penyembuhan dan juga untuk pengekalan kesihatan,

Kunyit




Dalam ilmu perubatan moden kunyit dikenali dengan nama Zingiberaceae.


DALAM PANTANG


Untuk ibu-ibu yang baru bersalin, masih dalam pantang kunyit digunakan untuk rawatan-rawatan tertentu. Dalam masa tiga hari selepas bersalin ibu-ibu diberi minum air kunyit. Sebaik-baiknya yang digunakan ialah yang ibu kunyit.


Ibu kunyit itu ditumbuk, sekarang dikisar hingga hancur, kemudian ditapis dalam gelas. Kemudian dicampur dengan sedikit air sekadar yang perlu dan terus diminum. Biasanya selama beberapa hari. Dalam hal ini selama tiga hari telah memadai, sebelum ditukar keapda minuman herba yang lain pula.


Sepanjang masa tiga hari itu perut si ibu yang dalam pantang itu dibalut [barut] dengan menggunakan kunyit yang ditumbuk atau dikisar dan dicampur dengan garam halus. Perkara ini dilakukan pada waktu malam dan hingga pagi selepas sarapan barulah dibuka.barutnya. Selepas tiga hari barulah ditukar kepada bahan pembalut perut yang lain.


Sementara itu isi atau rizom kunyit itu yang muda pula dibuat ulam mentah ketika makan nasi selama mana dikehendaki.

Pohon kunyit






Bayi-bayi yang tersumbat hidung dan sukar untuk tidur disapukan dengan kunyit yang digesel atau diasah pada benda-benda yang kasar permukaannya, seperti belakang pasu tanah [ada sejenis alat khas pengasah yang dipanggil canai] kemudian  dicampur dengan sedikit minyak kelapa, disapu di atas dahi bayi, di antara dua kening. Tapi awas warna kunyit boleh mengotorkan pakaian bayi.


Di sesetengah tempat, untuk merawat perut bayi yang meragam, ibu kunyit direbus bersama dengan bawang dan bawang putih dan diberi minum kepada bayi.


Para wanita digalakkan untuk meminum jus isi kunyit yang dicampur dengan gula batu untuk kesegaran wajah. Ia diamalkan sejak wanita itu berada di dalam alam remaja lagi.


Jus air kunyit juga dipercayai dapat meredakan darah tinggi jika dimimun setiap hari selama waktu-waktu tertentu.


Untuk meredakan batuk pula, ibu kunyit ditumbuk dan dicampur dengan kapur sirih dan disapu pada leher.


NASI kUNYIT


Pada masa yang lalu, ada sesetengah kalangan masyarakt kita menyedia nasi knnyit sebagai sebahagian daripada cara perubatan tradisional. Dan ia jug disedikan di majlis-majlis tertentu untuk santapan para tamu, seperti di majlis-majlis khatam al-Quran dan juga di majlis-majlis perkahwinan yang diletak atas pal-pal. Para pengantin di atas pelamin diadatkan menyuap nasi kunyit kepada mereka berdua. Adat ini yang masih hidup hingga ke hari  ini.

Nasi kunyit ini diperbuat daripada pulut yang dimasak dan diwarnakan dengan kunyit, dimasakkan dengan santan dan garam sesedap rasa. Ia biasanya dikukus untuk lebih kelihatan cantik dan lebih enak dimakan daripada ditanak. .


DAUN KUNYIT


Kunyit mempuyai batang yang pendek dan lembut. Ia boleh meninggi samapi satu m. Daunyanya lebar dan runcing di hujungnya, dan mengeluarkan bau yang wangi jika disiat-siat atau diramas-ramas.

Justeru itu daun kunyit biasanya digunakan untuk mebalut ikan yang hendak dibakar untuk mendapatkan aromanya yang menyelerakan.



                                     Isi Kunyit yang kuning


Daun kunyit juga merupakan  sebagai sebahagian daripada bahan-bahan yang digunakan untuk mandian ibu yang masih dalam pantang. Antara bahan-bahan lain yang digunakan ialah daun serai wangi, daun lengkuas dan sebagainya.


Kunyit boleh dibeli di pasar-pasar, di kedai-kedai runcit dalam bentuk segar [kunyit hidup] atau dalam bentuk tepung [debu kunyit].


Orang-orang kampung, biasanya menanam pokok-pokok kunyit di tepi-tepi rumah mereka untuk kegunaan sendiri. Sebaliknya para peniaga pula menanam pokok-pokok kunyit di ladang-ladang untuk perdagangan.



Kg. Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.


Read more...

PENGAJARAN DARI BANJIR 2014

>> Saturday, January 17, 2015



                                 
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      
MENGUTIP PENGAJARAN DARI BANJIR 2014


Kira-kira hampir setengah purnama lebih telah berlalu  selepas banjir 2014 melanda. Namun kisah-kisah tentang banjir masih rancak diperkatakan dari berbagai-bgai sudut. Ia berlegar dari mulut ke mulut, menerusi media-media massa dan hubungan alam maya yang begitu pantas tersebar ke seluruh penjuru alam.


                                     Barang-barang bajir dilonggokkan.-Foto kiriman


Impak-impak berat yang  ditimpa oleh banjir 2014-2015 itu terhadap alam sekitar dan juga kehidupan manusia begitu hebat dan masih jelas kelihatan di sana sini di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.  Berbagai-bagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan suasana yang mengharukan itu, khususnya bantuan-bantuan kebendaan kepada mereka yang ditimpa malang. Sampai ke hari inipun bantuan-bantuan masih mencurah-curah sampai ke kawasan tersebut.


Kita lihat begitu banyak orang-orang perseorangan, pertubuhan-pertubuhan, badan-badan tertentu dan juga pehak berkuasa telah  muncul sebagai badan-badan kebajikan menghulurkan bantuan-bantuan yang amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir. Kita berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan pembinaan semula struktur masyarakat yang telah rosak ditelan banjir ini.


                                         Rumah yang terbalik kuang-Foto Kiriman


Banyak pengajaran yang boleh diperolehi dari peristiwa banjir besar ini. Salah satu pengajarannya yang penting ialah dari segi pendidikan jiwa manusia yang diperolehi secara langsung daripada peristiwa ini, terutama kepada kita yang sedang berusaha mencari rahsia  kehidupan yang sebenarnya.


Panjangkan langkah kita, dan ambil masa untuk berkunjung ke tempat-tempat yang telah dilanda banjir besar itu. Kalau boleh bawalah keluarga kita bersama.


Perhatikanlah bagaimana kesan-kesan banjir yang menimpa mereka yang sedang diuji oleh Allah. Semoga dengan melihat suasana tersebut dengan dekat, dengan mata lendir kita sendiri akan menimbulkan keinsafan yang mendalam di lubuk jiwa kita.



                                         Tempat berteduh sementara-Foto Kiriman

 
Tidak mencukupi dengan hanya menonton tv, melihat WhatApp atau membaca akhbar-akhbar dan majalah-majalah tentang kisah manusia yang sedang menerima ujian dari Allah dengan begitu hebat sekali menerusi peristiwa banjir besar ini. Khususnya kepada mereka ang tidak dilanda banjir atau mendapat ujian banjir tapi tidak seteruk tempat-tempat tersebut.


Kalau kita mempunyai bahan-bahan bantuan bawalah bersama dan edarkan kepada mereka  yang sedang menerima ujian itu. Semoga ringan sedikit beban yang mereka tanggung. Wangkah, makanankah atau alat-alat keperluan hidup yang diharap-harapkan oleh mereka. Kalau tidak mampu, pergilah ziarah sebagai tanda simpati kita kepada mereka dengan membawa hati untuk mengambil ibrah atau pengajaran dari perisitwa itu.


Anda tentu dapat melihat, ada di antara mereka itu mungkin telah kehilangan keluarga yang tersayang kerana ditelan gelumbang banjir.



                                         Sudah berkecai ditelan banjir-Foto kiriman


Ada di antara mereka sudah kemusnahan rumah, pondok-pomdok tempat tinggal kerana ditelan arus banjir dan terpakasa menumpang di tempat-tempat tinggal sementara. Atau tinggal di dalam khemah-khemah yang daif.


Lihatlah anda, rumah-rumah yang hanya tinggal tiang-tiang terpacak, ada yang tinggal jamban-jamban, malah yang hancur lebur berkecai tidak bersisa sedikit pun.


Ada yang kerosakan kenderaan yang begitu teruk, atau terus hilang dibawa arus banjir yang mengganas.


Dan ikut musnah ialah segala harta benda mereka, termasuk barang-barang keperluan harian yang terpaksa dicari ganti yang baru untuk meneruskan kehidupan harian mereka.


Ada di antara mereka yang kehilangan sumber-sumber pendapatan untuk menanampung hidup setiap hari.


Ada gedung-gedung perniangaan yang telah musnah dan hancur ditelan banjir, dan menimpakan kerugian ribuan ringgit. Ada yang tidak lagi mampu untuk membangun kembali dan terpaksa memikul kerugian.


Sampai ke hari ini masih ada lagi mangsa-mangsa yang tidak dapat membersihkan kediaman mereka kerana tidak ada air atau  air yang diperlukan tidak mencukupi, kerana itu keadaan rumah mereka masih tonggang langgang penuh dengan kekotoran..


Ada di antara mereka yang tidak mempunyai sumber kewangan dan terpaksa bergantung kepada bantuan-bantuan untuk meneruskan kehidupan yang telah berubah dengan pesatnya kerana banjir.


Ada di antara mereka yang kemusnahan pokok-pokok dan tanam-tanaman mereka yang ditenggelami oleh banjir dan tidak mampu lagi mengeluarkan hasil seperti masa-masa yang lalu, atau terpkasa menunggu masa yang lama untuk pulih kembali, sedangkan tanaman-tamanan itulah yang menyumbang hasil pendapatan kepada kehidupan harian mereka selama ini.


Ada di antara mereka yang menderita sakit-sakit berpunca dari banjir, terutama kanak-kanak dan orang-orang tua yang tidak begitu kebal dalam menghadapi perubahan cuaca sebegitu rupa. Dan keadaan mereka masih lagi berpanjangan hingga ke hari ini, malah mungkin ada yang meringkuk di rumah-rumah sakit untuk menerima rawatan.


Dan selepas banjir pula, suasana keliling yang tidak normal dengan debu-debu, dan air bersih yang tidak sempurna, dan cuaca yang selalu berubah-ubah, jalan-jalan yang telah rosak boleh mengancam kesihatan. Ini menambahkan lagi penderitaan hidup mereka.


Amatilah semua itu bagaimana Allah telah menguji hamba-hamba-Nya. Resapkanlah semua ini ke dalam hati dan jiwa kita. Rasa-rasakanlah bagaimana kiranya ujian-ujian seperti ni menimpa kita? Menimpa keluarga kita? Mampukah kita menanggungnya? Sabarkah? Bolehkah kita terus bersyukur?



                            Klinik ini sudah tidak lagi di Kuala Krai. Yang ada hanya bangunan batu.

 
Sesungguhnya kita sentiasa digalakkan untuk melihat sendiri mereka yang bernasib malang sepanjang masa, di mana-mana sahaja dalam apa-apa bentuk sekalipun semoga kita mendapat pengajaran yang berguna darinya. Tinjaulah di tempat-tempat orang yang susah kehidupan, di kawasan-kawasan orang miskin yang hidup melarat, kunjungilah rumah-rumah anak-anak yatim, dan juga orang-orang diuji dengan berbagai-bagai penyakit.

Lihatlah orang-orang yang hangus tubuh kerana terbakar, lihatlah bagaimana kulit-kulit melecur orang yang menjadi simbahan acid, lihatlah orang-orang  yang tercedera parah dalam kemalangan, ada yang pecah kepala, patah tulang-temalang, malah ada yang maut. Lihatlah mangsa-mangsa sakit kronik bagaimana getirnya mereka menghdapi kehidupan ini.

Dan waktu ini lihatlah musibah banjir, dan penderitaan mangsa-mangsa banjir yang menerima ujian begitu hebat dari Allah. Sedangkan kita masih selamat, tidak tersentuh dek banjir yang melanda? Apakah itu bukan rahmat Allah? Perhati dan lihat-lihatlah dengan mata dan hati sebagai seorang yang beriman dan bertakwa.


Syukurlah, ribuan syukur kerana kita terlepas dari semua ujian itu, tidak tersentuh sedikit pun oleh ujian-ujian yang sebegitu berat. Mata anda masih boleh dapat melihat, tulang-temalang masih kuat untuk meneruskan kehidupan, daya fikiran anda masih sempurna, dan, dan, dan sebagainya.


                                    Tidak ada apa  yang tinggal-Foto Kiriman
Adakah kita masih lagi belum bersedia untuk merasa lapang dada dan bersyukur kepada Allah dengan segala macam nikmat yang Allah kurniakan kepada kita itu? Dijauhkan dari musibah yang melanda. Kita tidak termasuk dari kalangan mereka yang menerima ujian yang begitu berat seperti mereka?


Ingatlah banjir, sebagai satu cara Allah menguji hamba-hamba-Nya. Bersyukurlah kita yang selamat dan terlepas dari bencana banjir.


Walau bagaimanapun Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya. “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu memuliakannya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata:”Tuhanku telah memuliakanku”.Namun bila Tuhannya mengujinya dengan membataskan rezekinya, maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. Sekakli-kali tidak [demikian]”.al-Fajr [89]:15-17.


Kg. Parit,Pasir Tumboh,
Kota Bharu.




Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP