ABU BAKAR ANNABLUS DIKULITI HIDUP HIDUP KERANA MEMPERTAHANKAN KESUCIAN ISLAM

>> Sunday, September 24, 2017






ABU BAKAR AN NABLUS, DIKULITI HIDUP HIDUP KERANA MEMPERTAHANKAN  KESUCIAN ISLAM



ABU BAKAR AN NABLUS adalah seorang tokoh ulama Ahlussunah  yang cekal dan berani dalam memperjuangkan kebenaran, dan sedikit pun tidak gentar menghadapi ancaman golongan kufur yang amat pahit dan getir untuk dihadapi.

Nama penuh beliau ialah Muhammad Ibnu Ahmad Ibnu Sahl Ar Ramli dan dikenali dengan panggilan Ibnu An Nablus. Beliau puasa setiap hari. Beliau amat berpengaruh terhdap mereka yang berada di sekeliling lalangnya.

Beliau salah seorang ulama Islam yang berani menyatakan kebenaran, dan berani menyampaikan wejengan dan penentangan terhadap pemimpin pemimpin Islam yang  zalim dan kufur terhadap Allah dan menyeleweng jauh dari ajaran Islam yang sebenar.

Beliau adalah seorang ulama yang terkenal maha salah seorang yang terbesar dalam bidang hadis dan fekah yang hidup di zamannya. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan Fathimiyah yang bermzhab Syiah, sedangkan penduduk Mesir dan Pelastin pada waktu itu adalah Ahlulsunnah.. Beliau terkenal dengan panggilan Imam Abu Bakar An Nablus. Puak Syiah ini dari Tunisia mereka Berjaya menawan Mesir di baswah pimpinan Abu Tamin bin Ismail yang dikenali dengan nama al Mu’izli Dinillah pada tahun 362 Hijriah.

Puak puak Syiah ini telah  menghalalkan perkara perkara yang terang terangan telah diharamkan oleh Allah SWT. Antaranya mereka telah menghalalkan minuman keras dan menghalakan berkahwin dengan mahram sendiri, dan sebaliknya mereka melarang mengadakan solat tarawih, solat Duha dan memerintah membaca kunut untuk solat Zohor dan berbagai bagai perkara yang keji lagi telah mereka halalkan.

Abu Bakar Nablus tidak sanggup berpeluk tubuh melihat perkara munkar seperti itu bermaharajalela, lalu beliau bangkit berjuang menentangnya, malah beliau berani berhadapan muka dengan pemimpin pemimpinnya yang korup itu.

Akhirnyang beliau telah ditangkap oleh Abu Mahmud Al Kattan  ketika berada di Damaskus dan disumbatkan ke dalam penjara dan kemudiannya diserahkan kepada tentera tentera Dinillah. Selanjutnya beliau disumbat ke dalam sebuah sangkar kayu dan dan dibawa ke hadapan pemerintah Mesir pada waktu itu.

Kemudian seorang general Fathmiyyah As Siqilli yang bongkak itu  terus berkata  kepada Abu Bakar, “Kami mendengar bahawa kamu mengatakan apabila seseorang itu mempunyai sepuluh anak panah, maka sembilan darinya harus dipanahkan kepada bangsa Romawi, dan satu anak panah lagi dari sepuluh itu disasarkan kepada kami”.

Abu Bakar Nablusi bukan sahaja tidak menafikannya, malah dengan tegas menjawab, “Aku tidak mengatakan demikian, tapi apa yang aku katakan ialah, jika seseorang mempunyai sepuluh anak panah, maka sembilan daripadanya harus dipanahkan kepada kamu, dan satu anak panah lagi, harus dipanahkan kepada kamu juga, kerana sesungguhnya kamu telah mengubah ajaran Islam, membunuh orang orang soleh dan kamu mengaku mempunyai cahaya Ilahi”.

Mendengar jawapan seperti itu, general As Siqli yang pada mulanya menduga Abu Bakar An Nablus akan menukar kata katanya itu amat marah, lalu membawa Abu Bakar An Nablus ke hadapan khalayak ramai untuk dipertontonkan. Kemudian dia telah membelasah Abu Bakar sesuka hatinya tanpa kasihan belas lagi.

Tidak cukup dengan itu, pemerintah yang kejam itu lalu memerintah seorang Yahudi supaya melapah kulit Abu Bakar An Nablus hidup hidup. Maka si Yahudi itupun mulai melapah kulit bahagian kepala Abu Bakar An Nablus dan akhirnya terus ke wajahnya dan langsung ke dadanya.

Ketika kulitnya dilapah dari  kepala ke wajahnya itu Abu Bakar An Nablus masih mengingati Allah dan membaca sebuah ayat al Quran yang bermaksud:

“…… Yang demikian itu telah tertulis dalam kitab [Lauh  Mahfuzh]: al Isra’ :58.

Abu Bakar An Nablus bukan sahaja tidak mengaduh kesakitan menerima penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan itu, malah dari mulutnya sentiasa menyebut nama Allah. Beliau tetap bersabar.

Tapi si Yahudi yang ditugaskan melapah kulit Abu Bakar An Nablus  itu, bila lapahannya sampai ke bahagian dada  dia merasa amat sedih, dan tidak sampai hati  lagi untuk melihat dan meneruskan kerjanya yang kejam itu.

Untuk menamatkan segera tugas kejamnya itu, dia lalu membenamkan sebilah pisau ke jantung Abu Bakar An Nablus yang menamatkan riwayat ulama yang berani itu.

Tidak cukup dengan itu, mayatnya telah disalib. Orang ramai yang menyaksi kejadian  itu berkata, mayat Abu Bakar An Nablus masih kedengaran membaca ayat suci al Quran ketika berada di tiang salib.

Pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 363 Hijrah.

Demikianlah secebis kisah yang telah tercatat abadi dalam sejarah tentang  seorang ulama yang tegas dan berani dalam menentang golongan kufur terhadap Allah dan Rasul Nya hingga sampai ke akhir hayatnya.

Itulah Abu Bakar An Nablus.

Lorong Masjid al Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




Read more...

ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM

>> Sunday, September 17, 2017






ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM

[Disaring dari kertaskerja
Oleh Hj.Idris Bin Hj. Yusof’
Pegawai Dakwah, JHEAI Negeri Kelantan.
Tahun:1994].



*Terdapat juga sesetengah peniaga menjual barang dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah, sedangkan sikap demikian adalah berdosa. Di Akhirat kelak Allah akan memerintah kepada peniaga yang mengambil untung secara tidak berpatutan itu, supaya membayar balik kepada pelanggan dalam bentuk pahala.**
xxxxxxxxx

ALLAH SWT memperuntukan sebahagian besar  dunia ini untuk keperluan hidup manusia, sebagaimana firman Nya dalam Kitab Suci Al Quran, yang bermaksud: 
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan dalam Kitab Zabur bahawa bumi ini adalah pesaka bagi hamba Ku yang soleh”.
Dalam ayat yang lain Allah berfirman, maksudnya,
 “Dialah yang menjadikan untuk kamu semua perkara yang ada di bumi ini”.

Salah satu daripada punca kemudahan dan kemewahan hidup  manusia di dunia ini ialah sistem perniagaan secara pertukaran barang barang.
Perniagaan Mengikut Peraturan

Allah telah membuat kawalan rapi dalam sistem perniagaan ini untuk mencegah  daripada berlakukan kezaliman dan penganaiyaan terhadap orang orang yang lemah. Dalam hal ini Allah telah menggaris panduan asas  di dalam Kitab Suci alQuran dengan firman Nya yang bermaksud:
“Wahai orang orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang [yang diberi tempoh] hingga ke sesuatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis [hutang dan masa bayarannya] itu. 


Dan hendaklah seseorang penulis di antara kamu menulis dengan adil [benar]  dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan [isi surat hutang itu dengan jelas]. 
Dan hendalah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah ia mengurang sesuatupun dari hutang itu. 
Kemudian jika orang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan [isi surat itu] maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil [benar] dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi  lelaki dan dari kalangan kamu.
Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang orang yang kamu setujui menjadi saksi supaya jika yang seorang lupa dari saksi saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat diingatkan oleh seorang lagi. Dan janganlah saksi saksi itu enggan apabila mereka dipanggil [menjadi saksi].

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempuh  masa itu. Samada kecil kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu lebih adil  di sisi Allah dan lebih membetulkan [menguatkan] keterangan saksi dan juga lebih hampir  kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai  perniagaan tunai yang kamu izinkan sesama kamu. Maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi saksi  apabila kamu berjual beli.

Dan janganlah mana mana juru tulis  dan  saksi itu disusahkan  [dengan tidak memberi belanja  berpatutan] . Dan kalau kamu melakukan  [apa yang dilarang itu] maka sesungguhnya  yang demikian adalah perbuatan fasiq [durhaka] yang ada pada kamu.

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa  kepada Allah dan [ingatlah] Allah, [dengan keterangan ini] mengajarkan kamu dan Allah sentiasa mengetahui akan tiap tiap sesuatu”.Al Baqarah [2]: 282.

Dengan ayat ayat tersebut Allah mengajar cara cara berjual beli, berniaga dan berhutang, iaitu di suruh kita menjaga kepentingan pihak yang terlibat supaya tidak teraniaya dan tidak berlaku perselisihan yang berlarutan tanpa dapat diselesaikan, iaitu dengan cara membuat perjanjian bertulis dan disaksi oleh saksi saksi yang adil.

Arahan dan panduan telah dijadikan contoh oleh pentadbir atau pemerintah dalam negeri negeri Melayu dahulu sehingga terkanunnya satu undang undang kontrak bagi negeri negeri Melayu yang diberi nama Ordinan P.T.M. 14 Tahun 1950 yang berkuatkuasa pada 23/5/1950.
Peniaga Mukmin

Semasa mencari kemewahan hidup di dunia ini, tidak wajar orang Mukmin lalai daripada kewajipan terhadap Allah, lalai dengan nikmat nikmat yang terlonggak di hadapan, kerana segala harta kekayaan dunia ini tidak berapa lama akan hilang, dan apa yang tinggal hanya amalan yang soleh.
Allah berfirman di dalam al Quran, maksudnya: 
“Wahai orang orang yang beriman janganlah kamu dilekakan oleh harta kekayaan kamu atau anak pinak kamu daripada mengingati Allah, barangsiapa bersikap demikian, merekalah orang yang rugi”.

Di dalam ayat yang lain Allah mengingatkan bahawa kekayaan dan kemewahan di akhirat lebih mulia dan lebih berharga daripada segala nikmat nikmat dunia ini, samada nikmat melalui harta perniagaan atau nikmat berupa perhiasaan di dunia.

Allah berfirman, maksudnya, 
“Katakanlah wahai Muhammad pahala dan balasan yang ada di sisi Allah  ini lebih mulia daripada hiburan dan barang barang dagangan itu, dan Allah sebaik baik memberi rezeki”. Al Jumaat:11.
Ketika seseorang peniaga sedang menjalankan urusan perniagaan, kadangkala dia merasa terikat dan berat untuk meninggalkan pekerjaannya itu, terutama kalau ramai pelanggan yang menyerbu, walaupun azan telah mulai dikemudangkan. Mereka nampak pendapatan dan keuntungan yang akan mereka perolehi, justeru mereka menjadi lalai dan tidak menghiraukan panggilan azan itu
.
Justeru itu Allah memberi peringataan kepada orang orang Mukmin dengan firman Nya, yang bermaksud:
“Wahai orang orang yang beriman apabila diseru azan [bang] bersegeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan sembahayang Jumaat] dan tinggallah berjualbeli [pada saat itu]  yang demikian itu adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenar].
Dalam perniagaan Allah tidak menegah manusia  memiliki keuntungan yang banyak , asalkan ianya diperolehi dengan cara yang sesuai dan menasabah, tidak melalui jalan curang atau tipu daya atau menindas.

Justeru Allah mengancam dengan azab kepada mereka yang menyeleweng dari garisan garisan yang halal, dengan firman Nya yang bermaksud:
“Kecelakaan besar orang orang yang curang  [dalam timbangan dan sukatan]. [Iaitu] mereka yang apabila menerima sukatan [gantang cupak] dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan [sebaliknya]  apabila mereka mnyukat atau menimbang untuk orang lain mereka kurangi tidaklah mereka meyangka mereka akan dibangkitkan [hidup semula sesudah mati], pada hari kiamat yang amat besar huru haranya. Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam. Tidak sepatutnya [mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari Akhirat, Sesungguhnya kitab suratan amal orang orang yang berdosa itu [didaftar] di dalam Sijjin”. Al Mutafifin: 1 8. 
Orang orang Mukmin yang percayakan pembalasan Allah di Akhirat nanti tidak akan berani melakukan sebarang tipudaya dalam urusan perniagaan, maka dengan itu akan kelihatan keunggulan Islam dan kebenaran yang akan dihormati oleh kawan dan lawan, dan mendorong manusia berurusan dengan orang Mukmin.

Baginda Rasulullah saw mengutarakan  amaran keras Allah SWT  terhadap orang orang Mukmin menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Tiga puak manusia yang Allah tidak bercakap, tidak memandang dan tidak membersih mereka di hari Akhirat kelak, malah akan dibekalkan mereka dengan azab neraka.

“Pertama orang yang mempunyai air di padang belantara tapi dia tidak memberi kepada musafir yang sedang dahaga.

Kedua orang yang berniaga  bila selepas Asar [di waktu petang]  bersumpah dengan nama Allah untuk melariskan barang dagangannya dengan sumpah bertujuan menipu. Sedangkan ramai orang yang percaya dengan sumpahan itu.

Ketiga orang yang menyokong sesuatu imam [pemerintah]  hanya untuk mendapatkan sesuatu, dan sekirangnya dia tidak mendapat apa apa habuan, maka terus tidak dipedulikannya”.

Jika para peniaga itu telah berjaya dalam perniagaannya, Allah mengingatkan mereka supaya bertimbang rasa terhadap pelanggan pelanggan yang miskin, dan memberi tempoh yang sesuai kepada mereka untuk membayar hutang.
Allah berfirman, maksudnya:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang dalam kehidupannya”.al Baqarah:280

Dengan jalan ini dapat melahirkan perasaan kasih mesra golongan misikin terhaap orang kaya, lebih lebih lagi andainya hutang itu tidak begitu banyak, maka si kaya pun melepaskan sahaja hutang hutang itu.

Allah berfirman, maksudnya:
“Dan bahawa kamu sedekahkan sahaja hutang itu alangkah baiknya untuk kamu [di Akhirat kelak]. Al Baqarah: 280.


Permasalahan
Dalam perlumbaan untuk mendapat keuntugan yang berlipat ganda, sering kali terdapat peniaga yang lupa batas sebagai seorang hamba Allah. Kerana itu timbulkan penggunaan pelayan pelayan muda  di kedai makan, dengan pakaian yang tidak senonoh, malah ada yang mendedah aurat. Mereka bergaul mesra dengan pelanggan tanpa batas. Peniaga peniaga ini lupa segala gerak kerja atau lakunannya di dunia ini akan dihitung.

Peniaga peniaga seperti ini  telah lupa bahawa keberkatan atau rezeki itu di tangan Allah  yang boleh menarik dan memberi kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.

Allah berfirman,maksudnya:
“Ia memberi rezeki kepada orang yang Ia kehendaki dengan tidak terhingga”.

Terdapat juga sesetengah peniaga menjual barang dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah, sedangkan sikap demikian adalah berdosa. Di Akhirat kelak Allah akan memerintah kepada peniaga yang mengambil untung secara tidak berpatutan itu, supaya membayar balik kepada pelanggan dalam bentuk pahala.

Ada juga pekedai pekedai yang menayangkan gambar gambar lucah, dan kaset yang dimuatkan dengan kata kata lucah, tanpa memperhitungkan keruntuhan akhlak dan keperibadian anak bangsanya sendiri di masa akan datang. Perbuatan seperti ini juga akan disoal oleh Allah di Akhirat nanti.


Tindakan tindakan Yang Perlu Diambil

1.Mengadakan kursus pendek kepada seluruh peniaga seupaya menjadi peniaga yang bertaqwa, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“[Ibadat itu dikerjakan oleh] orang orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjualbeli daripada menyebut serta menngingati Allah, dan mendirikan sembahayang, serta memberikan zakat, mereka takutkan hari [kiamat] yang padanya berbalik balik hati dan pandangan”. AnNur: 38.

2.Para peniaga hendaklah bersedia mengikuti risalah risalah  atau sebarang maklumat berhubung dengan perniagaan, seperti risalah zakat, aurat dalam Islam dan adat adat pergaulan yang telah ditunjukkan oleh Islam semasa berkomunikasi dengan pelanggan.

3. Para peniaga hendaklah sedia menerima tunjuk ajar atau  bimbingan dari pihak pihak yang bertanggungjawab dari masa ke semasa dalam membentuk keperibadian peniaga muslim, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
“Taatlah kamu kepada Allah  dan taatlah kepada Rasul dan kepada pemerintah dari gulungan kamu”.
Sekian.



Lorong Masjid al Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.





                                                                                  

Read more...

BAWANG PUTIH DAN JANTUNG ANDA

>> Friday, September 8, 2017








BAWANG PUTIH DAN JANTUNG ANDA


MANUSIA telah lama mengetahui dan menggunakan tumbuhan tumbuhan bukan sahaja sebagai makanan tapi juga sebagai bahan bahan perubatan untuk merawat aneka jenis penyakit. Anataranya yang termasyur ialah bawang putih, iaitu sejenis bahan yang termasuk dalam golongan sayur sayuran.

Mengikut sejarahnya bawang putih selain daripada makanan juga telah dipergunakan sebagai ubat atau bahan perubatan sejak ribuan tahun yang lampau lagi.

Sebagai makanan, bawang putih dijadikan sebagai bahan untuk memasak, seperti masak sup, sayur air, masak tumis, dan juga dimakan sebagai ulam ulaman. Bawang putih jeruk, amat populer sebagai ulam, terutama dimakan dengan nasi kerabu, sebagai pembangkit selera. Rasanya manis, dan “pedasnya” sudah tidak ada lagi.

Banyak kajian kajian yang  dijalankan mengenai bawang putih antara lain menunjukkan keajaiban bawang putih mempengaruhi sistem jantung kardiovaskular. Hasil hasil kajian itu membuktikan bahawa bawang putih berjaya menurunkan kolestrol dalam darah manusia, dan berjaya memberi pelindungan kepada mereka daripada penyakit jantung, antaranya dengan tindakan  mencairkan darah dan mencegah pembekuan darah dalaman.

Ia juga menunjukkan memakan bawang putih mentah dalam kadar yang tertentu dapat mengurangkan kecenderungan seseorang untuk membentuk pembekuan pembekuan darah yang merbahaya, walaupun orang itu seorang pesakit jantung koronari.

Kajian  juga menunjukkan juga  bawang putih lebih berkesan menurunkan kolestrol darah hewan daripada penggunaan ubat yang standard yang biasa digunakan.

Doktor doktor di Jerman Barat yang menjalankan kajian kebelakangan ini mendakwa bahawa bawang putih dapat mencegah serangan jantung. Menurut Professor Hams Reuter dari Universiti Cologne perkara ini berlaku kerana bawang putih berjaya membantu memecahkan kolestrol di dalam pembuluh darah, dan ini bererti dapat mencegah arteri menjadi kejang yang menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi dan ini mencegah serangan jantung.

                Antara masakan yang mengguna bawang putih


Demikian juga kata doktor jika seseorang pesakit jantung mengambil bawang putih selepas mendapat serangan jantung, maka paras kolestrolnya juga akan menurun. Walaupun kerosakan akibat serangan itu tidak dapat dipulihkan, tapi hal ini dapat mengecilkan peluang untuk mendapat serangan jantung lagi.

Mengikut pakar hanya dengan memakan separuh daripada  selabu bawang putih  mentah setiap hari ia dapat memulih kegiatan pembekuan darah yang sekali gus dapat mencegah daripada serangan jantung, dan lintasan atau strok.

Dan jika bawang putih mentah dimakan sebanyak dua labu setiap hari ia dapat merendahkan kolestrol pada orang orang sakit jantung.

Selain itu bawang putih memiliki aneka potensi pencegahan dan perawatan berbagai bagai jenis penyakit, antaranya mengikut para penyiasat ialah:

Dalam bawang putih terdapat sejenis bahan yang dipanggil allicin, yang merupakan anti kuman bakteria yang handal, ia menentang jangkitan kuman kuman yang membawa penyakit itu. Dalam hal ini doktor menggunakan tunas atau cambahan bawang putih yang mengandungi allicin.

Menurut laporan, dalam masa Perang Dunia Ke dua, jika bekalan penicillin atau lainl lain bahan antibiotik telah kehabisan, doktor doktor Russia menggunakan debu bawang putih untuk merawat luka luka.

Bawang putih mengandungi bahan bahan kimia yang berguna untuk pencegahan dan perawatan penyakit kanser, kepada hewan dan juga manusia. Kajian kajian yang dilakukan di Russia membuktikan perkara ini.

Merawat penyakitpenyakit kulit yang tertentu, umpamanya jerawat kan hilang jika digosokkan dengan bawang putih mentah beberapa kali sehari, dan tanpa menimbulkan parut. Demikian juga ketuat, bisul dan ia juga dapat mencuci bintik bintik hitam pada kulit

Bawang putih dapat merangsangkan sistemn pertahanan badan.

Bawang putih dapat mncegah dan menyembuhkan bronkitis yang kronik, dan sebagainya.

Demikian sedikit bahan mengenai bawang putih untuk tatapan kita semua. Sebenarnya masih banyak fakta fakta menarik mengenai bawang putih yang boleh diketengahkan, tapi buat kali ini cukuplah dulu setakat ini.

Walau bagaimanapun semuanya bergantung kepada Allah SWT. Tidak ada benda atau ubat yang mampu menyembuhkan apa apa penaykit sekalipun tanpa izin Allah. Sebab itulah dua orang yang menghidap penyakit yang sama dan diberikan ubat yang sama, seorang sembuh, tapi seorang lagi tidak sembuh, atau seorang cepat sembuhnya tapi seorang lagi lambat melalui proses kesembuhannya. Sebab Allah SWT tidak memperturunkan kuasa penyembuhan kepada mana mana ubat, malah tidak juga kepada mana mana doktor, kerana itu ialah adalah hak mutlak Allah. Tanpa izin Nya semua perkara tidak akan berlaku. Di sinilah letaknya peranan doa dari hamba Nya kepaeda Nya.


Lorong Masjid alQasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.








Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP