Cantiknya Kaki Kecil

>> Tuesday, July 5, 2011


Cantiknya KAKI KECIL?



Sebagai seorang wanita, pernahkah anda berfikir untuk memiliki sepasang kaki kecil, yang begitu kecilnya, sehingga anda tidak mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri?



Sebaliknya sebagai seorang lelaki, adakah anda terfikir untuk melihat isteri anda bekaki kecil, begitu kecilnya, hingga dia tidak dapat berdiri sendiri, dan anda terpaksa membantu atau mengusugnya untuk bejalan?



Sebagai seorang teruna yang sedang dilamun cinta, adakah terlintas dalam fikiran anda untuk mencari seorang gadis yang tidak mampu berjalan kerana kakinya amat kecil hingga tidak mampu untuk berdiri?



Jawapan yang pastinya tentu tidak!



Tapi kepada sebahagian daripada penduduk negara Cina pada suatu ketika dahulu memang gemar mempunyai kaki kecil dan sengaja mengecilkan kaki mereka dengan tujuan-tujuan tertentu.



Kenapa


Ada beberapa pendapat yang berbeza kenapa wanita-wanita Cina pada waktu itu mengecilkan kaki mereka yang asalnya normal itu.



Ada pendapat yang mengatakan kerana sekslah wanita-wanita Cina itu bertindak mengecilkan kaki mereka, iaitu untuk memenuhi selera nafsu kaum lelaki.




Sebagaiaman yang kita ketahui dunia seks itu beraneka corak dan warnanya; ada sesetengah lelaki terbingkas nafsu berahinya ketika terlihat bahagian-bahagian tertentu pada batang tubuh seseorang wanita, seperti pada rambut, dada, mata, betis, tumit, kaki dan sebagainya, malah ada juga dengan hanya melihat pakaian-pakaian dalam wanita pun, seperti coli dan seluar dalam wanita sudah terkocak nafsu berahinya.



Gejala-gejala ini mungkin berbeza antara seorang dengan seorang, malah antara sebangasa dengan sebangsa yang lain, tergantung kepada beberapa faktor, seperti kebiasaan, adat resam, budaya, lingkongan masa dan kepercayaan mereka masing-masing.



Umpamanya segolongan kaum lelaki Cina sebelum Revolusi 1911 dahulu mempunyai cita rasa seks terhadap wanita yang berkaki kecil sebagai pencetus daya berahi mereka.



Faktor seks inilah yang menjadi sebab yang paling wajar kenapa sesetengah wanita Cina pada masa itu mempunyai kaki yang luar biasa kecilnya.



Salah satu pendapat lagi kenapa wanita-wanita Cina itu berkaki kecil ialah kerana kaum lelaki Cina mahukan isteri-isteri dan anak-anak gadis merkea sentiasa berada di rumah, dengan tujuan untuk menhindari daripada berlakunya skandal-skandal yang tidak diingini yang sering menimpa kaum wanita yang hidup bebas lepas seperti hari ini. Alasan ini juga mungkin boleh diterima.



Perbuatan ini walau pun tidak wajar, tapi tidaklah sezalim masyarakat Arab zaman jahiliah yang membunuh anak-anak perempuan mereka kerana takut mendapat malu di kemudian hari nanti.



Ada berbagai-bagai alasan lagi yang diutarakan sebab-sebab kaum wanita Cina berkaki kecil. Tapi alasan-alasan itu tidaklah begitu menasabah.



Ada pendapat yang mengatakan adat berkaki kecil itu bertujuan untuk membeza-bezakan kasta-kasta yang terdapat dalam masyarakat bangsa Cina pada masa itu.



Tapi alasan ini sukar untuk diterima, kerana tidak semua kaum wanita bangsawan Cina berkaki kecil, umpamanya keturunan bangsawan Manchu, mereka tidak mengamalkan adat wanita berkaki kecil.



Menurut kepercayaan umum di negara Cina pula, adat berkaki kecil ini dicontohi daripada kaki-kaki kecil yang dikatakan cantik yang terdapat di kalangan wanita bangsawan mereka.



Tapi tidak ada siapa pun yang benar-benar dapat mempastikan siapakah jelitawan yang mempunyai kaki kecil yang begitu cantiknya itu sehingga menimbulkan pengaruh yang begitu besar terhadap segolongan masyarkat Cina pada masa itu?



Namun begitu, ada sesetengah pendapat mengatakan jelitawan itu ialah P’an-fei, wanita yang menjadi buah rindu Maharaja Hoo Ti. Jelitawan ini dikatakan mempunyai sepasang kaki kecil yang begitu cantik, sehinggakan kononnya pokok-pokok lili pun akan tegak untuk mengintaikan kakinya bila dia lalu di situ.



Sesetengah kepercayaan pula mengatakan jelitawan tersebut bukan P’an-fei, tapi wanita lain yang yang dikenali dengan nama Tan-ki, permaisuri kepada Maharaja yang akhir dari Dinasti Shang, kira-kira pada tahun 1140 BC.



Kisah mengenai wanita ini lebih ganjil, kerana dia dikatakan bersifat separuh manusia dan separuh bidadari. Kakinya dikatakan berbulu, dan untuk menyembunyikan bulu-bulu yang banyak pada kakinya itu, dia membalutkan kaki-kakinya itu. Dia juga dikatakan memakai sejenis kasut bidadari yang kecil dan cantik.



Kepercayaan yang lain pula mengatakan wanita itu isteri kepada seorang Maharaja dari Dinsti Shong yang dikatakan mempunyai sepasang kaki kecil yang amat cantik.



Derita Kaki Kecil


Sebenarnya untuk memiliki sepasang kaki kecil seperti itu tidaklah mudah, ia menelan air mata derita yang bukan sedikit. Mengenai hal ini pepatah Cina ada mengatakan, yang kira-kira bererti “Untuk sepasang kaki kecil, banyak air mata yang mengalir”.



Biasanya untuk tujuan tersebut, kaki kanak-kanak perempuan terpakasa dibebat ketika berusi 4 atau 5 tahun dengan menggunakan sehelai kain kapas yang kukuh, kira-kira 3 kaki lebar dan 2 ela panjang. Kaki yang dikat kemas itu dipakaikan dengan kasut kecil sepanjang 3 atau 4 inci sahaja.



Bayangkanlah setiap pagi dan setiap malam kain ikatan itu dijerut supaya bertambah kemas. Sekiranya tulang-tulang kaki kanak-kanak itu kuat dan tidak mahu menurut ikatan itu, maka kaki itu akan dipukul dengan kayu pemukul yang berat. Selepas dipukul kanak-kanak itu dipaksa berjalan untuk mencegah kaki itu daripada terkena kelamayuh.



Pada waktu malam, anak itu ditidurkan di sisi ibunya. Tapi kiranya dia menangis kesakitan sepanjang malam itu, dia akan disingkir ke kamar lain supaya jerit tangisnya tidak menganggu ayah dan bondanya yang beradu itu. Dengan itu, seolah-olah kedua orang tuanya itu tidak mahu menyedari kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh anak kecilnya itu, terutama pada tahun pertama kakinya diikat dan dibebat.



Tapi seperti kata pepatah, “Alah bisa tegal biasa”, Lama kelamaan, kaki-kaki yang pada mulanya menimbulkan kesakitan itu menjadi keras dan tidak menyakitkan lagi. Namun, kaki-kaki itu terus diikat juga untuk selama dua tahun lagi, sehingga kaki itu berubah dari bentuknya yang asal buat selama-lamanya.



Cacat Seumur Hidup


Selain daripada menanggung kesakitan yang perit semasa kaki itu diikat dan dibebat, lebih dasyat lagi kanak-kanak itu akan menanggung akibatnya yang buruk sampai ke akhir hayatnya. Kerana dia tidak akan dapat berjalan sendiri tanpa dipimpin, didokong atau ditandu oleh orang lain. Jauh sekali daripada mengendalikan hidupnya sendiri.



Justeru itulah adat berkaki kecil ini terbatas pada gologan atasan sahaja yang dikelilingi oleh berbagai-bagai kesenangan dan kemewahan hidup sahaja, terutama dari kalangan bangsawan.



Pada masa dahulu, kebanyakan wanita berkaki kecil ini didapati di kalangan wanita kaum Hui di Gangu, di wilayah barat laut, Cina. Demikian juga orang-orang Hui yang lari dan tinggal di Asia Tengah mengamalkan adat berkaki kecil dalam masyarakat mereka hingga tahun 1948.



Mereka tidak perlu bekerja keras untuk mencari sara hidup. Segala urusan rumah tangga dikendalikan oleh babu-babu rumah yang juga menolong wanita-wanita yang berkaki kecil itu berjalan. Ketika keluar rumah pula, mereka tidak perlu berjalan kaki, tapi menaiki sedan, pedati atau didokong. Justeru itu kecacatan kaki mereka tidak tidaklah begitu membebankan keluarga mereka.



Sebab itulah, golongan-golongan bawahan yang terpaksa bekerja keras untuk mencari sara hidup, seperti kaum Hakka yang tinggal atas perahu seumur hidup mereka tidak membebatkan kaki anak-anak perempuan mereka. Demikian juga di kalangan masyarakt tani yang bekerja kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Kalau tidak bagaimana mereka hendak menghadapi hidup yang penuh dengan cabaran itu?



Demikian juga kebanyakan orang-orang Islam di negara Cina wanita-wanita mereka tidak mengamalkan adat berkaki kecil ini, kecuali di kalangan orang Islam Han, turut terpengaruh dengan budaya bebat kaki wanita ini.



Mengikut laporan pada suatu ketika ada masjid di selatan negara Cina memasang papan kenyataan melarang orang Islam mengamalkan adat berkaki kecil di kalangan kaum wanita, kerana ianya bercanggah dengan hukum Islam, sedangkan perbuatan itu merupakan tindakan mengubah ciptaan Allah.



Namun begitu, di sekitar tahu 1990 hingga 2000 masih lagi dapat dilihat wanita-wnita tua yang dilahirkan sekitar tahun 1940an masih hidup dan berkaki kecil. Itulah sisa-sisa sejarah kemanusiaan zaman lampau yang tidak lagi dapat diterima oleh wanita Cina generasi baru sekarang.



Walau bagaia mana pun adat yang menyeksa kaum wanita itu telah hapus di negeri Cina sekarang, terutama selapas pergerakan Revolusi Dr. Sun Yat-sen 1911-1912 mencapai kemenangan, lebih-lebih lagi kerana adat berkaki kecil ini dianggap merugikan dan menghalang kemajuan kaum wanita untuk berbakti kepada keluarga, bangsa dan negara.



Nasib baiknya tidak ada mana-mana umat Islam di seluruh dunia, selain dari sebilangn kecil negara China yang kaum wanitanya berkaki kecil, jika tidak akan bertambah lagi problem yang dihadapi oleh umat Islam hari ini yang telah pun begitu komleketed.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rah,at:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

"Family Dr" Di Teratak Rahmat

>> Monday, July 4, 2011



“FAMILY Dr” Di Teratak Rahmat



Beberapa malam yang lepas ada tamu datang berkunjung ke teratak kami di Pasir Tumbuh. Seorang anak muda yang membawa pesanan kami ke rumah.



Oleh sebab masanya terbatas, dia datang ke teratak kami selepas waktu Maghrib. Sorang pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai “Najib”. Kami pun tidak bersekempatan untuk bertanya lebih lanjut tentang dirinya, kerana fokus kami ialah kepada pesanan kami yang dibawanya bersama itu dan juga kerana waktunya yang terbatas itu.



Yang kami pasti ialah beliau adalah seorang kakitangan Al_Jabbar Group, sebuah syarikat terkenal yang memasarkan produk kesihatan yang istimewa.



Kami telah memesan sebuah alat menggunakan kaedah terapi medan elektrostatik, yang antara lain fungsinya untuk membantu proses pengaliran darah dengan lebih sempurna untuk menjana kesihatan yang lebih baik.



“Family Dr” yang dibawa oleh Najib itu telah berada bersama kami sekarang untuk dinikmati keberkesanannya.



Mengikut panduan yang terdapat dalam Maklumat Produk, ada tiga cara penggunaannya, dan dua daripada caranya dikenali dengan nama "High Voltage" dan "Negative Voltage".



High Voltage ditujukan khas untuk menyelaraskan sistem saraf; membersihkan saluran darah; dapat menguatkan buah pinggang, jantung dan paru-paru; meningkatkan daya ketahanan badan; merawat dan membantu merawat berbagai-bagai jenis penyakit yang berpunca daripada masalah saluran darah dan sistem saraf.



High Voltage ini penggunaannya pada waktu siang sahaja.



Sementara Negative Voltage pula ditujukan khas untuk menenangkan sistem saraf, organ-organ dan sebagainya, sesuai untuk sakit kepala, stress, resdung, asma, sukar tidur malam, paru-paru, gastrik dan tekanan perasaan, meningkatkan daya ketahanan badan, mempercepatkan proses penyembuhan, merihatkan minda dan tubuh.



Ia sesuai digunakan pada waktu malam.



Walau bagaimana pun, seperti perkara-perkara lain juga, penggunaannya terikat dengan peraturan-peratruan tertentu yang pasti dipatuhi kerana itu ia tidak boleh digunakan dalam semua keadaan, dan semua tempat. Biasalah begitu.



Setelah selesai menerangkan kegunaan dan cara pengunaannya, kami sempat bertanya Najib sedikit tentang dirinya sambil-sambil dia menulis sesuatu.



Mengikut Najib dia anak Kelantan. [Dari percakapannya pun kami tahu dia orang Kelantan.] Mula-mulanya beliau bekerja di sebuah syarikat lain yang memasarkan produk yang sama kegunaannya, tapi dari jenama yang berlainan.


Ketika mengimbau kembali tentang pekerjaannya itu, beliau menceritakan, sebelum itu salah seorang daripada keluarganya mengidap penyakit kencing manis, akibatnya sebahagian darpada anggota badannya terpaksa dipotong.



Sementara itu keluarga beliau terus berusaha mencari rawatan altenatif dan dimaklumkan tentang sejenis produk yang mengguna mesin terapi yang wajar dicuba.



Katanya beliau telah pergi ke kedai syarikat tersebut membeli sebuah alat terapi untuk kegunaan keluarganya yang sakit itu.



Alhamdulillah setelah diguna beberapa waktu, keluarganya yang sakit itu sembuh dan anggotanya tidak perlu dipotong lagi.



Setelah keluarganya sembuh, dia terus pergi ke syarikat tersebut dan memohon kerja, Alhamdulillah permohonnnya diterima. Beliau melamar pekerjaan tersebut kerana memikirkan alat-alat itu amat berguna untuk membantu orang-orang yang menderita penyakit seperti keluarganya itu.



Setelah bertugas di situ selama beberapa tahun, beliau bekerja pula dengan Al_Jabbar Group yang memasarkan produk yang sama kegunaannya. Katanya sambutan orang ramai amatlah menggalakkan dan beliau merasa bangga dapat memberi khidmat yang lebih luas kepada masyarakat dalam bidang yang diceburinya ini.



Sehingga kini sudah lima tahun lamanya beliau bertugas dengan Al_Jabbar Group, iaitu sejak mula-mula syarikat itu ditubuhkan.



Katanya berniaga produk ini terpaksa menghadapi banyak cabaran, kerana ramainya para pesaing yang masing-masing memburu pelanggan.



Beliau juga menceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah penubuhan Al-Jabbar Group yang kini terdapat juga di Indonesia dan Brunei, serta menceritakan bagaimana beliau boleh menyertainya



Kami berharap terdapat nama penuh Najib dalam dokumen-dokumen yang diserahkan kepada kami, tapi rupanya tak ada langsung.



Walau bagaimana pun, saya suka mengingatkan diri saya, walau secanggih mana ubat, walau sehebat mana pun manusia, walau seunggul mana pun bahan-bahan yang dicipta, ianya tidak akan bermakna, tidak akan bererti, tidak akan memberi bekas sedikit pun sekiranya tanpa izin Allah SWT.



“Laa Haula Wa Laa Quwwata Illaa Billaahi ‘Aliyyil ‘Adhim”.



“Tidak ada daya dan kekuataan melainkann daya dan kekuataan Allah”.



Dan teringat saya pada pesan guru, “Jika mana-mana anggota jasmani kamu sakit ucaplah, “Dengan nama Allah, dengan nama Allah, dengan nama Allah, aku berlindung kepada Allah dan kudratNya dari kejahatan penyakit yang aku derita dan aku takuti”.



Amin!



Semoga kedatangan “FAMILY Dr” ini memberi manfaat kepada kami sekeluarga dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan pancaroba.



xxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambah Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.





Read more...

Asiah Rumahnya Di Syurga

>> Friday, July 1, 2011




ASIAH RUMAHNYA

DI SYURGA


Siapakah Asiah?



Beliau adalah isteri Firaun, salah seorang raja pemerintah Mesir ribuan tahun yang lalu, walaupun suaminya seorang yang kufur dikutuk Alah, tapi beliau sendiri seorang yang beriman, yang sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT.



Wanita ini mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan mempunyai hubungan dengan Nabi Musa as.



Di dalam al-Quran, Surah Al-Qashah, ayat 9 Allah menceritakan bahawa Musa yang masih kecil itu dihanyutkan oleh ibu kandungannya dalam sungai Nail, kerana beliau takut anaknya itu dibunuh oleh Firaun di hadapan matanya sendiri.



Anak itu diambil oleh isteri Firaun, Asiah lalu dibawa ke istana dan dijaga dan diasuh dengan baik hingga dewasa.



Beliau memohon kepada suaminya, Firaun supaya anak yang dipungutnya itu tidak dibunuh seperti anak-anak lelaki yang lain, dan dibiarkan dia hidup, mungkin berguna pada masa akan datang. Kerana pada msa itu, kerajaan Firaun mengesan dan mencari semua anak lelaki dari kaum Musa untuk dibunuh, kerana bimbang anak-anak itu akan menjadi ancaman kepada mereka, menentang dan meruntuh kerjaaan Firaun di suatu masa yang akan datang.



Allah menceritakan di dalam ai-Quran, “Dan berkatalah isteri Firaun, ia adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu, janganlah kamu membunuhnya. Mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak, sedang mereka tidak menyedari” Al-Qashash:9.



Wanita inilah, seorang hamba Allah yang beriman, walaupun hidup di tengah-tengah lautan kemegahan dan kemewahan hidup yang tidak dapat digambarkan, dan hidup dalam lautan kekafiran yang tunjangi oleh suaminya sendiri, seorang Firaun yang zalim dan kejam, namun begitu, beliau tetap seorang manusia yang teguh imannya.



Ini adalah salah sebuah contoh keperibadian seorang Islam yang utuh imannya, mempunyai peribadi yang kukuh, seperti sebuah gunung batu, yang tidak terpengaruh dengan keadaan kelilingnya. Beliau ibarat seekor ikan yang hidup di laut, yang tidak masin-masin dagingnya, selagi ia masih bernafas dan hidup, walaupun dikelilingi oleh air yang seluruhnya masin.



Asiah inilah yang memohon kepada Allah supaya membuat sebuah rumah untuknya di syurga, di alam akhirat nanti.



“Ya Tuhanku, Diriknlah bagiku di sisi Mu satu rumah di syurga”. Demikian doa Asiah kepada Allah.



Doa yang dipanjatkan oleh Asiah kepada Allah ini degan jelas membuktikan bahawa beliau tidak terpengaruh dengan sikap kezaliman suaminya dan juga tidak terpengaruh dengan suasana kelilingnya yag penuh dengan keonaran dan kekafiran.



Kerana istana Firaun yang melimpah-ruah dengan kekayaan dunia ini tidak memberi sebarang erti kepada beliau yang dadanya telah penuh berisi dengan keimanan.



Mengulas doa Asiah dalam ayat II itu, Buya HAMKA membuat kesimpulan, “Ini adalah suatu permohonan yang amat hebat dari seorang perempuan. Gambarkanlah dalam fikiran kita masing-masing apa erti permohonan ini, dari seorang perempuan kelas tinggi, isteri atau permaisuri seorang raja besar, yang hidup dalam istana mewah, dikelilingi oleh seluruh kemewahan dan kebanggaan, kekayaan dan kemuliaan, ombak gelombang dari rakyat yang berdatang sembah, menjunjug duli, menerima hadiah berbagai ragam, rakyat yang miskin mengumpulkan wang berdikit-dikit guna pembeli tanda mata akan dihadihakan, atau disembahkan ke bawah duli Tuanku, Sang Ratu”.



“Semuanya itu tidak ada yang menarik hatinya. Dia merasakan itu semuanya hanyalah kemegahan yang rapuh, kemewahan yang ditegakkan di atas bahu rakyat yang miskin-miskin. Sebagai seorang yang beriman, beliau bosan melihat semuanya itu, lalu dia memohonkan kepada Tuhan agar dibikinkan oleh Tuhan sendiri langsung sebuah rumahpun jadilah asal di dalam syurga yang diredai Tuhan”.



Di samping itu beliau juga berdoa supaya Allah membebaskannya daripada pengaruh Firaun dengan katanya, “dan selamatkanlah daku dari Firaun dan pekerjaannya dan selamatkanlah akan daku daripada kaum yang zalim”.



Doa ini juga menunjukkan jiwa wanita itu telah berontak dan tidak dapat menerima perbuatan zalim yang dilakukan dengan sewenang-wenang oleh suaminya yang kejam, menindas dan menganiaya rakyat jelata serta memeras mereka.



Ia juga dengan jelas menunjukkan sikap Asiah yang tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dunia yang terdapat di sekelilingnya, kerana sebagai seorang permaisuri raja yang paling agung pada waktu itu beliau berhak memperolehi dan memiliki apa sahaja yang dikehendakinya.



“Namun, iman mengalahkan segalanya. Tidak hanya menolak semua kekayaan ini, lebih dari itu dia pun menganggapmya sebagai kejelekan, kotoran dan pemicu bencana. Dia memohon perlindugnan kepada Allah dari Firaun, meminta dibebaskan dari siksanya, dan minta diselamatkan darinya”. Kata pula Robeyyah Abdul Latiff.



Mengulas doa dalam ayat tersebut, Buya HAMKA seterusnya berkata lagi, “Isteri Firaun mohon dibebaskan daripada Firaun, iaitu dari pengaruhnya dan dari paksaan akidahnya, bebaskan dari propagandanya yang mengangkat dirinya jadi Tuhan dan segala amalan atau perbuatan yang terkenal dari seluruh istana dalam dunia ini, di Barat dan Timur. Berbagai macam siasat halus dan kasar, keji dan kejam, bujuk dan rayu, meracun jiwa orang baik dengan racun yang sebenar racun atau dengan harta dan jabatan, sehinga hilang kemerdekaan diri. Siasat dari orang-orang yang dekat kepada raja, perebutan pengaruh, perebutan mengambil muka, desak medesak, menyingkir dan memfitnah dan berbagai macamnya lagi. Tekanan-tekanan, paksaan halus atau kasar, semuanya berlaku dalam istana raja-raja. Isteri Firaun mohonkan kepada Tuhan agar jiwanya dibebaskan dari segala tipu daya demikian, kerana dia ingin jiwanya bersih dan suci untuk menghadap langsung kepada Alah”.



Mengikut sejarahwan, Firaun yang sezaman dengan Nabi Musa as. itu mungkin Ramses II yang hidup kira-kira tahun 1250 sebelum Masihi.



Kisah wanita yang bernama Asiah ini telah disebut oleh Allah dalam firman Nya dalam Surah At-Tahrim, ayat 11.”Dan Allah telah adakan contoh bagi orang yang beriman, iaitu isteri Firaun, tetakala ia bekata, “Hai Tuhanku! Dirikan bagiku di sisi Mu satu rumah di syurga, dan selamatkanlah akan daku daripada kaum ajagayang zalim”.



Keimanan isteri Firaun ini mempunyai pertalian secara langsung, dengan seorang wanita bernama Masyitah, iaitu isteri kepada pejaga gudang Firaun yang telah beriman kepada Allah begitu mantapnya, sehingga sanggup menghadapi segala ancaman-ancaman yang amat getir dari Firaun kerana keimanannya kepada Allah itu.



Setalah dizalimi dan diazab oleh Firaun, termasuk anak-anaknya yang dibunuh dengan kejam di hadapannya sendiri, akhirnya Masyitah juga dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah. Setelah Masyitah meninggal dunia, Allah memperlihatkan kepada Asiah akan kemuliaan yang diterima oleh Masyitah di syurga. Maka dengan itu bertambah teguhlah iman Asiah kepada Allah.



Bila berita keimanan isterinya Asiah kepada Allah itu diketahui oleh Firaun, amatlah murka Firaun kepada isterinya. Firaun menghantar utusan kepada isterinya dengan mengeluarkan perintah, supaya isterinya itu dihempapkan batu ke atasnya jika dia enggan menafikan keimanannya kepada Allah, tapi jika dia menarik balik pengakuannya, biarkan dia hidup, kerana wanita itu “masih isteriku”, kata Firaun.



Ketika utusan Firaun itu menemuinya, Asiah mendongak mukanya ke langit, maka pada saat itu juga, Allah memperlihatkan kepadanya rumahnya di syurga. Beliau lalu ketawa kegembiraan. Dengan itu imannya kepada Allah bertambah teguh, dan beliau enggan untuk berganjak dari pendiriannya beriman kepada Allah.



Dengan itu Allah SWT segera mencabut roh Asiah dari jasadnya, juteru bila batu itu dihempapkan ke jasadnya sebagaimana diperintah oleh Firaun, dia tidak merasa apa-apa lagi, kerana jasadnya tidak bernyawa lagi.



Apa kata Firaun kepada utusan penyiksa itu, “Tidakkah kamu melihat bahawa dia telah gila. Kita menyiksanya, tetapi sebaliknya, dia ketawa”.



Asiah binti Muzahim, adalah salah seorang daripada empat orang wanita yang mendapat perlindungn Allah, di samping Siti Maryam, bonda Nabi Isa as, Khadijah, isteri Nabi saw yang pertama dan Fatimah, puteri baginda saw.



Baginda Rasulullah saw. bersabada, “Wanita-wanita penghuni syurga yang terbaik adalah Khadijah binti Khuwalid, Fatimah binti Muhammad, dan Asiah binti Muzahim, isteri Firaun”.



Memang benarlah, kerana keimanannya, kesabaran, keteguhan hatinya dan ketakutannya kepada Allah yang dimiliki oleh wanita yang bernama Asiah ini, maka berhaklah beliau untuk dijadikan contoh teladan kepada seluruh wanita yang beriman, hingga Allah menyebutnya dalam kitab suci Al-quran.



Sabda Rasulullah saw. lagi, “Cukup banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan, namun tidak ada wanita yang mencapai kesempurnaan kecuali empat orang. Maryam binti Imran, Asiah isteri Firaun, Khadijah bin Khuwailid, dan keutamaan Asiah dibandingkan wanita lainya laksnana tsarid [bubur/roti yang diremuk dan direndam dalam kuah] di antara berbagai jenis makanan yang lain”.HR: Bukhari.



Setelah rencana ini sampai ke penghujungnya, lalu saya terkenangkan isteri saya yang namanya berkebetulan sama dengan Asiah Muzahim yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah itu. Sementara arwah isteri saya, Asiah Yaacob dilahirkan pada 30 Jun 1952, dan kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 2009 bersamaan 8 Rejab 1430. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atasnya.



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.





Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP