>> Saturday, January 15, 2022

 

BERHUJAN



-HUJAN



DI KOTA 



BHARU

 

 



Makna Hujan



Makna hujan ialah air yang turun dari langit.



Ini berlaku bila awan-awan yang tebal mengandungi air itu pecah bertaburan di langit dan lalu gugur ke bumi menjadi hujan.



Dalam percakapan orang Kelantan ada beberapa perkataan atau ayat khusus yang menggambarkan tentang keadaan hujan itu.



Antara perkataan-perkataan itu ialah sebagai berikut:



Hujan Berai



Hujan tidak lebat, hujan tidak deras hanya berderai.



Hujan Berdebu



Hujan tidak lebat, bertaburan seperti kabus atau debu sahaja.



Hujan Deras



Hujan lebat, hujan kuat.



Hujan Hambat Orang Tua



Maksudnya hujan yang turun sekali sekala. Hujan turun sekejap, kemudian berhenti, panas sekejap  lepas itu turun hujan balik.



Maksud orang tua dalam kata-kata terebut ialah orang dewasa yang hendak menjemur kain yang dibasuh, mengalami kesukaran untuk menjemur kain, kerana sekejap hujan sekejap panas, sekejap hujan sekejap panas.

 


Hujan Kohor



Hujan turun dengan perlahan.



Hujan Lebat



Hujan yang yang turun dengan kuat.



Hujan Re-da



Hujan telah perlahan tidak seperti sebelumnya.



Hujan Rintik-rintik



Hujan tidak lebat turunnya, tapi agak kasar butirannya.



Hujan Tak Celek Mata



Hujan yang turun terus menerus tidak henti-henti selama beberapa waktu atau hari.



Hujan Malam Jumaat



Jika hujan mulai turun pada malam Jumaat dipercayai hujan itu akan berlaku dengan lebat dan berpanjangan  selama berhari-hari.



Hujan Hari Perkahwinan



Jika pada hari berlangsungnya perkahwinan seseorang lelaki dan didapat berlakunya hujan pada hari ini dipercayai sebagai pertanda bahawa lelaki itu kuat makan budu.



Makanan Khusus



Di musim hujan orang Kelantan mempunyai beberpa jenis masakan tertentu.



Antara nakanan itu ialah ubi kayu rebus atau lain-lain ubi yang dimakan dengan kelapa kukur atau parut, digaul dengan gula dan sedikit garam.



Selain itu pulut yang ditanak [bukan kukus] juga dimakan dengan kelapa kukur atau parut, digaul dengan gula dan sedikit garam.



Masakan pula yang suka dimakan sebagai lauk ialah ikan budu [ikan jeruk] masin yang digoreng setelah digaul dengan telur ayam yang dihancurkan terlebih dahulu.

 



Permainan Musim Hujan



Biasanya kanak-kanak lelaki dan perempuan suka bermain hujan dengan permainan-permainan yang khusus.



Di antaranya mereka suka bermain berkawan-kawan jika hujan turun, terutama hujan agak lebat. Mereka bermain-main sambil mandi air hujan yang turun dari langit.



Anak-anak lelaki biasanya suka bermain bola, seperti bola sepak, bola katak, dan suka main coh cuit. Bola itu biasanya diperbuat sendiri dengan menggunakan getah sigret yang diambil dari pokoknya selepas ditoreh batangnnya dan getahnya menitik ke dalam bekas tadahannnya.



Penyakit



Orang-orang yang tinggal di kampong, terutama kanak-kanak yang suka bermain air, terutama air kotor dan berselut  biasanya terkena penyakit “makan di air”, iaitu bengkak-bengkak dan gatal-gatal di celah-celah jari kaki.



Kaki makan di air ini biasanya diobati dengan kapur barus atau kapur sirih dengan diadun dengan air dan gambir.

 



Kalau Nak Hujan



Kalau nak hujan, hujanlah merata



Jangan ditimpa si pokok pauh;



Kalau nak tidur, tidurlah mata



Jangan dikenang si orang jauh.

 



Hujan turun di Semut Api



Budak-budak main berenang;



Tiada di mata dekat di hati



Tidur malam terkenang-kenang;

 



Awak nak pergi ke sana ke mari



Jangan lupa membakar jerami;



Kalau nak hujan, hujanlah hari



Janganlah binasakan diri kami.

 



Kalau nak hujan, hujanlah serata



Jangan ditimpa si pokok jati;



Kalau nak pejam, pejamlah mata



Jangan lupa Allah di hati.



Doa

Saya akhiri catatan ini dengan sebuah  doa yang dibaca bila hujan turun:



“Allahumma  hawalaina wa la ‘alaina”.



Maksudnya:



“Ya Allah turunkanlah hujan  di sekitar kami, bukan untuk  merusakkan kami”.HR:Bukhari.





Pondok Rahmat



Kota Bharu Kelantan Darulnaim



15 Januari 2022/



12 Jamadilakhir 1443,




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP