DRS ABDULRAHMAN AL-AHMADI

>> Saturday, October 26, 2019




DRS ABDULRAHMAN AL- AHMADI DALAM NOSTALGIA
 



ABDULRAHMAN AL-AHMADI adalah salah seorang penulis ilmiah yang termasyur, terutama di bidang budaya dan sejarah.

Hampir setiap kali saya berkunjung ke Kuala Lumpur atau ke Negeri Selangor tercetus hasrat dalam hati untuk berkunjung ke rumah beliau di Sungai Buloh.

Justeru kerana perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, saya hanya sempat sekali shaja bertamu ke rumah beliau di Sungai Buloh semasa hayatnya.

Tapi sebelum itu saya biasa tinggal bersama beliau dan keluarganya di rumah lamanya di Jalan Belangkas, Ampang Kuala lumpur. Bila beliau pindah ke Sungi Buloh, rumah itu ditinggali oleh salah sorang anak perempuannya.

Waktu itu saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di bahagian percetakan Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan, dan masih belum mempunyai tempat kediaman, lalu beliau menawarkan saya tinggal di rumahnya itu, berkebetulan ada sebuah kamar kosong di tingkat atas. Berbulan-bulan lamanya saya tinggal bersama dengan beliau sementara mencari sumah sewa yang sesuai.

Namun begitu akhirnya saya membuat keputusan untuk membina sebuah rumah setinggan di Kampung Melayu, Jalan Jelatek, Datok Keramat, Kuala Lumpur. Rumah ini yang terletak di tebing sungai mengalami nasib yang malang telah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya sebaik sahaja ia siap dibina.

Pada kali terakhir saya bertandang ke rumahnya di Sungai Buloh beliau telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku beliau yang berjodol “Petua Membina Rumah Melayu: Dari Sudut Etnis Antorpologi” yang diterbitkan oleh Perpustakaan Negara Malaysa, bersama sebuah nota ringkas mengenai sejarah hidup beliau.

Sebahagian besar daripada perbualan kami pada hari itu berkisar mengenai penulisan, diselang seli dengan perkara keluarga. Antara lain beliau memberitahu bahwa beliau telah diminta oleh seorang tokoh akademik menulis tentang penggembaran Hang Tuah dari satu tempat ke suatu tempat, berdasarkan nama-nama tempat yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut beliau, beliau telah menjejaki semua tempat-tempat tersebut dan memang benar terbukti kewujududannya.

Satu perkara yang sedihnya, ketika buku itu dalam proses penaipan komputer, tiba-tiba semua bahan yang telah siap ditaip telah lesap dari komputer  yang  ditaip oleh salah seorang puterinya, sementara manuskrip asal tulisan tangan beliau juga telah hilang dengan satu cara yang saya telah lupa puncanya sebagaimana diberitahu oleh beliau kepada saya. Justeru itu beliau terpaksa menulis semula buku itu dari awal hingga akhir, dan juga menaipnya semula.

Saya tidak pasti adakkah buku itu telah dicetak oleh penganjurnya yang masih ada lagi hingga sekarang.

Bealiu juga memberitahu saya , beliau telah menyerahkan semua buku-buku koleksi beliau kepada Perpustakaan Negara Malaysia. Katanya beliau diberi ganjaran tertentu. Namun begitu beliau masih belum berpuas hati kerana koleksi buku beliau masih tersimpan dan belum terurus dengan sewajarnya oleh Perpustakan Negara pada waktu itu. Saya percaya keadaan sekarang telah jauh berubah.

Beliau juga menyarankan saya, jika saya menyimpan banyak koleksi buku, supaya mengikuti langkahnya menyerahkan buku-buku saya itu kepada Perpustakaan Negara.

Saya dimaklumkan dalam koleksi peribadi buku-buku tersebut meliputi buku-buku mengenai sejarah, sejarah pndidikan pondok di Negeri Kelantan, novel-novel, kitab-kitab tajwid, syair, majalah-majalah, termasuk Majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan, hasl-hasil karya ulama Kelantan yang tersohor, seperti Haji Ummar Nuruddin, Sheikh Hj Wan Ali, Hj.Ahmed Maher, Dato’ Perdana Menteri Hj Nik Mahmood dan Hj. Muhammad Noor Ibrahim.




Sebelum itu beliau pernah menceritakan kepada saya  tentang nasib salah sebuah karyanya yang terbesar, iaitu Ensklopedia Budaya Melayu yang dihasilkan semasa beliau bertugas  di Kementeriaan Kebudayaan Belia Dan Sukan. Pada masa buku  itu dalam proses penulisan, tiba-tiba pada tahun 1986 bangunan Wisma keramat, Jalan Gurney Kuala Lumpur di mana Kementeriaan Kebudayaan Dan Sukan ditempatkan telah terbakar, dan ikut musnah dalam kebakaran itu ialah sebahagian daripada naskah-naskah Enskolpedia Budaya tersebut. Sementara sebahagian lagi daripada siri buku tersebut yang sedang dalam proses semakan percetakan telah musnah di pejabat sebuah percetakan bila banjir besar melanda  Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Beliau juga pernah memberitahu saya, bahawa sekiranya beliau menghadapi kebuntuan dalam sesuatu perkara, beliau kadang kala bersama dengan sahabatnya gemulah Ustaz Abdullah bin Muhammed Nakula [1931-1998] akan pergi berkhalwat di sebuah lubang tempat berkahwlat yang digali oleh Tok Selehong, di Kampung Tok Selehong  Tumpat. Tok Selehong [1871-1935] ialah seorang ulama yang termsayur di Kelantan. Menurut beliau biasanya beliau akan mendapat jawapan kepada persoalan buntu yang sedang mereka hadapai itu.

Pengalaman 
Saya mulai mengenali beliau pada tahun 1964 di Pustaka Dian, Jalan Cik Su, Kota Bharu. Beliau mulai melaporkan diri untuk bertugas pada suatu pagi, serentak bersama kami masuk bertugas. Seperti pekerja-pekerja yang lain juga , beliau tiba-tiba muncul dan menduduki sebuah meja kosong tanpa penghuni. Namun begitu tidak menjadi hal, kerana beliau seorang yang mudah mesra, peramah dan senang didekati.

Pada masa itu Mohamed Zain Saleh adalah salah seorang, atau tepatnya satu-satunya sidang pengarang  Dian. Pada masa itu Pustaka Dian tidak pernah mengambil sebarang butir peribadi bakal pekerja atau menyediakan borang untuk disi oleh bakal pekerja, hanya cukup ditunjukkan kad pengenalan untuk urusan pembayaran gaji dan Tabung Simpanan Pekerja  [KWSP]. Pada masa itu [Dato’] Yusoff Zaky masih memegang peranan utama dan solo mengendalikan Pustaka Dian.

Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi boleh dikatakan lama juga bersama kami di Pustaka Dian, iaitu kira-kira selama lima tahun, dari tahun 1964 hingga tahun 1969. Saya panggil dia Abang Man walaupun semua orang yang mengenalinya memanggil dia Pak Su Man.Tapi isterinya pula saya panggil Mak Su, berasal dari Indonesia. Seperti Pak Su Man juga beliau seorang yang ramah, mudah mesra dan baik hati.

Drs. Abdul Rahman dilahirkan pada 31 Mac, 1931 di Pasir Mas Kelantan sebuah bandar yang terletak di pinggir Sungai Kelantan.

Beliau menerima pendidikan awalnya  di Pasir Mas, iaitu belajar di Sekolah Melayu Pasir Mas, dan kemudian melanjutkan pelajarannya ke Madrasah Jame', Merbau, Kota Bharu dari tahun 1942 hingga 1946.

Kemudian beliau berhijrah keluar negara untuk meraih ilmu. Pada tahun 1947, beliau melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah  Pertama [SMP] Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia. Seterusnya pada tahun 1950 beliau melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah Atas, Jakarta, Indonesia [SMA].

Berkat rajin dan usaha gigihnya, beberapa tahun kemudian beliau berjaya memasuki Universiti Gajah Mada, Yogyakkarta, Jawa Tengah Indonesia dan berjaya mendapat gelaran Doktorandus [Sarjana] dalam bidang Hubungan Antara Bangsa pada tahun 1961. Bila beliau balik ke Malaysia dan menyambung pelajaran akademiknya dan berjaya menggondol  Ijazah Sarjana dalam bidang sejarah daripada Universiti Malaya pada tahun 1978.

Ketika saya menumpang di rumah beliau, di Jalan Belangkas, beliau sering membawa saya berkunjung ke Perpustakaan Universiti Malaya [UM] bila beliau ada urusan untuk membuat sesuatu kajian. Beliau nampaknya begitu familiar dengan salah seorang pustakawan di perpustakaan tersebut.

Dalam bidang akademik beliau tidak berhenti setakat itu sahaja, kerana selepas itu beliau menyambungkan pelajarannya dengan mengikuti kuiah Ph. D di Ecole des Hutes Etudes en Science Sociates di Paris atas biasiswa tajaan kerajaan Peancis pada tahun 1980 hingga 1981.

Sebelum itu ketika menetap di Pasir Mas beliau bertugas sebagai seorang pengkuliah di Yayasan Pengajian Tinggi Nilam Puri, Kota Bharu di samping bertugas di institusi persekolahan yang dikenali sebagai Institut Pendidikan, Kota Bharu. Kemudian beliau dilantik menjadi Pengetua Maktab Adabi Kota Bharu dari tahun 1970 hingga 1972, dan menjadi Pengetua Maktab Adabi Pasir Mas dari tahun 1973 hingga 1975.

Ketika beliau menetap di Kuala Lumpur pula beliau pernah memegang jawatan pensyarah sambilan di Institut Bahasa, Kesusateraan, Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan [BKKM], Lembah Pantai, Kuala Lumpur dari tahun 1976 hingga 1978.

Sewaktu beliau bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan pada tahun 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Unit, Bahagian Penyelidikan, Kemenerian Kebudayaan, dan telah dilantik mengetuai Unit Ensiklopedia Budaya, Bahagian Penyelidikan, Kementerian Kebudyaan, Belia dan Sukan. Sebahagian daripada naskah Ensiklopedia ini telah musnah dalam kebakaran dan banjir.

Beliau adalah seorang ilmuan yang banyak membuat kajian tentang filologi, terutama mengenai manuskrip Melayu, di mana pada tahun 1984 beliau telah menerima biasiswa UNESCO untuk membuat kajian mengenai manuskrip Melayu di Negeri Belanda. Beliau telah membuat kajian tersebut dari 25 Disember 1984 hingga 25 Mac 1985 di Royal Institute of Linguistics and Anthropology, dan di Leiden University dan Arkib Nasional Belanda  di Amerstdam.

Beliau telah bersara dari jawatan kerajaan pada 15 April, 1992.

Pada tahun 1993 hingga 1994 beliau telah dilantik menjadi Mualim Tamu, Perpustakaan Negara Malaysia yang pertama. Kemudian dilantik semula oleh Perpustakaan Negara untuk tugas yang sama pada tahun 1997 hingga 1998.

Pada tahun 1987 beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.

Pada tahun 1991 dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pemberian Dan Perolehan Muzium Islam, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankasa Penubuhan Muzium Ethnology Dunia Melayu, Muzium Negara Malaysia.

Di samping itu pada tahun 1994-1995 beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam Dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Semasa hayatnya beliau telah berjaya menghasilkan sekumpulan buku-buku yang telah diterbitkan, antaranya Pengantar Sastera, Pengantar Ilmu Politik [1966[ dan Detik-detik Sejarah Kelantan, yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Kota Bharu.

Lain-lain buku yang diterbitkan oleh Kementeriaan Kebudayaan Beliau dan Sukan, antaranya ialah: Pengantar Budaya dan Maysrakat, Sejarah Kebudayaan Prasejarah di Malaysia, Kalung Bunga [Koleksi Essei], Tokoh dan Pokok Pemikiran Tok Kenali, Sejarah Kedatangan Islam ke Asia Tenggara, Sejarah dan Kebudayaan Camp, Batu Bersurat Melayu Kuno, Rakyat, Budaya Dan Agama.

Sebelum itu di samping menterjemah rancana-rencana dari bahasa asing, beliau juga telah menterjemah buku Treasure Island karya R. L. Stevenson dengan jodol Pulau Khazanah, dan diterbitkan oleh Oxford University  Press 1968.

Beliau juga banyak menulis rencana-rencana berkaitan dengan jurusan sejarah, sastera, budaya, agama dan falsafah dan kebudayaan yang disiarkan dalam majalah-majalah tempatan, seperti Dian, akhbar Mingguan Kota Bharu dan lain-lain. Di samping itu banyak menghasilkan kertas-kertas kerja seminar dan dan kuliah serta karya-karya yang diterbitkan oleh Kementerian Kebudyaan Belia dan Sukan. 

Saya mendengar berita duka tentang pemergian beliau ke pangkuan Ilahi ketika bersama-sama dengan beberapa orang penulis di kediaman saya, Pondok Rahmat. Saya masih belum berkesempatan untuk mendapatkan cerita  yang lanjut tentangnya hingga ke hari ini walaupun masa telah agak lama berlalu.

Beliau pernah memberitahu saya bahawa sejak kebekalangan, beliau tidak begitu sihat, dan tidak mampu bergerak seorang diri ke pejalanan yang agak jauh, kerana itu terpaksa membawa isterinya, Mak Su bersama untuk menemaninya. Menurut beliau ini berlaku berpunca daripada pemdedahan yang pernah dialaminya sebelum itu.

Saya bertemu beliau  di Kota Bharu dalam majlis Siri Wacana Tokoh Tok Kenali pada tahun 2001 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur  di mana beliau adalah salah seorang pembentang kertas kerjanya. Justeru beliau tidak mempunyai pengangkutan, selepas seminar saya temani beliau ke hotel penginapan, sementara menunggu kapalterbang akan berlepas pada sebelah petangnya  dan menghantarnya ke lapangan terbang Pengkalan Chepa.

Saya teringat, beliau pernah beberapa kali memberitahu saya bahawa beliau akan menulis auotobiografi tentang diri beliau, dan menasihat saya supaya menulisnya juga. Saya masih belum pasti adakah buku tersebut sempat beliau tulis ataupun tidak.

Saya juga pernah menghadiahkan kepada beliau buku saya berjodol Keluarga Diraja Kelantan Darulnaim.

Ya Allah cucurilah rahmat Mu ke atanya.

Sekian.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan, Darulnaim.

26 Oktover 2019
/27 Safar 1441




2 comments:

Lloni Multiply October 27, 2019 at 9:56 AM  

Assalam..jika tuan boleh gi ke pasir mas pengkalan batu area umoh budu mok pok mungkin orang di situ boleh confirm adakah gambar yg ambo ambil tersebut adalah tuan badan arwah...semoga ruhnya dicucuri rahmst itulah pertama dan terakhir berjumpa dengannya.

Unknown May 26, 2020 at 11:10 PM  

Pondok Rahmat, mohon berhubung dengan saya 0175826955. Saya adalah anak kepada arwah. Terima kasih atas perkongsian tuan haji.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP