Dilema Pembeli Buku Hari Ini

>> Thursday, March 31, 2011


DILEMA PEMBELI BUKU HARI INI

Menerusi ruangan ini saya ingin melahirkan pengalaman saya dalam membeli buku di negara kita sejak akhir-akhir ini untuk dikongsikan bersama dengan pembaca sekalian.


Dua tiga hari yang lepas saya membeli sebuah buku karya Buya HAMKA berjodol “Pelajaran Agama Islam” terbitan yang terbaru oleh sebuah penerbit di Kuala Lumpur. Saya merancang untuk membaca dan mengumpulkan semua karya-karya Buya HAMKA seorang tokoh penulisan dan ulama terkenal di seluruh nunsantara itu. Pada masa dahulu sebahagian daripada buku-buku karya beliau saya baca dengan meminjamnya daripada perpustakaan-perpustakaan.


Bila sampai ke rumah, saya membelek-belek buku itu, sambil memerhati tajuk-tajuk di dalamnya, dan setelah diteliti saya merasa terkejut juga kerana sebahagian daripada kandungan buku itu sudah terdapat dalam sebuah buku lain karya Buya HAMKA juga berjodol ”Falsafah Ketuhanan” diterbitkan oleh penerbit yang sama. Buku pertama itu kira-kira tiga kali ganda lebih tebal dari buku yang kedua.


Alangkah indahnya kalau pehak penerbit memaklumkan tentang sebahagian daripada kandungan buku “Pelajaran Agama Islam” itu telah terdapat dalam buku “Falsafah Ketuhanan” dan sebaliknya juga untuk memberi kepuasaan hati kepada pembeli atau pembacanya.


Sebelum dari itu saya membeli sebuah buku berjodol “Sirah Bulan-bulan Hijrah” karya Dr Engku Ahmad Zaki yang diterbitkan oleh penerbit yang lain yang juga merupakan penerbit yang terkenal.


Saya merasa terharu dengan susunan muka-muka surat buku tersebut yang sebahagian daripadanya berulang-ulang, di mana ia mengandungi muka-muka surat yang sama, contohnya bab mengenai “Bulan Ramadan” terdapat dua kali, demikianlah yang lain. Menyebabkan kandungan buku itu menjadi cacat.


Lebih terharu bila saya bawa ke toko buku di mana saya membeli buku itu untuk menukarnya dengan yang baru, tapi mereka tidak menerimanya, dengan alasan buku itu telah lebih dari seminggu saya membelinya, dan sebahagian daripada buku itu telah saya tanda dengan dakwat perwarna untuk memudahkan saya mengulangi membacanya.


Resit pun saya dah buang, kerana telah lebih dari sebulan saya membelinya dan baru sekarang saya membacanya untuk membuat rujukan.


Pada penghujung tahun lepas saya membeli tafsir al-Quran yang berukuran kecil untuk menyenangkan saya membawanya ke sana ke mari. Buku tafsir itu dijadikan beberapa jilid untuk lebih menyenangkan penggunanya membawa ke sana ke mari mana-mana juzuk yang diperlukannya.


Tapi bila saya menggunanya sampai jilid kedua tafsir itu baru-baru ini, keadaannya seperti juga di atas, ada muka surat yang berulang-ulang, yang menyebabkan kandungan buku itu menjadi rosak. Ini menyebabkan saya tawar hati untuk menggunakan buku tersebut seterusnya. Sebagai gantinya saya sedang mencari tafsir yang lain.


Tafsir itu saya beli di salah sebuah toko buku di Wisma YAKIN Kuala Lumpur, dan saya tinggal di Kota Bharu, tentulah menjadi masalah pula keapda saya untuk pergi menukarkan buku itu jika dibenarkan.


Saya juga pernah membeli kitab suci al-Quran dalam bentuk kecil yang dibuat dalam jilid 30 juzuk di sebuah toko buku berhampiran dengan Wisma YAKIN. Tapi bila sampai ke rumah di KB saya dapati salah satu dari sejuzuk al-Quran itu diberikan kepada saya sebanyak dua naskah, menyebabkan al-Quran itu yang diberikan kepada saya tidak lagi cukup 30 juzuk.


Saya tinggal di KB dan toko buku di KL, bagimana saya hendak menyelesaikannya. Justeru saya terpaksa membelinya yang baru, setelah mempastikan mana-mana juzuknya yang diberikan kepada saya sempurna dan tidak lebih dan tidak kurang.


Pada penghujung tahun lepas saya juga pernah membeli sebuah buku agama yang jodolnya menarik saya untuk membeli dan membacanya. Tapi oleh sebab buku itu dibalut dengan plastik yang tidak dapat dibuka sebagaimana dilakukan terhadap sebahagian daripada buku-buku dan majalah-majalah yang terdapat di pasaran hari ini, maka tidaklah dapat saya membuat tinjauan sekilas tentang kandungannya.


Tapi bila saya sampai ke rumah, dan bila pembalutnya dibuka dan melihat tajuk-tajuknya saya dapati buku itu bukan buku baru, tapi sebuah buku lama yang diberi tajuk baru dan oleh penulis yang sama.


Saya juga pernah membeli sebuah majalah agama, di mana di dalamnya terdapat kesilapan terjemahan ayat al-Qurannya bila saya bandingkan dengan beberapa terjemahan-terjemahan al-Quran yang lain, kesilapan itu terlalu jauh. Saya beberapa kali cuba menghubungi penerbit dan pehak redaksinya menerusi internet sebagaimana dinyatakan dalam majalah itu, tapi tidak pernah dapat kerana alamat yang dinyatakan di majalah tersebut kepunyaan orang lain yang tidak ada sangkut paut dengan penerbitan majalah tersebut.


Demikianlah nasib pembeli buku dan majalah sejak kebelakangan ini. Mengikut pengalaman saya pada masa-masa yang lalu perkara seperti itu tidak pernah berlaku, dan ini tidak termasuk lagi kemugkinan terdapatnya faktor-faktor kesalahan yang menonjol sedangkan penerbitnya merupakan penerbit besar.


Saya harap perkara seperti ini tidak akan terus berlanjutan merosakkan imej dunia penerbitan kita yang diharap akan terus berkembang maju dari masa ke masa.


Walau bagaimana pun saya ucapkan syahbas kepada pengarang-pengarang dan penerbit-penerbit kita yang berusaha keras untuk meningkatkan bahan-bahan bacaan dalam berbagai-bagai bidang dalam dunia penulisan kita.


Harap maaf jua. Sekian.


xxxxxx


Bisik Pondok Rahmat


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


Read more...

Mencari Yang Maha Kuasa

>> Wednesday, March 30, 2011



MENCARI

YANG MAHA KUASA

SENJA telah berlabuh, menutup tirai siang, dan menguak tirai malam. Dari kejauhan kelihatan tumpuk-tumpuk merah di kaki langit menghisai langit senja. Gumpalan-gumpalan awan berarak di angkasa bertabur di dada langit yang luas terbentang, tanpa hujungan dan tepian.


Angin dingin mulai mebelai lembut di kawasan perumahan di puncak bukit ini. Suasana berangsur-angsur menyepi. Unggas-unggas telah kembali ke sarang untuk meyambut kunjungan dewi malam yang akan melabuhkan selimutnya ke seluruh permukaan alam. Nyanyian-nyanyian mereka yang biasanya kecoh di dahan-dahan telah menyepi.


Bunyi azan telah bergema di angkasa mengagung kebesaran Ilahi, dan memuliakan Nabi yang mulia yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Bunyinya bergema dayu-mendayu membelah kesepian senja, dan menggetar tangkal hati dalam larutan kesayuan yang menggetarkan jiwa.


Dewi malam telah tiba, menutup jendela siang dan melabuhkan tirai malam yang membawa seribu rahsia bersama-samanya. Ketibaan malam yang disambut oleh para Ambia dan para wali dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran yang akan menguak ruang yang lebar serta semerbak mewangi kepada mereka untuk mendekatkan diri dengan Allah dan berdialog denganNya di keheningan malam.


Allahu Akbar. Allah Maha Besar.


Siapa kita? Siapakah kita yang dikatakan manusia ini? Untuk apa kita dijadikan? Ke manakah arah tuju kita?


Seorang Syikh sufi yang terkenal ketika membicarakan hakikat diri antara lain berkata, “Aku bukan manusia, dan bukan jin, tapi aku adalah rahsia Allah”.


Justeru itu Syikh telah dikeritik, dikecam dan dikutuk, dan dilemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan seperti zindik dan kafir tanpa kasihan belas lagi kerana melafazkan kata-kata yang dianggap telah mendurhakai dan mengotori agama itu.


Pada mula-mulanya Syikh tersebut hanya menyepi, tanpa memberi sebarang jawapan, tapi bila keji-kejian terhadapnya bertambah kencang, barulah beliau membuka mulut, meluah kata, antaranya seabagi jawapan beliau membaca sebuah Hadis Qudsi yang berbunyi,”.......maka apabila aku telah menyintainya, nescaya Aku [akan] menjadikan baginya pendengaran dan pengelihatan, maka denganku dia dapat mendengar dan dengan-Ku dia dapat melihat”.


Apakah kedudukan Hadis Qudis tersebut? Benar atau tidak? Adakah Hadis Qudsi itu palsu? Demikian hujah beliau kepada orang-orang yang mengeritik dan melemparkan berbagai-bagai tuduhan kepadanya.


Lebih jauh lagi Allah berfirman dalam Hadis Qudsi, “Hambaku mendekat kepadaKu sehingga Aku menjadikannya sahabatKu. Aku pun menjadi telinganya, matanya dan lidahnya”.


Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya Allah menciptakan manusia dalam kemiripan dengan diriNya sendiri”.


Cuba perhatikan tentang jiwa manusia. Ia tidak berupa, berbentuk, tidak berwarna dan tidak bertempat. Tidak di kepala, tidak di tubuh, tidak di hati, tidak di kaki, dan tidak di mana-mana organ tubuh manusia, walaupun jasad manusia itu mempunyai roh yang menghidupkannya. Tidak ada roh terkulai seluruh tubuhnya.


Demikian Allah? Di mana Allah? Allah ada di mana-mana. Tapi bukan di langit, bukan di bumi. Bukan di laut, bukan di bukit dan bukan di gunung, kerana wujud Allah itu tidak bertempat dan tidak dibatasi oleh ruang dan masa. Tapi Allah tetap ada. Dan Allah ada di mana-mana. Allah yang Maha Besar dan Maha Bijaksana.


Sebuah dialog singkat antara Nabi Musa as. dengan Robnya:


FirmanNya, “Aku pernah sakit tapi engkau tidak menjengukku!”.


Musa menjawab, “Ya Allah, Engkau adalah Rob langit dan bumi, bagaimana Engkau dapat sakit?”.


Allah berfirman, “Salah seorang hambaKu sakit, dan dengan menjenguknya bererti engkau telah mengunjungiKu”.


Dengan itu nyatalah salah satu anak kunci penting untuk mengenal Allah ialah mengenal diri sendiri. Siapa yang mengenal dirinya, kenallah dia akan Tuhannya. Allahnya. Justeru setiap orang mestilah memeriksa dan meneroka siluk-biluk kejadian dirinya sendiri. Dari mana asalnya, bagaimana bermulanya, bagaimana terjadi, bagaimana perkembangannya dan di mana penghujungnya? Kalau dia mengetahui semua itu, dia akan mengenali siapa dia, dan untuk apa dia dijadikan, kemana hala tujunya?


Pada hakikatnya dalam diri manusia terdapat tiga adunan penting yang perlu diketahui, iaitu sifat kebinatangan, sifat kesyaitanan dan sifat kemalaikatan. Ketiga-tiga sifat itu mempunyai fungsi masing-masing yang tersendiri yang berpengaruh terhadap kita.


Sebagai manusia yang berakal dan berhati nurani, maka sudah tentu anda menyedari sifat kebinatangan yang buruk yang suka makan, minum, tidur, berebut-rebut dan juga suka bergaduh dalam mengejar kehendak masing-masing.


Sifat kesyaitanan suka menggalakkan segala macam kejahatan, keburukan, membuat tipu daya yang amat lecek yang boleh mengelirukan. Semua jenis kejahatan adalah berasal dari nafsu kehaiwanan manusia yang dirangsangkan oleh syaitan.


Sifat kemalaikatan adalah sifat-sifat yang mulia dan terpuji yang memandu kita untuk mengenali Allah S.W.T., mengenal siapa kita dan apa tanggungjwab kita terhadap Maha Pencipta. Semua perbuatan baik adalah datang dari Allah yang Maha Bijaksana. Justeru itu kita tidak boleh mendakwa ianya perbuatan kita, usaha kita dan seumpamanya, kerana tanpa gerak dari Allah dan tanpa izin Allah semunya tak mungkin akan berlaku.


Pada suatu masa diceritakan Sayiddina Ali kw. sedang berbicara dengan tiga orang lagi. Timbul pertanyaan tentang Allah, iaitu bilakah waktunya mereka mengingat Allah?


Orang pertama menjawab,”Saya mengingatkan Allah ketika sesuatu perkara berlaku”.


Orang yang kedua menjwab, “Aku mengingat Allah selepas sesuatu perkara berlaku”.


Orang yang ketiga berkata, “Aku mengingat Allah sebelum perkara itu berlaku”.


Maka berkata pula Sayyidina Ali kw. “Aku sentiasa mengingat Allah sepanjang masa”.


Ada seorang guru bergelar Syeikh mempunyai murid yang ramai. Salah seorang daripada murid itu lebih disayanginya dari yang lain. Syeikh tahu ini menimbukan rasa cemburu dan iri hati kepada murid-muridnya yang lain.


Pada suatu hari Syeikh mengumpulkan semua muridnya dan memberikan kepada setiap mereka seekor burung. Kemudian memerintah mereka supaya pergi ke tempat yang sunyi, terlindung dan tidak dilihat orang untuk membunuh burung itu.


Semua murid-murid itu pergi ke tempat yang tersembunyi dan membunuh burung-burung itu sebagaimana diperintah oleh Syeikh, kecuali seorang murid Syeikh yang paling disayanginya itu.


Murid itu membawa kembali burung yang diberikan oleh Syekih itu dan menyerahkan kepada gurunya, sambil berkata, “Tuan, saya tidak dapat mencari tempat yang tuan katakan itu, kerana Allah sentiasa melihatku di mana-mana sahaja”.


“Lihatlah”, kata Syeikh kepada murid-muridnya, “kawanmu ini telah mencapai makam sentiasa mengingati Allah”.


Dr.Aidh Abdullah Al-Qarni bila berhujah dengan katanya, “Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dahulu mendahului mengingati kita. Kalau Allah tidak gerakkan kita untuk beramal, kita tidak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita”.


Seterusnya beliau mengingatkan, “Jangan kata kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tidak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.”.


Namun begitu untuk berpendapat bahawa Tuhan itu bertempat, tegasnya berada dalam jasad manusia tidaklah benar. Ia bukan begitu, Demikian juga jauh salahnya untuk mengatakan bahawa Tuhan Allah itu serupa dengan manusia, iaitu serupa dengan anda atau pun serupa dengan kita hamba-hambaNya yang serba kekurangan ini.


“Termsuk juga dalam kategori bida’ah ialah pendirian aliran orang-orang Hululi yang menganggap bahwa Zat Al-Haq bertempat tinggal dalam benda-benda ciptaanNya. Pendirian mereka ini didasarkan kepada sebuah Hadis Rasulullah SAW: ....maka apaila Aku telah menyintainya, nescaya aku.............. seterusnya seperti disebut di atas.


Seterusnya beliau berhujah, “Sabda Rasulullah SAW. ini tidak sesuai dijadikan sandaran untuk menguatkan pendirian mereka, kerana Allah S..W.T. tidak berfirman bahawa hamba yang dicintai itu dapat mendengar dengan pendengaranNya dan dapat melihat dengan pengelihatan-Nya, tetapi hanya mengatakan “denganKu” yang bermaksud “dengan pertolongan-Ku” atau “dengan bantuan-Ku”.


Sesungguhnya persoalan keTuhanan adalah satu subjek yang sukar untuk diperbincangkan. Ia mempunyai banyak duri-duri tajam yang mungkin merbahayakan diri sendiri.


Itulah yang dikatakan oleh salah seorang penulis terkenal Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni ketika membicarakan hal keTuhanan beliau antara lain menegaskan, “Memang ini adalah satu masalah yang agak berbahaya untuk diperbincangkan, kerana hal ini berada di sebalik pemahaman orang-orang awam. Seseorang yang cerdas sekalipun dapat tersandung dalam membicarakan soal ini”.


Namun begitu ujar beliau lagi, “Meskipun demikian, “persamaan” yang ada di antara manusia dan Allah menghilangkan keberatan para ahli Ilmu Kalam yang telah disebutkan sebelum ini iaitu manusia tidak mencintai suatu waujud yang bukan dari spesiesnya sendiri. Betapa pun jauh jarak yang memisahkan mereka, manusia dapat mencintai Allah kerana “persamaan” yang disyaratkan di dalam sabda Nabi, “Allah menciptakan manusia dalam kemiripan dengan diriNya sendiri”.


Saya terkenang kepada syair Hamzah Fansuri, seorang ulama, sufi dan penyair yang terkenal di penghujung abad 16, antaranya dalam syair Burung Pingai,berbunyi:


Hamzah Fansuri di dalam Mekah


Mencari Tuhan di Bait Al-Kaabah


Di Barus ke Qudus terlalu payah


Akhirnya dapat dalam rumah


Justeru itu cintailah Allah, adalah menjadi kewajipan kita untuk menyintai Allah, mematuhi segala perintahNya. Untuk mengenal Allah secara murni, kita mestilah benar-benar mengenali diri kita. Siapa kita? Jawapan anda yang ikhlas terhadap pertanyaan-pertanyaan itu akan membuka kunci mengenal Allah, kunci makrifatnya.


Siapa anda? Siapa aku? Siapa kita?


Persoalan menarik yang muncul sepanjang zaman untuk dikongsi bersama dengan anda semua. Jawapan yang bukan sahaja membawa anda kepada kaki Maha Pencipta, tapi juga membuka mata anda kepada hakikat dunia yang fana ini. Tidak ada sedebu pun nilainya di mata Maha Berkusa kalau tidak dibaringi dengan keimanan dan ketakwaan. Dunia ini hanya wakaf sementara di mana mereka yang lalai akan terus leka bermain-main dengan sampah sarat yang bertaburan di sepanjang hayat sehingga roh kembali ke pangkuan Ilahi yang menutup tirai hidup seseorang dengan penuh penyesalan kerana mensia-siakan hidupnya dalam kealpaan dan kelalaian yang merugikan.........Bangkitlah sebelum masa menjadi terlalu gawat dan terlewat, di mana penyesalan tidak berguna lagi.


Siapa kita?


Seorang Habsy dilaporkan mengadap Baginda Rasulullah SAW. dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya telah melakukan banyak dosa. Mungkikah taubat saya diterima Allah”..


Baginda SAW. menjawab, Ya”.


Orang Habsy itu brkata lagi, “Setiap kali saya melakukan dosa, adakah Tuhan benar-benar melihatnya?’.


Jawab Baginda SAW, “Ya”.


Mendengar jawaban Baginda SAW. itu orang Habsy itu pun berpekik, dan terus jatuh pingsan.


Apa sebenarnya yang telah terjadi? Apakah terbanyang dalam fikiran orang Habsy itu? Dan apakah yang dilihatnya menyebabkan dia terpekik dan jatuh pingsan?


xxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Sejambak Kasih. Seuntai Harmoni.



Read more...

Suara Patani [dokumen]

SUARA PETANI

Kita siarkan di halaman sebuah risalah yang pernah dikeluarkan oeh BARISAN NASIONAL PEMBEBASAN PATANI pada tahun 1980 mneceritakan latar belakang politik negara di Selatan Thailand itu dan juga cita-cita perjuangan mereka.

Adalah diharapakan penyiaran ini akan menjadi sumber kajian dan perhatian mereka yang berminat.










Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

Read more...

Dokumen Mesyuarat UMNO Di Kelantan 1947

>> Tuesday, March 29, 2011



MESYUARAT UMNO

DI KOTA HARU, 1947

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah mengadakan mesyuaratnya di Kota Bharu selama lima hari dari 9 hingga 13 Mei 1947. Taikh itu bersamaan dengan 18, 19, 20, 21 dan Jamadilakhir 1366.


Persatuan Melayu Kelantan telah mengalu-alukan persidangan itu dengan mengadakan sambutan khas,


Mengikut buku program persidangan, KDYMM Sultan Kelantan, telah bersetuju menaikkan bendera PEKEMBAR di Padang Merdeka Kota Bharu pada pukul 11.00 pagi, 10 Mei 1947.


Kata aluan untuk program itu dibuat oleh Tg. Ahmad bin Tg. Abdul Ghafur [Tengku Panglima Raja] selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan.


Kita lampirkan program itu sebagai dokumen sejarah.











Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

Read more...

Impotent Mati Pucuk.Kenapa?

>> Sunday, March 27, 2011

A


IMPOTENT

Mati Pucuk

Kenapa?

Sejak akhir-akhir ini ini berbagai-bagai problam jantina atau seksual kian mendapat perhatian meluas dan secara terbuka, dan didedahkan tanpa berselindung-selindung atau silu malu lagi. Isu-isu yang dahulunya dianggap negatif dan memalukan lalu disembunyikan, tapi sejak kebelakangan ini telah dibicarakan secara terbuka melalui media massa, akhbar-akhbar, majalah, buku-buku dan juga alat-alat elektronik yang begitu luas skop pembicarannya.


Tapi sering kali problam-problam yang seksual yang penting ini telah diekploaitasikan dengan sebegitu rupa oleh sesetengah pehak yang mengejar keuntungan segera yang lebih, iaitu dengan menonjol-nonjolkan faktor-faktor yang lebih mengghairahkan yang digandingkan dengan gambar-gambar yang merangsangkan, terutama kepada kalangan muda remaja, termasuk pelajar-pelajar di bangku sekolah.


Perbuatan seperti itu sudah tentu lebih banyak merosak daripada memperbaiki kerosakan, dan menambahkan lebih banyak lagi bencana.


Namun begitu jarang sekali ada lelaki yang bersedia secara terang-terangan mengaku dia sedang menderita penyakit kehilangan tenaga seksual ataupun telah mati pucuk, sebaliknya kebanyakan lelaki suka berbohong dengan mendakawa dia seorang lelaki yang hebat di ranjang, walaupun rialiti sebenarnya cukup meleset dan jauh panggang dari api.


Mengikut pengamatan, kebanykan problem jantina yang begitu meluas dibicarakan di negara kita ialah mengenai problam jantina kaum lelaki, khususnya mengenai problam lelaki yang kehilangan daya seksual. Problam seks yang menimpa kaum wanita jarang disentuh atau jarang mendapat perhatian.


Tiga Jenis


Menurut pakar-pakar, ada tiga jenis penyakit lemah jantina, iaitu pertama diistilahkan sebagai mati pucuk, kedua diistilahkan sebagai lemah tenaga batin, dan ketiga diistilahkan sebagai sejuk atau dingin jantina.


Pertama mati pucuk, iaitu seorang lelaki yang telah kehilangan tenaga seksualnya, walaupun keinginannya telah tercetus tapi dia tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.


Kedua lemah tenaga batin, iaitu seorang lelaki yang tenaga seksualnya tidak cukup kuat untuk bertindak. Walaupun dia mempunyai kekuatan, tapi kekuatannya cepat meluntur, malah kadang-kadang belum pun sempat berbuat apa-apa ia telah tewas.


Dalam keadaan yang lebih baik sedikit, ia mampu bertahan lebih lama sedikit sahaja, dan terus terkandas sebelum mampu bertindak lebih jauh yang menyebabkan dia tergendala dalam melaksanakan tugasnya, meletakkan itserinya berada dalam keadaan penungguan.


Ketiga lelaki yang sejuk nafsu jantinanya. Lelaki seperti ini tidak begitu berminat terhadap seks, kepadanya, dapat pun tak apa, tak dapat pun tak apa, ataupun ada pun serupa tak ada pun serupa. Dia boleh bertahan tanpa bersam isteri selama berminggu-minggu malah berbulan-bulan walaupun isterinya masih muda, cantik, jelita dan menggoda. Tegasnya lelaki dalam kategori ini tidak berminat dengan kehidupan suami isteri.


Kadang-kadang sikap dingin suami yang seperti ini boleh mencetuskan salah faham atau salah sangka kepada isterinya yang mungkin menganggap suaminya tidak lagi menyayanginya seperti tahun-tahun sebelum perkahwinan mereka dahulu, atau menduduh suaminya telah berlaku curang terhadapnya dengan melakukan hubungan sulit dengan wanita-wanita lain atau melanggani pelacur-pelacur yang begitu mudah diperolehi sejak kebelakangan ini.


Namun begitu, lelaki yang sejuk dingin seperti ini tidaklah temasuk dalam kalangan lelaki yang kehilangan tenaga batinnya, kerana ketika bersama dengan isterinya dia mempunyai kemampuan yang membanggakan isterinya.


Di samping itu ada lagi sejenis lemah tenaga batin yang dipanggil separa lemah, iaitu mereka yang mampu bertindak dalam keadaan tertentu, tapi tidak pula mampu dalam keadaan tertentu. Umpanya ada sebilangan lelaki didapati lemah daya batinnya bila bersama-sama dengan dengan isterinya di rumah, tapi tidak demikina bila bergelumang dengan pelacur-pelacur.


Perkara ini mungkin berlaku kerana ketika berjahat bersama-sama dengan pelacur itu, dia bebas melakukan apa sahaja tindakan yang dikehendaki, tapi ketika bersama-sama dengan isterinya sendiri dia tidak tergamak berbuat demikian, dan secara psikologinya menyebabkan nafsunya memberontak dan enggan memberi kerjasama, malah kaku tidak bermaya.


Ramai Yang Tidak Berdaya


Menurut kajian yang pernah dilakukan di negara kita Malaysia, terdapat kira-kira 1 juta lelaki daripada 23 juta rakyatnya yang mengalamai ketidakmampuan seksual dalam berbagai-bagai kategori.


Sementara itu menurut kajian yang dilakukan di negara Amerika Syarikat pula, keadaannya lebih parah lagi, kerana 50 peratus daripada seluruh lelaki di negara itu menderita lemah daya batin di dalam waktu-waktu tertentu dalam jangka hayat merek.


Malah ada pendapat yang mengatakan bahawa 1 daripada 10 orang lelaki di dunia menderita lemah tenaga batin atau tidak memiliki daya seksual langsung, dan di kalangan kaum lelaki yang lanjut usianya, iaitu mereka yang berusia lebih dari 55 tahun keadaannya lebih serius lagi, iaitu 1 daripada 5 mereka dikatakan menderita tanpa daya batin.


Di samping itu ada pula pendapat yang mengatakan hampir setiap orang lelaki menderita peroblam lemah tenaga dalam satu-satu tahap di sepanjang hidup mereka. Justeru itu problam kekurangan tenaga batin bukanlah suatu perkara yang luar biasa atau asing dalam kehidupan kaum lelaki.


Untuk mengatasi hal ini, berbagai-bagai jenis ubat dan teknik rawatan, baik secara tradisional atau moden telah dicipta dan ada di antaranya telah terbukti mampu merawat dan mampu menyembuhkan dan berjaya menggembalikan daya seksualnya kepada normal.


Mati Pucuk


Daripada berbagai-bagai problam jantina dan seksual yang dihadapi oleh kaum lelaki, penyakit mati pucuklah yang paling ditakuti. Seorang lelaki yang menderita mati pucuk mungkin akan merasa kehilangan sesuatu yang amat penting dan amat berharga di dalam hidupnya.


-Dia merasa telah kehilangan harga dirinya.


-Dia merasa kehilangan kelelakiannya.


-Dia merasa aib dan malu terhdapa dirinya sendiri.


-Dia merasa dirinya tidak berharga lagi,


-Malah lebih jauh lagi dia mungkin merasa telah kehilangan sega-gala-galanya dalam hidup ini.

Mati pucuk lebih sukar dirawat daripada lemah tenaga batin, kerana yang dikatakan lemah tenaga batin itu lelaki itu masih mempunyai kemampuan beraksi, cuma tak cukup kuat sahaja, tapi yang dikatakan mati pucuk itu, langsung tidak mempunyai kemampuan untuk bertindak, dan merupakan problam yang paling parah daripada seluruh problam jantina.


Pada umumnya ketika berfungsi secara normal, daya seseorang lelaki itu ada mempunyai beberapa tahap atau peringkat yang mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain, iaitu peringkat terangsang, membangun, air mani terpancut keluar, dan diikuti oleh rasa kenikmatan.


Andainya salah satu daripada tahap-tahap itu tidak berjalan dengan wajar sebagai lumrah, atau tidak wujud, maka pincanglah seluruh aktiviti tersebut, akibatnnya timbullah berbagai-bagai problam jantina.


Sebab-sebab


Persoalannya kenapa perkara seperti ini berlaku? Kenapa mereka menderita lemah atau ketandusan daya seksual?


Jawapannya, ada dua faktor yang menyebabkan perkara yang tidak diingini itu berlaku. Pertama kerana faktor emosi atau kejiwaan, dan kedua kerana faktor kejasmanasian atau badanaiah.


Menurut kebanyakan doktor, biasanya 90 peratus dripada penderita kelemahan atau kehilangan daya seksual adalah berpunca daripada sebab-sebab emosi atau sebab kejiwaaan, kecuali kepada mereka yang menderita penyakit-penyakit jasmani yang tertentu, seperti penyakit kencing manis.


Sebaliknya ada pula doktor-doktor yang berpendapat semua pengidapan kelemahan daya seksual adalah berpunca daripada faktor-faktor badaniah atau jasmaniah, umpamanya kerana penyakit-penyakit tertentu, seperti kencing manis, dan perjalanan darah yang tidak betul.


Di samping itu ada pula mereka yang berpendapat pengidapan kemerosotan daya seksual adalah berpunca dari jiwa dan raga, iaitu berpunca daripada gabungan gangguan jasmani dan juga gangguan rohani, atau akibat mental dan fizikal seseorang.


Daripada ketiga-tiga pendapat tersebut, secara kasar dapatlah dibuat kesimpulan bahawa 1/3 daripada penyakit kemerosotan daya seksual adalah kerana faktor kejiwaan, 1/3 lagi kerana faktor badaniah dan 1/3 lagi pula kerana gabungan kedua-dua faktor tersebut, iaitu rohani dan jasmnai atau jiwa raganya.


Katakanlah seorang lelaki mengidap penyakit kencing manis yang serius yang menyebabkan kekuatannya secara keseluruhannya menjadi menurun, akibatnya daya seksualnya sedikit demi sedikit turut menjadi merosot. Keadaan yang tidak diingini ini menyebabkan dia merasa kecewa, bimbang dan takut yang menyebabkan daya seksualnya menjadi bertambah merosot. Akhirnya akibat terlalu dirundung oleh kebimbangan dan ketakutan yang menghantuinya menyebakan dia terus kehilangan semua daya seksualnya.


Kita lihat dalam kes di atas, bahawa ada dua faktor yang menyebabkan lelaki itu mengalami kemerosotan daya seksualnya, iaitu gabungan dari dua faktor tersebut, jasmani dan rohani yang saling kait mengait antara satu sama lain.


Faktor-faktor Kejiwaan


Kemerosotan daya seksual kerana faktor-faktor kejiwaan jauh lebih kompleks dariapada kemerosotan daya seksula kerana faktor-faktor badaniah. Mengikut kajian ada bebagai-bagai faktor pula yang menyebabkan jiwa seseorang terganggu hingga menimpakan kesan yang buruk terhadap jasmaninya.


Mengikut kajian, biasanya kemerosotan daya seksual atau kehilangan daya seksual kerana faktor-faktor kejiwaan hampir keseluruhannya menimpa kaum lelaki yang berusia 40 tahun ke bawah.


Biasanya lelaki yang tidak mempunyai keyakinan diri, tidak yakin terhdap kemampuan seksualnya atau takut akan menderita kemerosotan atau kehilangan daya seksual menyebabkan dia benar-benar menderita kehabisan daya seksualnya. Tegasnya kerana terlalu takutkan kehilangan daya seksual menjadi momok yang menakutkan yang menyebabkan lelaki itu benar-benar kehilangan daya seksualnya.


Problam ketiadaan keyakinan pada diri sendiri itu mungkin timbul kerana terlalu rungsing yang mengharu-birukan fikiran dan perasaan seseorang, seperti merasa hina diri, merasa kekurangan diri, merasa bersalah, merasa berdosa dan berbagai-bagai perkara lagi seumpamanya yang boleh mrnganggu dan mrngacau-bilauksn jiwa seseorang lelaki yang menyebabkan jasmaninya turut menderita lemah dan tidak bermaya, dan serentak itu juga menyebabkan dia kehilangan sifat-sifat kelelakiannya, atau daya seksualnya yang penting menjadi lumpuh.


Kami pernah diberitahu oleh ahli-ahli politik di mana mereka pernah secara mendadak kehilangan daya jantinanya, kerana secara tiba-tiba mereka teringat berbagai-bagai problam berat yang belum selesai dan terpaksa mereka hadapi keesokan harinya, Ingatan-ingatan itu langsung memusnahkan daya seks yang berkobar-kobar ketika itu.


Namun begitu, di waktu-waktu dan di hari-hari yang lain keadaannya normal sahaja, tiada cacat dan celanya.


Kes yang lain ialah mengenai seorang lelaki yang usianya dalam lingkongan 60 hingga 70 tahun. Lelaki yang malang ini telah diberitahu oleh orang-orang kepercayaannya bahawa dalam usia selanjut itu kehidupan jantinanya yang biasa telah berakhir. Kerana percaya dengan kata-kata tersebut, dia telah menderita kehilangan daya seksualnya, walaupun sebenarnya dia masih sihat jiwa dan raganya.


Pada fikirannya, jika dia masih lagi mempunyai keinginan dan daya seksual dalam usia selanjut itu, bererti dia sudah tidak normal lagi, kerana normalnya pada fikirannya lelaki yang seusia itu hidupnya tanpa seks.


Memanglah benar kata orang, kita adalah apa yang kita fikirkan; kalau kita fikir kita berjaya, maka berjayalah kita, tapi sebalikknya kalau kita fikir kita gagal, maka gagallah kita.


Disamping itu masih banyak lagi problam-problam yang menganggu perasaan dan jiwa seseorang lelaki yang boleh menimpakan kesan yang buruk terhadap jasmaninya yang boleh mempengaruhi daya seksualnya.


Bencikan Isteri


Suami yang menyimpan dendam dan kebencian yang meluap-luap terhadap isterinya mungkin dapat mempengaruhi kehidupan seksnya yang normal.


Kebencian itu mungkin berpunca daripada sejak awal-awal perkahwinan lagi dia tidak menyukai isterinya itu, tapi dia dipaksa juga kahwin oleh orang tua mereka. Justeru itu selepas kahwin pun dia terus menyimpan kebencian terhadap isterinya, sehingga secara tidak disedari menganggu kehidupan seksualnya yang normal.


Ataupun kebencian itu timbul kemudian, selepas mereka kahwin, kerana terdapatnya sifat atau sifat-sifat yang tidak disukai pada isterinya itu. Dan ini pun boleh mempengaruhi kehidupan seksualnya yang normal


Pengaruh Suasana Keliling


Suasana keliling juga boleh mempengaruhi emosi seseorang dan menganggu kenormalan kehidupan seksualnya, dan menyebabkan seseorang lelaki langsung kehilangan daya seksualnya.


Antara suasana-suasana keliling yang boleh menumpulkan keinginan seksual seseorang lelaki ialah


-Cuaca yang terlampau sejuk atau panas.


-Suasana sekitar yang terlalu sibuk atau bising.


-Tempat atau kamar tidur yang dirasakan tidak “selamat”, seperti dalam keadaan terdedah tanpa hadangan atau pintu yang tidak berkunci yang menimbulkan kebimbangan.


-Keadaan kamar tidur yang kotor dan berselerak yang menganggu perasaan, dan berbagai-bagai faktor luaran lagi.


Faktor-faktor Jasmani


Menurut kajian, ada berbagai-bagai faktor yang boleh menyebabkan jasmani seseorang lelaki menjadi merundun lemah, dan ini boleh mempengaruhi daya batinya, seperti kerana penyakit, letih lesu, kerana ubat-ubatan dan merokok.


Kerana Penyakit


Organ jantina adalah sebahagian daripada organ-organ badan yang lain juga, seperti kaki, tangan, kepala, hati, jantung, buah pinggang dan sebagainya. Organ-organ itu berhubung rapat antara sama lain. Justeru itu jika salah satu daripada organ-organ itu ditimpa sakit, maka sudah tentu seluruh organ lain akan merasai kesannya.


Justeru itu, kita amat perlu menjaga kesihatan jasmani kita supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan mampu menjalankan tugas masing-masing dengan sempurna, termasuklah organ seksualnya.


Antara berbagai-bagai faktor yang boleh memberi kesan terhadap daya seksual seseorang ialah;:


-Penyakit jantung.


-Penyakit kanser yang sedang menerima rawatan. Malah ubat-ubat kanser itu sendiri pun boleh menimpakan kesan yang buruk terhadap organ-organ yang lain, termasuk organ jantina.


-Penyakit kencing manis.


-Radang buah pinggang.


-Batuk kering paru-paru.


-Demam yang lama atau menahun.


-Penyakit Parkinson, iaitu sejenis penyakit saraf tunjang.


-Berbagai-bagai jenis penyakit yang menyakitkan, seperti sengal-sengal sendi dan begkak-bengkak sendi.


-Pengidapan atau kecederaan pada tulang belakang.


-Selepas menjalani pembedahan besar yang menyebabkan seseorang kehilangan stamina.


-Gemuk yang berlebhan atau obesiti.


Akibat Ubat-ubat


Bila seseeorang sakit, dia perlu mengambil ubat dalam ikhtiar untuk menyembuhkannya. Malangnya sebahagian besar daripaa ubat-ubat moden hari ini mengandungi dadah-dadah yang tertentu. Walaupun ubat-ubat itu dapat menyembuhkan penyakit, tapi sekali gus ia dapat menimbulkan berbagai-bagai kesan sampingan yang buruk, antaranya merosakkan daya seksual seseorang.


Menurut pakar-pakar terdapat lebih daripada 200 jenis ubat yang beredar di pasaran dunia hari ini dapat merosakkan daya seksual seseorang, antaranya:


-Aldoctone [Spironolactone],Catapres [Clonidine], Chlotride [Chlorothiazide], juga dipasarkan dengan nama Azide, Dichlotride [Hydrochlorothiazide], Dyazide [Triamterene dan Hydrochlorothiazide], Inderal [Propranolol], juga dipasarkan dengan nama Cardinol dan Deralin, Isoptin SR [Verapamil] juga dipasarkan dengan nama Isoptin Oral, Cordilox Sr, Cordilox Oral,


Veradil dan Verpamil,LoBeta [Penbutolol], Minipress [Prazosin], Moduretic [Hydrochlorothiazide dan Amloride], Natrilix [Indapamide], Nsvidrex [Cycclopenthiazide], Tambocor [Flecainide], Tenormin [ Atenolol], juga dipasarkan dengan nama Noten, Marplan [Isocarboxazid], ubat penenangan dan anti kemurungan, Nardil [Phenelzine], ubat penenang dan anti kemurungan, Atromid-S [Clofibrste], sejenis ubat penyakit darah tinggi, Maxoon [Metochlopramide], sejenis ubat mabuk-mabuk dan muntah-muntah, Taganet [Cimetidine], juga dipasarkan dengan nama Duractin, iaitu sejenis ubat penyakit ulsers, dan semua jenis ubat yang mengandungi dadah untuk merawat penyakit kanser prostate.


Akibat Merokok.


Kita semua sudah mengeahui bencana-bencana yang ditimpa oleh rokok terhadap tahap kesihatan seseorang, terutama terhadap organ-organ jantung. Namun begitu masih ramai lagi orang yang terus menerus merokok di seluruh dunia, baik lelaki ataupun wanita.


Asap rokok yang dihisap dapat menyempitkan pembuluh darah ke jantung, akibatnya pengaliran darah ke seluruh badan menjadi merosot, kerana kesan nikotin yang terdapat dalam asap rokok itu. Justeru penghisap rokok mungkin mendapat penyakit jantung, kerana pembuluh darahnya yang sempit itu.


Justeru, nikotin juga menghalang kelancaran pengaliran darah ke organ seksual, dan jika kelancarannya banyak yang terganggu, maka perokok mungkin akan mengalami kemerosotan daya seksualnya, kerana pengecutan pembuluh darah ke organ tersebut sabagaimana mengecutnya pembuluh darah ke jantung.


Di samping itu banyak lagi penyakit akibat merokok, seperti sesak nafas, gangguan terhadap alat-alat pernafasan, seperti hidung, tenggorokan dan paru-paru, gangguan terhdap seluruh urat- geramat, boleh menyebabkan pening, tidak dapat tidur, pengelihatan menjadi rosak, hilang selera makan, menimbulkan tekanan darah tinggi dan boleh menyebabkan kanser paru-paru dan lain-lain lagi.


Justeru, jalan selamatnya, berhentilah merokok.


Kesan Arak Dan Dadah


Hari ini masih ramai lagi orang yang minum arak, temasuk juga di kalangan umat Islam yang agamanya mengharamkan arak yang memabukkan itu.


Sudah ternyata arak boleh menimbulkan kesan yang buruk terhadap seseorang, termasuklah menimpakan gangguan seksual terhadap kaum lelaki. Walaupun pengaruh arak membuat seorang lelaki melihat wanita di sisinya kelihatan lebih cantik dan menarik, tapi pada mata orang lain dia kelihatan tidak menarik, membosankan dan tidak disukai. Malah dalam masa jangka panjangnya ia boleh menimpakan gangguan seksual ke atas peminumnya.


Demikian juga dengan penyalahgunaan dadah. Setiap jenis dadah boleh menganggukan fungsi jantina yang normal kepada kaum lelaki. Antara dadah-dadah yang merbahaya ialah morphine, cocaine dan candu. Sedangkan dadah nikotin yang terdapat dalam rokok pun boleh menimpakan kesan yang buruk terhdap daya seksual seseorang, apa lagi penggunaan dadah secara langsung.


Justeru itu jauhilah arak, semua jenis arak, dan jauhilah dadah, semua jenis dadah, kerana mala petaka yang ditimpanya lebih besar daripada keseronokan yang sekejap.


Gangguan Seksual Kerana Sihir


Salah satu lagi faktor yang menjadi punca kepada gangguan seksual yang teruk kepada seseorang ialah akibat sihir. Seseorang yang terkena sihir mungkin keinginan seksulanya akan terus lesap, ataupun menyebabkan daya seksualnya mejadi merosot.


Seorang suami yang sihat sejahtera lahir dan batinnya, tiba-tiba dengan tidak semena-mena menjadi mundur daya seksualnya kerana sebab-sebab yang tidak nyata, mungkin dia telah menjadi mangsa sihir untuk memusnahkannya dan juga keluarganya.


Biasanya sihir itu dilakukan oleh seseorang kerana iri hati atau dengki. Atau sesetengah manusia, tidak suka melihat orang lain senang dan bahagia, lalu mengambil jalan untuk memusnah atau merampasnya, dan salah satu jalan pintas yang mereka ambil ialah jalan syaitan, iaitu menggunakan tenaga syaitan dan jin, iaitu sihir.


Seorang isteri yang terlalu cemburu, mungkin melakukan sihir terhadap suaminya untuk menghalang suaminya itu dripada tergoda dengan wanita-wanita lain dengan memusnahkan daya seksualnya.


Isteri-isteri yang dimadukan juga kerana tidak ingin berkongsi suami mungkin akan menggunakan sihir untuk melemahkan suaminya dan akhirnya terpaksa meninggalkan madunya itu, dan dengan itu suaminya tetap kekal menjadi hak miliknya seorang sahaja.


Wanita yang berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya, mungkin kerana bimbang, akan menggunakan sihir untuk mencegah suaminya daripada tertarik kepada wanita lain dengan mencari bantuan bomoh-bomoh syaitan untuk menguci nafsu suaminya.


Anadainya si siteri itu meninggalkan terlebih dahulu, maka kucni nafsu suaminya itu akan dibawanya bersama-sama dengannya ke liang lahad.


Biasa juga kejadian, pemuda-pemuda yang berada dalam pertunangan dikenakan ilmu sihir oleh pembenci dan pengiri hati kepadanya, menyebabkan dia tiba-tiba membenci tunangnya itu tanpa sebab-sebab yang nyata.


Andainya pemuda itu tidak dirawat terlebih dahulu dan perkahwinan diteruskan juga, maka kemungkinan besar dia tidak bermnat langsung terhadap isterinya itu. Melihat mukanya dia naik benci. Ataupun dia mungkin berminat, tapi tidak mempunyai daya langsung untuk memanjangkan minatnya itu bila mereka bersama.


Demikian bahana kejahatan sihir. Keluarga saya sendiri ada yang terkena sihir. Allahyarhmah isteri saya, Asiah Yaacob. [Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnysa] pernah terkena sihir mempergunakan hantu raya berpunca dari iri hati seseorang. Alhamdulillah Allah telah memperlindungi kami semua daripada bencana manusia durjana yang memilih jalan sesat untuk menzalami kami. Semoga Allah memberi kesedaran kepdanya untuk kembali ke pangkal jalan dan meninggalkan amalannya syiriknya memuja hantu raya itu.


Ingatla melakukan sihir, menggunakan hantu, jin dan syaitan perbuatan yang terlaknat di dunia dan di Akhirat nati mereka akan kekal dalam neraka, kerana dengan menggunakan sihir itu mereka telah menganinya orang lain yang tidak mereka sukai, membinasakan orang yang mereka cemburi dan berdengki, memisahkan suami isteri, menimpakan berbagai-bagai penyakit dengan meminta bantuan hantu, jin atau syaitan yang dilaknat oleh Allah.


Hukuman yang dikenakan pada tukang sihir ialah bunuh, krana mereka adalah termasuk dalam kalangan manusia yang murtad, justru merupakan salah satu dosa besar yang menghalang manusia masuk syurga.


Baginda Rasulullah bersabda, “Jauhilah kamu tujuh perkara yang tergolng dosa besar. Beliau kemudian menyebutkannya di antaranya adalah sihir”.HR:Muslim.


Sabda Baginda s.a.w. lagi, “Tidak golongan tidak akan masuk syurga: Orang yang ketagih minuman keras, orang yang memutus tali kekeluargaan dan orang yang membenarkan sihir”.HR:Imam Ahmad.


Sekian.


Sila Klik:


-Hantu Raya Menggoda


xxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman. Hulur Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP