RACUN DALAM UBI KAYU

>> Monday, December 3, 2012




RACUN DALAM UBI KAYU



Biasanya di musim hujan atau tengkujuh, khusunya di negeri-negeri di Pantai Timur, ubi kayu merupakan sebahagian daripada bahan-bahan makanan yang populer. Ia mungkin dimakan di waktu pagi sebagai sarapan, atau di makan  sebagai makanan  ringan atau sebagai pembasuh mulut tanpa mengira waktu.


Salah satu sebab utama makanan daripada ubi kayu lebih populer di musim hujan ialah kerana ubi kayu terdapat banyak di pasaran pada musim hujan. Biasanya para petani yang menanam pokok ubi kayu, terutama di kawasan yang lembah akan menggali ubi kayu yang mereka tanam itu, sebab pokok ubi kayu tidak tahan berendam lama dalam air yang akan mengakibatkan ubinya  rosak dan pokoknya akan mati akibat berendam air.




Justeru itu pada musim tengkujuh, ubi kayu malah ubi-ubi lain juga terpaksa digali dan ubi-ubinya terpaksa diambil untuk dimakan atau dijual.


Selepas digali dan terdedah kepada cuaca, ubi kayu tidak tahan lama, ia segera akan rosak, menjadi buruk dan lembik, atau "masuk angin" terutama yang terdapat kerosakan atau terkoyak kulitnya,  yang menyebabkan ia berubah rupa, rasa dan tidak enak untuk dimakan.


Selain daripada direbus, seperti biasa, ada beberapa cara tradisional lagi ubi kayu itu diproses untuk dijadikan beberapa jenis hidangan yang menyelerakan. Antaranya disira, dibuat putu halba, dibuat tepung bokor [tepung talam], poli ubi kayu, tapai ubi kayu, kerepek ubi kayu, bingka ubi kayu dan sebagainya. Ia juga boleh digoreng atau dibakar.



Ibu kayu rebus tidak dimakan begitu sahaja, tapi dimakan dengan kelapa yang masih hijau kulitnya, iaitu buah kelapa yang tidak kotel atau tua, dan digaulkan garam dan gula secukup rasa.


Cubalah rasakan keenakannya, dan ditambah dengan segelas kopi o pekat di waktu pagi.


Racun Dalam Ubi Kayu


Walau bagaimana pun hendaklah kita tidak lupa, bahawa pada ubi kayu itu terdapat juga bahan-bahan lain yang tidak perlu kepada kesihatan kita, malah boleh menganggukan kesihatan kita jika tidak dijaga.


Ini tidaklah pelik, kerana biasanya dalam bahan-bahan makanan lain juga terdapat bahan-bahan yang menganggu seperti itu, terutama kalau dimakan dengan banyak dan dalam masa yang berpanjangan, seperti petai dan jering.


Mengikut kajian dalam ubi kayu itu terdapat sejenis bahan yang dipanggil SIANIDA yang boleh memberi gangguan kepada orang yang memakan ubi kayu. Malah Sianida ini sejenis bahan kimia yang boleh bertindak sebagai racun yang boleh membahayakan kesihatan.


Justeru itu ubi kayu tidak boleh dimakan mentah begitu sahaja sebelum dimasak.


Bahan sianida yang terdapat dalam ubi kayu itu dikenali dengan nama sianogenik yang bila dimasak boleh bertukar menjadi bahan lain yang dikenali dengan nama tiosianat.


Mengikut bahan penerbitan yang pernah dikeluarkan oleh Unit Pendidikan Jabatan Kesihatan Kelantan peranan yang dimainkan oleh tiosianat boleh memberi gangguan kepada metabolisme iodin serta menyekat pengumpulan iodin dan tiroid.


Bahan ini boleh menimbulkan kesan jangka panjang yang boleh menimbulkan gangguan akibat kekurangan iodin dalam badan.

Kekurangan iodin pula boleh menyebabkan penyakit tiroid dan juga beberapa jenis penyakit lagi.


Kebanyakan penyakit akibat kekurangan iodin biasanya terdapat di kawasan-kawasan di mana tanaman-tanamannya ditanam di bumi yang miskin dengan iodin.


Cara Mengurang Sianida


Mengikut siaran tersebut ubi kayu yang hendak dimakan itu hendaklah dikupas kulitnya, termasuk kulit arinya, dan diparut. Kemudian leleh atau biarkan ubi parut itu selama satu jam sebelum di masak.


Kemudian sebelum dimasak ubi kayu itu hendaklah direndam dalam air selama tidak kurang dari 20 minit atau lebih lama lagi untuk selamat dimakan.


Selain daripada ubi daun atau pucuknya yang muda juga dijadikan sayur yang enak, seperti diimasak lemak kuning cili api atapun hanya dicelur kemudian dicicah dengan budu atau sambal belacan atau sambal tempoyak cili api.


Sebelum dimasak, daun ubi kayu itu hendaklah direndam terlebih dalam air yang bersih, kemudian hendaklah dipotong halus-halus, kemudian rendam lagi dalam air selama satu jama atau lebih untuk mengurang sianida yang terdapat di dalamnya dan menjadikannya lebih selamat untuk dimakan.


Wallahua’lam.
 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP