Tetamu-tetamu Aidiladha Yang Mulia

>> Wednesday, October 31, 2012






TETAMU-TETAMU AIDILADHA YANG MULIA



Seperti biasa, setiap hari raya, baik Aidilfitri atau Aidiladha ramai tetamu-tetamu berkunjung dan berhari raya di teratak kami. Demikianlah juga dengan Aidiladha beberapa hari yang lalu.


Daripada tetamu-tetamu itu ada yang terdiri dari keluarga, sanak saudara, jiran-jiran tetangga, sahabat-handai, kawan-kawan, kenalan lama dan baru. Mereka datang dari berbagai-bagai tempat, jauh dan dekat, seperti dari Perlis, Kedah, Kuala, Lumpur, Terengganu dan sebagainya.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~M.Arif M. Rajoli bersama isteri tersayang


Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana kesudian mereka berkunjung ke teratak kami, membawa rahmat yang  berganda-ganda. Tidak cukup tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Jemputlah datang lagi di masa-masa akan datang.



 Pada masa-masa yang lalu, orang yang terlalu amat gembira menyambut kedatangan tetamu adalah isteri saya, Asiah Yaacob [Wan-semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya]. Tapi beliau yang dikasihi telah empat kali hari raya tidak ada di samping kami, dan yang ada bersam
a kami hanya ingatan dan kerinduan yang tidak pernah padam-padam].


Mohd. Arif M. Rajoli


Di antara tetamu-tetamu yang datang itu pula, antaranya termasuklah putera Allahyarham  seniman tersohor, M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajoli bin Mohd. Zin. Beliau datang bersama-sama dengan isterinya yang berasal dari Kampung Bunuhan, Tumpat Kelantan, tidaklah begitu jauh daripada teratak kami ini.


Pada hari itu saya sempat bertanya sedikit sebanyak mengenai dirinya dan Allahyarham ayahandanya, M. Rojoli yang meninggal dunia pada 17 September 2010 di Hospital Ampang akibat penyakit limfona, iaitu kanser kalenjar otak dan telah menjalani pembedahan pada tahun 2007.




Nama beliau ialah Mohd Arif, anak keempat, iaitu anak bongsu kepada Allahyarham M. Rojoli. Saudara-saudaranya yang lain ialah Siti Zaleha, Nur Muhamad dan Siti Nazirah. Ibu mereka ialah Hashimah.



Pertemuan saya dengan Mohd, Arif itu mencetuskan kenangan kepada suatu masa yang lalu ketika kami sekeluarga bermaustautin di ibu negara Kuala Lumpur. Saya ingat-ingat lupa, saya mungkin pernah bertemu sekali dengan M. Rajoli pada tahun 1970-an dulu di pejabat kami di Jalan Pahang. Seorang kawan saya, dan juga kenalan beliau membawa M.Rajoli  ke pejabat kami.


Pada masa itu dia masih bertugas di Masjid Kampung Bbaru, Kuala Lumpur, mungkin sebagai Bilal [?] dan menjadi imam sembahayang solat lima waktu sekiranya ketiadaan imam pada waktu itu.
Pada masa itu beliau juga menjual tasbih, terutama kepada bakal-bakal haji yang akan akan berangkat ke Tanah Suci Mekah.



Katanya, pernah orang-orang pergi Haji bila balik ke tanah air akan menghadiahkan beliau dengan seuntai tasbih. Dan yang melucunya ialah tasbih yang diberikan kepada beliau  itu adalah tasbih yang telah dibekalkan oleh beliau sendiri, kalau tidak silap menerusi Tabung Haji.


Ayah M. Rajoli ialah Mohd Zin tinggal di Pasar Keramat dan semua orang mengenalinya dengan panggilan Pak Jin, sementara isterinya pula terkenal dengan panggilan Kak Jah, berasal dari Pasir  Mas, dan tinggal di rumah pangsa di belakang Pasar Keramat itu, tapi sekarang telah dirobohkan.




Sewaktu kami menjadi setinggan di Kampung Melayu, Datok Keramat ,dan di Rumah Pangsa Keramat Jaya, kami sering betegur sapa dengan mereka suami isteri, dan sering melalui di sisi rumah mereka ketika pergi ke Pasar Keramat. Mereka tidak mengenali kami. Tapi semua orang di kawasan itu kenal dengan Pak Jin dan Kak Jah, datok dan nenek kepada M.Arif.


Puteri Memali


Seorang lagi tetamu kami ialah seorang puteri yang berasal dari Memali Kedah, isteri kepada sahabat anak saya yang kami panggil “Immi” tinggal di Selising Pasir Puteh, sekarang sedang melanjutkan pelajarannya di Mesir. Sementara isterinya seorang pendidik.


Bila disebut Memali saya langsung teringat kepada suatu peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985, dimana orang-orang kampung Memali telah ditembak mati oleh pihak polis atas arahan kerajaan pada masa itu kerana dituduh menderhaka kepada kerajaan. 



~~~~~~~~~~~~~~Di tengah puteri Mamali bersama suami tercinta


Seramai empat belas orang telah terkorban dalam peristiwa berdarah pada hari itu, termasuklah seorang, tokoh agama dan ahli politik yang terkenal, Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya. Beliau adalah lulusan Azhar Mesir dan pernah bekerja dengan JAKIM, Jabatan Perdana Menteri.


Begitu ramai polis telah dikerah ke Mamali yang terletk dalam Mukim Siong, Baling Kedah pada hari itu untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya di bawah ISA. Justeru beliau enggan mennyerah diri, maka berlakulah perlawanan antara beliau dengan penyokong-penyokongnya dengan pihak polis yang bersenjata lengkap. Dan akhirnya seramai empat belas orang penduduk, termasuk Ibrahim Libya telah terkorban pada 19 November 1985 itu.


Pada tanggal tersebut, isteri “Immi” yang beasal dari Mamli ini masih bayi, baru berusia beberapa hari, dan hari ini dia telah dewasa dan bekerja serta menjadi seorang isteri.



Demikianlah sedikit corot-coret saya mengenai sambutan Aidiladha yang lalu yang mencetuskan kenangan-kenangan kami kepada beberapa peristiwa yang berlaku di sekitar tanah air yang tercinta yang diharap akan menjadi panduan kepada kita semua, sebagai hamba Allah yang mau tidak mau akan kembali kepada-Nya. Dari Allah kita datang,dan kepada Allah kita kembali.



 

Kalau ada sumur di ladang

Dapat kami menumpang mandi,

Harap-harap umur yang panjang

Masa hadapan berjumpa lagi.


END.Pr,Pr.Pr.Pr.Pr.End






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP