CIKGU ZUBAIDAH TELAH PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA

>> Sunday, December 25, 2016








CIK GU ZUBAIDAH TELAH PERGI.........





                                      cikgu zubaidah

Pagi Selasa, 20 Rabiulawal 1438 bersamaan dengan 20 Disember 2016 yang lalu saya menerima panggilan telefon yang mengejutkan.





Dihujung sana, kdengaran suara abagn ipar saya, dengan suara bergetar memberitahu sesuatu yang amat mengejutkan. Bertia yang membuat saya terpaku mendengarnya.

Abang ipar saya, Abdul Rahman Awang Besar memberitakan, isterinya, iaitu kakak saya Zubaidah Saleh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.

Waktu itu kira-kira pukul lapan pagi. Beliau tidak dapat mempstikan dengan tepat pukul berapakah kakak saya itu mengehmbus akhirnya.

Sebelum itu, kakak saya merasa letih dan beliau menasihatkannya supaya berihat sementara dia mencari makan pagi di kedai.

Tapi bila dia balik, dan mengejutkan isterinya untuk makan pagi yang dibelinya itu, beliau dapati isterinya sudah tidak bernafas lagi.

Saya pun amat terkejut mendengar berita itu, kerana kami tidak pernah mendengar Allahyarhmah sakit yang membawa kepada kematiannya itu.

Tapi saya segera sedar itulah haikat hidup, sebagai hamba Allah, sesiapa sahaja, bila-bila masa sahaja, dan di mana sahaja tanpa mengira waktu, tempat, usia, sakit atau sihat boleh dijemput Allah kembali ke pangkuanNya.





Justeru itulah kita selalu digesa supaya sentiasa dalam berjaga-jaga dengan amal soleh dan kebajikan untuk menghadapiNya bila dijemput nanti yang tidak dapat dipsatika bila dan di mana.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali!

Allahyarhman Zubaidah meninggalkan dua orang cahayamata, seorang putera, Azlan binAbdul Rahman, dan seorang puteri, Armawati bte Abdul Rahman serta beberapa orang cucu.

Beliau meninggalkan dalam usia 76 tahun, dan sesbelumnya berkhidmat sebagai seorang pendidik, dan aktif bergiat dalam kebajikan masyarakat.

Justeru selama beliau berkhidmat berpuluh-puluh tahun itu seudah tentu beliau mempunyai ribuan anak murid yang bertaburan di seluruh negara.

Dalam masyarakat seharian beliau dikenali dengan panggilan “Cik Gu Zubaidah”, tapi kepada mereka berdamping atau berurusan dengannya memanggilnya “Kak Dah”.

Beliau seorang yang peramah, mudah bertegur sapa, dan seorang yang pemurah.

Dengan pemergian beliau itu, bererti tiga orang saudara kami telah kembali ke sisi Allah, termasuk dua orang lagi, iaitu Sofiah dan Ariffin yang telah pergi mendului semuanya. Dan kini kami masih mempunyai enam orang adik beradik, daripada sembilan orang adik beradik semuanya.

Ayahanda kami, Saleh bin Hj. Muhammad meninggal di Makkah untuk menunai ibadat Haji, kra-kira empat puluh tahun yang lalu, sementara ibu saya, Maimunah bte Ismail meninggal kira-kira dua dekad yang lalu dan dikebumikan di tanah perkuburan Pohon Rambai, Salor, di mana keluarga kami dikebum ikan.



                          Bersama Suami Cik Gu Man Di Tanah Suci


Isteri saya Asiah Yaacob, meninggal dunia beberapa tahun yang lalu di tanah perkuburan itu juga dikebumikan.

Ya Allah, tempatkanlah Kak Dah dan semua mereka yang telah kembali ke Rahmatulah iyiu di kalangan orang-orang Mukmin yang suci dan mulia di sisiMu, dan cucurilah sentiasa RahmatMu ke atas mereka.

Catatan Kematian

Masuk Syurga:

A]
“Sesiapa yang berkebetilan matinya:
Selepas selesai Ramadhan, maka dia masuk Syurga;

Sesiapa yang berkebetulan matinya selepas selesai Arafah, maka dia masuk Syurga;

Dan sesiapa yang berkebeulan matinya seleaps bersedekah, maka dia masuk Syurga”. Sabda Junjungan.

B]
Langit Menangisi Kematian Orang Mukmin:
“Setiap manusia mempunyai dua pintu di Langit:

Satu pintun ialah tempat amalannya naik

Dan satu pintu lagi ialah tempat rezekinyan turun”.

Apabila matilah hamba itu [Mukmin] maka kedua-dua pintu itu menangisi kematiannya”.-Sabda Junjungan.

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.



Read more...

NABI MUHAMMAD SAW CAHAYA BUANA

>> Thursday, December 22, 2016




NABI MUHAMMAD SAW CAHAYA BUANA



Dan Kami tidak  utuskan [Muhammad], melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam,”. –Al-Anbia' 107.


Saban tahun, tanggal 12 Rabiul awal, umat Islam di seluruh dunia, mengadakan perayaan menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, yang dipenuhi dengan aneka cara yang difikirkan dapat memberi manfat kepada seluruh umat Islam, seperti meganjurkan ceramah-ceramah, membaca kisah-kisah perjuangan Nabi SAW dalam perjuangannya untuk menegakkan Ke Tuhanan dan ketaqwaan kepada Allah dan berbagai-bagai bentuk persembahan yang menarik lagi.


Walaupun sambutan Maulid Al-Rasul  yang diadakan setiap tahun itu, tidak ada kaitan dengan ajaran syariah, demikian juga dengan tarikh kewafatan baginda pada 12 Rabiulawal 11 Hijriah, tapi tanggal kelahiran baginda adalah memberi petanda yang amat besar akan musnahnya kezaliman, akan runtuhnya kemungkaran, dan akan leburnya segala lambang kedurhakaan yang bermaharajalela sebelum itu, dan seterusnya akan bangkit suatu kekuasaaan murni yang berasaskan tauhid.


Dan dengan menyusuri kembali liku-liku sejarah perjuangan hidup  baginda itu adalah diharapkan menjadi contoh dan tauladan yang akan mencetuskan semangat yang lebih mantap dan waja serta berkobar-kobar untuk mempertingkatkan lagi syiar Islam dan menegakkan kalimah tauhid di seluruh alam buana ini, tanpa menghiraukan ranjau-ranjau  yang menghalang lorong-lorong dan liku-liku yang ditempuhi, sehingga tertegaknya panji-panji keIslaman yang murni.


Dan dengan mengingati kembali keperibadian Nabi SAW yang tidak ada tanding taranya itu, dengan akhlaknya, budi pekertinya, kepimpinannya, amal ibadatnya, dan segala-galanya tentang baginda semoga dapat  menggerakkan kita melaksanakan usaha yang lebih dinamis dan gigih untuk memperbaiki keimanan, akhlak dan budi pekerti kita yang kini nerada dalam kegawatan kerana digugat dan dicongcang oleh berbagai-bagai cabaran dan fitnah keimanan yang sentiasa membawa dan menabur kuman-kuman berbisa untuk membinasakan akidah umat Islam.


Menerusi Risalah baginda sebagai Rasulullah SAW, Allah telah menurunkan perngajaran-pengajaran cara hidup yang sempurna di muka bumi ini, dan menunjukkan cara yang sewajarnya untuk kembali kepada Allah yang Maha Pencipta. Walaupun baginda telah wafat, risalah baginda yang telah berjaya membuka mata dan telinga, serta menyinar pengelihatan minda dan akal budi, terus kekal dalam keadaaan baik dan tulin serta sempurna terrsimpan kukuh dalam Kitabullah dan As-Sunnah.


Risalah yang dibawa oleh baginda SAW merupakan revolusi insaniah yang meliputi seluruh jasmani dan rohani, mental dan fizikal dan spiritual yang teragung yang pernah dikenali umat manusia. Risalah yang dibawa oleh baginda ialah Ketahuidan yang murni dan tinggi yang mempunyai kesan dan pengaruh yang terbesar terhadap seluruh kehidupan manusia, meresapi ke dalam lubuk hati dan jiwa mereka dengan kuat dan utuh yang terus berkekalan di sepanjang zaman, turun temurun sampai ke akhir zaman.


Dengan tauhid yang seperti ini, mereka hidup dengan penuh semangat, dan bebas daripada perasaan ketakutan dan tidak merasa rendah diri terhadap sesuatu yang tidak wajar sama sekali digeruni, kerana hanya Allah SWT sahaja yang patut ditakuti, dan dicari kemuliaan di sisinya, menerusi iman dan taqwa. Maka dengan itu runtuhlah segala tuhan-tuhan palsu yang begitu bermaharajalela pada zaman tersebut.


Risalah yang dibawa oleh baginda itu tidaklah mengajar manusia supaya semata-mata menumpukan perhatian untuk hidup tanpa mengira arah dan tujuan, halal atau haram dalam memburu kesenangan dan kenikmatan dunia yang fana ini. Tapi sebaliknya risalah baginda mengajar manusia dengan akidah yang mengatur hidupnya dalam hubungan dengan Allah, di mana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan untuk mencapai kesempurnaan hidup, supaya manusia memperolehi kebahagian di dunia dan berbahagia di akhirat. Inilah risalah penting yang dibawa oleh baginda untuk hiudp di bawah sinar wahyu Ilahi, dan mendapat keredaan-Nya yang menjadi matlamat hidup seluruh umat manusia.


Allah berfirman, maksudnya:
“Katakanlah, sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku, lain tidak, ialah bahawa tidak ada Tuhan lain, melainkan Tuhan Yang Esa”. Al-Anbia':108.


Ini adalah rahmat risalah Nabi Muhammad SAW yang paling besar, iaitu rahmat aqidah, mengaku, “Tidak ada Tuhan lain yang disembah, melainkan Allah” yang tunggal, dan tiada sekutu bagiNya, iaitu ajaran yang menjadi asas kepada seluruh kehidupan umat manusia, di mana Allah sahaja yang wajib disembah dan kepadaNya kita semua berbakti.


Tauhid adalah seumpama tapak kepada sesebuah binaan, maka jika tapak itu lembek, maka akan runtuhlah binaan itu. Dengan tauhid itu, maka manusia tidak lagi berada dalam kegelapan, menyembah berhala-hala, pokok-pokok, busut-busut, dan semangat-semangat yang mereka anggap berkuasa, dan dapat memberi bekas atau kesan kepada mereka.


Sesungguhnya hidup dan mati manusia adalah kerana Allah. Baginda mengumumkan perkara tersebut dengan ayat suci al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguh solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan semesta Alam”.Al-An’am:162.


Menyatukan Dunia Dan Akhirat

Selain daripada menyampaikan risalah mentauhidkan Allah, baginda juga menyampaikan risalah menutup jurang yang luas antara agama dan dunia, yang sebelumnya diwujdukan dengan pergisiran yang sengit antara keduanya.


Risalah yang dibawa oleh baginda tidak memisahkan antara dunia dan akhirat, malah kedua-duanya dipertemukan kembali dalam satu ikatan kasih sayang yang murni yang tanpa dapat dipisah-pisahkan lagi. Risalah yang dibawa oleh baginda ialah kesatuan antara rohani dan jasmani, bukannya dengan jalan mendera jasmani untuk mencapai ketinggian rohani, ataupun sebaliknya  melupakan rohani, untuk mencapai kelazatan jasmani.


Baginda SAW mengajar umat mnusia dengan sebaris doa yang pada umumnya memberi erti yang amat besar untuk mencapai kebahagian khidup  manusia di dunia dan juga di akhirat.


Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari seksa neraka”.-Al-Baqarah:201.


Sedangkan agama-agama lain, khususnya Kristian telah memisahkan kehidupan dunia dari akhirat, di mana di satu pihak terletak barisan kepimpinan agama, yang terdiri dari wewenang gereja, dan di satu pihak lagi terletak barisan kepimpinan dunia, yang terdiri daripada cendakiawan.


Maka seterusnya lahirlah apa yang dikatakan politik suku, agama suku. Kedua-duanya dipisahkan oleh tembok yang amat tinggi. Akhirnya permusuhan yang sengit telah meledak di antara kedua golongan itu, iaitu pemimpin dunia hanya untuk dunia sahaja, sementara pemimpin akhirat untuk akhirat sahaja.


Dalam suasana seperti itu, mereka yang inginkan kesenangan dunia, hanya bekerja untuk dunia, dan melupakan akhirat, dan sebaliknya kepada mereka yang inginkan kesenangan akhirat pula, mereka hanya berusaha untuk akhirat dan melupakan segala kepentingan dunia, termasuk hidup cara kependetaan, tanpa isteri, anak dan keduniaan yang dianggap hina ini.


Dalam pertarungan sengit ini, para cendakiawan sudah tentu memilih dunia dari akhirat, dan merelakan diri mereka dengan dunia, tanpa menperdulikan akhirat. Akhirnya kebanyakan mereka yang memegang tampuk kekuasaan dunia, terus meninggalkan agama dan memberontak  terhadap wewenangan gereja, dan langsung memisahkan diri mereka dari agama.


Risalah yang dibawa oleh Baginda SAW memberi petunjuk kepada umat manusia jalan yang harus mereka tempoh untuk mencapai kebahagian sebenarnya, dan menunjukkan tempat di mana mereka seharusnya berada, sedangkan sebelumnya manusia tidak mengetahui ke mana arah tujuan hidup mereka yang sebenarnya.


Mereka hidup dalam kesesatan. Kebanyakan mereka hanyut dalam kemewahan dan kelazatan hidup dunia yang menjadi tujuan dan matlamat hidup mereka, dan tenggelam dalam lautan hiburan yang melekakan. Mereka hidup persis haiwan, malah ada yang lebih hina dari haiwan yang merangkak di bumi.  Di mana ada di antaranya kerana kepentingan dunia, merelakan diri  mereka berkorban kepada kepada para pemimpin mereka, berkorban apa sahaja, termasuk maruah dan harga diri sekalipun, semata-mata untuk mendampingkan diri mereka pemimpin-pemimpin keduniaan yang telah sesat itu.


Risalah yang dibawa boleh baginda menjadi tamparan hebat kepada mereka semua untuk kembali ke pangkal jalan, di mana setiap usaha perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan dengan niat untuk mendapat keredaan Allah semata-mata.


Persaudaraan

Risalah Rasulullah SAW membina dasar persaudaraan yang canggih dan meliputi seluruh alam, yang menghapuskan segala kasta, dan sifat-sifat keakuan yang tidak terbatas, dan mewujudkan sifat “kekamian”, maka dengan itu setiap individu berfikir dan bergerak dengan semangat dan jiwa “kekamian” ataupun kemasyarakatan dan berusaha dan bertindak demi kepentingan bersama. Tidak ada siapa memandang dirinya lebih mulia dan lebih unggul dari pihak yang lain, justeru itu hidup meminggirkan diri dari masyarakat, tapi mereka hidup bersama, jatuh dan bangun bersama-sama, tanpa nafsu-nafsi dan bersifat individualistik.


Persaudaran yang berlandaskan “kekitaan” seperti ini telah berjaya menghapuskan semangat kefanitakan, dan kesukuan yang subur di zaman jahiliah, dan tidak ada lagi pengabdian kepada selian dari Allah, maka hancurlah segala bentuk pendewaan yang bersumberkan keturunan, warna kulit, baka atau semangat kebangsaan yang sempit, kerana persaudaran seagama mengatasi segala-galanya, dan lebih kental daripada persaudaraan kerana pertalian suku dan darah. Persaudaraan sejagat yang unggul seperti ini tidak akan cambah dan subur dalam sebuah masyarakat yang dungu, durjana, bejat dan tidak beriman.


Malah persaudaran yang unggul seperti ini, hanya tumbuh dengan sendiri, tanpa di paksa-paksa  oleh peraturan dan undang-undang, atau adat resam, kerana ianya bercambah dalam hati dan minda manusia yang telah bebas dari cengkaman keakuan dan kerendahan budi pekerti. Andainya semangat keakuan masih utuh, maka persaudaraan sejati seperti ini tidak akan cambah, sebaliknya yang akan lahir ialah semangat mementingkan diri sendiri, keluarga sendiri, anak pinak sendiri, kroni dan suku sakat sendiri atau nepotism.


Baginda adalah manusia yang julung-julung kali di dunia, secara lantang, terbuka dan tegas mengumumkan risalah persaudaraan dan persamaan antara sesama manusia, sesudah sekian lama fahaman keakuan atau individualistik mencengkam seluruh dunia, dalam kehidupan yang berpecah-belah, berlandaskan rupa bangsa, suku sakat, kaum kerabat dan puak-juak, dan hidup dalam perseteruan yang sengit antara sama lain, tanpa ada setitis pun fikiran atau usaha untuk menyatukannya dalam sebuah persaudaraaan sejagat seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW itu.


Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat, ayat 13, maksudnya:
“Wahai manusia, sungguh Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. Al-Hujuraat:13.


Ayat yang mulia itu mengalir dari lidah baginda, ketika baginda berdiri di tengah-tengah ratusan ribu jemaah haji di puncak Jabal Rahmat, di Padang Arafah ketika baginda membaca khutbah wad’ dalam melaksanakan ibadah haji baginda yang terakhir. Ayat-ayat ini mengejutkan seluruh alam, seolah-olah ledakan gempa bumi yang kuat yang mengeggarkan seluruh alam dunia, dengan gemanya yang berkekalan sepanjang zaman, meresap ke lubuk hati dan jiwa umat manusia.


Sebelum baginda telah banyak Rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT, tapi risalahnya adalah terbatas kepada kelompok atau lingkungan wilayah di mana mereka diutuskan, dan itupun dalam masa yang terdekat sepanjang hayat mereka, kemudian hilang kembali, dan berikutnya diutuskan pula Rasul-rasul yang lain silih berganti, hingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir yang menutup segala zaman.


Baginda diutuskan untuk menyampai risalah dalam skop yang amat luas, untuk ke seluruh alam buana ini, persis matahari yang cahayanya menjadi sumber kehidupan kepada seluruh alam raya, menyatukan umat manusia dalam lingkungan persaudaran sejagat, yang merupakan rahmat kepada sluruh alam, iaitu persatuan yang tidak mengenal keturunan, rupa bangsa atau iklim, dan hidup berasaskan setaraf di bawah panji-panji keislaman yang semata-mata mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Allah berfirman dalam Surah al-Anbia', ayat 92, maksudnya:
“Dan sesungguhnya inilah agama kamu, agama yang satu, Aku Tuhanmu, maka berabdilah kamu kepadaku”. –al-Anbia':92.


Inilah adalah sebahagian daripada rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Seterusnya Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, maksudnya:
“Demi sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi orang yang sentiasa mengharapkan [keredaan] Allah dan [balasan baik] hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak”. Al-Ahzab:21


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.





Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP