>> Wednesday, May 5, 2021


 

SALOR




BINGKISAN HATI 



Bahagian  I3




UNTUK CHE LEH 




& MOK 

 





Bingkisan  Hati I




Rumah Yang Indah



Semalam aku di Kota Bharu



Meniti batas-batas petak sawah yang kelabu



Celahan padi hijau rimbun merindu



Lembayung ungu



Antara suara kuang bersahutan



Bangau dan ayam-ayaman



Belibis terbang rendah hilang tujuan



Ayah Teh Che Dah yang sepi berduaan



Saban meghrib berjemaah di madarah  seberang jalan



Isyak bertemankan cengkerik dan kunang-kunang



Semenjak arwah pergi



Meninggalkan rumah ini jadi kenang-kenangan



Bayangan mimpi menyelinap di segenap tiang



Rasa mesra adik sepupu adik abang bergantungan di serambi usang




Masih terasa sejuk mandi sungai dan air bah yang berlimpahan



Aku datang semalam



Bagai bukan seorang anak pulang dari rantauan



Aku hanya tetamu asing sunyi kesepian



Semasa kugantung kopiah di dinding kelam



Aku menangis tersedu hati sayu menepu Syahdu



Ibu yang kurindu

 



Nobli Othman



12 Januari 2020

 



Bingkisan Hati II

 


Rumah Kenangan



Rumah itu termuat kenangan



Di sini tempat mendapat pasangan



Dari sini pergi untuk mendapat pelajaran



Mulai tahap rendah sampai kayangan.



Rumah ini termuat kenangan



Dua pahlalwan sentiasa berkorban



Bertanggungjawab kepada sembilan asuhan



Yang berjaya diuruskan.



Rumah ini termuat kenangan



Segalanya tersimpan diingatan



Masih tinggal empat asuhan



Panggilan Ilahi menunggu giliran.

 


Maaruf Salleh,



Kg. Cherang 31 Mac 2021

 



Bisikan Hati III



Che Leh Dan Mok



Tiada kata



Tiada bahasa



Untuk ayahanda dan bonda



Dalam Kenangan



Che dan Mok  pergi tak kembali



Di sebalik sempadan yang tidak bertepi



Bersama dengan Pencipta Abadi.



Semoga engkau berdua bahagia di sana



Dalam titisan rahmat Allah yang sentiasa melimpah



Semoga dosa-dosamu diampuni



Dan jasa amalan mu di ditadahi kolam Rabbani.



Berbahagialah Che dan Mok berdua di sana



Bersanding berama Rasul dan para ambia



Menikmati kebahagian abadi rahmat Tuhanmu



Yang melimpah-ruah membanjiri sepanjang waktu.



Sebak dada dan hatiku



Apa khidmatku semasa Che dan Mok di sisi



Berjuang kerana kepentingan kami



Melanda badai bergelumbang;



Sedihnya hati alang kepalang



Semoga diampuni dosa kami dalam sedu-sedan



Melimpah air mata penuh penyesalan.



Wahai hamba-hamba  yang masih beribu bapa



Bersaudara mara



Dekatilah mereka sepanjang masa



Dengan hamparan hati dan jiwa murni



Nanti  tidak menyesal melanda hati



Malah merasa bahagia semarak di dada.



Ya Allah ampunilah kami



Ampunanlah kami



Dan masukkanlah semua



Ke dalam istana rahmat Mu yang abadi.

 


Muhamed  Zain Salleh



Lorong Masjid,



Pasir Tumboh KB

 



Bingkisan Hati IV



Andai bisa ku putar kan masa



Ingin ku kembali ke pondok usang itu



Ingin ku gamit memori terindah



Tatkala pondok usang itu



Dihuni penghuni syurga



Che Leh  dan mok munoh kesayanganku

 


Masih terngiang- ngiang suara



bebelan mok, pesanan che leh



yang kujadikan pedoman



dalam menyusuri liku perjalanan



Dalam pencarian keredhaan Ilahi….



Alfatihah untuk kalian….



Shamsudin Saleh, Kg Raja Besut

 



Bisikan Hati V



GURAH BUAT NENDA




Dulu, aku bebas berlari-lari di halaman rumah kenangan



sambil mencari sinar mentari di sebalik celahan daun dan ranting



sesekali aku melastik tinggi supaya cahaya itu jatuh



kusambut dan tunjukkan kepada nenda Mok Munah



harinya akan terang dan tersenyum menyebarkan sayang.

 


Dulu, aku suka bermandi-manda di Pengkalan Sungai Salor



duduk berehat di tepi pondok rakit, memerhati permukaan air



membayangkan wajah nenda Che Leh



begitu ingin aku memeluknya, membawa ku menyelusuri



alur kehidupan pelbagai canda dan ragam.

 


Semua gurah di dalam kocek, kuberikan kepada mereka berdua



seumpama mutiara, berkilau terang ditapak tangan.



Kini, kuterus titipkan mutiara itu

dalam nafas doa kudusku hingga penghujung waktu.

 


Bani A. Zaini

 



Bingkisan Hati VI




KEPADA PAPA



Papa




Dari kamar ini



Yang tidak pernah bernombor,



Aku menungkah malam.

 



Papa,



Tika aku masih rindukan



Senyuman,



Belaian mesramu,



Tiba-tiba, kau tiada.

 


Papa dari kamarmu itu,



Yang telah aku warisi,



Aku menahan tangis

 


Papa



Ketahuilah kau,



Satu abdian yang dirasakan



Akan terahsia.

 



Papa,



Jika kau masih diadakan



Kau akan melihat



Melalui jemdela di kamar ini,



Segala-gala yang tidak pernah diminta.

 


Papa’



Setiap kali,



Udara kudus melewati jendela,



Menyelongkari di kamar ini,



Aku rasakan,



Sesuatu kerindan,



Rindu.



Papa, tak akan ktemui lagi,



Manusia,



Yang bernama papa



Dari mana-mana.

 


Dari:






Siti Mariam, Besut.

 



DARI CUCUANDA AZLAN ABDUL RAHMAN



UNTUK CHE LEH DAN MOK YANG DICINTAI

 


 “Nenekandaku Che Leh dan Mok Mnah adalah dua insan yang baik dan penyayang . Anak cucu suku sakat mereka adalah dari kelangan orang baik-baik, menunjukkan betapa mulia dan tulusnya hati mereka berdua dalam membesarkan anak-anak mereka dengan kasih sayang.



“Che Leh tak banyak bercakap  orangnya [a man of few word]  dan jarang-jarang senyum. Namun sesekali dia senyum akan membawa seribu kebajikan kepada anak cucu  di sekelililngnya. Mok Munah pula petah cakapnya, cantik wajahnya dan murah senyumnya. Sentiasa kemas pakaiannyaya dan teratur orangnya. Mukanya sentiasa bersinar dengan kegembiraan hatinya bila bersama anak dan cucunya.



Oleh kerana ku dibesarkan di ruah datuk dan nenek maka banyaklah kenangan manis bersama keduanya yang tidak akan aku lupakan.



Ketika aku masih di awal persekolahan, aku menghidap penyakit asthma [lelah] dan sering diserang sesak nafas, Che Leh yang pandai mengurut akan mengurut dada dan belakangku sehingga aku akan merasa leg. Che Leh juga sering mengubati luka-luka dan seliuh kaki yang aku sering dapat akibat aktif  bermain di sekitar kampung bersama kawan-kawan.



Che Leh pula sering menyuruhku memijak belakangnya apabila dia perlukan seseorang untuk mengurutnya. Dia akan baring terlungkup dan meminta aku naik atas belakangnya dan berjalan sambil memijak-mijak dari bahagian bahu hingga ke kaki. Aku gembira dapat berbakti kepada datukku dan dia pula bahagia dengan pertolongan cucunya.



Che Leh banyak memberi nasihat-nasihat untukku  semasa kecilku agar sentiasa menjaga diriku.



Mok Munah pandai memasak dan membuat kueh terutama berbagai jenis pulut . Aku sangat mengemari  emakannya dan selalu juga diberi pulut yang panas baru dimasaknya ketika membuat kueh. Dia juga menyediakan bekal nasi dan lauk untuk kubawa  ke sekolah. Masih terbayang di kepalaku bagaimana  aku menikmati bekal nasi dengan lauk ikan masak lemak kuning yang menjadi kegemaranku.



Suasana yang sering juga meninggalkan perasaan syahdu ialah ketika setiap kali aku sembuh dari demam  yang berlalu beberapa hari. Mok Munah biasa memandikan aku dengan air suam  di dalam besen. Dia akan basahkan rambutku dengan air  suam dan dan mengusap-ngusap kepalaku sehingga aku kembali segar  dan merasa nikmat  kasih sasyang dariku.



Layanan kasih sayang dari keduanya tidak dapat kugambarkan dengan kata-kata. Kini mereka telah lama meninggalkan dunia yang fana ini, dan setiap hari aku mendoakan mereka agar Allah mengampuni dan merahmati mreka sepertimana mereka mengasihi ku ketika aku kecil”.

 




Selamat Memabca



Dan selamat sejahtera dari:



 Pondok Rahmat



Lorong Masjid, Pasir Tumboh,



Kota Bharu Kelantan Darulnaim.

 


Rabu: 5 Mei 2021/



23 Ramadhan 1442

 

 

 

 

 

 

 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP