Ramadhan Bersedialah Menyambutnya

>> Friday, August 6, 2010


RAMADHAN:
Bersedialah Untuk Menyambutnya

HARI ini kita berada di ambang Ramadhan, bulan yang diwajibkan umat Islam berpuasa. Justeru kita umat Islam sepatutnya telah bersedia untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia itu yang datang mengunjungi kita setiap tahun selagi hayat dikandung badan.

Secara umumnya, mengikut syarak yang disitilahkan dengan puasa itu ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara tertentu, oleh orang-orang tertentu, dan mengikut syarat-syarat tertentu yang ditetapkan agama.

Apa yang dimaksudkan degnan perkara-perkara tertentu itu ialah makan, minum, melakukan hubungan seks dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa itu, seperti haid kepada wanita.

Apa yang dimaksudkan dengan orang-orang tertentu itu ialah orang-orang yang beragama Islam, cukup umur dan berakal. Orang gila tidak diwajibkan berpuasa.

Apa yang dimaksudkan dengan waktu-waktu tertentu itu ialah sepanjang hari mulai dari terbit fajar sadik hingga terbenam matahari di waktu petang, yang bererti masukya waktu Maghrib.

Fardhu puasa ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun kedua Hijriah. Sejak itu umat Islam menyambut bulan Ramadan dengan berpuasa pada siang hari.

Sudah tentu banyak fadhilat dalam bulan Ramadan itu disediakan untuk umat Islam yang merupakan berita gembira kepada kita semua sebagai umat Islam. Antaranya sabda Nabi saw. yang bermaksud:

“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperolehi kebaikannya maka dia tidak memperolehi apa-apa”. HR: Ahmad & An-Nasa’i.

Di sesetengah tempat berbagai-bagai kain pemidang dan poster telah dibentang di tempat-tempat yang strategik untuk mengingatkan umat Islam tetang kedatangan bulan yang penuh berkah itu.

Para peniaga juga lebih pentas dan handal mengambil kesempatan daripada kedatangan bulan yang mulia itu yang akan ditutup dengan Hariaya Idilfitri yang akan disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan oleh umat Islam di seluruh dunia

Para peniaga itu membuat berbagai-bagai tawaran yang istimewa mengenai barang-barang dagangan mereka, termasuklah harga-harga yang didakwa yang lebih rendah dari biasa dengan tujuan untuk mengauk keuntungan daripada umat Islam yang bersiap sedia untuk menyambut bulan Ramadhan dan hariraya.

Iklan-iklan tawaran barangan mereka di pamerkan di sepanduk-sepanduk, di pemidang- pemidang, di dalam majalah, akhbar, tv dan berbagai-bagai cara lagi yang difikirkan boleh menarik hati orang untuk membelinya dan memberi keuntungan lumayan kepada mereka.

Kadang-kadang kita juga menjadi terpengaruh dengan iklan-iklan yang begitu hebat promosinya dan terikut-ikut berbelanja, walaupun kadang-kadang barang yang kita beli itu tidak begitu perlu pada ketika pada ketika itu.

Tidakalah salah mengadakan persiapan mengikut kemampuan masing-masing untuk menymabut hariraya Idilfitri yang mulia yang akan menyusul selepas menunai puasa sebulan dalam bulan Ramadhan.

Tapi di samping itu, lebih penting lagi kepada kita umat Islam hendaklah mempersiapkan diri kita dan keluarga untuk menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak itu supaya kita dapat menangguk sebanyak-banyaknya faedah dari bulan yang mulia itu.

Bulan Ramdhan ialah merupakan bekas seperti pinggan atau mangkuk yang mesti diisikan dengan makanan-makanan yang baik untuk menjadi santapan yang bukan sahaja memberi faedah kepada jasmani, mala juga rohani sesiapa sahaja yang menikmatinya.

Justeru pinggan walaupun mahal harganya, dan dibasuh dan dipolis supaya kelihatan berkilat dan bersinar tidak memberi faedah jika tidak diisikan dengan bahan-bahan makanan yang baik-baik kecuali dijadikan sebagai barang hiasan untuk halwa mata.

Oleh itu kita hendaklah mengisi pinggan atau mangkuk Ramadan itu dengan isi-isi mengikut ketentuan syara’ yang akan memberi kepada kita manfaat semaksimun yang boleh bukan sahaja di dunia, tapi juga lebih penting lagi demi kepentingan akhirat kita.
,
Pertama, tanyalah diri kita, atau keluarga kita, adakah kita telah mengkadhakan segala puasa-puasa Ramadhan yang lepas yang kita terpaksa meninggalkanya kerana uzur, seperti sakit berat, atau kerana haid, nifas dan sebagainya kepada kaum wanita yang mengharamkan mereka berpuasa atau kerana sebab-sebab lain yang memberi kelonggaran kepada kita untuk tidak berpuasa tapi perlu mengkadhanya selepas itu?

Kalau belum kadha gunakanlah kesempatan yang masih ada lagi itu, walupun sedikit untuk mengkadhakannya. Pada masa-masa akan datang diharap kita tidak akan menangguh-nanguhkan lagi puasa kadha kita.

Lain-lain perkara yang perlu diperiksa ialah adakah di rumah kita mempunyai kitab suci al-Quran? Kalau ada adakah ia masih baik dan boleh digunaka?. Kalau belum ada dan belum mencukupi belilah segera dengan azam untuk membacanya, bukan untuk disimpan atau menjadi hiasan almari seperti buku-buiu biasa.

Biasanya kita beli al-Quran bukan untuk dibaca, tapi untuk disimpan sebagai buku-buku biasa, dan dicari di waktu ada kematian untuk mengupah orang mengaji al-Quran kepada si mati.

Kita hendaklah memperbaharui azam kita untuk sembahayang sunat tarawih sepanjang malam di bulan Ramadhan yang mulia ini, di samping bangun malam untuk berqiamulai dan bersahur. Berdoalah kepada Allah supaya kita dapat menunaikannya, di samping menunaikan ibadat-ibadat lain di sepanjang bulan Ramdhan kali ini.

Amin,
Xxxxxx

Renungilah:

-“Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta maka Allah tidak perlu dengan puasanya dari makan dan minum”.HR: Bukhari.

-“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. H Muttafaq ‘Alaih.

Bisik Pondok Rahmat:
Pautlah Iman.
Hulurkan Sejambak Mahabbah,
Seuntai Kasih,
Sekalung Harmoni.

Read more...

Wirid Keselamatan Ustz.Hj.Hasan Idris

>> Wednesday, August 4, 2010


WIRID Keselamatan
Ustaz Haji Hasan Hj.Idris


USTAZ Hasan Hj. Idris seorang guru yang berjasa. Muridnya bukan sahaja terdapat di Malaysia tapi di seluruh nunsantara. Di samping itu beliau juga banyak meninggalkan karya-karya yang perlu diberi perhatian, salah sebuah daripada buahtangan beliau ialah himpunan wirid untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga. Saya petik di sini sebagai satu pengenalan sahaja untuk dikongsikan bersama dengan pembaca dan peminat Pondok Rahmat ini.

Sebelum meneruskan tulisan ini, saya terlebih dahulu suka memetik nasihat beliau yang terdapat pada permulaan buku kecil itu. Kata beliau:

“Hendalah kita yakin pada Allah dan kekuasaanNya yang mutlak. Bila berlaku sesuatu takdir Allah ke atas diri kita maka hendaklah kita sentiasa bertenang, bersabar dan bersyukur keapadaNya, semoga kita akan mendapat ganjaran baik di akhirat nanti”.

Ikutilah seterusnya:

-Abu Hurairah [radi ALLAH anhu] meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang menghadap Rasulullah saw. dan memberitahu dia tidak dapat tidur semalam kerana disengat kala. Rasulullah saw. lalu bersabda, maksudnya, “Jikalau engkau baca pada sebelah petang [Baginda mengucapkan doa itu yang bermaksud:”Aku mohon berlindung dengan semua kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan/keburukan sesuatu yang dijadikan”], Insyallah tidak ada sesuatu boleh memudaratkan engkau [menyakiti engkau] hingga tak dapat tidur”.

-Baginda Rasulullah saw. mengajar Khalid bin al-Walid radi ALLAH anhu supaya membaca doa yang berikut ketika Khalid radi ALLAH anhu memberitahu dia selalu diganggu oleh seekor jin kafir.

Doa yang diajar oleh Rasulullah saw. bermaksud, “Aku mohon perlindungan [diriku] dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna [al-Quran], yang mana tidak akan mengatasinya oleh seorang taat atau yang derhaka, daripada kejahatan kejadian di bumi, daripada kejahatan perkara yang keluar darinya, daripada kejahatan perkara yang naik ke langit, daripada kejahatan perkara yang turun darinya, dan daripada segala perkara yang mendatang, kecuali yang mendatang itu membawa kebajikan, ya Allah yang Maha Pemurah”.

Menurut Khalid radi ALLAH anhu, setelah beliau mengamal membaca doa itu, maka gangguan jin itu hilang.

-Menurut riwayat Ibnu Aban bin Usman daripada bapanya radi ALLAH anhu, Baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya, “Barangsiapa membaca pada sebelah pagi [doa yang bermaksud “Dengan nama Allah yang dengan disertai namaNya, tidak ada sesuatu pun samada di bumi atau di langit, boleh memudaratkan [memberi kesan buruk], dan Dialah Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui]’ sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa bala [kemalangan atau sebagainya] hingga petang, dan jika dibaca pada sebelah petang, ia tidak ditimpa bala hingga ke pagi besuk”.

-Abu Daud radi ALLAH anhu meriwayatkan daripada Abu Darda’ radi ALLAH anhu, katanya, “Barangsiapa membaca pada sebelah pagi dan petang “Hasbiyallaahu laa ilaaha illa hua ‘alaihhi tawakkaltu wa hua rabbul ‘arsysil ‘adhim” [cukuplah Allah tempatku berpegang, kerana itu pelihara ‘Aras yang besar-p] sebanyak 7 kali nicaya Allah memeliharanya daripada perkara yang dirisaukannya.

Doa berikut diajar oleh Rasulullah saw kepada Annas bin Malik radi ALLAH anhu dan diamalkannya, setiap pagi dan petag untuk menjamin keselamatannya di sepanjang hari. Kemudian doa itu disampaikan pula kepada sahabat, Abban radi ALLAH anhu, maksud doa itu ialah:

“Dengan nama Allah, aku mohon Allah memelihara diriku dan agamamku.

Dengan nama Allah, aku mohon Allah memelihara keluargaku, hartaku dan anak-anaku.

Dengan nama Allah, aku mohon Allah mmelihara segala yang dikurniakan kepadaku oleh Tuhanku.

Allah, Allah, Allah, aku tidak sekutu denganNya sesuatu pun.

Allah, Allah, Allah itu Tuhanku, tidak menyekutu aku denganNya sesuatu pun.


Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Maha Mulia dan Maha Agung daripada sesuatu yang aku takut dan bimbang!

Ya Allah! Hamba mohon berlindung denganMu daripada kejahatan diriku, dan daripada godaan setiap syaitan yang jahat, juga daripada kejahatan setiap orang yang zalim lagi degil!

Maka jika mereka berpaling, katakanlah wahai Nabiku Muhammad; penolongku Allah yang tiada Tuhan yang sebenar melainkan Dia, kepadaNya aku berserah dan Dialah Allah empunya Aras yang Maha Agung, mulialah perlindunganMu ya Allah, besarlah pemujiMu, dan tiada Tuhan yan sebenar selainMu”.

-]Menurut Abu Darda’ radi ALLAH anhu sesiapa yang membaca doa yang berikut setiap pagi dan petang, nicaya dia akan terpelihara daripada seabarang bala atau kemalangan, sepanjang hari dan malam”. Maksud doa itu ialah:

“Dengan nama Allah, ya Allah! Engakulah Tuhanku, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Engkau jua, kepadaMu aku berserah, dan Engkaulah pemilik/pemelihara Aras yang agung, Tiada daya dan tiada kuasa melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Apa yang dikehendaki Allah tetap berlaku, dan apa yang tidak dikehendakiNya tetap tidak akan berlaku. Aku menyaksi bahawa Allah Taala berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu”.

“Ya Allah! Sesunggunya aku mohon perlindunganMu daripada kejahatan diriku, daripada kejahatan tiap-tiap sesuatu yang jahat, dan daripada kejahatan tiap-tiap binatang yang Engkau memegang kepalanya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus, dan Engkau- Ya Allah, Pengawal ke atas tiap-tiap sesuatu, sesunggunya Penguasaku ialah Allah Taala yang telah menurunkan al-Quran dan Dialah yang memelihara orang-orang yang saleh”.

-Menurut Abu Hurairah radi ALLAH anhu., Rasulah saw. telah bersabda, “Barangsiapa membaca “Ha Mim” hingga “alaihi lmasir”, dan ayat Qursi pada sebelah pagi, terpeliara dia sepanjang hari itu, dan barang siapa membacanya pada sebelah petang, maka terpeliharalah ia sepanjang malam itu”.HR:Tirmizi.

Ayat tersebut ialah ayat pertama hingga ayat tiga dalam Surah Al-Mu’min, maksudnya, “Allah jua yang mengetahui maksud Haa Mim, turunnya al-Quran ini dari Allah SWT yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui, yang mengampunkan dosa [hamba-hambaNya] dan yang menerima taubat [mereka], yang keras seksanya, yang melimpah-limpah kurniaNya, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Dia, kepadaNyalah jua tempat kembali”. Al-Mukmin:1-3.

Ayat al-Qursi terdapat dalam surah al-Baqarah, ayat 255, maksudnya, “Allah, tiada Tuhan [yang disembah dengan sebenarnya] melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbir [sekalian makhluk], yang tidak mengantuk usahkan tidur, yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat [pertolongan] di sisiNya melainkan dengan izinNya, yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari [kandungan] ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki [memberitahu kepadanya], luasnya Kerusi Allah [ilmunya dan kekuasaanNy] meliputi langit dan bumi., dan tiadalah menjadi keberatan kepadaNya menjaga serta memelihara kedua-duanya, dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”. Al-Baqarah:255.

-Diriwayatkan Sayyidina al-Hasan bin Sayyidina Ali radi ALLAH anhu pernah berkata:

“Saya memberi jaminan kepada sesiapa yang membaca 20 ayat, iaitu al-Qursi [S.Al-Baqarah:255].

Tiga ayat dari Surat Al-Araf, mulai, “Inna Rabba kumu llau kadzi khalaqa ssamaawaatiwa ardhu” hingga “Qarrribum mmina lmuhsinina”, iaitu ayat 53 hingga 55,

Sepuluh ayat awal Surah As-Shhaaffaat” hingga “Syihaabun Tsaaqibun”, iaitu ayat 1 hingga 10;

Tiga ayat dari Surah Ar-Rahman, Dari ayat, “Yaa Mas’yara ljinni Wa Linsi” hingga “Falaa Tantashiraani”, iaitu ayat 33 hingga 35;

dan tiga ayat dari Surah akhir Surah Hasyr, dari ayat “Huwa llaahu lladzi laailaaha Ilaa Huwa.” hingga akhir surah, iaitu “Wa Huwa Laziizu lhakimu”, iaitu ayat 22 hingga 24,

maka tidak akan memudaratkannya oleh sesuatu dan ia akan selamat daripada bahaya kejahatan setiap syaitan yang jahat, raja atau pemerintah yang zalim, pencuri yang menceroboh, atau binatang buas yang membahayakan”.

-Beliau juga menganjur supaya membaca wirid yang berikut untuk tujuan yang sama, di samping memabca wirid-wirid di atas. Wirid itu bermaksud, “Ya Allah!Wahai pengaman orang-orang yang takut! Amankanlah kami dari perkara-perkara yang kami takuti, selamatkanlah kami dan lepaskanlah kami daripada perkara yang kami rasa takut itu”

Dalam tulisan ini saya petik sebahagian wirid Ustaz Hj. Hassan bin Hj. Idirs yang terkandung dalam buku beliau yang berjodol “Wirid Keselamatan”.

Kepada mereka yang ingin mengikutinya dengan lebih lanjut wirid-wirid beliau itu, dan juga kepada mereka yang ingin beramal dengan wirid-wirid beliau itu [Ya Allah cucurilah rahmat ke atasnya] dinasihati supaya mendapatkan buku tersebut yang dikeluarkan dengan percuma oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Sekian.
xxxx

Renungilah:
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada doa”.HR: Tirmizi & Ibnu Majah.

“Sesiapa yang suka supaya Allah Taala perkenankan doanya tetakala ditimpa kesusashan dan kedukaan maka hendaklah ia selalu berdoa di waktu berada dalam kesenangan dan kemewahan”. HR:Tirmizi.
xxxx

Bisik Pondokramat:
“Pautkan iman, Hulurkan sejambak mahabbah, seutas kasih, sekalung harmoni”.

Read more...

Ramadan:Kg.Salor Dalam Nostaglia

>> Monday, August 2, 2010



Ramadhan:Kg. Salor Dalam Notaglia

BULAN Ramadan seribu empat ratus tiga puluh satu Hijriah hampir melabuhkan tirainya ke seluruh alam. Membawa segala rahmatnya.

Setiap tahun bila bulan Ramadan melabuhkan tirainya, aku akan direnggut oleh kenangan terhadap kampung laman kelahiranku, Kg. Salor, yang terletak di pinggir Sungai Kelantan, dan sejauh 12 batu daripada bandar Kota Bharu. Di kampung inilah aku dilahir, dibesarkan dan menerima pendidikan awalku.

Aku masih ingat lagi, setiap petang, khususnya dalam bulan Ramadan kami anak-anak muda, akan berkumpul di tebing sungai untuk berbual-bual smentara menunggu ketibaan waktu berbuka. Panaroma alam Sungai Kelantan ini begitu indahnya dengan matahari terbenam nun jauh di kaki langit, di ufuk timur. Mega-mega dalam berbagai-bagai bentuk dan warna tergantung-gantung di tabir langit petang yang tenang. Air sungai yang beralun-alun lembut kemilau di timpa sinar matahari senja yang sedang berlabuh untuk menutup tirai siang. Bayu berpupuk nyaman dan menyegarkan.

Bila hampir benar waktu berbuka akan tiba, barulah kami semua akan bersurai dan kembali ke rumah masing-masing. Biasanya aku akan terus masuk ke dapur menolong ibu mengangkat dan menghidang makanan untuk berbuka di bahagian luar dapur. Aku aturkan pinggan-pinggan yang berisi makanan itu dalam bentuk bundar dan meletakkannya di atas lantai papan yang telah dihamparkan dengan tikar mengkuang yang dijadikan seperah. Kami akan duduk mengelilinginya.

Lauk yang paling disukai oleh keluarga di bulan Ramadan ialah daging panggang tawar yang dicicah dengan budu pedas ataupun dicicah dengan kicap yang dicampur dengan bawang dan lada. Kalau tidak daging, ikan panggan tawar bersama ulam petai atau jering. Kadang-kadang hati lembu garam kunyit yang dibakar. Kadang-kadang lauk itu dibuat percik, ikan, daging atau hati. Kuahnya kadang-kadang ikan singgan.

Minumannya air batu kosong. Air batu ini dibeli dari satu-satunya penjual air batu di kapung kami dalam bulan puasa. Namanya Sayid Agil, dan kami panggil dia “abah”, dan di kalangan orang-orang tua pula memanggilnya “habib” yang berniaga kedai kopi. Dan kalau bukan bulan puasa, isterinya yang dipanggil “Mak Cik Wook” menjual nasi belauk pagi. Kdua-duanya sudah lama meninggal. Dan yang ada ialah kedai kopinya dan keluarganya. Di mana mereka sekarang?

Abah mendapat bekalan air batu daripada peniaga yang menghantarnya setiap hari dengan kenderaan. Peniaga ini menghantar air batu kepada para penjual di sepanjang jalan dari Kota Bharu ke Seberang Pasir Mas. Air batu itu dibekal dalam bentuk blok besar, dan setiap penjual kena memotongnya terlebih dahulu dengan gergaji dalam tongkol-tongkol kecil untuk dijual dengan harga dua puluh sen setongkol. Bekalan air batu itu tidak pernah mencukupi, siapa pergi lewat sedikit sahaja, tak dapat air batulah dia petang itu. Kadang-kadang akulah yang pergi membeli air batu itu.

Untuk mencegah air batu itu cepat hancur, ia dimasukkan ke dalam guni gula yang diisikan dengan habuk gergaji [habuk kayu selepas digergaji]. Pada waktu itu peti ais masih belum populer, dan sukar untuk didapati.

Kami duduk dalam bulatan mengelilingi hidangan sambil menunggu masuk waktu berbuka. Walaupun abangku pada waktu itu sudah memiliki jam tangan, dan jamnya selalu tepat, tapi kami tetap menunggu paluan beduk oleh tok siak dari masjid, yang penduduk panggil "surau", kira-kira satu kilometer lebih sedikit dari rumah kami.

Selain itu kami juga dapat mendengar dengan jelas bunyi dentuman mer1am yang ditembak setiap hari sepanjang bulan Ramadan daripada Padang Merdeka, di bandar Kota Bharu. Bunyi dentuman itu membelah senja yang sunyi menyusuri Sungai Kelantan sejauh berbelas-belas kilometer hingga kami dapat mendengarnya dengan begitu jelas walaupun jaraknya jauh dua belas batu dari rumah kami.

Apa yang aku mula-mula jamah, ialah gelas air batu. Ibu dan ayahku selalu menegur aku berbuat demikian, tidak baik katanya. Dan aku hanya diam sahaja. Selepas meneguknya, baru menjamah nasi.

Kadang-kadang sebelum waktu berbuka, aku menolong ibu menghantar juadah atau lauk ke rumah jiran tetangga. Dan lumranya pinggan yang berisi itu tidak akan di kembalikan dengan pinggang kosong, sebaliknya akan diisi pula dengan makanan-makanan balasannya, kalau tidak pada petang yang sama, kerana tidak ada makanan yang hendak dikongsikan, maka petang besok pinggan itu akan dikembalikan dengan berisi.

Walaupun yang dihantar itu mungkin sepinggan yang mengandungi beberapa biji pengat pisang sahaja, atau semangkuk kecil bubur kacang, tapi ia mengandungi erti yang besar untuk menambahkan lagi keenakan makan dan mengukuhkan lagi tali persaudaran, semangat kejiranan dan tali kekeluargaan.

Tapi hari ini, tradisi yang indah ini mungkin sudah tidak ada lagi, terutama di kalangan penduduk-penduduk bandar. Jiran sebelah menyebelah rumah pun mungkin tidak dikenali, kerana tidak pernah bertegur sapa, kalau tidak terpaksa. Kita telah kehilangan semangat mahabbah, dan kasih sayang dalam memburu kehidupan dunia yang fana ini. Semangat Ramadan yang mulia telah tercabaut dari jiwa kita dan yang ada ialah nafsu nafsi belaka.

Bila menjelang waktu Isa’, aku akan turun dari rumah untuk sembayang tarawih. Pada masa itu ada dua tempat untuk besembahayang, iaitu di masjid atau di “madarasah” yang letaknya lebih hampir dengan rumah kami dan di tepi jalan raya. Madrasah kayu itu masih lagi hidup hingga ke hari ini dan dikenali dengan panggilan “Balaisah Pohon Sagu”. Madrasah ini yang menjadi pilihan aku.

Di seberang jalan itu pula sawah padi yang luas terbentang. Pada masa itu boleh dikatakan tidak ada rumah yang didrikan di tepi sawah itu. Di waktu malam bulan terang, sawah itu akan menjadi lautan yang bermandikan cahaya bulan yang begitu mempesonakan.Kadang-kadang di waktu bulan megambang aku pergi sendirian ke tengah sawah dan terpacak beberapa waktu di atas batas sawah untuk menikmati belaian udara yang sejuk dan bermandikan cahaya bulan melimpah ruah.

Dan sebelum tiba waktu subuh, nun di sebelah timur sana, di sebalik kampung di hujung yang sesayup mata memandang itu akan muncul cahaya fajar yang aneka warna, bersewang menghiasai dada langit pagi, hingga muncul sang matahari menutup tirai malam dan membuka tirai pagi. Kadang-kadang selepas solat subuh di madarah itu, aku berdiri di pinggir jalan menghala ke sawah, merenung panaroma pagi yang begitu indahnya menyelimuti sawah yang luas terbentang itu, dengan embun-embun yang masih menitis..... Ya Allah Maha Kaya Engkau.

Biasnya selepas solat tarawih, ada jamuan makan [mori] disedikankan. Biasa menunya ialah cendol bersirap, bubur kacang atau jagung dengan teh o. Kadang-kadang buah buah-ketuah juga di bawa oleh jemaah, jika berkebetulan musim buah sedang menjadi, biasanya buah rambutan, langsat atau duku yang manis rasanya.

Kadang-kadang ada juga tak ada jamuan. Jika ditanya oleh kawan-kawan makan apa di balaisah, kami dengan senyum menjawab “makan pisang raja”, yang dikiaskan “sa-ja”, yang bermaksud tak ada makan apa-apa.

Selepas tarawih kami anak-anak muda tidak terus balik ke rumah, tapi menghabiskan masa dengan berbagai-bagai aktiviti untuk menunggu jauh malam sedikit, terutama di malam bulan terang. Antaranya main sembunyi-sembunyi secara berpasukan.

Sebelum bermain itu, kalau ada duit, kami makan colek dahulu di salah sebuah daripada tiga buah kedai kopi yang terdapat di situ. Paling tidak colek kerpuk.

Selain daripada jamuan lepas terawih, diadakan juga jamuan “menghantar puasa”, ini bererti hari raya dah dekat dan bulan puasa pula dah hampir habis. Biasanya jamuan menghantar puasa balik itu didakan pada malam 20 likur ke atas, kadang-kadang diadakan pada waktu berbuka dan kadang-kadang pula diadakan untuk bersahur. Tergantung kepada kemudahan dan prsetujuan jemaah. Untuk jamuan ini bukan saja para jemaah yang dijemput, tapi orang-orang kampung yang liat pergi tarwih pun dijemput sama, dan mereka tidak pula menolaknya.

Dan aku pernah membwa hidangan bersahur yang disediakan oleh ibu ke balaisah tempat aku bertarawih itu, dan ikut makan bersama, tapi di hidangan orang lain. Memanglah hidangan-hidangan itu disediakan oleh orang-orang kampung. Kalau banyak hidangan yang disediakan, maka lebih ramailah mereka yang dijemput.

Adakah tradisi ini masih hidup? Tapi hari ini kalau ada majlis berbuka puasa pun ianya disediakan oleh orang-orang tertentu, terutama waki-wakil rakyat atau ahli-ahli politik yang menghulurkan sumbangan untuk berbuka, bukan lagi berkongsi-kongsi atau bergotong-royong seperti masa dahulu itu.

Selepas tamat peperiksaan Senior Cambridge di Sultan Ismail College, dan ditawar kerja oleh [Dato’] Ustaz Yusuff Zaky Yaacob sebagai pengarang di Pustaka Dian semua aktiviti tersebut telah menjadi kabur kerana dibayangi oleh kerja-kerja yang tidak pernah habis-habis, dan hanya menjadi kenangan yang menyayukan setiap kali tirai bulan Ramadan terkuak.

Kadang-kadang tercetus pertanyaan dalam benak, adakah aku ini bodoh, kerana hampir melupakan kampung sendiri dari amali hidupku dan membiarkan ianya semarak dalam kenangan, terutama di bulan Ramadan dan di hari-hari raya? Kampong di mana aku dilahir dan dibesarkan yang mengandungi berbagai-bagai kenanagan manis dan pahit, bersama ibu dan ayahku yang pengasih dan penyayang? Sekarang kedua-duanya sudah tidak ada lagi, semoga Allah melimpahi rahmat ke atas mereka berdua.

Walau bagaimanapun, kakaku Zubaidah yang terkenal dengan panggilan “Kak Dah” dan suaminya Abdul Rahman yang terkenal degnan panggilan “Cik Gu Man” di kalangan penduduk tempatan masih menetap di situ. Anak-anak saudaraku, iaitu anak kepada Allahyarham abangku, Ariffin masih ramai di sana. Pusara-pusara ibuku, isteriku, datok dan nenek dan seluruh keluargaku yang dikasihi ada di sana. Semoga Allah limpahi rahmat ke atas mereka semuanya, dan menjadikan kubur-kubur mereka sebagai “taman-taman dari Syurga. Amin.

Kadang-kadang kenangan manis itu begitu menyayu dan menjentik-jentik hati dan mengalun-alunkan perasaan hingga tidak dapat digambarkan dengan jelas riak-riaknya yang menggetar jiwa dengan kata-kata? Mungkin begitulah yang dirasakan oleh seseorang perantau yang berada jauh diperantauan bila teringat kampug halamannya? Teringat teman-temannya, teringat ayah dan bondanya, teringat segala-galanya ?

Selamat datang Ramadan Al-Mubarak, semoga membawa rahmat Allah yang melimpah-ruah ke atas kami semua, baik yang masih hidup atau telah kembali ke pangkuan Ilahi. Selamat datang Ramadan Al-Mubarak ke Kampung Salor dengan membawa keberkatan ke atas seluruh penduduknya yang aku kenali dan tidak aku kenali. Amin.

Yang sentiasa merinduimu,

Mohd Zain Saleh

Xxxxxx

Renungilah:
-“Jangan menghina sesiapa pun dari kalangan kaum Muslimin, kerana orang Muslim yang kecil dan hina pada pandangan kamu itu, adalah besar dan mulia di sisi Allah”. HR: Bukhari.

-“Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang terbaik akhlaknya. Dan sebaik-baik di antara kamu ialah yang terbaik kepada isterinya”. HR:Tarmizi.

-“Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat daripada keindahan akhlak, dan Allah benci kepada orang yang keji mulut dan kelakuannya”. HR:Abu Qarda.

Bisik Pondok Rahmat:
"Pautkan Iman, hulurkan sejambak mahabbah, seuntai kasih, sekalung harmoni".


alt=""id="BLOGGER_PHOTO_ID_5500601344777966610" />

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP