Membunuh Kerana Kentut

>> Tuesday, March 23, 2010


KENTUT

Oleh:Hj.Mohamed Zain Saleh



Kentut adalah buang angin dari dalam perut menerusi dubur. Menggunakan bahasa yang sopan ia dikatakan “buang angin”. Dan untuk bahasa yang lebih sopan sebagai sindiran ialah ‘bau kemenyan hantu”. Bahasa yang terakhir ini jarang sekali kita mendengarnya dipergunakan orang pada hari ini.

Saya ada beberapa versi cerita sisipan yang ringkas berhubung dengan kentut.Tapi tidaklah saya hendak menceritakan semuanya, kecuali satu dua yang mengandungi sedikit pengajaran di dalamnya.


Kentut Durian

Salah seorang anak saya pernah bekerja dengan sebuah firma korporat antarabangsa yang berpengkalan di luar negara.

Justeru itu kadang kala dia terpaksa berangkat ke luar negara kerana menjalankan tugasnya, seperti ke Singapura, Brunei, Korea, Jepun, India, Mesir, Amerika Syarikat, Belanda, Britain dan lain-lain negara di mana dia diperlukan..

Sudah tentu dia juga mempunyai ramai rakan-rakan kerja dari luar negara. Mereka bukan sahaja saling berhubung menerusi telefon, tapi juga saling kunjung mengunjung untuk berbincang tentang kerja-kerja mereka, termasuk rancangan-rancangan yang akan dijalankan.

Pada suatu masa seorang kulit putih dari Britain telah datang ke Malaysia atas urusan kerja. Anak saya ditugaskan melayan Mat Saleh itu, kerana tugasnya datang itu banyak berhubung dengan anak saya.

Pada suatu tengah hari selepas makan tengah hari mereka berdua naik lif untuk ke pejabat mereka di tingkat berapa saya kurang pasti.

Bila lif itu hampir sampai ke tingkat yang dituju, tiba-tiba anak saya mendengar “tembakan” yang kuat dari arah Mat Saleh itu. Rupanya dia terkentut. Kemudian diikuti oleh bau yang “semerbak” dalam lif yang udaranya terkurung seperti itu.

Tapi orang putih itu selamba sahaja, sambil tersenyum dia berkata dalam bahasa Inggeris, “But, that ok”.

Anak saya hanya mampu tersenyum sambil menahan nafas supaya tidak terhidu bau kentut Mat Saleh itu. Mujurnya sekejap sahaja lif berhenti dan pintu lif terbuka. Keduanya keluar menuju ke pejabat mereka.

Keesokannya selepas makan tengah hari juga. Hanya mereka berdua juga yang naik lif untuk ke pejabat mereka.

Sebaik sahaja masuk lif dan pintunya tertutup, tiba-tiba giliran anak saya pula terkentut. Katanya dia tidak merancangnya dan tidak pula untuk mengenakan Mat Saleh itu. Katanya pada sebelah malamnya dia makan durian, menyebabkan perutnya meragamkan sedikit dan membuat dia terkentut-kentut.

Justeru dia makan durian, maka sudah tentu kentutnya berbau busuk campur bau durian memenuhi lif itu yang memuat mereka berdua sahaja.

Anak saya mengucapkan “sorry” kepada Mat Saleh itu yang memaksa dirinya tersenyum, sambil menutup lubang hidungnya dengan jari telunjuk dan ibu jarinya.

Bila lif berhenti dan pintunya terbuka anak saya tergesa-gesa menuju ke tandas. Di mana dia memecahkan ketawa sendirian yang ditahan sejak dalam lif tadi lagi.


Kentut Tiup

Kisah singkat ini berlaku di halaman rumah saya, yang terletak di Kampung Salor, di pinggir Sungai Kelantan. Kerana saya tidak begitu jelas di bahagian mana kampung saya peristiwa ini sebenarnya berlaku.

Pada zaman kanak-kanak dahulu, kira-kira 50 tahun yang lampau salah satu permainan tradisi yang digemari oleh kanak-kanak lelaki di kampung saya ialah bermain guli yang kami orang Kelantan panggil “main gurah”, kerana buah guli itu kami panggil buah gurah.

Di hadapan rumah kami itu ada jalan yang digunakan oleh penduduk kampung untuk pergi balik ke sungai untuk mandi-manda, dan mencuci pakaian. Kami kanak-kanak lelaki juga suka bermain di sungai, tak kira waktu, pagi, tengah hari, atau petang malah kadang-kadang malam juga kami bermain di sungai.

Pagi ini beberapa orang kanak-kanak lelaki bermain gurah di hadapan rumah saya di tepi jalan, tempat orang lalu lalang. Hari itu hari minggu mereka tak sekolah. Biasanya mereka bermain dari pagi sampai ke tengah hari, dan di akhiri dengan terjun sungai untuk mandi, sebelum balik ke rumah untuk makan tengah hari. Kalau tak ada perkara lain yang hendak dibuat, mereka sambung pula main guli di waktu petang, mungkin di tempat lain pula hingga sampai waktu Maghrib, dan berakhir dengan mereka mandi di sungai beramai-ramai.

Ketika sedang asyik bermain itu salah seorang daripadanya membongkokkan sedikit belakangnya sambil memasukkan sebelah tangannya ke dalam seluar di bahagian punggungnya. Tiba-tiba sebuah kentut kedengaran dilepaskannya. Dia segera mengeluarkan tangannya yang dikepal rapat, lalu dibawa ke muka salah seorang daripada kawannya itu yang tercegak berdiri yang sedang memerhati buah guli sedang bergolek untuk masuk lubang. Bila kepalan tanganya itu berada di muka kawannya itu diapun terus membukanya dan diikuti oleh tiupan yang kuat mengenai muka kawannya itu.

Kawannya itu melarikan mukanya sambil menyumpah, “Cih, busuknya kentutmu”.

“Itulah kentut tiup”, kata kanak-kanak yang mengenakan kawannya itu sambil ketawa terbahak-bahak melihat kawannya hampir muntah tersedut kentutnya yang busuk itu.

Petang itu mereka bermain di tempat yang sama di halaman rumah saya, dan yang bermainnya kanak-kanak yang sama, kecuali bilangan bertambah seorang atau dua.

Ketika asyik bermain-main itu, tiba-tiba kanak-kanak yang termakan kentut tiup pagi tadi memasukkan tangannya ke dalam kilas kainnya yang telah dilonggarkan dan seiring dengan itu kendengaran bunyi kentutnya meletup dengan bunyi yang agak ganjil.

Dia terus mengeluar tangannya yang berkepal dan membawa ke muka kawan yang meniup kentut ke mukanya pagi tadi. Dia tidak meniupnya, tapi menyapu tangannya itu ke muka kawannya, sambil berkata, “Nah ambil kentut suap”. Lalu disapunya tangannya itu ke muka kawannya.

Wah tangan yang disapu ke muka kawannya itu bukan lagi mengandungi kentut, tapi berisi najis cair yang keluar bersama dengan kentutnyanya itu. Habis muka kawannya berlumur tahi bubur kacang yang dimakannya tadi.

“Balas yang tadi”, katanya sambil ketawa terbahak-bahak. Namun begitu pada mulanya dia juga tidak menyangka yang disapu ke muka kawannya itu tahi, bukannya kentut.

Bila menyedari hal itu semua mereka yang ada di situ ketawa terbahak-bahak. Sementara kedua kanak-kanak itu berlari menuju ke sungai, seorang nak basuh tangan, dan seorang lagi nak basuh muka yang disapu najis...........

Mencium Punggung

Pada zaman persekolahan dulu pelajar-pelajar dari kampung, terutama pelajar-pelajar perempuan berulang alik ke sekolah yang terletak di Kota Bharu dengan menaiki bas awam SKMK. Tapi saya dan beberapa orang kawan, kadang-kadang naik bas dan kadang-kadang berbasikal sejauh kira-kira 9 batu dari rumah kami. Naik bas leceh sedikit, sebab waktu balik tengah hari bas tidak masuk jalan dekat sekolah, Maktab Sultan Ismail dan Sekolah Menengah Zainab, kerana itu kami terpaksa berjalan kaki kira-kira satu batu untuk menaiki bas di dekat Sk.K.Langgar, dan dari situ kami kena naik bas lagi untuk ke stesen bas r yang terletak di bandar Kota Bharu untuk menaiki bas lain untuk balik ke rumah.

Biasanya di waktu pagi untuk ke sekolah dan waktu tengah hari bas tersebut penuh dengan pelajar-pelajar sekolah yang hendak balik ke rumah. Namun begitu biasanya kami terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang-penumpang biasa yang menggunakan perkhidmatan bas yang sama. Di antara pelajar-pelajar perempuan ada seorang yang becuk mulutnya bila terhidu bau kentut dalam bas.

Lalu dia menuduh orang itu dan orang yang melepaskan kentut. Sudah tentu tidak ada siapa yang mengaku. Yang lucu dia akan membongkok menghidu setiap punggung pelajar wanita yang berada berhampiran dengannya untuk mempastikan siapakah yang melepas kentut. Bila merasa yakin, dia pun melepas kata, "Huh mu lah yang kentut.Bau busuk ni". Walaupun dinapi oleh empunya punggung, tapi dia tidak peduli. Dan ini membuat kami semua yang melihat telatahnya itu akan ketawa.

Membunuh Kerana Kentut


Saya suka menambah cerita itu sebagai satu pengajaran, di mana seorang lelaki di New Britain telah bertindak ganas, membunuh seorang lelaki dan mencederakan tiga orang yang lain lagi.

Mengikut laoran akhbar pada bulan Januari 2011 lelaki itu Marc Higgins berusia 21 tahun telah bertindak ganas di sebuah parti bila empat orang lelaki mengejeknya kerana terkentut busuk dan berbu busuk di majlis tersebut.

Pada mula-mulanya seorang lelaki, Stacy Buccheri telah mengejek dan menamparnya kerana bau kentutnya yang busuk itu telah menganggu ketentramannya.

Marc Higins dalam keadaan mabuk telah meninggalkan parti itu yang diadakan di sebuah pangsapuri, tapi kembali semula ke parti itu kira-kira 45 minit kemudian dengan membawa tiga bilah pisau bersamanya.

Kemudian Marc Higins menikam beberapa orang pengujung parti itu. Akibatnya seorang dari mereka, Matthew Walton berusia 21 tahun telah terkorban, dan tiga orang mangsa lagi yang tercedera ialah Sandra Ranger, 18 tahun, David Klett, 19 tahun dan Tyler Basso, 18 tahun. Mereka telah dirawat di hospital sebagai pesakit luar kerana kecederaan mereka tidak parah.

Dia bertindak kejam untuk melempiaskan kemarahannya kerana diejek akibat terkentut dan mendakwa untuk mengajar mereka supaya tidak mempermain-mainkannya.

Selepas membunuh dan melakukan keganasan itu Marc Higin telah menyerah diri pada polis yang menjalankan penyiasatan.

Menurut laporan dia akan didakwa atas tuduhan membunuh.
xxxxxxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP