Sebatang Pokok Dan Seorang Manusia

>> Sunday, June 12, 2011


Sebatang Pokok Dan SEORANG MANUSIA

Di luar rumah kami, Teratak Rahmat, ada sepohon pokok yang agak besar dan tinggi. Pokok manggis itu terletak di atas tanah rezab jalan. Letaknya di luar tembok dan berhampiran dengan bahagian dapur rumah kami.



Tanah rezab jalan itu letaknya di penghujung jalan, masih belum dibersih, penuh dengan semak samun dan sampah sarap, kebanyakannya berupa kayu-kayu dan bata-bata buruk, sisa dari binaan beberapa buah rumah yang dibina pemaju di kawasan tersebut. Di situlah pokok manggis itu tegak berdiri menjulang langit.



Pada mula-mulanya pokok manggis itu kelihatan subur. Daun-daunnya lebat dan hijau, dahan-dahannya banyak bercabang-cabang pada batangnya. Ia juga berbuah agak lebat, hijau semasa putiknya, dan bertukar warna merah gelap bila sudah tua dan masak.



Kami gemar melihat pokok manggis itu. Buka sahaja pintu, pokok itu akan kelihatan berdiri megah, di samping pokok-pokok rambutan, durian dan lain-lain pokok yang tumbuh di sekitarnya.



Ia juga menjadi bayang-bayang yang meneduhkan sebahagian dapur Tearatk Rahmat dan sedikit bahagian lamanya, terutama di waktu petang, bila mata hari condong ke barat, di mana pancaranya akan tertampar pada pokok tersebut.



Walau bagaimana pun, keadaan pokok itu yang lebih condong ke arah rumah kami, ia menimbulkan kebimbangan, kok-kok pokok itu akan tumbang dan menimpa rumah kami, terutama pada hari hujan dan angin timur laut dan angin barat bertiup kencang.



Kami pernah melihat ada sebahagian daripada pokokpokok di sekitar rumah kami, termasuk pokok-pokok pisang, menjadi mangsa kecil tiupan angin yang menerbus masuk menerusi ruang kosong antara sebuah rumah jiran dan sejajar pokok-pokok besar kepunyaan jiran yang terletak sepagar dengan tanah dan rumah kami terletak.



Mahu tidak mahu tidak mahu, kami terpakasa mengorbankannya. Hanya masa yang sesuai sahaja yang ditunggu, iaitu sehingga kami merasa ia benar-benar mengancam keselamatan kami.



Sementara itu, semak-semak di bawahnya dan sampah-sarap di situ telah kami bersihkan, supaya menjadi lebih selamat dan tidak menjadi sarang kepada binatang-binatang dan serangga-serangga yang boleh mengancam kesihatan manusia, dan supaya suasana sekitar kelihatan lebih cantik dan menarik.



Sementara itu, pokok itu masih kami sayangi. Kepada kami ia menjadi suatu lambang kehidupan alam ini. Dalam satu segi, kejadian pokok serupa dengan kejadian manusia. Dari tiada kepada ada- dicipta oleh Allah.



Ia bermula dari kecil, membesar dan menjadi matang. Seperti manusia ia bermula dari bayi, membesar, menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan memasuki usia tua.



Bila sampai suatu peringkat usianya, pokok itu berbunga, dan berbuah yang memberi manfaat kepada manusia dan juga haiwan-haian yang lain. Demikian juga dengan manusia, bila sampai ke satu peringkat, dia akan menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan juga kepada orang-orang lain, keluarga, bangsa dan negaranya.



Pada masa lalu, mana-mana pokok yang tidak berbuah, dikatakan pokok jantan. Sesuatu rangsangan mesti dilakukan untuk mendorongkan dia berbuah.



Biasanya ialah dengan jalan menakek batang pokok itu berulang-ulang kali dengan parang atau golok. Ini menyebabkan batang pokok yang luka itu menjadi berparut-parut mengerutu.



Inilah yang dilakukan oleh orang-orang kampung, termasuk orang tua saya. Demikian juga dilakukan oleh saya yang menurut langkah mereka bila ada pokok dalam dusun kami yang lewat tempoh, masih belum berbuah.



Pada mula-mulanya saya tidak memahami tujuan mereka berbuat demikian. Saya hanya mengikut sahaja. Tapi kemudiannya saya mengerti bahwa perbuatan mereka menakek pokok itu merupakan satu cabaran kepada sang pokok, dengan mendedahkannya kepada ancaman, menyebakan mereka pun memberi tindakan yang positif, berbunga dan berbuah.



Demikan juga yang berlaku kepada manusia yang menghendaki rangsangan-rangsangan keras baru mereka bertindak. Kalau tidak mendapat tindakan seperti itu, mereka akan diam, membatu, pasif, tidak mengeluarkan sebarang hasil yang berguna untuk dirinya sendiri, apa lagi kepada bangsanya.



Tiba-tiba pada suatu hari kami lihat sebahagian daripada daun pokok yang lebat menghijau itu mulai mengucup, dan layu. Pada masa itu kami tidak menyangka apa-apa. Tapi beberapa hari kemudian, daun-daunnya mulai mengering, dan bilangan daun-daunnya yang kucup dan layu kian bertambah.



Dengan kejadian itu, kami mulai menaruh curiga. Kami sangka ada suatu yang tak kena telah berlaku. Bila dijalankan pemeriksaan, di umbi pokok itu ada tanda-tanda ia telah diracun, dan sedikit tanda bekas pembakaran kecil.



Sekarang kami yakin pokok itu telah diracun oleh seseorang. Apa motifnya tidak diketahui? Dan siapa yang meracunnya juga tidak juga diketahui?



Kami biarkan persoalan-persoalan itu tergantung-gantung di awan-awan begitu sahaja. Dan kami pun tidak berminat untuk mengoreknya, takut nanti menimbulkan berbagai-bagai prasangka buruk di hati kami, yang mungkin menjadi sumber dosa kepada kami.



Pokok itu akhirnya kekeringan semua daun-daunnya, dan dalam masa yang singkat semua daun-daunya gugur ke bumi menjadi sampah sarap. Pokok menjadi gondol.



Keadaan pokok yang seperti itu kian membahayakan keselamatan kami, kerana ia boleh tumbang bila-bila masa sahaja, terutama bila segala akar-akarnya menjadi buruk dan tidak mampu lagi memegang batang pokok itu untuk tegak berdiri.



Kerja-kerja untuk menumbangkannya menjadi bertambah sulit, kerana berhampiranya terdapat rumah kami dan dusun-dusun orang yang penuh dengan pokok-pokok buah-buahan.



Walau bagaiama pun semalam pokok manggis itu telah ditebang oleh penebang upahan yang handal. Seorang penebang telah memanjat pokok itu, memotong dahan-dahannya satu demi satu, bermula dari bawah, hingga tinggal sedikit sahaja di bahagian pucuknya.



Dengan menggunakan gergaji pemotong yang khas, penebang itu memotong batang pokok itu kepada tiga keratan, dan menjatuhkan dua keratan sebelah atasnya satu demi satu. Sebahagian keratan yang bersambung dengan umbinya merupakan keratan terakhir tumbang bila umbinya di gergaji. Keratan batangnya ditarik dengan tali untuk mengawalnya daripada jatuh ke arah yang tidak dikehendaki. Dan akhirnya pokok pun roboh menyembah bumi.



Bila dia roboh kawasan sekitar menjadi terang tanpa bayangnya. Dan menjadi tugas pula untuk kami melupuskan ranting-ranting, julai-julai dan batang pokok itu. Lain jalan tidak ada, selain daripada membakarnya sedikit demi sedikit, yang akan memakan masa yang agak lama untuk menghabiskan sebatang pokok itu.



Mengikut pengalaman kami, usia pokok manggis sebesar itu, mungkin lebih dari 40 tahun.



Demikian tamatnya riwayat sebatang pokok, setelah dipotong dan ditebang. Dan akan terus lenyap menjadi abu pula bila dibakar nanti.



Saya teringatkan nasib manusia seperti dengan nasib sebatang pokok. Pokok yang tidak dikehendaki akan disingkir: dialih ke tempat lain, diracun, dibakar atau pun ditebang hidup-hidup.



Demikian juga dengan manusia. Jika tidak dikehendaki dia akan disingkir: ditangkap, dikurung, diletak di lain tempat, malah juga dibunuh dengan berbagai-bagai cara, diracun, ditikam, dicincang, dilanggar, ditembak, dilempar ke dalam laut dan sebagainya daripada berbagai-bagai perbuatan yang keji dan kejam.



Membakar pokok untuk melupuskan siasa-sisanya itu bersamaan dengan amalan sesetengah agama yang membakar mayat manusia untuk memenuhi tuntuan agama mereka



Tapi nasib manusia tidak habis di situ. Tidak selesai dengan kematiannya, tidak selesai dengan pengebumiannya. Semua manusia akan diminta pertanggungjawabannya segala perbuatannya semasa hidup di dunia ini. Konsepnya buat baik dibalas baik, dan buat jahat dibalas jahat. Nasib inilah yang membezakan di antara manusia dengan pokok yang tidak dipertangungjawabkan di atas segala amalanya semasa hidup di dunia.



Kita ini manusia, dari Allah kita datang, kepada Allah kita dipulangkan.



Segala amalan kita akan dihisab dan ditimbangkan yang akan menentukan jalan yang akan kita susuri seterusnya, ke tempat yang bahagia, Syurga atau ke tempat yang celaka, neraka.



Justeru itu ada orang berfikir, jika dia diberi peluang membuat pilihan, dia lebih suka menjadi pokok-pokok dan akyu-kayan daripada menjadi manusia, kerana sebagai manusia, dia terpaksa memikul banyak tanggungjawab dunia dan akhirat, tapi sebagai pokok, dia tidak akan memikul sebarang tanggugjawab sebagaimana yang dikenakan ke atas manusia. Wallahu a’lam.



Pokok dikenali dari buah-buahnya. Manusia dikenali dari buah fikirannya, kerana fikiran itulah yang membezakan antara manusia, binatang dan pokok.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sakalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP