BILA
BERCAKAP
JAGA
MULUT
Setiap orang
dikurniakan Allah mulut. Kerana itu setiap orang boleh berkata-kata atau bercakap.
Guna mulut selain
dari untuk makan dan minum dan sebagainya peranan utama mulut ialah untuk
berkata-kata atau bercakap.
Tujuan berkata-kata
ataupun bercakap itu ialah untuk berhubung dengan orang lain yang mempunyai
aneka tujuan pula.
Oleh itu bila
dikatakan bercakap, ia bukan lagi seorang diri, tapi pasti ada lawanya untuk
bercakap, seorang atau lebih. Hanya orang tak waras sahaja bercakap-cakap
seorang diri tanpa lawan, sekurang-kurangnya untuk mendengar apa yang
dicakapkannya itu.
Ada sesetengah
orang sangat suka bercakap, mulutnya sentiasa terbuka untuk meluahkan apa
sahaja kata-kata, dan sebaliknya ada pula orang yang tidak suka bercakap,
sentiasa dia membatu walaupun di saat-saat dia perlu membuka mulut untuk berbicara.
Kebanyakan orang
suka bercakap, sedikit atau banyak, kerana itulah kita sering lihat orang berkumpul
di simpang-simpang jalan, di kedai-kedai kopi, di cafe dan sebagainya untuk
bercakap-cakap ramai-ramai sambil bergelak ketawa.
Bercakap tanpa
tajuk, tanpa jodol, tanpa maksud yang jelas dikatakan berbual-bual kosong.
Sebenarnya ada berbagai-bagai panggilan lagi yang maksudnya berbual, seperti
kata-kata berborak, bersembang, atau
mengobrol kata Orang Seberang.
Orang Kelantan
kata [du]dok bual, atau kecek [bercakap]
saja-saja.
Walau
bagaimanapun orang yang suka bercakap banyak itu jauh lebih buruk atau bahaya
daripada orang yang suka diam, menutup mulut ataupun tidak suka bercakap banyak.
Sesungguhnya
banyak berbicara itu banyak pula salahnya. Itu memang logik. Sedangkan salah
orang yang tidak bercakap kalau boleh dikira
salah ialah kerana dia tidak bercakap atau diamnya tanpa berkata.
Kesan
Setiap kata-kata
yang diucapkan itu memberi kesan kepada pendengarnya, baik atau buruk
tergantung kepada apa yang diucapkanya. Kesan kata-kata itu amatlah kuat,
sehingga diibaratkan kata-kata itu lebih
tajam dari pedang atau senjata.
Sebuah ungkapan,
atau sebuah kata yang tidak wajar dituturkan mungkin mencetuskan persengkatan
antara seorang dengan seorang, antara satu kaum dengan satu, dan antara satu
bangsa dengan satu bangsa.
Sebuah kata-kata
yang tidak wajar mungkin menjadi punca beradu mulut atau perang mulut antara
seorang dengan seorang yang akhirnya jika tidak dihentikan akan menjadi perang
tangan dan kaki antara kedua pihak.
Demikian juga
antara satu bangsa dengan satu bangsa, antara
sebuah negara dengan sebuah negara
Boleh berlaku
sengketa kerana kata-kata para pemimpin mereka yang bertelagah kata pada
mulanya mungkin mencetuskan perang dingin antara kedua
negara.
Demikianlah
kesan kata-kata tidak wajar itu boleh
melukakan perasaan, hati dan jiwa orang atau orang-orang yang dijadikan mangsa
kata-kata tersebut.
Luka di tangan
nampak berdarah, tapi luka di hati hanya sendiri yang tahu. Luka di hati ini
mungkin tidak akan hilang-hilang hingga
ia menjadi dendam kesumat yang menunggu masa untuk meledak.
Kerana itu orang
Islam Muslim, lelaki atau perempuan yang mulia tidak akan bercakap tentang
perkara-perkara yang tidak berguna ataupun memberi faedah sedikitpun. Di samping itu
dia juga akan menjauhkan dirinya daripada berbuat sesuatu yang tidak memberi
faedah.
Apa lagi
andainya perkataan-perkataan itu dilarang oleh agama. Walaupun kita mempunyai
kebebasan untuk berbicara,
tapi ada perkara-perkara yang dilarang oleh agama kita bercakap tentangnya,
baik menerusi perbualan atau perbincangan mengenainya.
Antaranya kita
dilarang untuk membuat fitnah, berkata kata-kata dusta, menipu,
memburuk-burukkan orang lain, mencaci, menghina, mencela dan mengumpat dan
lain-lain kata yang bertujuan tidak baik.
Kerana itu apa
yang keluar dari mulut seorang Muslim yang baik ialah perkara yang memberi
faedah kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Kerana itu
sebagai seorang Muslim yang baik, dia lebih memilih untuk menutup mulutnya
daripada berbicara perkara-perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat atau
berbicara tentang perkara-perkara yang boleh mencetuskan keburukan atau
kebinasan kepada seseorang ataupun masyarakat umum.
Tentang hal ini
Yang Mulia, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah dia berkata dengan
perkataan yang baik, dan jika tidak boleh hendaklah dia diam”.
Kerana itu berhati-hatilah
ketika melepaskan kata, dan menjauhkan keta-kata yang boleh menjadi racun dan
fitnah yang merugikan.
Dalam keadaan
tertentu pilihlah slogan “Diam itu emas”.
Ingatlah firman
Allah yang bermaksud:
“ Tidak ada
sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya)
melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan
menulisnya) .“ Qaf (50) :18
Semoga kita
semua diberkati Allah SWT. dan dlimpahi rahmat Nya.
Sekian.
Pondok Rahmat
Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan
Darulnaim.
15 Januari 2022/
13 Rejab 1443.
Read more...