>> Saturday, April 24, 2021

 

 

SALOR

 



PERWATAKAN




TOK BOMOH




POK CHU LEH


Bahagian [1]


https://pondokrahmat.blogspot.com/2021/04/salor-tok-bomoh-pok-chu-leh-kampung.html


Bahagian 2








Che Leh perwatakannya berdada bidang, tingginya biasa dan kulitnya sawo matang, tidak gelap. Kepalanya sentiasa berambut pendek dan beruban Tidak berjanggut, tidak berjambang dan tidak berkumis.





Beliau tidak banyak bercakap, nampak pendiam, tapi mudah disapa, ramah dan mudah tersenyum.




Beliau sentiasa berkain pelekat yang dikilas, berbaju biasa berlengan panjang, berselipar [akhirnya selipar Jepun].




Beliau seorang yang tenang, tidak mudah naik berang, tapi kalau ada orang melakukan  sesuatu yang tidak wajar, kemarahannya akan membara tapi tidak pernah mencedera atau berkelahi dengan orang, atau menampar atau memukul orang.




Namun begitu beliau seorang pemaaf. Pernah pada suatu masa salah seorang daripada keluarganya mengupah seorang tok bomoh  di kampung sebelah supaya membuatnya jatuh sakit berat. Tok bomoh tersebut, sebagai sahabat memberitahu tentang rancangan tersebut sambil menyatakan dia tidak bersedia melakukannya, malah menawar balik kihdmatnya jika Che Leh ingin  membalasnya. Tapi beliau menolaknya dan mengatakan tidak perlu dan serah  sahaja kepada Allah membalasnya. Lagipun tok bomoh tersebut masih belum berbuat apa-apa terhadap beliau dan keluarga beliau pada waktu itu.





Kerja utama beliau ialah tukang gunting rambut, bertempat di Kedai Salor, tapi beliau lebih dikenali dengan kerja sampingannya memberi khidamat perbomohan  kepada masyarakat, kerana itu beliau dikenali dengan panggilan Pok Chu Leh Tok Bomoh.

 



RAHSIA MAKAN POK CHU LEH




Walaupun manusia hidup bukan untuk makan, tapi manusia perlu  makan  untuk hidup.




Allah telah menyediakan begitu banyak bahan-bahan alami yang boleh dimakan. Tergantunglah kepada manusia sendiri untuk menentu dan memilih mana-mana makanan yang sesuai dan serasi dengan mereka untuk memperolehi kekuataan ruhani dan jasmani bagi menjalani kehidupan ini.




Demiankah untuk meneruskan kehidupan ini Che Leh mempunyai banyak pilihan makanan untuk dijadikan bahan makanan harian beliau.




Untuk makan nasi biasanya mesti ada lauk-pauk, yang terdiri dari ikan, daging dan ayam dan sebagainya.




Che Leh seperti manusia lain juga mempunyai pilihan lauk-pauk tersendiri yang sesuai dengan selera beliau. Antara masakan yang disukainya ialah masakan tradisional Kelantan, iaitu masakan singgan, baik singgan daging atau singgan ikan.





Kalau perut lembu pula, ialah perut muda yang direbus dan dicicah dengan penyicah yang pedas, yang mengandungi cuka dan lada, dimasak atau tidak dimasak.




Daging selain disinggan, beliau juga suka makan daging yang dibakar panggang tawar dan dicicah dengan budu pedas atau dibuat penyicah yang khas, dan beliau juga suka makan daging percik.




Selain itu beliau suka juga makan perkakas dalam seperti limpa dan hati yang juga dimasak singgan atau dimasak percik atau dibakar garam kunyit.




Kalau ikan beliau suka makan ikan bakar garam kunyit atau ikan tawar dicicah budu atau sambal lada.




Che Leh juga suka makan nasi kerabu bertumis yang dimasak oleh Mok.




Beliau suka makan nasi dengan ulam, seperti buah jering, kerdas dan petai, terutama yang mentah atau tidak dimasak. Beliau juga suka makan sayur yang dijadikan ulam, seperti mentimun dan terung mentah, termasuk terung manggur.




Petai rebus atau petai jeruk juga menjadi ulam kesukaannya. Kalau petai mentah beliau suka makan bersama dengan kulitnya.




Kalau beliau makan ulam jering ada caranya yang tersendiri. Jering yang dihidangkan itu tidak perlu dibuang kulitnya, kerana kulit jering itu akan dipecah dengan tapak kakinya, dengan jalan memijak buah jering itu hingga terbelah dua dan keluar isi dan selaputnya. Isi jering muda itu disuap sebutir semulut dan dikunyah sebelum ditelan.




Sebab itu jika jering itu dipetik dari tanaman sendiri biasanya dihidangkan dengan tangkai-tangkainya sekali. 




Walaupun giginya sudah tidak penuh tapi masih utuh untuk memamah makann-makanan yang keras seperti jering itu.




Selain dari jering mentah beliau juga memakan jering rebus. Jering rebus itu adalah jering yang telah tua di pokok dan direbus hingga empuk, kemudian dimakan dengan kelapa parut atau kukur setelah digaul sedikit garam dan gula ikut suka.




Bagi orang yang tidak bergigi jering rebus itu akan ditumbuk terlebih dulu dengan lesng batu hingga pecah-pecah atau menjadi lembut sebelum dimakan.

 



CARA MAKAN




Biasanya orang makan di atas lantai, dia duduk bersela menghadapi hidangan makanan. Tapi Che Leh duduknya berlainan, beliau jatuhkan sebelah kaki kirinya di atas lantai dan sebelah kaki kanan ditegak lurus sampai ke lututnya.




Sebelum itu kektika makan beliau duduk mencangkung seperti orang-orang abdi duduk. Kemudian kedudukan seperti itu ditegur oleh isteri dan anak-anaknya  kerana nampak tidak sopan.




Setiap kali ketika makan bersama, emak akan menegur Che Leh, antara lain katanya,”Tak tahu malu sungguh Che mu ni [ayahmu] tak tahu malu kepada budak-budak [anak-anak] ni”.




Akhirnya Che Leh  mengalah  dan mengubah kedudukan makannya seperti dikatakan di atas tadi.




Perubahan itu nampaknya dapat diterima oleh kami semua tanpa sebarang bantahan, malah merasa amat gembira dengan perubahan itu.

 



ROTI BAKAR




Beliau suka makan roti bakar, sekeping atau dua keping, dan roti itu disapu dengan mentega, serta ditabur dengan gula atau disapu dengan kaya, jadi roti kahwin.




Roti ini mestilah dibeli dari kedai kopi yang menjadi kesukaannya. Beliau tidak makan roti bakar di rumah. Biasanya beliau makan roti bakar di waktu pagi sebagai sarapan.




Minumannya ialah kopi susu. Kopi susu ini juga mesti dibeli dari kedai kopi, beliau tidak minum kopi yang dibuat di rumah. Di rumah beliau hanya minum air kosong selepas makan nasi.




Kalau beliau uzur tidak mampu keluar rumah, kopi susu dan roti bakar itu akan dibeli di kedai kopi.




Dulunya kedai yang menjadi kesukaan beliau dan kuncu-kucunya ialah sebuah kedai kopi orang Tionghoa yang menjadi tumpuan penduduk-penduduk untuk berkumpul.




Kopi susu itu dimasukkan ke dalam tin susu kosong dan dibawa balik ke rumah. Kalau tidak emak,  Jin [Zain]lah yang biasa pergi membeli kopi susu itu untuk Che Leh  yang uzur itu.




Kemudian bila kedai kopi Tionghoa itu ditutup kerana keluarganya memeluk agama Islam beliau beralih ke sebuah kedai kopi Melayu yang baru dibuka, kepunyaan suami isteri yang kami panggil Mok Cik Wok dan suaminya kami panggil Abah, kerana keturunan Sayid.




Che Leh bukan tidak suka minum air kosong, beliau minum, tapi seperti dikatakan tadi beliau minum di kedai kopi, tidak di rumah. Di rumah ada sebuah gelas kaca besar untuk air minumannya yang digunakannya setiap kali lepas makan. Selagi beliau ada tidak siapapun menggunakan gelas itu, dan Mok akan mengisinya dengan air kosong bila Che Leh lepas makan.




Malah beliau tidak minum air di rumah sesiapapun kalau beliau menunai jemputan, dan beliau tahan dahaganya.




Siapakah agaknya yang simpan gelas beliau itu sampai sekarang?




Walau bagaimanapun saya tidak pernah mendengar sepatah beliau bersungut dengan masakan Mok, walaupun beliau suka memakannya ataupun tidak menyukainya.




Bahagian [3]


https://pondokrahmat.blogspot.com/2021/04/salor-pok-chu-leh-merawat-orang-sakit.html


Pondok Rahmat




Pasir Tumboh, KB.




24 April 2021/




12 Ramadhan 1442





Read more...

>> Thursday, April 22, 2021

  

SALOR




TOK BOMOH



POK CHU LEH 




KAMPUNG SALOR




 



                              Che Leh Dan Mok




[Bahagian 1] 

 

 


PUTERA KAMPONG SALOR 




Kampung Salor adalah sebuah kampung tradisional yang terkenal sejak lama dahulu lagi sehingga sekarang. Asalnya sebuah kampung kecil yang kemudiannya berkembang merangkai menjadi beberapa sebuah pung yang lebih besar yang terdiri dari beberapa buah kampung-kampung kecil tadi.




Daripada kampung-kampung besar tadi yang terbentuk menjadi sebuah daerah, iaitu Daerah  Salor yang merupakan kawasan  pentadbiran yang terletak dalam Jajajahan Kota Bharu, Negeri Kelantan Darulnaim.




Pada suatu masa dahulu Kampung Salor merupakan pusat budaya, pusat perdagangan dan pusat perubatan tradisional yang terkenal. Keadaan ini bertambah semarak lagi dengan terdapat ramainya  wanita-wanita yang comel-comel terdapat di Kampung Salor dan kawasan sekitarnya.






                             Mok




Seperti biasa dalam kampong seperti itu terdapat tokoh-tokoh tempatan yang terkenal dengan kemahiran masing-masing sejajar dengan perkembangan  semasa. Demikian jugalah dengan sejarah Kampung Salor.

 



POK CHU LEH ANAK SALOR




Pok Chu Leh adalah salah seorang yang terkenal di Kampung Salor dan merupakan salah seorang tokoh yang terkenal dalam beberapa bidang, antaranya dalam bidang budaya dan perubatan tradisional.




Nama sebenarnya  Salleh bin Hj. Mohammad, lahir 1913 mengikut kad pengenalan, dan meninggal di Tanah Suci Mekah ketika menunai Ibadat Haji pada 13 November 1974. Namun mengikut beliau  usia beliau yang sebenarnya lebih tua dari itu lagi.




Anak-anaknya memanggil beliau Che dan cucu-cucunya memanggilnya Che Leh, dan anak-anak saudaranya pula memanggilnya  Tok Chu Leh dan orang ramai pula memanggilnya Pok Chu Leh dan dengan gelaran tambahan Pok Chu Leh Tok Bomoh kerana beliau boleh berbomoh orang sakit.

 



ASAL USULNYA




Dari Mana?




Ramai anak-anak cucu  terertanya-tanya tentang asal datoknya Che Leh, tapi tidak ada siapa yang mampu memberi jawapannya. Biarlah saya cerita sedikit tentang perkara itu.




Orang tua Che Leh berasal dari Kampung Gua Musang lama. Kampung itu dikatakan terletak di tebing sungai dengan tanah menjulur sedikit seperti sebuah semenanjung. Di atas  tebing sungai itulah dikatakan kampung asal Che Leh.




Tapi tidak dapat dipastikan bilakah keluarganya berpindah ke Kampung Salor dan bagaimana caranya, namun begitu andaian secara mudahnya a  ialah ikut jalan Sungai Kelantan, sesuai dengan Kg. Salor terletak di tebing sungai.




Saya pernah mempastikan dengan penduduk Gua Musang bahawa Kampung Gua Musang lama yang dikakatkan terletak di tebing sungai itu memang ada sampai sekarang [kira-kira 30 tahun yang lalu ketika perkara ini dibangkitkan].




Kisah ini diberitahu oleh abang saya, Arifin Salleh [Ayah Fin], dan Khadijah Salleh [Mek] kakak sulung kami mengesahkan cerita itu, malah kata Mek, Che Leh kalau pergi ke Gua Musang akan singgah di sebuah kampung di tepi sungai, di mana terdapat sebuah kedai makan. Beliau sebut nama kampung itu tapi saya telah lupa dan catatan saya masih belum ditemui.




Di kedai itu Che Leh akan berhenti berihat samalam dua baru bertolak balik ke Kota Bharu. Mek percaya penjual kedai makan itu adalah terdiri dari keluarga Che Leh. Pada masa itu Che Leh sering pergi ke Gua  Musang mengambil upah untuk mencari buloh-buloh hutan untuk dibawa balik ke Kota Bharu.




Kakak saya Khadijah juga memberitahu di suatu tempat dalam Jajahan  Gua Musang itu terdapat keluarga Che Leh yang pada waktu itu bekerja membawa perahu penambang menyeberangi sebatang anak sungai di mana di seberang sana terletaknya setesen keretapi Tanah Melayu. Beliau beritahu nama tempat itu dan juga nama orang tersebut.







ADIK BERADIK




Che Leh mempunyai empat orang adik beradik, iaitu yang sulung perempuan Kalthum namanya, kami panggil beliau Mok Som, adik Mok Som perempuan namanya Mariam, kami panggil beliau Mok Yam, kahwin dengan kerabat di raja.  Dua orang lagi lelaki, iaitu abang Che Leh iaitu Usman dan yang bongu ialah beliau, Salleh bin Hj. Muhammad.




Che Leh amatlah menyayangi abangnya Usman, sehingga sanggup berkorban apa sahaja demi abangnya itu.




Di Kampong Kedai Salor itu ada sebuah masjid yang baru dibina, bukan masjid Jmaat, iaitu Masjid Usman Affan yang dibina oleh anak perempuan Usman, Che Mas. Ia terletak di sebelah kiri jalan ke arah Pasir Mas.




Ia diselanggara oleh Abang Man/Ayah Teh, iaitu Abdul Rahman bin Awang Besar, pesara guru dan bekas suami gemulah Kak Dah/ Che Dah.




Pusara datok kami Hj. Muhammad ini pernah ditunjukkan oleh gemulah Abang saya Arifin, di perkuburan Pohon Rambai Kedai Salor di mana keluarga kami disemadikan di situ. Tapi akhirnya saya tidak dapat mengesannya lagi kerana penanda yang saya gunakan sudah tidak ada lagi di situ, sedang abang saya Arifin telah tiada lagi.

 



MOK MUNAH




Che Leh atau Salleh bin Hj. Muhammad atau Pok Chu Leh telah mendirikan perkahwinan dengan seorang wanita pilihannya sepanjang hayat, namanya Maimunah binti Ismail. Tidaklah dapat dipastikan bilakah tarikh perkahwinan mereka yang kekal sepanjang hayat mereka itu.




Maimunah pada masa itu adalah seorang wanita yang parasnya cantik jelita yang menjadi rebutan para jejaka pada masa itu.




Semua orang yang mengenalinya, baik tua atau muda memanggil beliau Mok Su Munah, walaupun dia sebenarnya bukannya anak bongsu. Beliau adalah seorang isteri yang bersimpati dan rela bekerjasama dan bertungkus–lumus membantu keluarga dalam usaha mencari rezeki yang halal.




Kerja beliau yang utama ialah berniaga pulut bakar, iaitu membuat pulut bakar yang termasyur. Memang pulut bakar Mok Su Munah amat populer, sampai keluar daerah, seperti ke Kota Bharu, Pasir Mas, Labak, Machang dan sebagainya.




Mengikut beliau perkahwinannya dengan Che Leh merupakan cetusan kisah yang menarik. Beliau pada mula-mulanya tidak berkenan dengan Che Leh, kerana katanya rupanya tidak handsome,  hitam dan pada masa itu tidak mempunyai pekerjaan tetap.




Tapi takdir Allah pada suatu petang beliau merasa semangatnya melayang  terbang di sambar oleh sesuatu yang tidak diketahui, katanya dan sejaklah itulah beliau menjadi jatuh cinta rindu kepada Che Leh.




Justeru itu kadang-kadang beliau bersenda-gurau  mengatakan kepada Che Leh di hadapan  anak-anaknya, “Mok sebenarnya tidak hendakkan Che mu ni tapi dengan ilmunya dia berjaya menawan hati mok ni”. Che Leh yang  mendengar kata-kata itu hanya tersenyum meleret tanpa kata.




Mok seorang yang suka bercakap, malah suka berhujah tidak kira dengan siapa, dengan anak, menantu, selagi ada poin beliau akan berhujah.




Masa mudanya Mok adalah seorang .yang comel, berkulit putih dan matanya  tajam cantik menawan.




Justeru beliau menjadi rebutan para jejaka pada masa itu, termasuklah dari kalangan kerabat yang ingin menyuntingnya. Tapi walau bagaimanapun Che Leh juga menjadi pilihan terbaik.




Che Leh dan Mok Munah menjadi suami isteri yang berbahagia yang hidup berkasih sayang antara satu sama lain sampai ke akhir hayat mereka masing-masing.

 



ADIK BERADIK MOK MUNAH




Patut juga disentuh tentang pemberian nama-nama anak Che Leh baik lelaki atau perempuan terdiri dari nama-nama yang baik-baik, tidak diberi nama yang jelik atau buruk seperti sesetengah ibubapa dalam menamakan anak-anak mereka pada masa itu.




Mok Munah mempunyai lima orang adik beradik. Beliau yang sulung, dipanggil Kak Wan oleh adik-adiknya dan dipanggil Mok Adik oleh anak-anak saudaranya,  dikuti oleh Salamah, panggilanya Mok Ngah atau Tok Ngah, Che Muda, panggilannya Pok Muda, Yahya panggilannya Pok Nik Ya dan Muhammad, panggilanya Pok Su Mad.




Tidak dapat dipasti asal keturunan Mok dengan tepat dan masa asal mereka. Ayah Mok bernama Ismail dan ibunya bernama Kalthom, atau Mek Som dan  dikenali dengan panggilan Mok Som, atau Wo dan akhirnya dipanggil Wo Haji selepas beliau balik dari Mekah.




Wo Haji mempunyai seorang saudara perempuan berlainan bapa, namanya Minah, dipanggil Wo Minah. Pada mulanya tinggal sekampung, walaupun berjauhan rumah, tapi akhirnya pindah ke Kg. Tanjung Emas, Jalan Pengkalan Chepa dan meninggal di sana




TABURAN KELUARGA

 







Waris dan saudara mara di pihak Che Leh dan Mok Munah bertebaran di beberapa tempat di Negeri Kelantan Darulnaim dan di luar Kelantan. Sebahagiannya masih kami ingat dan sebahagiannya telah kami lupa kerana jarak tempat dan jarak masa yang cepat berlalu.




Walau bagaimanapun antara tempat-tempat yang masih diingati tapi tidak dapat dipastikan lokasinya yang sebenar. Antara tempat-tempat itu ialah:









Kampung Kedai Salor adalah pusat bermulanya keluarga Che Leh.




Jajahan Kota Bharu: Lorong Gajah Mati, Kampung Menuang, dekat Masjid Muhammadi Kota Bharu, Dewan Beta, Kampong Cherang, Bunut Payong, Sabak [kawasan pesisir].




Pasir Mas:Kampung Lemal, Kg. Banggol Che Wan.




Tanah Merah, Bandar Tanah Merah, Belimbing.




Pasir Puteh:Kg. Cherang Ruku.




Tumpat:Kampung Berangan




Machang:Kampung Bandar




Selangor: Subang Jaya, Bandar Baru Saujana Utama, Sungai Buloh.




Terengganu: Kampong Raja, Gong Badak, Kuala Terengganu



Dan lain-lain, 





https://pondokrahmat.blogspot.com/2021/04/salor-perwatakan-tok-bomoh-pok-chu-leh.html




Pondok Rahmat






22 April 2021

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP