LAWAK

>> Wednesday, March 17, 2010

LAWAK TIGA LEBAI


Tiga orang lebai sedang menghadapi satu hidangan. Tiba-tiba pak lebai pertama berkata. “Dunia ini sifatnya berpusing seperti ini”, sambil dipusingnya talam lauk itu.

Pak lebai yang kedua melihat mangkuk lauk ayam sudah jauh darinya, lalu dia pun berkata, “Sebenarnya dunia berpusing sambil beredar”. Lalu diedarnya talam itu sehingga mangkuk ayam singgah di hadapannya.

Pak lebai yang ketiga pula menyampuk, “Sesudah dunia puas berpusing dan beredar, maka akhirnya dia terbalik begini kerana kiamat”, sambil dibalikkannya mangkuk gulai ayam itu dengan pantas ke dalam pinggannya.


P/S: Lawak ini tulisan saya yang disiar dalam Majalah Dian bilangan 2, tahun 2, April 1963. Ketika Majalah Dian bilangan tersebut sedang dipruf oleh Ketua Pengarangnya [Dato’] Yusuff Zaky Yaacob, maka datanglah SS. Mufti Kerajaan Kelantan, iaitu Dato’ Hj. Muhammad Noor Ibrahim ke pejabat Dian yang terletak di Jalan Cik Su Kota Bharu untuk bertemu dengan beliau seperti biasa. Ketika mereka sedang berbual-bual itu saya denga [Dato’] Yusuff Zaky membaca lawak tersebut, kepada Dato’ Mufti, dan kemudiannya saya dengar mereka kedua ketawa. Saya senyum sendirian di luar bilik.


*************


BUAL SI TOLOL

Si tolol pertama: Aku ada satu cerita, Bapakku dahulu pelihara kerbau besar, panjang tanduknya 40 hari burung terbang tak sampai ke hujungnya.

Si tolol kedua: Aku juga ada cerita, bapakku dahulu tanam pokok cengal besar batangnya 40 hari kerbau bapak kau keliling tidak habis. Ha!Ha!Ha!

Si tolol ketiga: Aku pun ada cerita, bapakku dahulu buat rebana besar, sekali palu bunyi dengungnya 40 hari tidak habis, kulit rebana itu dikupas dari kerbau bapak engkau, dan kayunya pula ditebang dari batang cengal bapamu. Hi! Hi! Hi!


P/S: Cerita tolol ini telah disiar dalam Majalah Dian bilangan 3 tahun 2 1963. Saya telah lupa siapakah yang menceritakannya. Ia berasal dari kampung kelahiran saya, Kg. Salor, yang terletak di pinggir Sungai Kelantan, kira-kira 8 batu Dari bandar Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, Darulnaim.



****************

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP