GEJALA-GEJALA SOSIAL YANG MEROSAKKAN BANGSA
Kita tentu sedar telah berlaku berbagai-bagai perubahan dalam masyarakat
kita dari masa ke masa, dari sejak dahulu hingga sekarang. Segala perubahan
yang berlaku dalam masyarakat itu, adalah sejajar dengan arus pembangunan yang
berlaku dalam negara dari sejak merdeka hingga sekarang.
Tidaklah dapat dinafikan, bahawa Malaysia mengalami proses pembangunan yang
amat pesat dalam berbagai-bagai bidang, baik dari segi ekonomi dan teknologi
yang sudah pasti menimpakan kesan-kesan yang besar terhadap masyarakat yang
merangkumi bidang yang amat luas pula, seperti dalam bidang perbandaran,
penghijrahan, perubahan sikap dan nilai-niai hidup anggota-anggota masyarakat.
Tapi memang tidak boleh dielakkan bahawa segala perubahan masyarakat itu berlaku kerana
terpengaruh oleh berbagai-bagai perubahan dan pembangunan kebendaan yang
berlaku dalam negara itu.
Senario perubahan ini amat pesat berlaku dalam ruang-lingkup kemajuan perbandaran atau perkotaan. Selepas merdeka,
bilangan penduduk bandar atau kota telah meningkat dengan pesat dari masa ke
semasa.
Perangkaan menunjukkan bahawa daripada tahun 1970 hingga tahun 1987 penduduk
bandar telah meningkat sebanyak 32.0 peratus, dan terus meningkat lagi kepada
60.8 pepratus pada tahun 2003.
Peningkatan penduduk bandar ini berlaku kerana penghijrahan penduduk luar
bandar ke bandar sepanjang masa tersebut.
Penghijrahan itu berlaku kerana sebab-sebab ekonomi, iaitu untuk mencari peluang
pekerjaan yang tidak wujud di luar bandar. Kebanyakan pekerjaan itu banyak
terdapat dalam bidang perkilangan dan perindustrian yang kian meningkat dari
masa ke masa di mana bandar-bandar adalah menjadi nadinya kerana terdapat
berbagai-bagai kemudahan yang disediakan di sana.
Kebanyakan penghijrahan ke bandar itu berlaku di kalangan anak-anak muda
luar bandar yang berada dalam lingkungan usia 15 hingga 34 tahun. Di tinjau
dari satu segi penghijrahan itu memang berguna dari segi ekonomi dan sosial
rakyat dan negara Malaysia. Namun begitu, kegunaan itu tidak dapat memberi
sumbangan yang wajar kepada kesjahteraan hidup keruhanian manusia yang
merupakan unsur yang tidak selalunya mendapat perhatian yang saksama.
Sementara itu, perkembangan-perkembangan media elektronik dan media cetak
yang begitu pantas telah mencetuskan berbagai-bagai efek terhadap pemikiran
manusia, terutama kepada golongan kanak-kanak dan anak-anak muda remaja.
Pengarauh-pengaruh yang ditimpakannya itu sering bertembung dengan nilai-nilai
tradisional dan juga nilai-nilai agama yang suci, kerana elemn-elemen yang
dibawa dan dikembangkannya bukan sahaja murni dan mulia, malah sebaliknya lebih
banyak mengecewakan hati nurani manusia.
Akibatnya sebagaimana yang kita lihat berbagai-bagai gejala buruk telah
menimpa batu gemala anak-anak bangsa kita, baik secara langsung ataupun tidak
langsung. Perkara yang tidak diingini ini berlaku kerana rapuhnya keruhanian kita dalam menempuh berbagai-bagai gelumbang cabaran yang dilonjakkan
oleh berbagai-bagai kemajuan yang begitu pesat berkembang dalam semua bidng
kehidupan.
Gejala-gejala buruk yang begitu
ketara telah berlaku dalam gerak nadi masyarakat kita antaranya ialah
penyalahgunaan dadah, penagihan alkohol, aneka jenis jenayah, seperti rasuah,
rompak, samun, ragut, rogol, buang bayi, wabak perzinaan atau seks bebas, problem
displin dan ponteng sekolah yang kian meningkat, dan berbagai-bagai perkara
makar lagi yang kian pesat berkembang dalam masyarakat kita, termasuklah gangguan
psikologi yang kian meninggi dari masa ke masa.
Dari segi keruhaniannya segala perubahan-perubahan dan kemajuan itu telah
mengusik dan menggoda jiwa para insan, terutama unsur-unsur negatifnya yang
akan memimpin mereka ke arah kehancuran, sedangkan mereka tidak mempunyai
benteng keruhanian yang utuh untuk mengahadapi aneka cabaran hidup yang
melanda, terutama dari segi kebendaan yang akan melorong manusia ke arah
kemusnahan sebagaimana telah lama berlaku secara berleluasa dalam masyarakat
barat. Semua perubahan yang berlaku, mahu tidak mahu, telah menimpakan
kesan-kesan terhadap jiwa manusia, baik dengan kadar yang sedikit ataupun
dengan kadar yang banyak, termasuk dari segi kesihatan yang biasanya
mempegaruhi hayat manusia yang terlibat.
Keresahan jiwa dan tekanan perasaan akibat himpitan hidup boleh mempengaruhi kesihatan manusia, seperti boleh mengakibatkan
berbagai-bagai jenis penyakit, seperti penyakit darah tinggi dan penyakit
jantung. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia [WHO] negara kita Malaysia pun tidak terlepas
daripada gejala-gejala penyakit tersebut.
Di negara kita Malaysia, kadar kematian kerana penyakit darah tinggi dan
penyakit jantung [cardiovascular], kian meninggi dari masa ke masa. Pada tahun
1980 kadar kematian di Malaysia kerana penyakit darah tinggi ialah 26.6 bagi
setiap 100,000 orang penduduk, tapi pada tahun 1989 kadar kematian itu telah
meningkat kepada 37.3 dalam 100,000 orang penduduk.
Kecelaruan jiwa manusia akibat tekanan hidup menimpa setiap peringkat usia
masyarakat dan juga setiap peringkat taraf hidup mereka. Ia menimpakan kesan ke
atas kanak-kanak sekolah, anak-anak muda remaja, orang-orang dewasa dan juga
orang-orang tua, lelaki dan wanita. Perkara ini berlaku kerana beberapa faktur,
seperti berpunca daripada tekanan kerja, tekanan pendidikan, tekanan ekonomi,
tekanan di rumah tangga dan sebagainya.
Tindak balas mangsa itu pula berbeza antara seorang personal dengan
seorang personal yang lain dalam masyarakat.
Akhirnya kerana dipengaruhi oleh berbagai-bagai faktur lagi, telah
menyebabkan salah satu institusi yang penting dalam masyarakat, iaitu institusi
kekelurgaan menjadi ranap, punah dan runtuh ditelan perubahan dan masa yang
berlalu. Keruntuhan institusi kekeluargaan ini telah berjaya menimpakan
kesan-kesan yang buruk ke atas masyarakat, seperti meningkatnya gejala ponteng
sekolah, pengamalan seks bebas atau perzinaan, melepak, merompak, membunuh,
samun bersenjata dan tidak bersenjata, merogol, pelacuran, vandalisme dan
sebagainya. Semuanya itu memerlukan perhatian yang serius supaya ianya tidak
menjadi barah yang lebih parah dan memusnahkan bangsa dan negara.
Segala kemajuan dan perubahan-perubahan yang berlaku ini melibatkan seluruh
masyarakat, termasuk umat Islam samada mereka sedari atau tidak sedari, samada
mereka mahu atau tidak mahu. Arus pembangunan yang bergerak laju itu, akan
meliputi, malah telah pun menenggelamkan sebahagian daripada mereka yang alpa
tidak awas dan waspada, dan tidak mempunyai kelengkapan-kelengkapan diri yang
perlu untuk menjadi benteng kebal yang diperlukan untuk menghadapi dunia yang
kian mencabar ini.
Keadaan ini telah menimpakan krisis nilai terhadap masyarakat, khususnya
masyarakat Islam. di mana ia telah menjelma dalam berbagai-bagai gejala buruk
di kalangan rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini. Krisis ini telah berjaya menghapuskan
nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Keadaan menjadi tambah buruk dengan adanya faktur-faktur yang berikut:
-Pengaruh budaya luar, khususnya budaya kuning
yang buruk yang merosakkan budaya murni yang telah sedia ada dalam masyarakat,
yang boleh menyebabkan keruntuhan masyarakat itu sendiri.
-Merosotnya pemupukan niai-nilai murni dalam
masyarakat, khususnya dalam sistem kekeluargaan yang menjadi asas kepada
pembentukan masyarakat.
-Merosotnya pemupukan nilai-nilai moral atau agama
dalam masyarakat, tegasnya keluarga yang menjadi tunjang masyarakat.
-Fungsi kekeluargaan yang penting itu telah
terhakis dengan teruknya, malah tidak berperanan lagi, telah menjadi makhluk
yang hampir lumpuh. Justeru itu generasi-generasi muda dalam keluarga, tidak
lagi tumbuh dan berkembang dengan sewajarnya, malah tumbuh dengan meliar di
kelilingi oleh parasit-parasit lalang, semak dan hamun yang boleh membinasakan.
Andainya ketua-ketua keluarga tidak tegak dalam
keimanan, maka anak-anak buah mereka, generasi-generasi yang akan mewarisi
mereka, sukar untuk menjadi anak Muslim yang tulen, malah mungkin menjadi lebih
buruk lagi, sebagai anak-anak jin dan syaitan. Kata orang, bagaimana acuan
begitulah kuehnya, malah kadang-kadang kueh lebih buruk daripada
acuan-acuannya.
Bukan lagi perkara pelik pada hari ini, kalau kita mendengar ada anak-anak
yang tidak menghormati ibu bapa mereka, malah terdapat kes-kes di mana
anak-anak memukul dan membaham ibu bapa mereka, menghalau ibu bapa mereka, meninggalkan
ibu bapa mereka, malah ada yang sanggup menguggut dan membunuh ibu bapa mereka
kerana enggan memberi RM 10 untuk mereka berjoli membeli dadah yag terkutuk
itu.
Mengikut kajian, anak-anak muda Melayu, yang pastinya beragama Islam,
adalah merupakan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang terlibat dalam
gejala-gejalan sosial yang buruk di negara kita.
Sebahagian besar daripada penagih-penagih dadah yang menghuni di pusat-pusat serenti di
seluruh negara, adalah Melayu, iaitu sebanyak 80 peratus.
Hampir seluruh mereka yang terlibat dengan kerja-kerja bohsia dan bohjan
adalah terdiri dripada anak-anak Melayu; seluruh Mat Rempit yang berlagak gila
di jalan-jalan raya adalah anak-anak Melayu, sebahagian besar daripada orang-oang
yang fasik menentang agama mereka sendiri adalah anak-anak Melayu, dan
sebahagian orang-orang Melayu sejak kebelakangan ini yang hidup seperti suami
isteri tanpa nikah hingga melahirkan anak-anak haram. Dan
sebahagian besar daripada mereka yang melempar anak-anak mereka adalah Melayu
Akibat merostonya fungsi kekeluargaan itu, maka fungsi kejiranan juga
menjadi merundum. Sedangkan fungsi kejiranan itu sepatutnya terus hidup segar
dan berkembang walau pun di bumi mana manusia berpijak. Kerana itu walau pun
rumah kediaman mereka, sebelah menyebelah, rumah pangsa sekali pun, ada
kemungkinan besar, mereka tidak kenal mengenali antara satu sama lain.
Justeru itu tidak ada siapa yang bersedia menegur anak-anak jiran mereka
yang membuat kemungkaran di hadapan mata mereka sekali pun. Kerana dengan
berbuat demikian mereka terpaksa bersedia menerima risiko dimarahi dan
didendami oleh anak-anak jiran itu ataupun dicela oleh ayah anak-anak itu yang
menganggap perkara itu sebagai fitnah semata, dan usaha untuk menjaga tepi kain
orang lain. Kalau sekadar dimarah dan dicela sahaja, tidaklah merisaukan
sangat, tapi bagaimana kalau diikuti dengan tindakan agresif, kekerasaan
fizikal. Dengan itu lebih selamat untuk tidak “menajaga tepi kain oang lain”
dan besikap “ada mata lihat, ada telinga dengar”, daripada membuka mulut.
Ledakan informasi dalam teknologi informasi dsn komunikasi [ICT] yang melampau-lampau, mendedahkan
mereka kepada aneka unsur negatif yang tidak sihat dan ke arah kerja-kerja
bejat dan durjana.
Perkara ini berlaku kerana beberapa faktur:
-Kebiasaannya anak-anak muda remaja gemar mencuba
sesuatu yang dianggap “dewasa” dan kebiasaannya kecenderungan itu menyebabkan
mereka menyempang daripada landasan moral yang sebenarnya.
-Kebanyakan golongan remaja hari ini tidak
mempunyai kepimpinan atau panduan yang betul untuk membantu mereka menempuhi zaman remaja
mereka yang penuh dengan aneka cabaran.
-Penganjuran hiburan yang terlampau tanpa mengira
halal dan haram, dan progremnya tidak berlandaskan ajaran Islam dan akhlak yang mulia, malah bercanggah dengan nilai-nilai agama.
Progrem ini tetap diteruskan juga walaupun mendapat tentangan daripada alim
ulamak, demi kepentingan poket penganjurnya. Justeru dalam progrem-progrem
seperti ini, percampuran bebas antara lelaki dan prempuan, pendedahan aurat,
pengelibatan arak dan penyalahgunaan dadah, berkelakuan tidak bermoral dan
sebagainya tidak diambil kira selagi ia boleh memberi pegnhasilan yang melimpahi
kantung.
Sebagai pengganti penghakisan nilai-nilai murn itu telah timbul nilai-nalai
baru yang kacau-lembang dan budaya-budaya biadab dalam masyarakat, seperti
sikap kurang ajar atau tidak sopan, gelujuh, rakus, biadab, kejam, ganas, menipu,
rasuah, terlalu mementingkan diri sendiri, pergaulan bebas, hidup bersama tanpa
nekah, maksiat perjudian, minum arak, salahguna dadah, makan riba dan
sebagainya berleluasa dalam masyarakat, sebagaimana berlaku dalam masyarakat
barat.
Akibat terpengaruh dengan gejala-gejala dan budaya-budaya yang tidak sihat
dan buruk itu, segala sifat mulia dalam masyarakat telah berangsur-angsur
terhakis, seperti sikap menghormati orang-orang tua, ibu bapa, kasih sayang
terhadap keluarga dan jiran tetangga, berbudi bahasa, bersopan santun,
menghormati peraturan dan undang-undang dan sebagainya dari sifat-sifat yang
mulia dan positif telah pupus, dan ini mencetuskan kebimbangan kepada
anggota-anggota masyarakat yang berfikir.
Malah masyarakat kita telah berubah menjadi masyarakat materialistik yang
berlebihan, atau bersemangat keakuan yang melampau-lampau yang menyebabkan
terpinggirnya amalan murni yang selama ini menjadi tunjang masyrakat kita.
Justeru itu, penghakisan nilai murni dalam umat Islam Melayu itu telah
menjadi krisis besar yang telah menimbulkan kesan yang buruk dan amat membimbangkan.
Penghakisan niali-nilai murni masyarakat ini telah menghilangkan
peluang-peluang dalam masyarakat kita untuk mencapai kedudukan yang baik dalam
bidang pendidikan, ekonomi dan sosio. Harapan telah menjadi musnah dengan
timbulnya dan berleluasanya berbagai-bagai gejala dan isu buruk yang
membinasakan masyarakat itu sendiri.
Lebih malang lagi, ia bukan sahaja merangkul generasi muda, malah juga
golongan dewasa dan golongan tua yang menjadi mabuk digoncang oleh
gelumbang-gelumbang krisis nilai yang menggila dan menjahnamkan mereka semua.
Kerana pengelibatan mereka, menyebabkan keadaan masyarakat menjadi lebih teruk,
lebih tidak bermoral, lebih kelam kabut dan kucar-kacir dan lebih cepat
meluncur ke arah kemusnahan. Akibat kehiilangan nilai murni ini, golongan
dewasa juga banyak melakukan jenayah-jenayah berat yang amat mengaibkan, seperti
merogol, termasuk merogol daging darah sendiri, sumbang mahram sampai beranak
pinak, yang mencetuskan problam lain dan tersendiri pula dalam masyarakat yang
telah sakit ini.
Keadaan menjadi bertambah parah, kerana kita orang-orang Islam Melayu,
tidak berjaya menggunakan kuasa politik secara bijaksana dan tegas sejak tahun
1955 lagi. Selepas Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia, nampaknya
kita tidak begitu agresif lagi untuk membangun perekonomian dan pendidikan
bangsa. Keadaan menjadi bertambah buruk, kerana kegagalan kita untuk
menjelaskan kepada orang-orang bukan Melayu di negara ini bahawa Dasar Ekonomi
Baru [DEB]yang diwujudkan itu bukan bertujuan untuk merampas segala hak orang
bukan Melayu, tapi bersifat perkongsian bersama sebagai warga Malaysia yang
cintakan perdamaian, kerharmonian dan
keamanan.
Di samping itu pula, golongan-golongan atasan Melayu yang berkuasa gagal
untuk memberi DEB bermanfaat kepada seluruh orang-orang Melayu yang menyebabkan
problem orang Melayu menjadi bertambah buruk. Orang-orang Melayu yang
berkebolehan tidak memperolehi peluang yang sewajarnya, kerana golongan yang
berkuasa itu lebih mementingkan kaum kerabat dan puak-puak sendiri yang
dikenali dengan panggilan kroni. Itulah sebabnya kenapa biasanya tender-tender
projek besar dikeluarkan menerusi tender tertutup atau tender runding yang
nilainya biasanya menyebabkan kerugian yang bukan sedikit pula menimpa ekonomi
negara.
Salah satu sebabnya perkara yang tidak wajar ini berlaku, kerana mereka
yang memegang tampuk kekuasaan itu tidak mempunyai semangat keIslaman yang
kental, kerana itu mereka lebih mementingkan nilai-nilai kebendaan, wang dan
ringgit daripada kepentingan agama, bangsa dan negara. Justeru itu ramai dari
kita sanggup menggadai bangsa dan agama kerana memburu kepentingan diri
peribadi atau puak juak sendiri. Dengan itu kita menjadi lupa bahawa agama
Islam adalah teras kepda bangsa kita.
Di samping itu, kita orang-orang Melayu tidak bersatu padu dalam menghadapi
problem yang menimpa bangsa dan agama kita, malah sebaliknya kita lebih cenderung
memiih jalan untuk bertelagah dan berperang sesama sendiri demi kepentingan diri
dan puak-juak sendiri dalam usaha untuk membuncitkan perut dan menimbunkan
kekayaan. Ini berbeza dengan kaum-kaum lain yang menjadi rakyat negara ini,
mereka saling bantu membantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain walau
pun mereka mungkin berbeza dalam fahaman dan politik mereka.
Dan yang tidak kurang juga pentingnya ialah kerana kita menjadi pak turut,
mengikuti model-model yang ditinggalkan oleh Barat dalam berbagai-bagai bidang
kehidupan kita yang telah membawa bencana kepada kita. Model-model ini memang
direncana oleh penjajah pada masa itu ketika mereka memperkenalkan model
tersebut, khususnya untuk memecahbelahkan umat Islam, walau pun mereka telah
lama pergi meninggalkan negara ini, baik secara sukarela atau terpaksa kerana
menyahut tuntuan anak-anak peribumi yang inginkan kemerdekaan.
Semuanya ini dapat diatasi dengan kembali kepada peribadi sendiri, kembali
kepada agama Islam yang selama ini menjadi tunjang bangsa kita, Islam dalam
ruang lingkup yang lebih luas mencakupi semua bidang kehidupan untuk menjamin
kebahagian hidup umat manusia di dunia dan di akhirat. Kita mesti meletakkan
Islam dalam semua bidang kehidupan, baik pendidikan, ekonomi dan politik dan
sebagainya, kalau kita ingin maju dan berkembang sebagai umat Islam dalam skop
yang lebih luas bukan hanya terbatas kepada kaum dan bangsa.
Read more...