Ini Nasi Yang Kusuap Dari Keringat Para Petani

>> Sunday, February 17, 2013



INI NASI YANG KUSUAP DARI PELUH PARA PETANI


Setiap hari, kita penduduk Malaysia, Indonesia  dan negara-negara lain di benua Asia makan nasi yang menjadi makanan utama kita. Dalam bahasa Arab, nasi ialah “ruz” atau “aruz’.

Pada umumnya dalam nasi [beras] yang kita makan itu  mengandungi bernaneka zat, seperti protein, lemak, karbohidrat, kalsium, potassium, zat besi, vitamin A, dan lain-lain zat lagi.

Justeru itu beras atau nasi berguna untuk kesihatan badan. Mengenai nasi, Rasulullah SAW. dilaporkan bersabda, “Nasi adalah sebagai ubat penyembuh, dan tidak ada penyakit di dalamnya”.

Nasi yang kita suapkan ke mulut setiap hari itu berasal dari padi, iaitu sejenis tumbuhan berguna yang banyak terdapat di dunia.

Padi mempunyai sejarah hidup yang panjang yang tidak dapat ditentukan dengan tepat sejarah pertumbuhan dan perkembangannya di kalangan sejarah umat manusia.

Adalah dipercayai tanah air tumbuhan padi adalah negara India atau Indochina, dan dipercayai telah dibawa masuk oleh nenek moyang kita ke negara kita dan juga Indonesia  sejak tahun 1500 SM lagi untuk dijadikan makanan utama.

Malah padi yang diproses menjadi beras, merupakan salah satu daripada tiga jenis makanan utama penduduk dunia  hingga ke hari ini, iaitu di samping jagung dan gandum.

Padi adalah sejenis tanaman berbuah  yang diperolehi daripada pohon padi yang banyak ditanam di negara kita. Buah-buah padi itu mengandungi isinya yang dibaluti oleh kulit yang diapanggil sekam bila bercerai dari isinya.

Justeru padi itu tidak boleh terus dimakan seperti kebanyakan buah-buahan lain, seperti buah-buah jambu, buah mempelam, dan sebagainya, maka ia terpaksa melalui memprosesan yang khusus untuk meannggalkan kulit dari isinya. 
Seperti dengan buah-buah yang lain juga. Walau pun dari spises yang sama, ukuran besar kecil buahnya tidaklah sama. Pada umumnya ia dibahagikan kepada dua, iaitu beras panjang dan beras pendek. Beras panjang dianggap beras yang cantik, apa lagi kalau tidak patah-patah bila ditanak. Biasanya beras inilah dijadikan nasi istimewa, seperti nasi beriani atau nasi minyak.

Bila kulit dan isinya telah bercerai, maka namanya pun juga terus bertukar, kulitnya dipanggil sekam, bukan kulit padi, dan isinya pula dipanggil beras, dan bukan lagi isi padi.

Sedangkan kebanyakan buah-buahan lain, setelah diceraikan komponan-komponannya pun masih juga disangkut kepada nama aalnya. Katakanlah buah durian: kulitnya tetap dipanggil kulit durian, demikian juga dengan butirnya- butir durian, isinya- isi durian, kalau dibuat makanan pun masih juga disangkut dengan nama duriannya, seperti jemput-jemput, dipaggil jemput-jemput durian, makan pulut-dikatakan pulut durian, wajek, dikatakan wajek durian, kek, dikatakan kek durian, aiskrim, dikatakan aiskrem durian, makan budu, dikatakan budu durian. Hanya ada satu benda sahaja yang diproses  dari durian, tapi tidak disangkutkan dengan nama asalnya durian- tempoyak, iaitu durian yang dibiarkan masam. Tidak ada orang panggil tempoyak durian.

Secara tradisionalnya, untuk menanggalkan kulit padi dari isinya untuk mendapat bahan yang dipanggil beras, padi-padi itu ditumbuk atau dikisar dengan lesung yang khas, yang diperbuat dari sebatang kayu besar dan keras dan ditebuk lubang, dan menggunakan alu kayu yang panjang yang dijadikan penumbuknya. Demikian juga dengan alat mengisar padi yang dipanggil kisaran.

Tapi hari ini, kedua-dua alat tradisional ini sukar lagi untuk dilihat, kerana telah diganti dengan alat-alat jentera yang menggunakan tenaga elektirik sesuai dengan kemajuan semasa yang begitu pesat.

Secara tradisionalnya ada dua cara untuk mengambil buah-buah padi  daripada pohon-pohonnya yang ditanam dalam sawah atau di tanah-tanah huma.

Pertama dengan cara diketam tangkainya, setangkai demi setangkai dengan menggunakan alat khas yang dipanggil ketam untuk menceraikan tangkai-tangkai padi daripada batangnya. Selepas diketam, batang-batng padi itu tidak lagi dipanggil batang padi, tapi dipanggil jerami.

Cara kedua ialah dengan jalan memotong batang padi dari paras umbinya dengan menggunakan alat yang dipanggil sadat atau sabit. 

Kerja ini dipanggil mengetam padi.

Cara yang kedua ini, iaitu secara memotong  lebih cepat dari cara yang pertama yang begitu kompliketed dan memakan masa yang lebih lama untuk menyelesaikannya. 

Kerja ini dipanggil memotong padi.

Kemudian padi-padi yang telah dipotong atau diketam itu terpaksa dipisahkan dari tangkai-tangkainya.

Padi-padi yang diketam itu dipisah dari dari tangkai-tangkainya dengan jalan dipijak atau diherek dengan kaki setelah diletak di atas pelantaran yang dijalin dari buluh dan diberi berlubang-lubang kecil untuk padi-padi itu jatuh bila bercerai dari tangkainya.

Alatnya berupa sebuah alat tapisan yang khas dibuat secara tinggi dan bertiang di mana di bawahnya padi-padi yang relai daripada tangkainya bila diherek itu jatuh dan berkumpul atas tikar atau apa-apa bendaa yang digunakan untuk menadahnya.

Kerja ini dipanggil mengherek pagi. Kanak-kanak pun boleh melakukan kerja mengherek padi ini.

Tapi kaki-kaki orang-orang yang sensitif, mengherek padi boleh menyebabkan kaki mereka terasa gatal kerana miang padi.

Bagi padi-padi yang dipotong atau dikerat atau dicerut pula, buah-buah padi itu diceraikan daripada batangnya dengan jalan dipukul, atau dibanting iaitu dengan jalan memukulnya di dalam sebuah kotak kayu yang dibuat khas untuk tujuan tersebut. Padi-padi itu dipukul berulang-ulang kali dengan memegang pada bahagian bawah batangnya yang diikat sebesar yang sesuai dengan gengaman pemukulnya, hingga semua padi bercerai daripada tangkainya dan masuk ke dalam tongnya.

Kerja ini dipanggil memukul padi.
Kedua-dua kerja memotong dan mengetam padi ini mungkin sudah tidak digunakan lagi sekarang, kerana telah diganti dengan alat jentera yang kedengaran mengaum di sawah-sawah padi sekarang bila tiba musim menanam.

Kerja-kerja menanam anak-anak padi di sawah ini dipanggil mencedung. Anak-anak padi yang dipindah atau dicedung itu yang dianggil “semai” diambil atau dicabut daripada tapak semaian yang khas tanpa berendam dalam air seperti di sawah.

Kemudian, padi-padi yang telah bercerai dari tangkai itu dijemur terlebih dahulu untuk selama tiga hingga tujuh hari, tergantung kepada cuaca panas matahari.

Selepas itu padi-padi disimpan dalam kembung atau bekas padi yang khas yang disimpan rumah padi yang juga dibina khas berhampiran rumah untuk kegunaan masa-masa yang perlu.

Ataupun sebaliknya padi-padi yang kering itu terus dipisahkan kulit dan isinya sebagaimana diriwayatkan di ats tadi untuk dimakan, dengan jalan ditumbuk ataupun dikisar dengan lesung atau pengisar padi yang khas.

Kerja ini dipanggil menumbuk atau mengisar padi.

Padi-padi itu setelah bercerai daripada isinya tidak dipanggil kulit padi, kerana ia mempunyai panggilan yang khas, iaitu sekam.

Sekam dijadikan baja setelah dibakar menjadi abu.

Selain itu serbuk beras yang hancur itu pula dipanggil dedak. Ia boleh digunakan sebagai makanan haiwan ternakan, seperti ayam dan itik.


Beras yang hancur dan kasar-kasar sedikit pula dikenali dengan nama yang khas melukut. Ia biasanya digunakan untuk makanan ternakan, burung-burung dan ayam itik.

Untuk membolehkan beras-beras itu kita makan, ia perlu melalui proses lagi, di mana ia perlu dimasak atau ditanak, yang dipanggil menanak nasi, di mana beras-berasi itu dimasukkan ke dalm periuk yang berisi air mengikut sukatan  yang tertentu.

Tapi kalau air yang dimasukkan itu terlebih banyak, beras yang ditanak itu menjadi lembek dan tidak pula menjadi nasi seperti sepatutnya, maka dipanggil nasi air atau terus menjadi bubur-bubur nasi atau nasi bubur.

Nasi lemebk ini boleh dicampur dengan susu atau santan kelapa, dan dimakan dengan sambal ikan kering.

Beras-beras yang dimasak itu selain daripada dimakan sebagai nasi biasa sebagaimana yang kita makan hari-hari, ia juga boleh dibuat ketupat beras yang menggunakan daun kelapa sebagai sarang atau prmbungkusnya, atau nasi tumpang yang dibungkus dengan daun pisang berbentuk kon. Atau dijadikan nasi kapit atau nasi himpit untuk dimakan dengan kuah dan satay.

Beras yang dijadikan nasi itu dikenali dengan panggilan beras jemah.

Di samping itu ada lagi sejenis beras yang dipanggil beras pulut yang juga perlu ditanak untuk dimakan, biasanya sebagai makanan tambahan dengan cara-cara tertentu dan mengikut cara-cara tempatan.

Beras pulut itu bila dimasak dengan cara-cara tertentu yang menggunakan santan boleh dibuat ketupat, iaitu ketupat tiga bucu yang tawar dan manis, atau dibuat pulut lepa yang berbentuk bulat panjang dan berinti sambal udang, sambal ikan atau sambal daging, atau diperbuat pulut bakar yang bentuk bulat leper. Boleh juga dibuat pulut dakap dengan membungkusnnya dengan daun pisang dan didakapkan dua-dua biji sedakap dengan menggunakan urat-urat pisang sebegai tali kemudian dimasak atau direbus seperti merebus ketupat tiga bucu.

Sebelum dijerang atau dimasak, biasanya beras itu dibasuh terlebih dahulu, biasanya sebanyak tiga kali. Air basuhan beras itu boleh digunakan untuk menyiram pokok untuk menyuburkannya.

Beras-beras yang ditumbuk atau dikisar halus, dipanggil debu beras atau tepung beras, boleh digunakan untuk membuat aneka kueh, terutama kueh-kueh tradisional, seperti koleh, tepung bokor dan sebagainya.


Demikianlah secebis kisah nasi yang kita suap, dan kita mamah-mamah dan kunyah-kunyahkan dan telan adalah  hasil daripada mandian keringat yang membanjiri sekujur jasad para petani yang berhujan dan berpanas, bukan sehari, bukan sebulan tapi untuk semusim yang berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan hasilnya sebagai beras yang merupakan sebahagian besar daripada budaya hidup manusia sejagat hari ini,





Read more...

Menyamar Untuk Hidup

>> Sunday, February 10, 2013





MENYAMAR UNTUK HIDUP



Kita sering mendengar berbagai-bagai penyamaran yang dilakukan oleh manusia dengan berbagai-bagai tujuan. Ada menyamar dengan tujuan baik, tapi kebanyakannya bertujuan jahat.

Tujuan-tujuan baik ialah bila pihak berkuasa menyamar menjadi orang awam dan sebagainya untuk mengorek rahsia kejahatan yang berleluasa. Sementara penyamaran jahat yang sering berlaku ialah penyamaran yang dilakukan oleh manusia dengan tujuan untuk menipu atau memperdayakan orang, antaranya penjahat menyamar menjadi pihak berkuasa, seperti menyamar jadi polis atau kastam dan sebagainya.

Kita biasa mendengar para penjahat menyamar sebagai anggota-anggot polis untuk menipu dan merompak orang ramai yang tidak berdosa. Penjahat-penjahat itu menampilkan diri mereka dengan pakaian seragam, dan alat-alat keselamatan, seperti gari dan senjata api, yang mungkin tulen dan mungkin juga palsu untuk mengeliru mangsa yang menjadi sasaran.

Sebenarnya penyamaran seperti ini bukan sahaja berlaku di kalangan umat manusia, tapi juga di kalangan makhluk hidup yang lain, iaitu haiwan-haiwan yang tidak berakal fikiran seperti manusia.

Alam Haiwan

Dunia haiwan itu sendiri amat luas dan kompliketed. Dalam dunia raya ini mungkin terdapat lebih daripada satu juta jenis haiwan yang terdiri daripada berbagai-bagai jenis yang berbeza-beza antara satu sama lain. kebanyakannya pula setiap jenis haiwan itu mempunyai jumlah yang banyak, ribuan juta ekor. Justeru tidaklah begitu mengkagetkan kalau kita mengetahui bahawa di kalangan haiwan itu wujud jurang persengketaan yang amat luas dalam usaha mereka untuk meneruskan dunia hidup masing-masing.

Sistem Pertahanan:Kalau kita perhatikan, akan ternyata bahawa dalam persengketaan yang hebat untuk hidup ini  telah melorongkan kelahiran berbagai-bagai jenis sistem serangan dan pertahanan diri, sebagaimana terdapat di kalangan masyarakat manusia juga, malah lebih canggih dari itu lagi.

Antara sistem-sistem pertahan yang lumrah digunakan ialah kepantasan bergerak, mempunyai kulit yang keras, yang boleh dianggap sebagai baju besi kepada haiwan, badan yang berwarna-warni dan mempunyai bau-bau yang busuk seperti kesing.

Sistem Menyamar: Namun begitu, sistem pertahanan yang paling unik dan menarik, dalam  usaha untuk mempertahankan diri atau untuk melancarkan serangan ialah kemampuan serangga-serangga untuk menyamar atau meniru.

Antara teknik-teknik samaran yang sering dilakukan oleh haiwan-haiwan ialah menyerupakan dirinya dengan alam sekitarnya. Dengan itu ia tidak kelihatan pada pengelihatan musuh-musuhnya yang sedia ada yang sentiasa bersiap siaga untuk menyerang dan memangsakannya.

Contoh yang paling terang dapat dilihat dalam hal penyamaran ialah terdapat pada serangga-serangga. Kupu-kupu, walaupun ia mempunyai warna sayap di sebelah atasnya berwarna-warni, tapi bila ia berhenti di atas pokok, warna sayapnya itu segera bertukar menyerupai warna daun-daun yang dihinggapinya itu.

Saya sering melihat cicak yang mempunyai berbagai-bagai warna menyerupai warna-warna 
sekelilingnya. Ada cicak warna putih, kerana dinding-dinding rumah tempat mereka tinggal berwarna putih. Ada cicak berwarna hitam kerana tempat tinggalnya dalam sampah sarap yang mengandungi abu-abu sisa bakaran yang hitam. Ada cicak yang warna kulitnya serupa dengan warna batang pokok di mana dia hidup. Demikianlah seterusnya.

Di samping itu, contoh-contoh yang paling ketara juga boleh dilihat pada serangga-serangga yang bersengat dan serangga-serangga daun.

Beberapa jenis belalang pokok hampir menyerupai duri, bila ia hinggap di atas ranting-ranting pokok yang tertentu, dan berbagai-bagai jenis ulat bulu juga menyerupai duri-duri pokok yang tertentu. Sesetengah anduk-anduk [seahorse] sungguh cekap menyamar sehingga tidak kelihatan langsung bila berada berdekatan dengan rumpai laut.

Namun begitu, tidaklah benar andainya anda berfikir, bahawa tujuan haiwan-haiwan itu meniru atau menyerupai alam sekitarnya dengan tujuan untuk menyatukan dirinya dengan alam.

Menyerupai Haiwan Lain: Selain daripada menyerupai alam sekitar, haiwan-haiwan itu juga menyerupai haiwan-haiwan yang lainnya, khususnya mempunyai warna yang sama demi menjaga keselamatan diri masing-masing dari ancaman seteru-madu yang sentiasa menunggu peluang untuk bertindak ke atas mereka.

Antara berbagai-bagai jenis serangga itu, bukanlah satu perkara yang tidak masuk akal kalau beberapa jenis daripadanya menyerupai antara satu sama lain. Jika sejenis daripada serngga itu  mendapat perlindungan daripada bau-baunya yang busuk, atau kerana bersengat ataupun kerana kerana-warninya, maka serangga yang mernyerupainya juga, akan memperolehi faedah perlindungan yang sama, daripada bahaya yang serupa tanpa memiliki sendiri segala senjata perlindungan tersebut.
Keserupaan itu akan terus berlaku dari masa ke masa, malah dengan kadar yang kian meningkat baik dari masa ke masa, dari satu generasi  ke satu generasi seranga-serangga itu.

Kupu-kupu Hitam: Dalam tahun 1861, naturalis H.W.Bates, dalam kembaraannya di Amazon telah mendapati bahawa di sana banyak terdapat kupu-kupu berwarna hitam dan ungu, walaupun di situ juga  banyak terdapat serangga-serangga dan haiwan-haiwan lain yang memakan kupu-kupu. Menurut beliau, kupu-kupu itu terlindung dari bahaya kerana mempunyai rasa yang tidak enak dimakan.

Apa yang menarik perhatian beliau ialah, di samping kupu-kupu tersebut terdapat juga kupu-kupu yang berlainan jenis tapi kelihatan serupa dengan kupu-kupu yang mempunyai rasa yang tidak enak dimakan itu. Bates sedar  bahawa keserupaan itulah yang telah menyelamatkan kupu-kupu yang enak dimakan itu daripada menjadi mangsa

Bersengat: Musuh-musuh yang mencari mangsa untuk mengisi perut yang kelaparan itu akan segera menyedari bahawa  serangga-serangga yang tertentu, atau serangga-serangga yang mempunyai bentuk warna yang tertentu itu, ada mempunyai sengat dan daging yang tidak enak dimakan. Justeru itu mereka tidak mengendahkannya, walaupun peluang-peluang untuk menyerangnya memang terdedah luas.

Justeru itu, serangga-serangga lemah yang menyamar menyerupai serangga-serangga lain itu pun turut juga terselamat. Walaupun satu peratus sahaja daripada serangga-serangga itu terselamat, tapi jumlah yang sedikit itu amat penting ertinya kepada mereka.

Kedua-dua jenis serangga itu tinggal dikawasan yang sama dan bercampur gaul dengan bebas. Mereka juga mempunyai gaya yang sama.

Labah-labah: Umpamanya kebanyakan labah-labah yang menyamar diri seperti semut, mempunyai tanda-tanda hitam di rusuk kiri dan kanannya yang menyebabkan bahagian tengah badannya kelihatan seperti ramping, dengan kedua-dua belah kaki hadapannya  tertonjol ke hadapan dengan keras dan kelihatan seperti sesunggut semut.

Walaupun begitu, semuanya tidak berfaedah, kiranya labah-labah itu tidak mempunyai tingkah laku yang wajar dan serupa dengan semut-semut yang ditirunya itu, kerana itu mereka bergerak ke hadapan dan undur ke belakang bercampur-gaul dengan semut-semut itu dengan mesra antara satu sama lain.


Ini boleh mengelirukan ahli-ahli kaji serangga yang terlatih sekalipun. Pernah mereka menangkap labah-labah itu kerana menyangkanya semut.

Banyak Jumlahnya: Dalam hal ini, untuk berkesan amat penting sekali kiranya serangga-serangga yang disamar itu  lebih banyak jumlahnya  daripada serangga-serangga yang menyamar. Jikalau tidak, musuh-musuhnya akan menyangka bahwa bentuk warna yang dimilikinya  itu mempunyai pertalian dengan makanan yang enak, maka dengan itu kedua-dua jenis serangga itupun menjadi mangsa dan mungkin akan pupus.

Iklim Panas: Namun begitu, banyak pula terdapat serangga-serangga di kawasan iklim panas mempunyai keserupaan antara kedua-dua jenis serangga yang disamar dan yang menyamar itu, dan kedua-duanya mempunyai rasa yang sama, iaitu tidak enak untuk dimakan. Mungkin terdapat satu atau lebih jenis-jenis serangga yang menyerurpai antara satu sama lain seperti itu.

Inipun ada gunanya. Katakanlah seekor burung memerlukan 150 kali percubaan menangkap sebelum menyedari serangga-serngga tertentu itu mempuyai sengat. Andainya kedua-dua jenis serangga itu mempunyai rasa yang tidak enak dimakan tanpa warna yang serupa, maka bererti 300 ekor serangga tersebut harus menemui ajalnya terlebih dahulu sebelum burung itu menyedari bahawa kedua-dua jenis serangga itu mesti dijauhi.

Tapi sebaliknya, kalau kedua-dua jenis serangga yang tidak enak dimakan itu mempunyai bentuk-bentuk warna yang serupa, maka bererti hanya 75 ekor sahaja daripada setiap jenis itu yang akan terkorban.

Kian banyak serangga  itu mempunyai bentuk-bentuk warna yang serupa, kian baik pula kepada mereka.

Menyamar Untuk Mengelirukan Mangsa: Di samping menyamar untuk mengelakkan diri daripada terkena serang seperti disebut di atas, ada pula sesetengah haiwan menyamar diri menyerupai mangsanya untuk memudahkannya menyerang dan menangkap mangsa-mangsanya itu. 
 


Contoh yang paling ketara dalam hal ini terdapat pada serangga kepinding yang digelarkan Kepinding Pembunuh, satu gelaran yang memang wajar. Kepinding ini adalah sejenis serangga yang maging atau makan daging, yang hidup dengan memakan berbagai-bagai jenis serangga-serangga lain. Kepinding ini kelihatan serupa benar dengan serangga yang menjadi mangsa makanannya itu. Justeru itu sesetengahnya kelihatan seperti Belalang Mekah, seperti nyamuk, malah ada yang kelihatan seperti mentadak. Kepinding-kepinding pembunuh ini juga boleh mengelirukan manusia.

Penyamaran untuk memerangkap atau memangsakan makhluk lain seperti ini, sepertilah perbuatan sesetengah manusia yang jahat dan ganas menyamar dirinya sebagai pehak berkuasa untuk memperdayakan mangsa-mangsanya yang tidak menyedari mereka telah terpedaya dengan tektik kotor itu.

Demikianlah alam haiwan yang penuh dengan aneka keajaiban untuk menjadi renungan kita, di mana  tersembunyinya beraneka rahsia kebesaran Maha Penciptanya Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.


 









Read more...

Mereka Yang Jadi Hamba Abdi Tabiat

>> Monday, February 4, 2013




MEREKA YANG JADI HAMBA ABDI TABIAT


Ada dua jenis tabiat atau fill manusia. Pertama tabiat baik yang berguna atau memberi rahmat dan faedah. Kedua tabiat buruk yang bukan sahaja tidak menelurkan faedah, malah sebaliknya boleh merugi dan membinasakan mereka yang bertabiat dengannya.

Sesuatu amalan yang diamalkan terus menerus dalam masa yang berpanjangan, sudah pasti akhirnya amalan itu akan kekal menjadi tabiat atau fiil seseorang yang menjadi sebahagian daripada corak dan gaya hidupnya.

Andainya kebiasan itu merupakan tabiat yang baik dan menghasilkan faedah sudah tentu ia dialu-alukan dan menjadi puji-pujian, tapi andainya kebiasan atau tabiat itu merupakan amalan buruk yang merugi dan membinasakan, tentulah ianya tidak dialu-alukan atau tidak dikehendaki untuk terus dikekalkan sebagai pakaian hidup seseorang.

Amalan bangun tengah malam untuk solat tahajud, adalah tabiat yang mulia, wajar dikekalkan sepanjang hayat.

Tapi amalan bangun pagi lewat selepas matahari terbit, adalah tabiat yang keji, patut segera dihentikan.
Amalan pergi ke masjid, lebih awal daripada azan dikemundangkan, adalah tabiat yang terpuji dan wajar serta patut dikekalkan sepanjang hidup.
Tapi amalan sampai lewat ke masjid, setelah imam bertakbir atau setelah iman selesai rakaat pertama, dan berada dalam rakaat kedua, adalah tabiat yang tidak baik, dan patut dihentikan daripada mewarnai kehidupan seorang Muslim.

Amalan menjauhi rokok dan tidak merokok merupakan  tabiat yang dituntut dan dicontohi, patut terus dipertahankan sebagai corak kehidupan seseorang Muslim.

Tapi amalan mencari rokok dan merokok, merupakan  tabiat yang buruk dan membahayakan, dan patut segera ditamatkan nyalaan apinya dengan apa cara sekali pun daripada terus mengasapi kehidupan seseorang.

Amalan memabaca al-Quran setiap hari adalah tabiat yang amat terpuji dan wajib diteruskan oleh semua anggota keluarga untuk melahirkan sebuah generasi Islam yang baru, iaitu generasi al-Quran

Tapi amalan melupakan al-Quran dan tidak memperdulikannya dan tidak membacanya, apa lagi cuba memahaminya, adalah tabiat yang keji dan tercela dan patut dihentikan segera daripada menyelubungi keluarga umat Islam bila-bila masa dan di mana-mana sekali pun..

Dan demikianah seterusnya di antara timbunan tabiat-tabiat baik dan sepahan tabiat buruk, antara fiil mulia dan fiil yang keji.

Segala amalan yang telah menjadi tabiat ini sukar untuk ditinggal atau dihapuskan, terutama tabiat buruk, ianya sukar untuk diubahkan tanpa azan yang kuat dan semangat yang waja. Ianya telah menjadi sebati dengan darah daging kita.

Itulah sebabnya, bila  tiba waktu dan sampai tempatnya, amalan yang telah menjadi tabiat itu akan terus kita  kerjakan, samada dengan kesedaran atau tidak dengan kesedaran kita. Ia berlaku secara spontan.

Kalau kita setiap hari terpaksa menempoh perjalanan yang agak jauh untuk pergi ke tempat kerja, dan sering berhenti di sesuatu tempat yang sama dalam perjalanan itu kerana hendak buang air kecil, maka lama-lama, hari demi hari berlalu ia akan membentuk tabiat dalam diri kita. Sebaik-baik sahaja sampai di tempat itu, mahu atau tidak mahu, secara spontan kita akan terasa hendak kencing dan terpakasa berhenti untuk memuaskan tabiat kita itu.

Tidaklah mudah untuk kita memberhentikan tsesuatu tabiat yang telah bertahun-tahun menjadi amalan kita. Memanglah tidak mudah untuk menentang sesuatu tabiat yang telah lama dan telah jauh terbentuk dalam diri, hati, dalam perasaan dan dalam jiwa kita. Jutseru itu kebanyakan dari kita, disedari atau tidak disedari menjadi hamba abdi kepada tabiat buruk kita. Tapi kalau tabiat itu dari jenis yang menguntungkan, tidak mengapa, tapi kalau tabiat itu dari jenis tabiat merugikan, bagaimana?

Tabiat inilah yang sering menjadi batu penghalang kepada kita untuk berubah, untuk bertranformasi. Kalau kita seorang ahli politik yang suka berdusta, suka menipu, suka memfitnah yang telah merupakan sebahagian daripada gaya hidup kita, tentulah sukar kepada kita untuk berubah dan berhenti untuk menjadi seorang yang amanah dan jujur, tanpa ada sesuatu yang faktor yang mendesak atau memaksa kita untuk berbuat demikian.

Namun begitu, orang-orang yang waras, tidak akan mengizinkan dirinya terikat dengan segala sepahan amalan yang buruk, dan mengamalkannya terus menerus sehingga menjadi tabiat buruk yang merosakkan dirinya hingga ke akhir hayat.

Sebaliknya orang-orang yang bijaksana akan memilih mana-mana amalan yang baik untuk membinanya menjadi tabiat yang akan memberi keselesaan dan kebahagian kepadanya, baik untuk jangka waktu yang pendek atau panjang. Dengan itu dia boleh mengistiyarkan dirinya sebagai seorang insan yang bebas dan merdeka dalam hidupnya daripada ikatan tabiat buruk.

Sebaliknya seseorang yang memilih tabiat-tabiat yang buruk untuk dijadikan pakaian hidupnya akan ditimpa oleh kesan negatif yang buruk, penderitaan dan dan kecelakaan. Dengan itu dia telah menjadi seorang hamba abdi kepada tabiat buruknya itu.

Seseorang yang mempunyai tekad dan azam yang kukuh sudah tentu  dapat membersihkan dirinya dari sebarang tabiat buruk yang dimilikinya. Tabiat-tabiat  buruk itu telah memperhambakannya. Sebaliknya dia akan menggantikan tabiat yang buruk itu  dengan tabiat yang baik dan terpuji yang akan menganugerahkan kebahagian kepadanya. Dengan itu dia menjadi merdeka dan bebas daripada perhambaan tabiat buruk  yang telah sekian lama membelenggu dirinya sebagai seorang insan.

Setelah tabiat baik berjaya ditanam dalam dirinya dan dia berjaya menumpaskan segala tabiat buruk yang bersarang pada dirinya itu, maka tidaklah ada lagi keperluan kepadanya untuk menukar atau menggantinya dengan tabiat lain lagi. Apa yang perlu dilakukan lagi ialah menambah yang baik kepada yang lebih baik. Kalau dahulu dia baca al-Quran hanya tiga muka surat sahaja sehari, tapi hari ini dia telah meningkatkanya lagi kepada sepuluh muka surat shari.

Mereka yang menyedari dan menganggap serta melayan tabiat buruk itu sebagai musuh mereka, sudah tentu akan berjuang untuk membunuhnya dan  menggantikannya dengan tabiat-tabiat baru yang baik dan mulia. Dan kejayan dalam hal ini akan memberi lebih kepuasaan kepadanya.

Hanya orang-orang yang menjadikan tabiat buruk itu sebagai  sumber yang memberi kenikmatan kepadanya sahaja yang enggan berpisah dengan tabiat buruk itu. Tabiat buruk itu telah menjadi satu kepentingan yang keji kepadanya.

Para perokok sukar untuk berhenti merokok, selagi dia menganggap rokok memberi suatu kenikmatan yang tidak dapat diberikan oleh benda-benda lain kepadanya. Tapi bila dia jatuh sakit  akibat merokok, maka sikapnya mungkin berubah daripada sayang kepada rokok bertukar kepada benci kepada rokok. Masa itu rokok kepadanya bukan lagi sumber kebahagian, tapi menjadi sumber kepetakaan yang menuntut dia segera berubah dengan berhenti merokok.

Demikian juga dengan ahli-ahli dadah, selagi mereka beranggapan dadah itu satu-satunya sumber kebahagian hidupnya, maka adalah sukar kepadanya untuk  berhenti berdadah, dan dia hanya berhenti berdadah setelah dia merasa dadah itu menjadi musuh kepadanya, mengancam keselamatan dirinya, dan keluarganya, dan juga merasa takut terhadap hukuman Allah yang akan diterimanya nanti.

Sebahagian daripada tabiat yang kita miliki sekarang bukanlah semuanya hasil dari usaha kita sendiri. Ia telah lama terbentuk dalam diri kita, berpanjangan, turun temurun dari nenek moyang kita dahulu lagi. Kebiasaan makan nasi setiap hari, tiga kali sehari, bukanlah terbentuk dengan usaha kita, tapi ia telah dipupuk sejak kita masih kecil lagi, oleh orang tua kita yang juga dibentuk tabiat oleh orang tuanya pula. Demikianlah sambung bersambung dari sejak dahulu hingga sekarang.

Tapi warisan ini bukanlah alasan untuk kita tidak mahu mengubah tabiat kita yang buruk kepada tabiat yang baik. Ingatlah walau pun manusia tidak dapat mengubah alam semula jadi ciptaan Allah S.W.T., tapi manusia mampu hidup damai seiring dengan alam semula jadi itu dengan melakukan berbabagi-bagai penyesuaiyan diri yang perlu yang wajar demi survival dan kemuliaan mereka.
Kalau ada tembok tinggi menghalang perjalanan kita, dan kita tidak dapat meruntuhkannya untuk melepasinya, maka kita perlu berikhtiar mencari tangga atau sigar untuk melepasinya dan sempai dengan selamat di sebelah sana. Demikian juga jika dihadapan kita ada sebatang sungai yang luas, airnya dalam dan deras, kita tidak mampu untuk mengeringkan airnya atau menghaurngnya untuk sampai ke seberang, maka kita perlu mencari perahu atau kapal untuk menyeberanginya dengan selamat ke seberang sana. Ertinya kita memilih jalan yang betul dan selamat yang menguntungkan tanpa perlu berperang dengan rintangan-rintangan itu, yang memangnya di luar dari kemampaun kita untuk berbuat demikian.

Orang-orang bukan Islam mempunyai tabiat menyembah berhala-berhala. Entah berapa lama mereka sudah berbuat demikian. Tapi dengan kekuatan azam, tabiat itu boleh mereka rungkaikan, dan dengan menerima taufik dan hadiah Allah mereka berjaya berubah meninggalakn segala tabiat sembah-sembahan mereka  dan menjadi seorang Muslim. Sememangnya manusia memang  boleh berubah jika mereka ada kemahuan. Berubah kepada perkara yang lebih baik. Dari kegelapan menuju kepada cahaya.

Peranan syaitan pula bukanlah kecil dalam memperdayakan manusia supaya terus kekal berada dalam lautan madu  tabiat mereka yang jahat dan buruk. Para pendosa ingin berubah, ingin segera bertaubat, meninggalkan segala tabiatnya yang buruk, tapi syaitan memberi motivasi kepadanya supaya jangan segera berubah, jangan segera berubah, jangan segera  menukar tabiat yang telah sekian lama memberi kenikmatan kepada anda, jangan segera bertaubat, kerana masa masih panjang. Hidup selesalah dengan tabiat yang sedia ada pada diri anda, buat apa bersusah-susah payah meninggalkannya. Teruskan dan teruskan.

Maka dengan motivasai dan hasutan syaitan itu anda pun tidak ingin segera mengubah tabiat buruk anda, dan ingin hidup kekal di dalamnya, berenang sepuas-puas hati dalam air yang telah diracuni syaitan.

Oleh itu jika sesiapa sahaja ingin mengubh tabiat buruknya kepada yang baik, menukar tabiatnya yang keji dan hina kepada tabiat yang mulia dan terpuji, janganlah teragak-agak, jangan menempoh-nempoh, ayuh, kuatkan tekad, pejalkan azam, dan teruslah berjuang untuk menyingkirkn tabiat buruk dan menggantikannya dengan tabiat yang baik, Insayallah anda berjaya. Jangan merelakan diri anda menjadi kuda tunggangan syaitan, menjadi abdi kepada tabiat yang keji yang di belakangnya terdapat syaitan yang mengekang tali kekangannya. Ubahlah sekarang juga. Jangan tunggu masa, kerana masa terus berjalan dan tidak akan mengubah tabiat anda, dan tidak akan mengubah anda tanpa anda berusha.
Jangan terus menerus merelakan diri anda menjadi hamba abdi  sepanjang hayat kepada tabiat buruk anda. Bebaskan diri anda dan jadikan diri anda seorang insan yang bebas merdeka daripada tabiat yang buruk dan hamba Allah yang mulia dan diredaiNya.




Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP