MASA HADAPAN ANDA MENGHALA KE MANA?

>> Saturday, February 23, 2013




MASA DEPAN ANDA MENGHALA KE SYURGA ATAU KE NERAKA?


Kita berada dalam masa. Malah kita hidup dalam masa. Justeru masa amat penting kepada kita, malah kepada setiap yang hidup, khususnya hamba-hamba Allah seperti kita manusia.

Selain daripada masa, kita memerlukan ruang atau tempat untuk hidup. Tapi ruang tidak mungkin wujud tanpa masa yang menjadi salah satu penentu yang penting kepada kewujudan sesuatu di dunia ini.

Pada umumnya masa itu terbahagi kepada tiga babak. Masa lalu, iaitu masa yang telah lepas, masa sekarang, iaitu masa yang sedang dilalui dan masa akan datang, iaitu masa yang masih belum ditempoh.

Ketiga-tiga fasa masa itu saling kait mengait antara satu sama lain, tidak boleh dipisah-pisah, masa yang lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Ia berkait dalam wadah yang amat penting, saling tentu menentukan.

Tidak ada masa kelmarin, kalau tidak ada masa hari ini, tidak ada masa hari ini, kalau tidak ada masa kelmarin; tidak ada masa besok, kalau tidak ada hari ini, tidak ada hari ini kalau tidak ada besok. Ketiga-tiganya terjalin rapat dalam ikatan yang tidak dapat direlai-relaikan.

Masa yang berlalu, telah pergi, dan tidak akan kembali lagi sebagai masa, ia telah keras dan beku yang di dalamnya menyimpan segala natijah hasil daripada segtala tindakan kita hari ini. Kita akan memikul segala risikonya, putih atau hitam, baik atau buruk.

Masa sekarang masih ada dalam tangan kita, dan kita perlu membetuk masa sekrang dengan sebaik-baiknya utnuk memiliki masa depan yang bernilai supaya berada dalam gengaman kita. Hari ini, masa ini adalah masa pembentuk hari depan, hari akan datang kita. Hari ini adalah hari penentunya.

Biasanya masa itu dirujukkan kepada abad, dekad, tahun, bulan, minggu, hari, jam dan detik. Kadang-kadang pula dirujukkan kepada ketika, jam, pukul dan waktu.

Tapi apakah masa depan itu? Kemanakah kita hendak menghalakan masa depan kita itu? Buatlah keputusan dengan baik dan bertindaklah dengan wajar, untuk menjamin masa depann yang cemerlang dan gemilang.

Pastikan kita memiliki “masa depan:, atau “ada masa depan” ataupun cerah masa depan, dan jangan jadikan diri kita tidak ada masa depan, atau mempunyai “gelapa masa depan”.

Tapi tahuah kita di manakah masa depan kita itu hendak kita bawa? Ke mana hendak kita tuju dalam meniti arus kehidupan yang bersimpang siur ini? Kemana dan di mana?

Ketika membicarakan masa depan kepada manusia Islam, guru saya Allahyarham Yusoff Zaky Yacob, semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya berkata kehdiupan abadi yang hakiki  ialah kehidupan di Alam Akhirat.

Sebaliknya kata beliau, kehdiupan di dunia ini merupakan kehidupan yang tidak kekal, yang fana, yang diibaratakanya sebagasi negeri perasinggahan dan tumpanagan sementara untuk mencari bekalan untuk melayakkan kita menjadi calun Syurga di Alam Akhirat.

Justeru itu, katanya kejayaan di alam dunia semata-mata tidak seharusnya dijadikan matlamat hidup seroang manusia, kerana matalamat itu terlalu kecil, terlalu pendek dan terlalu terdedah kepada kemusnahan dan kefanaan yang amat cepat.

Matlamat keduniaan itu juga, katanya tidak sesuasi dengan nilai mertabat  insan yang amat tinggi di sisi Alah sebagai makhluk-Nya yang paling mulia dan istimewa.

Kenapa tidak?

Beliau seterusnya berhujah, “Seluruh alam dengan segala isi dan penghuninya adalah diciptakan Allah untuk kemudahan dan kesmpurnaan hidup mereka. Seluruh Rasul diutus untuk memimpin mereka ke jalan yang diridai Allah. Seluruh Akhirat yang penuh dengan ni’mat-ni’mat hakiki dan abadi dijadikan Allah untuk ganjaran amalan-amalan mereka di dunia”.

Pada hemat kita, hanya makhluk-makhluk kurang sempurna akalnya sahaja yang berani menafikan dengan dakwaan mereka bahawa  dunia yang abadi itu tidak akan ada, dunia hakiki itu tidak ada, alam Akhirat itupun tidak ada, dan ianya merupakan imaginiasi orang-orang tidak siuman sahaja, kerana kata mereka makhluk ini tidak akan dibangkitkan  kembali lagi selepas mereka mati di dunia ini, sebagaimana sering didakwa oleh umat jahiliah dahulu.

Sedangkan menurut beliau, keni’matan hidup dunia semata-mata hanya layak dengan kehidupan makhluk-makhluk haiwan yang tidak berfungsi menjunjung amanah dan khalifah Allah di bumi, dan tidak diberi penghormatan untuk menyambung kehidupan yang kekal abadi di alam Akhirat.

Justeru itu, manusia yang mementingkan dunia dan membelakangkan Akhirat, darjah mereka samalah dengan darjah haiwan yang tidak berakal dan berfikiran- seperti lembu, kambing dan ayam dan itik, malah mungkin lebih hina dari itu lagi.

Oleh itu, kata beliau, dalam Islam apabila disebut msa depan, maksudnya bukanlah masa dalam kehidupan dunia sahaja, malah yang lebih penting dan yang lebih dititkbertakan ialah masa depan di alam Akhirat selepas seseorang itu menamatkan masa hidupnya dalam dunia ini.

Kerana itu, jika seseorang Mukmin kehilangan masa depan kehidupan dunia dalam bentuk kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan duniawi, maka ini belum lagi  bererti  bahawa dia telah kehilangan masa depannya seperti yang dianggapkan menurut penilaian bumi dan menurut kaca mata mereka yang menolak alam Akhirat.

Biasanya masa depan  dalam kehidupan dunia digambarkan sebagai  kejayaan mencapai kedudukan terhormat dalam masyarakat melalui ilmu pengetahuan, kewangan dan pekerjaan di samping menikmati kesihatan dan kententeram jiwa.

Islam tidak pernah menolak dunia, meninggalkan dunia dan mementingkan Akhirat semata-mata. Dunia dan Akhirat sama-sama dijaga, supaya berjalan licin serentak tanpa berlaku sebarang konflik kepentingan yang akan merosakkan usaha yang meletakkannya dalam perimbangannya yang wajar.

Malah ujar beliau, kejayaan-kejayaan ini juga diterima oleh Islam sebagai teras konsep masa depan kehidupan dunia di samping menambahkan lagi satu motif yang luhur, iaitu kejayaan dalam kegamatan amal salih untuk menegak dan melanjutkan syariat Allah di bumi ini.

Justeru itu, tegas beliau, “Dalam Islam, konsep  bekerja untuk masa depan dunia pastilah berterasksn kepada motif yang luhur itu, tanpa teras ini maka kejayaan-kejayaan ini akan hanya hancur berkecai di liang lahad sahaja”.

Sebaliknya, jika konsep bekerja masa depan dunia ini berteraskan kepada motif  yang luhur itu, maka sekaligus itu juga, ia merupakan konsep bekerja untuk masa depan Akhirat.

Seterusnya, beliau menjelaskan, secara khususnya apabila disebut bekerja masa depan Akhirat, maka ia bererti  bekerja untuk persediaan untuk menghadapi pengadilan dan balasan Ilahi yang adil pada hari Akhirat, iaitu hari penentuan yang hakiki bagi masa depan yang abadi di dalam Syurga atau masa depan yang abadi dalam azab keseksaan di alam Akhirat.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia.Hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah di dunia ini belum tentu mencapai kesmpurnaan yang mutlak, kerana para hakim yang membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang dibentang dan dihujahkan di mahkamah yang kebanyakannya mengikut garis panduan undang-undang dunia. Justeru itulah ada pesalah-pesalah yang terelpas dari hukuman kerana tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mempersalahkannya, dan ada pula para penjenayah yang tidak pernah didakwa di muka pengadilan kerana mereka tidak dapat dikesan. Tapi perakra ini tidak berlaku di Mahkamah Akhirat nanti, di mana Allah Maha Bijaksana dan Adil sendiri yang menjadi Maha Hakimnya.

“Itulah masa depan hakiki yang tidak terbatas yang harus dipertimbangkan oleh setiap manusia yang berakal”. Tegas beliau.

Beliau seterusnya menyarankan dengan katanya, oleh itu perancangaan masa depan yang bijaksana harus diatur dengan hati-hati dan teliti untuk mencapai kejayaan-kejayaan dunia dan dalam waktu yang sama mencapai kejayaan-kejayaan Akhirat, iaitu kejayaan menyelamatkan diri dari azab dan mencapai ni’mat hidup  yang kekal abadi.

“Perancangan masa depan kehidupan dunia tidak seharusnya dipisahkan dari masa depan Akhirat, malah kejayaan dalam kehidupan dunia harus dijadikan alat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan Akhirat. Sebarang rancangan yang terpisah akan berakhir dengan kerugian yang tidak terganti”.

“Sesungguhnya negeri Akhirat itulah alam kehidupan yang sebenar”.

Oleh itu, kita merasa amat kecewa benar, bila ada pemimpin-pemimpin kita, juara-juara politik kita yang berani melepaskan cakap dan juga bertindak seolah-olah mereka tidak mempunyai masa depan yang hakiki itu, masa Akhirat, sedangkan tidak ada siapa pun yang boleh menolakknya, dimana mereka akan  menerima segala konsikwen dari apa yang telah mereka lakukan semasa mereka hidup di dunia yang fana ini.

Di waktu itu segala penyesalan tidak berguna lagi. Sejarah tidak akan berulang lagi. Yang ada ialah kesenangan yang abadi atau kecelakaan yang abadi. Segala pintu telah tertutup-kecuali dua pintu sahaja yang terbuka lebar, iaitu pintu Syurga atau pintu neraka. Ahli Syurga masuk ke Syurga, dan ahli neraka masuk ke neraka. Itulah masa yang dijanjikan oleh Allah Yang Maha Berkuasa kepada hamba-hambaNya ketika mereka meniti masa yang singkat ketika hidup di dunia yang fana ini.

Pilih dan tentukan masa hadapan kita, dan berusahalah dengan penuh kegigihan untuk mendapatkannya dalam ruang masa dunia yang begitu singkat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga dijemput maut untuk menuju ke masa yang abadi di alam yang abadi.

Jangan lupakan masa depan yang kekal abadi, di mana semua makhluk akan dibangkitkan, dan diperiksakan segala apa yang mereka telah lakukan semasa mereka hidup di dunia. Segala perbuatan itu akan diletakkan di atass neraca Allah untuk dinilai dan diberi ganjaran yang setinpal, walaupun sebesar zahrah.

Itulah masa depan hakiki bagi kita umat Islam yang seharusnya dijadikan agenda bertindak dalam mengejar kebahagian hidup dunia yang akan kita tinggalkan nanti bersama-sama dengan masa dunia kita yang akan berakhir bila nyawa tercabuts dari halkum.




Read more...

Pengalaman Aneh Seorang Doktor

>> Wednesday, February 20, 2013



PENGALAMAN ANEH SEORANG DOKTOR


Mendiang Dr. Silas Weir Mitchell [1824-1914]  dari Philadelphia, Amerika Syarikat adalah seorang doktor dan penulis yang terkenal dan dihormati sebagai seorang doktor. Dalam tugasannya yang lama itu beliau pernah menyandang jawatan Persatuan Doktor-doktor  Amerika [1887] dan Pengerusi Pertubuhan Doktor-doktor Saraf, Amerika [1908-1909], yang  merupakan  jawatan penghormatan kepada beliau.

Justeru dengan latar belakang inilah, keganjilan pengalaman yang dialaminnya sukar untuk disangkal.

Pesakit beliau yang terakhir meninggalkan pejabatnya kira-kira pukul 10.30 malam yang begitu panjang dan meletihkan beliau. Dengan mengeluh lega doktor yang berumur itu menggantungkan steteskop, memadamkan lampu gas dalam bilik menunggu, kemudian berjalan melintasi dewan menuju ke dapur rumahnya untuk meminum segelas susu.

Beberapa detik kemudian, ketika beliau sedang memeriksa pintu hadapan rumahnya untuk mempastikan pintu itu benar-benar berkunci, beliau melihat debu-debu salju yang tebal masih berguguran dan menutupi kiri kanan  jalan di hadapan rumahnya setebal beberapa inci. Doktor Mitchell mengecilkan lampu gas di dewan hadapan dan berjalan ke bilik tidurnya di tingkat atas.

Setengah jam kemudian, ketika beliau sedang terbaring membaca buku, loceng hadapan rumahnya berdering dengan kuat; atau adakah beliau mendengar sesuatu? Sejurus kemudian loceng itu berdering lagi, kali ini makin kuat. Sesiapa pun orang itu, dia akan pergi, jika beliau tidak menjawab panggilannya. Tapi apa akan jadi, sekiranya panggilan itu begitu penting yang melibatkan seorang daripada pesakitnya yang ramai sakit berat di rumah mereka? Beliau tidak mempunyai pilihan, selain dari menyarung pakaiannnya dan selipar, kemudian berjalan menuju ke tingkat bawah dengan gontai.

Bila beliau membuka pintu, tercegak seorang gadis yang begitu asing kepadanya. Beliau memerhati gadis itu, pakaiannya begitu nipis dalam malam yang sebegitu rupa tanpa kot dan berkasut tinggi yang berbutang, berpakaian bulu warna hijau tua dan berkelubung dengan kain warna kelabu yang disimpulkan di bawah dagunya. Doktor itu dengan segera menduga, bahwa gadis itu dari golongan miskin di bandar itu yang tinggal di lereng bukit, tidak berapa jauh daripada rumahnya.

“Silalah masuk”. Kata doktor itu. Gadis itu melangkah setapak ke dalam rumah. “emak saya sakit tenat”, katanya, “dia sangat memerlukan tuan. Marilah ikut saya”.

Dr. Mitchell ragu-ragu. Gadis itu begitu asing kepadanya untuk dia keluar di larut malam, dalam hujan salju sebegitu rupa. Beliau tidak bersedia untuk pergi.

“Tidakkah anakku mempunyai seorang doktor keluarga?”. Tanya Dr. Mitchell. Gadis itu mengeleng-gelengkan kepalanya, dan salju bertaburan dari kelubungnya.

“Tidak doktor. Dan emak saya sakit teruk benar dan tuan doktor, silalah datang bersama saya. Tolonglah, marilah kita pergi sekarang”.

Mukanya yang pucat lesi berkerut dan dengan suaranya yang menunjukkan dia begitu mustahak serta dengan air matanya mulai berladung, memaksa doktor itu menurutinya.

Doktor Mitchell menyuruh dia duduk, sementara menunggu beliau memakai pakaian, tapi gadis itu menjawab dia lebih suka berdiri. Kemudian doktor itu dengan tergesa-gesa ke tingkat atas.

Beberapa detik kemudian dengan panduan gadis itu mereka menuju ke bukit yang telah diduganya tadi dengan berjalan dalam hujan salju. Dr. Mitchell mengetahui  jiran-jiran tempat mereka tujui itu terdiri daripada pekerja-pekerja kilang yang murah gajinya dan hidup dengan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Beliau telah kerap kali berkunjung ke sana sepanjang beliau bertugas, dan kali ini tentu tidak membahayakannya, malah mungkin dapat menyelamatkan sebuah nyawa.

Gadis itu tidak bercakap sepatah pun sejak mereka meninggalkan rumah beliau. Dia mendahulinya dua atau tiga langkah di hadapan doktor itu dalam salju-salju yang lembut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya dia berpaling menuju ke arah satu lorong yang sempit antara rumah-rumah yang usang dan penghuni-penghuninya yang melarat dengan di diekori oleh doktor itu. Gadis itu meraba-raba tangga yang gelap menuju ke sebuah bilik yang kotor di mana sebuah pelita minyak kelihatan menyala kekuningan menenrusi jejaring rumah itu. Gadis itu perlahan-lahan membuka pintu dan memberi jalan kepada doktor itu untuk masuk.

Kemalaratan menyelubungi rumah itu. Sehelai hamparan yang koyak rabak hanya menutupi di tengah-tengah lantai yang usang, ada sebuah almari di sebuah sudut, dan ada sebuah tungku dapur yang tidak berasap. Dan di atas ranjang di sudut bilik itu, seorang wanita pertengahan umur sedang berjuang menghadapi maut. Dr. Mitchell pun melaksanakan tugasnya.


Wanita itu menghidap penyakit radang paru-paru, dan seperti yang dikatakan oleh gadis itu sakitnya begitu tenat. Dalam keadaan begitu, tidak banyak yang dapat dilakukannya, selain daripada memberi pertolongan cemas. Beliau terpaksa datang lagi besok hari. Beliau memerhati wanita itu dan merasa lega, kerana wanita itu masih sedarkan diri- ini berguna.
Dr. Mitchell memandang keliling mencari gadis tadi yang membawanya ke situ. Sebuah api perlu dihidupkan- wanita itu tidak mampu menghadapi kesakitan dalam bilik yang dingin itu. Kemudian Dr. Mitchell teringat bahawa beliau tidak pernah melihat gadis tersebut sejak beliau masuk ke bilik itu. Beliau memandang sekeliling sekali lagi. Pintu buruk yang nipis itu masih terbuka. Pakaian yang dipakai oleh gadis tadi beberapa minit yang lalu tergantung di pintu itu. Bilakah gadis itu menyalin pakaiannya ketika beliau ada bersama-sama dalam bilik itu?

Beliau mendekati pintu dan memeriksa pakaian itu dengan diperhati oleh wanita yang sakit itu. Dr. Mitchell menjamah kasut dan kain kelubung itu, tapi semuanya kering.

“Itu kasut anak gadis saya”, kata wanita itu dengan termengah-mengah.

“Ya, saya tahu”, jawab Dr. Mitchell, “Tapi mana anak awak itu? Saya perlu bercakap dengannya”. Sambung doktor itu lagi.

Kemudian sepi begitu lama. Perlahan-lahan wanita yang sakit itu berpaling menghadapinya dengan air mata yang berderaian.

“Bercakap dengannya? Doktor, dia telah mati dua bulan yang lalu”. Balas wanita itu.






Read more...

NEGERI BERTUDUNG

>> Tuesday, February 19, 2013



NEGERI BERTUDUNG


Hari ini kalau kita pergi ke pasaraya-pasaraya, atau ke gedung-gedung perniagaan atau ke mana-mana pasar, tidak mudah lagi kepada kita untuk mencari kaum wanita yang berkepala gondol tanpa tudung. Kalau ada pun merupakan bilangan yang amat ganjil, ibarat  angka "gundal" ketika membilang sesuatu.

Yang bertudung itu pula bukan sahaja wanita-wanita tua, tapi juga anak-anak gadis remaja, wanita-wanita muda, malah  kanak-kanak pun bertudung kepala juga. Walaupun ada di antara mereka yang berpakaian tidak menutup aurat dengan sewajarnya, seperti memakai baju lengan pendek, dan jean  tapi kepala tetap bertudung.

Demikian juga kalau kita pergi ke pejabat-pejabat kerajaan negeri ini, mungkin juga pejabat-pejabat swasta sukar kita hendak melihat pekerja-pekerja wanita negeri ini, dari pegawai atasan ke bawah yang tidak bertudung kepala.

Kalau kita kebetulan melihat ada wanita-wanita yang tidak bertudung muncul di khalayak ramai, maka kebanyakan mereka adalah terdiri daripada wanita-wanita bukan Islam, baik terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan ataupun terdiri daripada warga luar negeri Kelantan atau daripada luar negara yang merupakan sebahagian daripada pengunjung atau pengkelana di negeri yang unik ini.

Inilah suasana yang kita boleh lihat di negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Kelantan Darulnaim, salah sebuah negeri yang menjadi rebutan politik sekarang.

Pada hemat saya, rakyat Negeri Kelantan Darulnaim bukanlah fanatik dalam membuat pemilihan. Sesiapa sahaja yang tidak membelakangkan agama, sesiapa sahaja yang tidak membazir, sesiapa sahaja yang tidak rasuah, sesiapa sahaja yang tidak menipu dan tidak suka membuat fitnah serta mementingkan diri sendiri, itulah yang menjadi pilihan rakyat Kelantan, termasuklah kepada wanita-wanita bertudung.

Sesiapa sahaja yang ingin memenangi hati rakyat Kelantan, untuk dijadikan menantu atau mertua, untuk menjadi ayah dan ibu, untuk dikasih dan mengasihi mestilah membina diri dan menjunjung nilai-nilai yang murni itu yang  senada dengan tuntutan Islam, kalau mereka tidak ingin kecundang dalam pertarungan politik merebut kasih sejati.

Kita menduga pada suatu masa nanti, wanita-wanita bukan Islam di negeri ini, akan turut menyarungkan kepala mereka dengan tudung, untuk lebih menceriakan wajah mereka di khalak ramai. Apa salahnya mereka turut bertudung? Lagi baguskan?

Jika wanita-wanita bukan Islam keluar di khalayak dengan bertudung kepala nanti, ia akan menjadi cabaran dan memalukan mana-mana wanita Islam negara ini yang enggan bertudung, walaupun menutup aurat itu merupakan sebahagian perintah agama mereka yang tidak boleh diabaikan.

Saya terkenangkan isteri saya, Allahyarhamah Asiah Yaacob [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya]. Ketika beliau mula-mula berjinak-jinak dengan kawan-kawan yang tidak bertudung, beliau sering ditegur dan diperli oleh mereka. Tapi beliau tidak pernah menjawab kata-kata mereka kecuali dengan mengulas senyum. Dan yang amat pentingnya, beliau juga tidak terpengaruh dengan gesaan mereka supaya menanggalkan tudung, malah terus juga bertudung yang diterimanya dengan senang hati sebagai salah satu kewajipan kepada seorang Muslimah.

Saya juga teringat kepada kisah  seorang artis yang kelihatan bertudung lingkup di satu majlis  terbuka. Seorang pemuda yang berada di belakang pentas telah menyapa sang artis dan secara ikhlas memuji-mujinya kerana beliau bertudung menyebabkan dia kelihatan lebih sopan dan anggun. Tapi apa jawab si artis itu? “Kakak tidak bermaksud untuk bertudung....Tapi kakak pakai tudung ni, sebab pipi kakak bengkak kerana sakit gigi. Kakak tidak ingin dilihat oleh peminat-peminat kakak”.

Terlompong mulut pemuda itu bila mendengar jawapan sang artis. Dia terus bongkam seribu bahasa.

Sedangkan menutup aurat bukannya atas pilihan atau kehendak diri sendiri, kalau suka dibuat, kalau tidak suka ditinggalkan, atau sekadar untuk main-main, ikut-ikutan atau kerana fesyen, tapi ianya satu kewajipan kepada seluruh wanita Islam yang diperintahkan oleh agamanya supaya mereka menutup aurat.

Allah berfirman, “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukim, “Hendaklah mereka menutupkan jiblabnya [sejenis baju kurung yang lapang dapat menutup kepala, wajah dan dada] ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. Al-Ahzab: 59.

Adalah diharap dan didoakan agar gaya hidup  Islamiah, bertudung dan menutup aurat ini, akan terus subur dan kukuh serta berkembang mewarnai hidup seluruh kaum wanita, bukan sahaja di kalangan wanita negeri ini, tapi juga kepada seluruh wanita warga tanah pusaka ini untuk selama-lamanya selagi dunia berkembang.

Amin!!









Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP