NEGERI BERTUDUNG
>> Tuesday, February 19, 2013
NEGERI BERTUDUNG
Hari ini kalau kita pergi ke pasaraya-pasaraya, atau ke gedung-gedung
perniagaan atau ke mana-mana pasar, tidak mudah lagi kepada kita untuk mencari
kaum wanita yang berkepala gondol tanpa tudung. Kalau ada pun merupakan
bilangan yang amat ganjil, ibarat angka "gundal" ketika membilang sesuatu.

Demikian juga kalau kita pergi ke pejabat-pejabat kerajaan negeri ini,
mungkin juga pejabat-pejabat swasta sukar kita hendak melihat pekerja-pekerja wanita
negeri ini, dari pegawai atasan ke bawah yang tidak bertudung kepala.
Kalau kita kebetulan melihat ada wanita-wanita yang tidak bertudung muncul
di khalayak ramai, maka kebanyakan mereka adalah terdiri daripada wanita-wanita
bukan Islam, baik terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan ataupun terdiri
daripada warga luar negeri Kelantan atau daripada luar negara yang merupakan
sebahagian daripada pengunjung atau pengkelana di negeri yang unik ini.
Inilah suasana yang kita boleh lihat di negeri Cik Siti Wan Kembang,
Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Kelantan Darulnaim, salah sebuah negeri
yang menjadi rebutan politik sekarang.
Pada hemat saya, rakyat Negeri Kelantan Darulnaim bukanlah fanatik dalam
membuat pemilihan. Sesiapa sahaja yang tidak membelakangkan agama, sesiapa
sahaja yang tidak membazir, sesiapa sahaja yang tidak rasuah, sesiapa sahaja
yang tidak menipu dan tidak suka membuat fitnah serta mementingkan diri sendiri,
itulah yang menjadi pilihan rakyat Kelantan, termasuklah kepada wanita-wanita
bertudung.

Kita menduga pada suatu masa nanti, wanita-wanita bukan Islam di negeri
ini, akan turut menyarungkan kepala mereka dengan tudung, untuk lebih
menceriakan wajah mereka di khalak ramai. Apa salahnya mereka turut bertudung?
Lagi baguskan?
Jika wanita-wanita bukan Islam keluar di khalayak dengan bertudung kepala nanti,
ia akan menjadi cabaran dan memalukan mana-mana wanita Islam negara ini yang enggan bertudung,
walaupun menutup
aurat itu merupakan sebahagian perintah agama mereka yang
tidak boleh diabaikan.

Saya terkenangkan isteri saya, Allahyarhamah Asiah Yaacob [semoga Allah
limpahi rahmat ke atasnya]. Ketika beliau mula-mula berjinak-jinak dengan
kawan-kawan yang tidak bertudung, beliau sering ditegur dan diperli oleh
mereka. Tapi beliau tidak pernah menjawab kata-kata mereka kecuali dengan
mengulas senyum. Dan yang amat pentingnya, beliau juga tidak terpengaruh dengan
gesaan mereka supaya menanggalkan tudung, malah terus juga bertudung yang
diterimanya dengan senang hati sebagai salah satu kewajipan kepada seorang Muslimah.

Sedangkan menutup aurat bukannya atas pilihan atau kehendak diri sendiri,
kalau suka dibuat, kalau tidak suka ditinggalkan, atau sekadar untuk main-main,
ikut-ikutan atau kerana fesyen, tapi ianya satu kewajipan kepada seluruh wanita
Islam yang diperintahkan oleh agamanya supaya mereka menutup aurat.
Adalah diharap dan didoakan agar gaya hidup Islamiah, bertudung dan menutup aurat ini, akan terus subur dan kukuh serta berkembang mewarnai hidup seluruh kaum wanita, bukan sahaja di kalangan wanita negeri ini, tapi juga kepada seluruh wanita warga tanah pusaka ini untuk selama-lamanya selagi dunia berkembang.
0 comments:
Post a Comment