ANEKA SENI DI DALAM AL-QURAN
>> Thursday, March 30, 2017
ANEKA SENI DALAM
AL-QURAN
Memang
salah jika ada orang menyangka bahawa agama Allah itu semata-mata zahid, atau
semata-mata hidup secara kepadrian atau kejerihan tanpa memperdulikan
perhiasaan dan keindahan dunia ini, atau hidup secara bertasauf berpakaian yang kasar. Kalaulah begitu agama Allah itu,
maka ianya tidak boleh dianggap sesuai dengan seluruh umat manusia yang beraneka
ragam, malah ia hanya sesuai untuk segolongan manusia sahaja, iaitu mereka yang
memilih cara hidup yang zahid dari cara
hidup yang mewah, sedangkan agama Allah itu tidak begitu.
Malah
agama Allah itu agama umum yang sesuai dengan segala manusia yang tidak
menyusahkan mana-mana golongan pun. Justeru itu Allah jadikan hidup zahid itu
satu kebenaran sahaja kepada sesiapa yang suka menjalananinya tanpa dijadikan cara yang
disunat dan difardukan ke atas umat Muslimin. Demikian juga Allah menghalalkan
segala kebaikan dan keindahan itu kepada sesiapa yang ingin menikmatinya, tanpa
menjadikannya makruh atau haram agar tidak ada mereka yang merasa susah dan
keberatan hidup di dunia ini.
Al-Quran
banyak sekali menyebut tentang seni, seperti seni bina, seni pahat, seni lukis,
seni suara dan sebagainya dari cabang-cabang seni yang indah, tanpa memandangnya
dengan mata orang zahid, malah al-Quran itu memandang seni secara objektif, dan
meyanjung tinggi kepada keindahan dan keagungannya.
Al-quran
dengan jelas menyebut tentang perkembangan seni suara di zaman Nabi Daud as,
kerana Nabi Daud seorang nabi yang mempunyai suara yang amat merdu sehingga menjadi
buah mulut orang ramai. Perkataan “Lagu
Daud” telah dijadikan bidalan untuk menggambarkan kemerduan dan keindahan
suara. Kisah Nabi Daud ini telah disebut dalam ayat 10, Surah Saba’:
“Sesunguhnya Kami
telah menganugerahkan Daud kelebihan dari Kami!
Wahai bukit bukau
dan burung!
Ulangilah pujian
kepada Allah bersama Daud,
Dan Kami juga
telah memperliatkan besi untuk pergunaannya”.
Kebiasaannya
bila Nabi Daud berdiri di mihrabnya membaca Kitab Suci Zabur, maka
burung-burung dan binatang-binatang liar kelihatan terpegun berhenti mendengar
kemerduan suaranya.
Selepas
Nabi Daud, lahir Nabi Sulaiman, maka Allah menyebut pula tentang perkembangan
dan kemajuan seni bina, seni pahat dan seni lukis di zamannya yang telah
mencapai ke puncak keagungan dan kebesaran yang megatasi kemajuan seni yang
dicapai oleh umat yang bertamadunn di zaman purbakala. Kesan-kesan kemajuan
seni itu dapat dilihat dengan jelas pada bangunan-bangunan masjid, bandar dan
kubu-kubu yang dibina oleh Nabi Sulaiman, sebagaimana dicerita oleh Allah dalam
ayat 12 dan 13 Surah Saba’ yang
berbunyi:
“Dan kepada
Sulaiman Kami anugerahi penggunaan angin,
Sepaginya bertiup
sebulan perjalanan dan sepetangnya bertiup sebulan perjalanan,
Dan Kami alirkan
untuknya mata air leburan tembaga,
Dan Kami
kurniakan buruh-buruh jin yang bekerja di hadapannya dengan keizinan Tuhannnya,
Sesiapa dari
mereka menyempang dari perintah Kami,
Nescaya Kami
rasakannya dengan keseksaan yang teruk,
Mereka membuat
untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi,
patung-patung dan pinggan-pinggan seperti kolam dan periuk yang tegak tesergam,
Dan Kami berseru
wahai keluarga Daud,
Kerjakanlah
ketaatan kepada Allah sebagai tanda bersyukur
Dan memang sedikit
dari hamba-Ku yang bersyukur”.
Bangunan
Baitul Maqdis merupakan sebesar-besar hasil seni yang disumbangkan oleh
tokoh-tokoh seni yang bijak pandai. Pembinaan bangunan ini telah dimulai oleh
Nabi Daud, kemudian puteranya Nabi Sulaiman as. menyudahkannya dengan tujuan
untuk dijadikan sebagai tanda kebanggaan kemajuan seni yang indah permai di zmannya. Baginda telah mengumpulkan
tokoh-tokoh seni dari dalam dan luar negeri, baginda membawa masuk batu-bat
marmar dan kaca. Sebelum itu baginda lebih dulu mmerintahkan supaya Bandar
Baitul Maqdis itu dibina dengan batu-batu marmar dan keping-keping batu yang
lebar agar pandangan seirama dengan keindahan bangunan Baitul Maqdis yang akan
dibangun nanti. Bandar itu dibahagikan kepada 12 kawasan kediaman, tiap satu
bangunan ditempatkan satu keluarga dari keluarga Bani Israil.
Untuk
membina Baitul Maqdis itu Nabi Sulaiman as telah membawa masuk tidak terkira
banyaknya dari luar negeri emas, perak,
batu permata, kasturi, ambar dan bauan-bauan.
Bangunan
Baitul Maqdis itu didbina dengan batu marmar yang berwarna-warni, putih, hijau
dan kuning dan tiang-tiangnya diperbuat dari kaca-kaca yang cantik, bumbung dan
dindingnya dihiaskan dengan berbagai jenis batu yang mahal dan lantainya
dihampari dengan batu-batu permata fairuz yang indah. Justeru itulah bangunan
Baitul Maqdis merupakan seindah-indah bangunan di dunia di zaman itu yang
sentiasa bersinar berkilau-kilauan hingga kelihatan di malam yang gelap persis
bulan purnama.
Kecantikan
bangunan ini telah ditambah lagi oleh hiasan-hiasan berbagai-bagai lukisan,
gambaran dan patung-patung yang indah seninya. Dua ekor patung singa telah
diletak di bawah kerusi singgahsana Nabi Sulaiman, sedangkan di atasnya diletak
pula dua ekor patung garuda. Bila baginda berangkat naik hendak bersemayam di
atas takhta itu, maka kedua-dua patung singa itupun kelihatan bergerak
membentangkan kedua-dua belah tangannya dan bila baginda dudk di atas kerusi
singgahsana itu, maka patung dua ekor geruda itupun kelihatan bergerak
mengembangkan dua sayapnya seolah-olah memayungi baginda.
Di
antara istana-istana yang tercantik dibina oleh Nabi Sulaiman ialah yang dibina
khas untuk menyambut kedatangan Puteri Balqis, Ratu Negeri Saba’. Kecantikan
istana itu digambarkan dalam al-Quran ayat 44, dalam SurahAl-Naml:
“Lalu diserukannya [Balqis]
Silalah masuk ke dalam mahligai ini!
Bila sahaja [Balqis] melihatnya [mahligai]
Dia menyangka
sebuah kolam air,
Lalu dia pun menyingsing betisnya,
[Sulaiman] menegur,
Memang istana ini ditutupi dengan kaca-kaca, Balqis
berkata
Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya aku telah menzalami diriku sendiri
Dan kini aku berserah bersama Sulaiman kepada Allah
seru sekalian alam.
Mahligai
itu telah dibina seindah-indahnya oleh Nabi Sulaiman untuk membukti keagungan
dan kebesaran kerajaannya kepada Ratu Balqis. Mahligai yang terbuat dari cermin
yang berwarna air, kemudian di bawah cermin itu diisikan air dan dilepaskan di
dalamnya berbagai-bagai ikan, katak dan sebagainya dari hidup-hidupan yang hidup
dalam air. Dan baginda duduk bersemayam di atas katil yang terletak di tengah
mahligai.
Bila
Puteri Balqis masuk ke mahligai untuk menemuinya, dia menyangka di hadapannya terbentang
sebuah kolam yang luas, lalu dia pun menyingsing kain di betisnya untuk
mengharungi air itu. Nabi Sulaiman segera menegur dan menceritakan kepadanya
bahawa mahligai itu sememangnya diperbuat dari kaca. Medengar penjelasan itu,
Ratu Balqis pun menutup semula betisnya dan timbullah keyakinan di hatinya
bahawa kerajaan baginda adalah kerajaan dari pemberian Allah dan berikut dengan
itu Ratu Balqis menyatakan keimanannya kepada Allah.
Di
dlam sejarah Islam Khalifah Usman bin Affan adalah awal-awal Khalifah yang
menaruh minat yng besar kepada keindahan seni. Beliaulah yang berusaha
memperelokkan semula bagunan Masjid Madinah dengan membawa tukang-tukang bina
yang mahir dari Negeri Mesir dan lan-lain negeri yang menjadi jajahan takluk
Islam yang berkembang di zamannya sehingga sesuai merupakan sebuah masjid
sebuah kota Islam. Kemudian di zaman Khalifah Alwalid bin Abdul Malik baginda
telah memerintah Gabenor Madinah, iaitu Umar bin Abdul Aziz supaya menambahkan
lagi masjid itu di bahagian timur, barat dan selatan dan mendirikan empat buah
menara bang, menghiaskan dinding-dindingnya dengan ukiran-ukiran kaca yang
berwarna-warni, menyadurkan bumbungnya dengan emas dan membuat tiang-tiangnya
dengan batu marmar.
Selanjutnya
Khalifah Usman bin Affan telah memberi keluasan kepada penduduk-penduduk
Madinah mendirikan rumah-rumah dan istana yang besar dan indah. Beliaulah
Khalifah yang mula-mula menukar corak pemerintahan secara lama Islam kepada
pemerintahan secara kerajaan-kerajaan yang besar, meskipun langkah itu telah
dipandang salah oleh setengah pihak, namun itulah sebenarnya satu langkahan
yang patut menjadi kebanggaannya, kerana kerajaan Islm tidak patut
selam-lamanya kekal dengan corak lamanya yang kasar dan primitip, malah
mestilah menunjukkan tanda-tanda tamadunnya yang tinggi setelah kemewahan dunia
terbuka di hadapan, maka dengan cara ini dapatlah kerajaan Islam menjaga maruah
kehebatannya di antara kerajaan-kerajaan dunia.
Demikianlah sikap
yang selayaknya bagi Agama-agama Allah
terhadap seni yang indah, kerana seni itu memang berguna dan berpengaruh dalam
mengasuhkan tabiat manusia, menigggikan zuk dan memperhaluskan jiwa mereka.
[Rencana
ini disaring dari rencana saringan Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky Yaacob yang
berjodol Aneka Seni Dalam al-Quran
oleh Al-Syeikh Abdul Mula’ad Al-Sa’edi, Pengarang dan Mahaguru Bahasa dan Sastera
di Azhaar Unniversiti Khaerah.]
Lorong Masjid
al-Qasimi,
Kg.Parit, Pasir
Tumoh,
Kota Bharu,
Kelantan.