>> Saturday, August 21, 2021

 

APA 



peduli 



ORANG 



LAIN?






Episod Pertama



Samad baru sampai ke rumah, disambut oleh isteri dan anak-anaknya. Belum lagi meletak punggungnya, kedengaran antara lain dia berkata kepada keluarganya.



“Tiap-tiap kali aku balik, aku lihat anak perempuan  Limah dua orang  tu duduk menjual aiskrem di tepi jalan. Tak ada kerja lain anak gadis itu hendak buatkah. Bosan aku melihatnya. Apa dah jadi dengan Limah, tak tahu malukan?”.



Limah yang disebutnya itu ialah tetangganya, yang baru kematian suami, tempat mereka bergantung hidup. Kerana itu anak-anaknya terpaksa berhenti sekolah untuk membantu mencari rezeki keluarga.



Episod Dua



Daud yang berjiran dengan rumah Samad itu baru sampai ke rumah. Setelah duduk-duduk sekejap bersama isterinya, sebelum menyalin pakaian dia pun berkata, “Saya lihat sejak Pak Dol mati, dua orang anak perempuannya itu hari-hari berjualan. Tak sekolah dah barangkali. Sayang”.



“Yalah bang. Kasihan budak-budak tu”. Jawab isterinnya simpati.



“Bagaimana kalau kita tolong carikan bantuan untuk budak-budak tu belajar?”.



"Bagus tu bang. Tapi bagaimana?”. Tanya isterinya balik.



“Mula-mula ini biar abang berbincang dengan Pak Imam majid kita dulu, kalau-kalau pihak masjid boleh membantu”. Jawab Daud.



Bila isterinya setuju dengan cadangannya itu, dia meminta isterinya itu bertanya khabar dengan Mak Limah tentang perkara yang sebenar mengenai mereka, dan isterinya bersetuju.

 


Menjaga Atau Menyelak Tepi Kain Orang



Menjaga kepentingan diri adalah  penting, terutama dalam menjaga hak milik sendiri, termasuk harta benda.



Kalau tidak dijaga kepentingan itu sudah tentu akan diceroboh orang yang mementingkan dirinya semata.



Walaupun menjaga kepentingan diri itu satu keperluan, kita juga wajib menjaga kepentingan orang lain bersama. Jangan anggap orang lain seperti sampah yang tidak berguna.



Malah sebagai seorang Islam, kita wajib mengambil tahu dan memain peranan dalam membina masyarakat, khususnya masyarakat Islam.



Kita tidak boleh melupakan saudaramara kita, dengan menutup mata dengan apa yang berlaku atau menimpa mereka. Cubit peha kiri, peha kanan sakit jua.



Justeru itu kita mestilah bersama-sama membantu mereka yang ditimpa kesusahan itu, bukannya sekadar melihat dan mendengar, malah tersenyum senang kerana mereka ditimpa kesusahan sedangkan kita tidak terkena apa-apa.



Lemparkan rasa bongkak dan sombong, di mana kita boleh hidup sendirian tanpa orang lain. Manusia tidak pernah hidup sendirian, mesti bergantung kepada orang lain untuk meneruskan hidupnya.



Mengambil tahu hal orang lain seperti yang digambarkan dalam episod kedua itu tidak dilarang, malah digalakkan. Ia bukan menyelak tepi kain orang, tapi bersama menjaganya.  



Sebaliknya  gambaran dalam episod pertama itu tidak digalakkan malah tidak diperlukan, kerana itulah dikatakan “menyelak tepi kain orang lain”.



Namun begitu, kita juga tetap merasa pelik, bila ada orang-orang berada menghulurkan bantuan kepada orang Islam yang berada jauh dari mereka, di luar negeri dan di luar negara, sedangkan orang-orang yang berdekatan, ibu bapa, adik beradik, saudaramara dan sanak saudara mereka sendiri hidup merana dan memerlukan bantuan dilupakan begitu sahaja? Kenapa semut di seberang laut nampak , tapi gajah di hadapan mata tidak kelihatan?

 


Walau bagaimanapun sikap mementingkan diri sendiri  inilah yang menambahkan kepincnagan masyakat Islam zaman moden ini yang hidup bernafsu nafsi, mementingkan diri sendiri.



Sikap inilah yang turut berjaya membina kesomboangan diri seseorang yang memincangkan lagi masyarakat.



Sikap buruk ini mestilah segera dibasmikan dari diri seseorang, barulah masyarakat Islam yang bersatu padu dapat dibina. Senang sama senang, susah sama susah, berat sama dipikul, ringan sama dijimbing. Demikianlah ajaran Islam yang syumul.



Buanglah rasa bangga diri, rasa sombong diri, rasa memandang diri penting dan orang lain kerdil dan hina.



Seorang Islam tidak merasa senang hati, jika diri dan keluarganya hidup senang dan mewah sedangkan jiran-jiran sekitar hidup dalam dahaga dan kelaparan. Mengikat perut kelaparan.



Itulah maksud dari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,:



 “Tidaklah beriman orang Islam yang tidur pada malam hari dalam kenyang sedangkan tetangganya kelaparan”.

 

 


Pondok Rahmat,



Kota Bharu Kelantan Darunaim,



21 Ogos 2032



12 Mahram 1443



Read more...

>> Wednesday, August 18, 2021

 

 

NASI



 DINGIN 



BERMADU










Nasi dingin.



Anak-anak zaman sekarang mungkin tidak  mengetahui apakah nasi dingin, malah perkataan nasi dingin itupun mungkin tidak pernah  didengarinya.



Nasi dingin ialah nasi sejuk selama semalam, Iitu nasi yang dimasak pada sebelah malamnya,maka keesokannya harinya dipangil nasi dingin. Nasi itu tidak dipanggil nasi sejuk, sebab kalau dipanggil nasi sejuk, ertinya nasi yang tidak lagi panas.



Biasanya nasi dingin ini tidaklah disenghajakan, kerana hendak makannya, terpakasa dipanaskan semula supaya leboh selesa dimakan. Dan jika tidak ada pemakannya, biasanya nasi dingin itu dijadikan makanan binantang-binatang ternakan  seperti ayam atau itik.



Selain itu orang-orang tua juga percaya jika seorang kanak-kanak itu kerap makan nasi dingin boleh menyebabkan otaknya lembab, atau lemah untuk belajar.



Namun begitu, nasi dingin ini tidak ada masalah untuk dimakan, iaitu dengan caranya yang tersendiri dan istimewa.



Caranya ialah dengan memakan nasi dingin denga madu lebah.



Caranya ialah hancurkan atau pecah-pecahkan dari ketulannya hingga jadi berberai, sebab itu nasi itu tidak boleh nasi lembik. Nasi itu juga tidak perlu dipanaskan terlebih dahulu sebagai nasi dingin.



Kemudian masukkan madu ke dalamnya mengikut keperluan, gaul-gaulkan kedua hingga rata. Bolehlah dimakan.



Lauknya yang istimewa ialah telor jeruk [telor masin] digoreng secara mata [kerbau]. Tidak dihancurkan terlebih dahulu atau rebus atau dimasak seperti biasa. Kalau tidak ada, boleh dimakan dengan telur goreng biasa atau ikan goreng.



Nasi dingin bermadu ini tidak begitu populer di kampung, kerana pada masa itu madu sukar untuk diperolehi di kampung-kampung.



Justeru itu madu menjadi menu makanan kepada ibu-ibu bersalin dalam pantang 40 hari.

 

 


Pondok Rahmat



Kota Bharu Kelantan Darulnaim.



18 Ogos 2021/



9 Mahram 1443m



Read more...

>> Monday, August 16, 2021

 

Nasi Air, 



Sambal Ikan



 







Negeri Kelantan Darulnaim adalah salah sebuah negeri di Malaysia yang kaya dengan aneka makanan tradisional, terutama kueh-mueh.



Dalam hal ini, nasi  juga mempunyai aneka jenis pilihan. Salah satunya ialah Nasi Air. Tapi nasi air asli kampung ini tidak dijual di kedai-kedai makan, kerana ia terlalu simpel buatannya.



Justeru itu ia menjadi hidangan di rumah para petani di kampung-kampung, terutama di musim hujan bila lauk-pauk sukar diperolehi di pasar-pasar.



Kemudiannya bila pengaruh dari luar masuk ke Kelantan, menerusi perhubungan yang meluas dengan negeri-negeri lain, maka nasi air boleh dibeli di kedai-kedai makan di Kelantan.Tapi nasi air itu bukan origional, kerana ia dijual dengan sup daging atau tulang, atau dengan sayur, kerana itu ia lebih dikenali dengan nasi sup. Juteru itu walaupun nasi itu berair dan nasinya mungkin lembik, tapi bukan kerana kuah asalnya, iaitu air kosong, tapi bukan kuah sup.



Nasi air kampung itu dimasak dengan menggunakan lebih banyak air hingga nasinya menjadi lembik dan berair, kerana itu  kena makan dengan sudu.



Ia mempunyai lauk ikan yang dibuat khusus untuk nasi air.



Sambal Ikan



Inilah cara ringkas untuk membuat  lauknya.



Bahan-bahan yang diperlukan ialah ikan yang tidak banyak bertulang, seperti ikan kembung atau ikan pelata, ikan kering atau asing yang tidak banyak tulang, buah pauh ringan atau mempelam atau buah star [gemior].



Sebanyak mana bahan-bahan itu diperlukan adalah tergantung kepada berapa banyak yang hendak dimakan, walau bagaiamanapun tiga ekor ikan kembong, lima ekor ikan pelata kering, dan dua biji buah mangga putik yang sederhana besar.



Ikan hidup dan ikan kering dibakar tawar buah pauh dikoyak kulitnya, kedua-dua ikan hendaklah diperisikan, iaitu dibuang tulangnya.



Ikan tawar ditumbuk, jangan sampai hancur atau lumat, kemudian masukkan buah pauh, yang dipotong-potong isinya tanpa biji lalu ditumbuk semuanya. 



Kalau anda sukakan pedas, masukkan lada burung, dan tumbuk dan gaul-gaulkan semunya menjadi rata.



Rasaka kalau tak cukup masin tambahkan garam sekadarnya.



Lepas itu bolehlah dimakan dengan nasi air.



Selain itu sambal ikan ini sedap juga dimakan dengan nasi biasa [keras], dan makan bersama dengan timun cina [tembika] yang dipotong-potong. Untuk kuahnya kalau suka boleh dimakan dengan ikan singgan.



Selain itu ada sejenis nasi lembik lagi, iaitu nasi lecek khusus untuk makanan bayi dalam pantang. Ia nasi lembik biasa, tapi tidak berair seperti nasi air, kemudian nasi itu dilecek, iaitu ditekan dengan sudu atau apa sahaja untuk menjadikan seperti tepung, untuk disuap kepada bayi, dan biasanya disuap dengan sedikit gula yang juga dilecek atau dihancurkan.



Sekian fasal nasi air.

 



Pondok Rahmat



Kota Bharu Kelantan Darulnaim



16 Ogos 2021/



8 Maharam 1443

 

 


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP