>> Friday, March 19, 2010


GAMPANG JADI PAK TURUT..........

Susunan:Razin*


Bila Columbus selamat kembali dari penjelajahan dunianya yang pertama, beliau telah diberi penghormatan oleh rajanya dengan satu jamuan makan di istana. Dalam majlis itu turut hadir musuh-musuhnya yang memang iri hati atas kejayaannya. Seorang dari mereka berkata, “Apakah susahnya mengelilingi dunia seperti yang dibuat oleh Tuan Columbus ini, kerana siapa-siapa pun juga boleh melakukannya”.

Mendengar perkataan ini Columbus termenung sejenak kemudian menyampuk, “Perkataan tuan itu memang benar. Baiklah! Sekarang di atas meja ini ada beberapa biji telur. Siapakah di antara tuan-tuan yang sanggup menegakkan telur ini di atas meja?”.

Bila tidak ada siapa yang menyanggup cabaran itu, Columbus pun berkata, “Saya sanggup menegakkannya”.

Lalu diapun mengetuk hujung telur itu ke meja, sebahagian kulitnya dibuang hingga telur itu kelihatan berlubang, lalu ditegakkannya di atas meja.]

Melihat perbuatan ini musuhnya berkata pula, “Kalau macam ini saya pun boleh buat”.

Columbus dengan segera menjawab, “Ya memang benar, siapa-siapa pun dapat melakukan kerja-kerja yang dilakukan orang lebih dahulu, yang payahnya hendak memulakannya. Beginilah bandingan dengan kejayaan saya mengelilingi dunia ini”.
_________________________________________________________________


*Nama samaran saya. Penuhnya Razin M.S. Penggunaan nama ini dipersetujui oleh [Dato’] Yusuf Zaky Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya], Ketua Pengarang DIAN yang meminta saya mengemukakan nama samaran untuk disiarkan dalam tulisan-tulisan saya. “M” itu singkatan nama ibu saya “Maimunah bte Ismail dan “S” singkatan dari nama ayah saya Saleh bin Hj. Muhammad [Ya Allah limpahilah rahmat ke atas keduanya. Nama samaran itu saya pakai selama saya bertugas di DIAN dan bila saya meninggalkan DIAN saya guna nama saya yang sebenarnya Mohd Zain Saleh untuk akhbar, majalah dsbnya. Sebenarnya ada beberapa nama samaran lagi yang saya gunakan, malah ada juga karya-karya saya yang sengaja disiar tanpa nama penulis. Tulisan di atas disiar dalam DIAN bilangan 3, tahun 2, Jun 1963.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP