>> Monday, May 3, 2021
SALOR
BERANGKAT
KE TANAH SUCI
[Bahagian 10]
Salleh bin Hj.
Muhammad atau Che Leh atau Pok Chu Leh berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunai
ibadat Haji pada bulan November 1974 bersama-sama dengan isterinya Maimunh Ismail, [Mok Munah].
Sebelum berangkat ke Tanah Suci beliau berusaha menyelesaikan beberapa perkara yang bersangkut-paut dengan pemergiannya itu. Mengikut perhatian anak-anaknya bahawa Che Leh berusaha untuk meninggalkan segala ilmu yang dikuasainya selama ini kepada anak cucunya yang tinggal.
Antara yang dilakukannya ialah cuba berusaha menunrunkan ilmu-ilmu tertentu itu kepada anak-anak, cucu dan menantunya yang diharap dapat menyambungkan ilmu yang dimilikinya itu untuk memberi khidmat kepada masyarakat.
Tidaklah dapat dipastikan siapakah yang telah berjaya mendapat ilmu-ilmu tersebut, baik sebahagian daripadanya atau sepenuhnya. Hanya masa akan menentukan.
Che Leh memang banyak menyimpan ubat-ubat berupa akar kayu yang telah dijemurkeringkan, dilabelkan dengan nama-nama bahan-bahan tersebut dan sedikit kunci kegunaannya, serta mana yang sesuai Che Leh masukkan ke dalam botol dan ditutup kemas dan baik.
Selain itu
beliau juga telah menunjukkan kepada mereka cara-cara kegunaan akar-akar itu
dalam perubatan.
Che Leh
pernah menawar untuk menurunkan ilmu
perbidanan kepada isteri Ayah Alang,
Asiah Yaacob [Kak Yah atau Che Yah] yang dipanggil Mek oleh Che Leh pada suatu petang menjelang keberangkatannya
ke Tanah Suci Mekah. Tapi Kak Yah keberatan
menerimanya dengan isak dan tangis.
Kemudian
Che Leh memberitahu saya bahawa tidak
apalah kalau Mek [panggilan untuk Che Yah] tidak mahu terima, tapi selepas ini
dia akan bermimpi melayan orang melahirkan anak. Andainya dia hendak menjadi bidan, kata Che Leh, bila tersedar
dari tidur itu teruslah bangkit mengambil sebuku ibu garam sebesar ibu jari
kemudian kemam dan telan airnya, insya Allah dia akan menjadi seorang bidan.
Gemulah isteri
saya, Kak Yah pada sebelah malamnya
memang bermimpi membidani seseorang, tapi bila tersedar dia tidak mengemam garam seperti yang ditunjukkan,
kerana itu beliau tidak menjadi seorang
bidan.
Che Leh
berangkat ke Tanah Suci Mekah, bersama Mok Munah dan seperti disebutkan sebelum
ini bahawa beliau meninggal di sana pada pada 13 November 1974 dalam usia 61
tahun. Justeru Mok Munah kembali seorang diri dan tidak pernah berkahwin sampai
ke akhir hayatnya.
Menurut Mok
Munah sebab-sebab Che Leh meninggal itu kerana tidak cukup makan ubat sebab
sibuk dalam perjalanan. Antara lain katanya, “Che mu tu tak cukup makan ubat,
tak ada masa nak makan ubat, sebab itu dia sakit”.
Di samping itu
seorang penduduk Kampung Salor yang berangkat ke Tanah Suci Mekah dalam
rombongan yang sama ialah Muhammad Noor [Abang Noor] memberitahu anak saya Ahmad Faris Zaini mengatakan
bahawa beliau percaya Che Leh telah terkena wabak penyakit yang merebak di
Mekah pada tahun itu yang menyebabkan kematiannya. Katanya Che Leh suka
menolong orang-orang dalam kesusahan.
Pada suatu hari
sekembalinya dari Mekah Mok Munah memberitahu saya seorang jiran lelakinya
datang mengajak beliau berkahwin, tapi beliau menolaknya tanpa kata, sampailah
lelaki itu berkawhin lain dan meninggal dunia.
Saya masih ingat
suatu peristiwa berlaku di Airport
Pengkalan Chepa pada hari ke berangkataannya ke Mekah. Hari itu ramai orang di
airport kerana ramai mereka yang hendak menghantar orang yang hendak ke Mekah
selain daripada bakal-bakal haji.
Bila pengumuman
akhir para jemaah dijemput menaiki kapalterbang yang akan segera bertolak, Che
Leh segera menyeluk saku bajunya dan mengeluar wang kertas berjumlah dua ringgit dan meletaknya dalam
tangan saya yang berada di sampingnya dengan anggukan kepala supaya saya
mengambilnya. Saya akur mengambil dan memasukkannya ke dalam poket baju untuk
dijadikan tanda kenangan.
Sesunggunya duit
kertas pemberian Che Leh itu saya simpan begitu lama dalam dompet saya, tapi
akhirnya duit itu entah bagaimana telah lesap dari poket saya, kemungkinan
besar telah saya gunakan kerana terlupa tujuan asalnya untuk kenanangan yang
bererti.
Semoga Allah
cucuri rahmat ke atas ayahanda dan bonda, Che Leh dan Mok yang dikasihi.
Sebagai kenangan
sejarah, dinyatakan bahawa Noor Baiti Zaini anak Ayah Alang
dilahirkan terkemudian kira-kira seminggu selepas Che Leh meninggal
dunia, iaitu pada 21 November 1974 di Kg. Paya
Purnama, Kota Bharu.
Pondok Rahmat
Pasir Tumboh,
Kota Bharu,
Kelantan Darulnaim.
Isnin 3 Mei
2021/
21 Ramadhan 1442
0 comments:
Post a Comment