PERANAN PENGGAWA DALAM MASYARAKAT TRADISIONAL

>> Thursday, May 26, 2016







~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Siri 3:
INSTITUSI PENGGAWA DAN PERANANNYA DALAM MASYARAKAT:
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PERANAN TOK KWENG DALAM MASYARAKAT TRADISIONAL

Dalam siri yang lalu kita huraikan sedikit latar belakang pentadbiran Negeri Kelantan untuk memberi lebih kefahaman kepada mereka yang mengikuti tulisan. Dan pada siri 3 ini pula kita jelaskan peranan-peranan penggawa dalam masyarakat tradisi, khususnya sebelum kedatangan penjajah. Salam hormat dari kami. Selamat membaca.-Mohd Zain Saleh



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------


MENGIKUT catatan sejarah sebelum daripada tahun 1815, Negeri Kelantan terletak di bawah naungan Negeri Terengganu yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas Negeri Kelantan. Tapi hubungan tersebut telah terputus bila tercetusnya pertelingkahan antara kedua negeri.


Untuk mengelak Negeri Kelantan menerima ancaman yang bertersuan dari Negeri Terengganu, maka Sultan Kelantan, Long Muhammad 1 telah membuat hubungan bercorak perlindungan dengan kerajaan Siam. Dengan itu Raja Siam, Rama Satu telah mengiktiraf Long Muhammad 1 sebagai pemerintah Negeri Kelantan dengan panggilan “Pia Pipit Pakdi”, serta dikurniakan dengan alat-alat kebesaran kerajaan dan pakaian jawatan.

Justeru tamatlah ancaman tradisional Terengganu ke atas Kelantan. Sultan Muhammad 1 yang menjadi Sultan pada tahun 1795 M setelah berjaya menewaskan Long Yunus telah mewujudkan sistem pemerintahan berpusat dengan baginda berada di puncak kekuasaannya.


Sebagai sebuah negeri naungan, Negeri Kelantan telah menghantar ufti bunga emas kepada kerajaan Siam di Bangkok selama tiga tahun sekali. Kesan-kesan pengaruh Siam ke atas Negeri Kelantan amatlah luas. Justeru itu kerajaan Negeri Kelantan telah meniru sistem pemerintahan Siam, terutama dari segi pentadbiran dan sistem pungutan cukai.


Jajahan Dan Kweng

Untuk melicinkan sistem pentadbiran, Sulltan Muhammad 1 telah membahagi-bahagikan Negeri Kelantan kepada beberapa unit yang lebih kecil yang dipanggil Jajahan [Daerah]. Pada peringkat awalnya hanya enam buah jajahan telah diwujudkan, iaitu Galas, Bukit Merah, Lebir, Panchor, Kampung Laut dan Banggol.


Pemerintah setiap buah jajahan itu dibahagikan kepada anggota-anggota kerabat Diraja yang juga dilantik memegang jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan. Pada setiap jajahan itu mereka mempunyai hak ke atas sumber-sumber ekonomi, dan tenaga manusia yang terdapat dalam jajahan mereka masing-masing.


Pada masa itu sempadan jajahan atau daerah itu tidaklah ditetapkan dengan jelas seperti kemudiannya, tapi hanya ditentukan oleh lembah-lembah, sungai-sungai, kaki-kaki bukit dan seumpamanya sahaja.


Lebih jauh lagi daerah-daerah atau Kweng-kweng itu dibahagikan kepada unit yang lebih kecil dipanggil Naibeng atau kampung-kampung. Setiap buah naibeng atau kampung pula dilantik seorang pemerintah yang dipanggil Tok Naibeng atau Penghulu [Ketua Kampung]. Di dalam sesebuah daerah terdapat beberapa buah kampung yang membentuk sebuah daerah.


Tok Naibeng

Tugas utama Tok Naibeng ialah membantu Tok Kweng dalam menjalankan tugasnya, dan juga mematuhi perintah-perintah yang dikeluarkan oleh hakim-hakim, pegawai-pegawai pejabat daerah dan juga pehak bekuasa polis.


Mana-mana Tok Naibeng yang melakukan kesalahan dan tidak menjalankan tugasnya dengan baik, boleh dipecat dan juga dihukum.


Seperti Tok Kweng juga, semua Tok Naibeng dikecualikan oleh kerajaan daripada membayar cukai kepala, cukai pokok kelapa sebanyak 30 pohon, cukai tanah sebanyak 8 juru dengan syarat dia menjalankan tugasnya dengan baik.


Untuk melicinkan pentadbiran agama, maka setiap buah daerah itu di bahagikan kepada beberapa buah mukim yang di dalamnya terdapat beberapa buah kampung yang diketuai oleh seorang Imam. Mukim-mukim itu pula terbahagi kepada Mukim Besar dan Mukim Kecil, di mana setiap buah Mukim besar dibina sebuah masjid. Masjid adalah tempat Imam beroperasi menjalankan tugasnya di bidang keagamaan, seperti urusan nikah kahwin, urusan jenazah bila berlaku kematian serta pungutan zakat fitrah dan sebagainya.


Malah pada peringkat awalnya pada tahun 1905, Imam-imam itu ditugaskan oleh Sultan membanci pokok-pokok yang dikenakan cukai, seperti pokok kelapa, durian dan pengeluaran hasil padi.


Semua jawatan-jawatan tersebut, bermula dari Ketua Jajajah, Tok Kweng, Tok Naibeng dan Imam dilantik oleh Sultan untuk berganding bahu antara satu sama lain bagi menjalankan tugas masing-masing dengan baik.


Pengaruh Tok Kweng

Secara tradisinya orang-orang Melayu, termasuk orang-orang Melayu Kelantan merasa perlu dan mencari penaung atau pelindung daripada kuasa-kuasa tertentu yang lebih tinggi kedudukannya dari mereka, baik dari segi keselamatan dan juga dari segi ekonomi. Salah satu penaung mereka yang utama sejak zaman berzaman ialah Raja atau Sultan dan juga kerabat-kerabat DiRaja. Pada masa itu sultan mempunyai hak ke atas sosio, ekonomi dan keselamatan orang ramai.


Selain daripada Sultan-sultan dan kerabat-kerabat Diraja dijadikan pelindung, orang-orang yang diberi kuasa oleh raja atau  sultan sebagai pemerintah sesebuah kawasan juga dijadikan pelindung oleh orang-orang Melayu Kelantan, di antara mereka ialah Tok Kweng, kemudiannya dipanggil Tok Penggawa yang dilantik oleh sultan untuk mentadbir sesuatu kawasan dan kini dipanggil daerah.


Sebelum ini, jawatan Tok Kweng atau seumpamanya dilantik oleh penduduk-penduduk tempatan sebagai pemimpin atau ketua mereka. Ataupun jawatan itu diwarisi secara turun temurun dari ayah kepada anak, dan dari anak kepada cucu cicit dan seterusnya.


Pada masa dahulu Tok Kweng amatlah berpengaruh dalam kawasan atau daerah yang terletak di bawah pentadbiran mereka. Pada masa itu Tok Kweng itu terdiri daripada orang-orang yang berada atau pun orang-orang kaya di kawasan mereka. Justeru itu Tok Kweng pada masa itu amat dihormati, dimalui dan digeruni oleh seluruh anak-anak buahnya.


Pada masa itu Tok Kweng juga memain peranan penting sebagai orang perantaran atau orang tengah antara orang-orang kampung dengan orang-orang besar atau pemerintah atau dengan pehak istana sekalipun. Tok Kweng yang akan menyampaikan segala keinginan dan hasrat orang ramai dalam kawasan mereka kepada pehak berkuasa untuk diambil tindakan.


Jika berlaku salah faham atau perbalahan di kalangan anak-anak buahnya di kampung-kampung biasanya kepada Tok Kwenglah mereka membuat aduan atau meminta diselesaikan, mungkin kerana hal batu tara tanah atau batu sempadan tanah ataupun kerana perbalahan biasa. Mereka lebih suka memilih Tok Kweng daripada saluran-saluran lain untuk menyelesaikan kes-kes mereka.


Menentang Siam        

Pada tahun 1822 M, Sultan Muhammad 1 telah menulis sepucuk surat kepada Gabenor Inggeris di Pulau Pinang, H.E. Philips menawarkan Negeri Kelantan kepada Inggeris dengan syarat Inggeris membayar kepadanya separuh daripada hasil pendapatan Negeri Kelantan. Pada pandangan baginda Negeri Kelantan lebih selamat dan menguntungkan jika terletak di bawah naungan Inggeris di Negeri-negeri Selat darip[ada terletak di bawah naungan kerajaan Siam.


Malah lebih jauh lagi, Sultan Muhammad 1 telah melibatkan diri dalam gerakan anti Siam pada awal tahun 1830an M yang bermula di Kedah dan disertai oleh orang-orang Melayu Patani. Baginda telah menghantar pasukan tentera untuk membantu Raja Patani menentang Siam. Walau bagaimanapun Kerajaan Siam berjaya menumpaskan pemberotakan itu di tangan pasukan Siam yang dipimpin oleh Menteri Luarnya [Dhrahklang]. Sebahagian besar daripada pemberontak-pemberontak itu melarikan diri dan berlindung di Negeri Kelantan.





Tindakan Sultan Muhammad 1 itu bercanggah dengan lunas-lunas perjanjian antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Siam. Justeru itu tentera Siam telah memberi katadua kepada Sultan Muhammad 1 supaya menyerah golongan anti Siam yang bersembunyi di Kelantan itu atau Negeri Kelantan akan dilanggar oleh Siam. Sultan Muhammad 1 terpaksa akur mengikut arahan Kerajaan Siam untuk menyelamatkan negeri ini daripada diserang oleh tentera Siam.


Perang Merebut Takhta

Menjelang kemangkatannya pada tahun 1831, Sultan Muhammad 1 telah memaklumkan kepada Kerajaan Siam bahawa oleh sebab baginda tidak mempunyai anak, maka baginda telah mengangkat anak saudaranya, iaitu Tuan Senik Mulut Merah sebagai penggantinya. Tapi selepas kemangkatan baginda, Majlis Mesyuarat Negeri telah meminggirkan wasiatnya itu dan sebaliknya melantik Raja Bendahara yang anti Siam sebagai Sultan dan bergelar Yang Di Pertuan.


Akibatnya pada tahun 1838 M hingga 1839 M telah meletus Perang Saudara yang sengit di Negeri Kelantan, di antara Yang Di Pertuan Long Jenal, Raja Bendahara Banggol dengan Tuan Senik dan saudara-saudaranya yang pro Siam kerana merebut takhta. Kerajaan Siam di bawah Rama 111 telah memihak kepada Tuan Senik yang kemudiannya berjaya menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muhammad 11. Perang Saudara inilah yang menjadi tanda bermulanya pengelibataan Siam yang lebih serius dalam politik Negeri Kelantan.


Dengan itu Kerajaan Siam mengekalkan sistem pentadbiran yang sedia ada, dan menngemaskinikannya supaya menjadi lebih teratur menurut ala pemerintahan Siam, serta berusaha untuk mengukuhkan lagi pengaruh-pengaruh Siam ke atas Negeri Kelantan. Malah Kerajaan Siam berusaha keras untuk mengSiamkan rakyat Kelantan pada masa itu, khususnya dalam segi pentadbiran.


Jawatan Ketua Jajahan, Tok Kweng dan Tok Naibeng terus dikekalkan  seperti di masa-masa yang lalu juga. Penggunaan perkataan Tok Kweng dan Tok Naibeng sebagai pengganti perkataan Penggawa dan Penghulu merupakan sebahagian daripada tanda-tanda pengaruh Siam yang kuat ke atas negeri ini.


“Kweng” adalah Bahasa Siam yang bererti “Daerah” dan “Naibeng” ialah bahasa Siam yang bererti “kampung”. Maka “Tok Kweng” adalah gabungan perkataan Melayu dan Siam yang membawa erti “Ketua Kampung”, atau Penghulu dalam loghat Kelantan.


Sebutan “Tuk Kweng” dan “Tok Naibeng” terus dipakai hingga selepas merdeka walaupun tidak secara rasmi di kalangan rakyat Kelantan. Hanya selepas merdeka panggilan Tok Kweng dan Tok Naibeng berangsur-angsur dilupakan, dan menghilang sedikit demi sedikit daripada bibir rakyat Kelantan, dan hingga hari ini tidak lagi disebut dan diketahui maknanya oleh jenerasi baru rakyat Kelantan, walaupun perkataan tersebut masih kedapatan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.


Selain daripada perkataan “Kweng” dan “Naibeng” masih banyak lagi istilah-istilah Siam telah dipergunakan untuk menamakan berbagai-bagai jawatan di negeri ini, antaranya jawatan “Jurutulis” dipanggil “Semian”. Sehingga ke hari ini di bandar Kota Bharu ada sebuah kampung dipanggil “Kampung Tok Semian” dan ada sebatang jalan pendek dipanggil “Jalan Tok Semian”.


Peranan Tok Kweng

Walaupun pada masa tersebut, Tok Kweng seperti juga pembesar-pembesar negeri yang lain dilantik oleh Sultan yang memerintah, tapi mereka mempunyai pengaruh peribadi yang kuat terhadap penduduk-penduduk yang tinggal di dalam daerah mereka. Malah biasanya mereka mempunyai pengikut-pengikut yang tersendiri dan juga hamba hamba abdi yang terdiri dari kalangan penghutang yang tidak mampu membayar hutang-hutang mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.


Biasanya bila orang-orang kampung memerlukan bantuan atau sesuatu pertolongan, maka kepada Tok Kwenglah mereka memohon pertolongan itu. Umpamanya jika mereka tidak berduit untuk mengadakan majlis perkahwinan, maka kepada Tok Kwenglah mereka memohon pertolongan untuk berhutang.


Selain daripada memberi pinjaman wang kepada anak-anak buahnya yang terdesak, ada sesetengah Tok Kweng secara sukarela menyediakan alat-alat keperluan, seperti mangkuk pinggan dan periuk belanga dan sebagainya untuk dipinjamkan kepada anak-anak buah mereka yang berhajat dan memerlukannya.


Malah kiranya mereka tidak berkesempatan menyediakan barang-barang mangkuk pinggan untuk dipinjamkan seperti itu, jika ada anak-anak buah mereka yang datang meminta tolong, Tok Kweng tersebut biasanya akan pergi ke bandar-bandar  dalam daerah mereka dan tolong pinjamkan barang-barang yang diperlukan itu untuk anak-anak buah mereka. Dengan campurtangan dari Tok Kweng itu pihak kedai tidak akan keberatan untuk meminjamkannya, dan bila majlis telah selesai pehak pengguna akan memulangkannya kembali kepada tuan kedai itu.


Tanggungjawab Tok Kweng

Tok Kweng bertanggungjawab “mengerah” orang ramai dalam daerah pentabirannya jika dikehendaki oleh pemerintah untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan, umpamanya untuk menyediakan alat-alat senjata sebagai kelengkapan peperangan.


Tok Kweng berkuasa memberi kebenaran kepada orang ramai untuk membuka tanah-tanah baru dengan dikenakan bayaran-bayaran tertentu. Selepas bayaran-bayaran itu dijelaskan barulah mereka dibenarkan menduduki dan mengusahakan tanah-tanah tersebut. Namun begitu hakmilik-hakmilik ke atas tanah-tanah itu tidaklah terjamin. Hanya dalam zaman pemerintahan Sultan Mansor barulah sebuah Pejabat Tanah telah dibuka di mana mereka yang memohon tanah kepada Tok Kweng boleh membuat permohonan hakmilik tanah daripada pejabat tanah tersebut.


Lama sebelum tahun 1860M, peranan Imam-Imam amatlah besar dan berpengaruh dalam masyarakat negeri ini. Tugas Imam bukan sahaja terbatas kepada tugas nikah kahwin, tapi juga meliputi soal-soal pentadbiran, seperti mengurus perkara-perkara yang berhubung dengan urusan milik tanah, percukaian dan kerja-kerja pembancian. Tapi kemudiannya sebahagian besar daripada tugas Imam itu telah diserahkan kepada Tok Kweng.

Tugas Memungut Cukai

Antara lain-lain tugas penting Tok Kweng berhubung dengan percukaian pada masa itu ialah:


1.Tok Kweng bertanggungjawab membuat senarai tanah-tanah padi yang patut dikenakan cukai oleh pemerintah.


2.Tok Kweng bertanggungjawab membilang pokok-pokok kelapa, durian dan sebagainya untuk dikenakan cukai, dan menetapkan cukai yang patut dibayar oleh tuan punya pokok-pokok tersebut untuk sesuatu tahun.


3.Tok Kweng bertanggungjawab mengangkat senarai cukai yang telah siap dibuat itu kepada Pejabat Tanah untuk tafsiran cukai.


4.Tok Kweng bertanggungjawab memungut cukai berdasarkan penilaian yang telah dibuat oleh Pejabat Tanah tersebut.


5.Tok Kweng juga bertanggungjawab menyerahkan hasil pungutan cukai itu kepada Pejabat Tanah.


Dengan memikul tugas yang begitu penting, maka tidak heranlah jawatan Tok Kweng merupakan jawatan yang dihormati dan dimulai oleh masyarakat dari sejak dahulu hingga sekarang terutama dalam masyarakat tradisi di kampung desa.


Justeru Tok Kweng amat dihormati oleh masyarakat. Kedudukannya diutamakan. Jika Tok Kweng diundang ke sesuatu majlis jamuan, hidangan untuk rombongannya akan dinerikan lebih keutamaan, Jika mereka menyembelih lembu atau kerbau, mereka pasti tidak akan lupa sedikit daging sembelihan yang terbaik untuk dihadihakan kepada Tok Kweng. Dalam kerja-kerja gotong royong pertananain atau seumpamanya yang dipanggil “kerah” tanah-tanah kepunyaan Tok Kweng diberi keutamaan terlebih dahulu, kemudian barulah dikuti oleh tanah-tanah orang lain mengikut kedudukan mereka dalam masyarakat, dan akhir sekali barulah tanah-tanah kepunyaan rakyat jelata.



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP