ASAL USUL MANORA?

>> Tuesday, April 30, 2013





ASAL USUL MANORA?



MANORA adalah sejenis persembahan permainan dalam bentuk tarian bangsa Thai. Ia merupakan persembahan di kalangan masyarakat, kepada semua kaum di negeri Kelantan, bukan sahaja bangsa Thai, tapi juga bangsa Cina dan juga Melayu yang akan memenuhi setiap persembahan manora di negeri ini.

Pada permulaannya manora merupakan perayaan agama yang diadakan di kuil-kuil [ketik kata orang Kelantan] dengan tujuan untuk mencari sumbangan mengisi dana kuil daripada masyarakatnya.



Selain itu manora juga dipersembah khusus dengan tujuan menjaga semangat-semangat tertentu supaya tidak diganggu-gugat.

Dan akhirnya manora dipersembahkan kepada orang ramai, terutama di pesta-pesta atau perayaan keramaian yang terbuka untuk umum. Ia dimasukkan sebagai salah satu pertunjukan kebudayaan rakyat.

Walau apapun, adakah anda tahu asal usul permainan manora itu? 

Di sini kami angkatkan tulisan seorang penulis bernama Phat Kau Thakh Sin mengenai asal usul manora untuk perhatian anda, khususnya peminat-peminat kebudayaan. Saya tidak dapat mengesan siapakah Phat Kau Thakh Sin yang mungkin  pernah mengenalinya suatu ketika dahulu.

Beginilah catatan beliau itu:

Asal Usul Manora
 
Manora adalah salah satu kesenian di sebelah Selatan Thai, kerana manora tidak terdapat di bahagian lain negara Thai. Tegasnya manora adalah satu kebudayaan tempatan bagi orang-orang di sebelah Selatan.

Manora adalah berasal dari negara India, satu kebudayaan India yang mengalir masuk ke Tanah Melayu dan Jawa, kemudiannya masuk ke sebelah Selatan Thai yang menjadi kesukaan ramai hingga akhirnya menjadi satu kebudayaan tempatan.

Salah satu dalil menunjukkan manora itu berasal dari India yang mengalir menerusi Jawa, ialah terdapat cara-cara menarinya yang menggunakan tangan dan kaki, tapi gaya menarinya pula bercorak Jawa. Permainan manora hampir-hampir serupa dengan permainan Mak Yong.

Nora atau Manora adalah sejenis tarian yang sangat menarik. Setiap kali sebelum permainan itu dimulai, pelakon-pelakonnya mestilah membuat upacara menyembah guru dan keramat di tempat permainan supaya memberi keselamatan kepada mereka. Barang-barang pesembahan berupa wang sepuluh kob dengan dian dan tiga piak sirih pinang yang dipersembahkan kepada ratu yang menjaga bumi dan kepada gurunya.

Setelah selesai menyembah guru maka semua bunyian pun dimainkan terdiri dari sebuah serunai, sebuah gendang, dua buah kecapi, sepasang gong atau mong dan sepasang ceng.

Sebahagian besar daripada lakonannya ialah berkenaan dengan sejarah manora mengenai cerita  Prasun Tun waktu hendak berpisah dari Permaisuri Can Tata dan bondanya. Ringkasan ceritanya seperti berikut:

Pada masa Prasun Tun keluar berperang, seorang Brahman datang mengangkat sembah bahawa Prasun Tun sedang ditimpa bala, dan katanya untuk menolak bala itu mestilah dikorbakan adik iparnya Tang Manora, jika tidak Prasun Tun tidak akan balik lagi.

Permaisuri Can Tata memanggil Manora, adik iparnya masuk mengadap dan menceritakan ramalan Brahman tadi. Manora pun mengangkat sembah mengatakan sebelum dia mati, dia ingin hendak mempersembahkan satu tarian yang berasal dari keturunannya di hadapan permaisuri itu supaya dewa-dewa di kayangan boleh menjadi saksi bahawa dia tetap taat setia kepada suaminya dan rela mengorbankan nyawa sendiri, tapi dia meminta supaya diberi balik bulu ekornya dan dibukakan tujuh bidang atap perabung rumah supaya dewa-dewa kayangan boleh menyaksikannya.

Permaisuri Tat Can berkenaan atas permintaan itu, tapi kesempatan itu digunakan oleh Manora untuk melarikan dirinya menerusi lubang perabung rumah itu lalu kembali ke tempat asalnya ke gunung Krai Las. Cerita manora dimain di mana-mana tempat sekali pun ditamatkan dalam keadaan seperti ini.

Sekarang manora berkembang maju menurut zaman, hingga menggunakan pakaian dan alat perkakas moden seperti maikrofon, tapi pokok ceritanya tetap tidak berubah daripada asal.

Yang menarik hati dalam permainan manora ialah tarian dan pakaiannya yang indah, yang diperbuat daripada buah-buah kecil yang berwarna-warni dan suara nyanyiannya yang merdu. Sesetengah pelakon manora dapat berlakon dengan baik sekali sehingga mendapat penghormatan raja. Seorang pelakon terkemuka di sebelah Selatan Thai pada zaman dahulu pernah menjadi kaya raya.

Pakaian sebelah luar pelakonnya adalah terdiri daripada buah-buah kecil yang berambu-rambu dan berjela-jela seperti perut gajah, tap suang yang dipanggil dada, tap ted yang dipanggil burung, pi neng yang dipanggil kepala ikat pinggang berasal dari bahasa Jawa. Kahurat diperbuat daripada perak. Kepala pelakonnya yang menjadi raja memakai tred, tapi yang menjadi hero tidak memakai apa-apa. Rupanya seperti sayap burung yang diikat kepada pinggang di sebelah belakang dan hujungnya disambungkan seperti ekor yang dipanggil ekor ayam.

Manora menjadi kesukaan ramai di wilayah–wilayah sebelah Selatan Thai, seperti di Nakum Sri Thamarat, Songklai Trang, Yala, Patani dan Nara Tiwas.





Read more...

KISAH JANDA KAYA

>> Saturday, April 27, 2013





JANDA KAYA


Ada seorang pemuda yang telah beberapa lama menduda, berpisah dengan isterinya kerana sebab yang hanya mereka berdua sahaja yang mengetahuinya. Sekarang dia sedang berusaha keras untuk mencari seorang teman hidup yang baru untuk menghilangkan kesunyian hatinya yang tidak berteman lagi itu.

Pada suatu pagi, dia mengikuti dua orang pak ciknya berjalan kaki untuk pergi ke sebuah gerai untuk sarapan pagi. Kedua-dua pak ciknya itu asyik berbual-bual mengenai bebagai-bagai perkara. Melompat dari satu topik ke satu topik.

Pemuda itu hanya mendiamkan diri sahaja tapi mengikuti dengan teliti segala-segalanya yang diperbualkan oleh kedua pak ciknya itu. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian bila  mendengar kelakar mereka.




Sewaktu melintasi sebuah rumah besar di tepi jalan itu, tiba-tiba salah seorang daripadanya kedengaran berkara, “Tengok tu, Janda Kaya, cantikkan?”.

“Yalah! Sungguh cantik. Saya dah lama cari tapi tak juga dapat……”. Balas pak cik yang seorang  lagi. Perbualan kedua-dua pak ciknya mengenai Janda Kaya itu menarik hati sang pemuda.

Sambil berpaling ke kanan, melihat rumah besar itu, dia berkata, “Janda kaya pak cik? Mana? Tuan rumah itukah?”.

Kedua-dua pak ciknya itu ketawa berderai-derai. Geli hati. Sang pemuda menjadi kebingongan, dan bertanya, “Kenapa pak cik?”.

Kemudian salah seorang daripada mereka kedengaran berkata,”Janda Kaya yang kami katakan itu ialah pokok bunga yang tumbuh di hadapan pintu pagar rumah besar itu. Berbunga lebat hingga tak nampak daunnya. Putih. Kau lihat tu?”.

Pak cik yang seorang lagi pula berkata, “Itulah baik-baik ada isteri bercerai. Sudah tak ada isteri, nak kahwin pula”.

Pemuda itu pun turut ketawa mendengar komen kedua pak ciknya.”Janda kaya! Alangkah beruntungnya kalau dapat janda kaya. Tapi orangnya, bukan pokok!”.

Kita tinggal si pemuda dengan cita-cita dan angan-angannya untuk mencari seorang janda kaya.

Pokok janda kaya ialah sejenis tumbuhan renek yang berbunga lebat dan banyak memenuhi pokoknya, hinggakan daunnya hampir tidak kelihatan. Ia mempunyai beberapa jenis, berdasarkan warna bunganya. Ia berbunga sepanjang tahun.

Namun begitu hanya ada dua jenis sahaja yang paling terkenal, iaitu Janda Kaya Putih dan Janda Kaya Merah.

Sesuai dengan nama dan rupanya, ia biasanya ditanam sebagai tanaman hiasan di kawasan-kawasan perumahan, di pejabat-pejabat dan juga di taman-taman untuk lebih menyerikan lagi suasana.

Ia boleh hidup di bawah limpahan sinar mata hari, dengan syarat tidak ditakungi air.

Pokok yang dipercayai berasal dari Ghana dan Filifina ini seperti pokok bunga kertas, boleh dibiak degan semaian keratan batang dan juga ditutkan.

Janda Kaya lebih kuat merimbun jika dahan-dahannya sering dipotong atau dipangkas.

Sampai sekarang masih lagi belum terbongkar rahsianya kenapa pokok ini dikenali dengan nama Janda Kaya. Sebuah nama yang cukup menarik dan menggoda. Mungkinkah kerana suatu masa yang lampau, pokok ini banyak di tanam oleh janda-janda yang kaya, hingga ia diperkenalkan sebagai Bunga Janda Kaya?

Janda kaya ini merupakan salah sejenis tumbuhan yang terdapat di halaman Pondok Rahmat, iaitu yang berwarna putih dan sedang lebat berbunga, sementara Janda Kaya Merah, baru sahaja ditanam dan menunggu masa untuk berbunga. Insya-Allah.

 


Read more...

Kota Bharu Dan Legenda Berlaga Kerbau

>> Thursday, April 25, 2013




KOTA BHARU DAN LEGENDA BERLAGA KERBAU

 
Pada masa yang lalu pelaga kerbau atau lembu adalah merupakan temasya yang meriah di kalangan rakyat jelata, walaupun tidak jarang pesta seperti itu menjadi punca tercetusnya berbagai-bagai sengketa di kalangan anggota masyarakat, sebagaimana temasya belaga ayam atau ikan sepilar yang boleh mengeruhkan keadaan, walaupun ia menggembirakan. Tulisan itu diangkat daripada tulisan Al-Yubi Ismail yang kita panggil “Pak Usuf” mengenai sebuah legenda pelagaan kerbau dalam sejarah Kelantan.

Ikutilah seterusnya.

Mengikut sejarah negeri Kelantan, setelah Long Senik Mulut Merah ditabalkan menjadi Sultan  Muhammad yang ke-2 dalam tahun 1253 Hijriah bersamaan 1838 M, keadaan perang saudara telah dapat dibendung. Enam tahun kemudian terbinalah sebuah kota di dalam satu kawasan tanah seluas 4 ekar, di dalamnya tersergam sebuah istana dan kubu-kubu yang kuat. Kota inilah  asalnya KOTA BHARU sekarang.

Pada suatu petang tatakala baginda sedang bersemayam di taman bunga, datanglah permaisuri baginda sambil mengangkat sembah:

“Kanda kita telah dapat menduduki di atas puncak kemuliaan dan kebesaran negeri ini menerusi pengorbanan rakyat yang bukan sedikit”.

“Benar adinda! Persetiaan rakyat kita, selama kita sendiri setia kepada pemerintah dan kepada negeri tumpah darah kita bersama”. Permaisuri menyambut sabda itu dengan sebuah senyuman yang luar biasa, hingga dimasyurkan orang sampai ke zaman kita ini dengan kata-kata sakti, “Senyum Istana”.

-“Jika demikian adinda memohon izin kanda, agar dapat adinda bermain-main dan bersukaria bersama-sama rakyat, dengan tidak ada campur tangan kanda, keluarga diraja dan orang-orang besar negeri”.

Baginda amat terharu, hendak menyatakan sesuatu kesamaran ke atas cadangan permaisuri itu, baginda merasa berat, kerana permaisuri tentulah dapat mengagak akan kelemahan baginda untuk mengulahkan sesuatu kejadian atau pembahuran di dalam pentadbiran pemerintahan; jusetru baginda pun memberi persetujuan penuh, tanpa syak dan waham.

Dengan keputusan baginda inilah permaisuri mengistiyarkan kepada seluruh rakyat supaya memelihara kerbau dengan baik, kerana baginda permaisuri sendiri hendak mengadakan  temasya  pelagaan kerbau itu di tanah lapang di luar kota, iaitu di Padang Merdeka sekarang. Peraturan pelagaan itu ditetapkan ialah  empat bulan pada tiap-tiap tahun, iaitu dimulai musim hujan. Peristiyaran ini disambut oleh rakyat dengan gembira.

Cerita-cerita kemeriahan pelagaan kerbau telah menarik perhatian Raja Penambang, iaitu bekas musuh ketat baginda. Utusan Raja Penambang pada suatu hari telah masuk menghadap Sultan Muhammad yang ke-2, membawa titah rajanya ingin melagakan kerbaunya yang masyur dengan nama “Jebat Bulu Halus” dengan kerbau permaisuri sendiri yang bergelar “Rabit”, Permohonan ini telah ditolak oleh permaisuri, kerana baginda berpegang pada asas-asas temasya itu diadakan. Permaisuri menyesali akan kejadian ini dan mengeluh:

-“Kanda! Mereka mulai mencari bala”.

Di dalam keadaan yang demikian, bertiuplah udara muram, sebam dan gelap di kalangan istana dan rakyat, antara kedua-dua kerajaan itu, berita-berita kononnya permaisuri memperbodoh-bodohkan rakyat dengan melagakan kerbaunya yang gemuk dan besar itu dengan kerbau-kerbau kepunyaan rakyat yang kurus lagi kecil, tapi bila ada lawan yang standing, permaisuri pun menolak.

Sebagai seorang perempuan yang lahir dari manusia biasa, permaisuri pun memberi persetujuan dan menyambut cabaran Raja Penambang itu dengan kemurkaan yang meluap-luap.

Ketika Permaisuri hendak berangkat ke tempat pelagaan itu, bersabdalah baginda:

-“Kanda adinda berangkat menyambut bala”.

Baginda sultan menerimanya dengan kebingongan, kerana baginda sendiri tidak boleh hadir di gelanggang pelagaan kerbau itu.

Setelah kerbau itu siap di tempat masing-masing, iaitu jarak antara kedua-duanya lebih kurang 800 ela, maka gong [tatawak] dibunyikan orang, kerbau pun dilepaskan oleh juaranya, kerbau Rabit yang garang itu meluru ke hadapan seperti harimau garang.

-“Oh pengelatnya Temenggong Amat”. Murka Premaisuri, di dalam tepuk sorak yang bergemuruh itu, kerana Temenggong Amat, juara kerbau Jebat Bulu Halus itu tidak melepaskan kerbaunya, Temenggng Amat lalu menunjukkan kepahlawanannya, ia menengking dengan kuat, hingga Rabit terdiri tegak tercengang-cengang, iaitu lebih kurang 10 depa dari lawannnya itu, kerbau Jebat  mulai meronta-ronta meminta lawan. Di dalam keadaan yang kelam kabut inilah, lagi sekali Permaisuri menyeru, “Sambutlah bala Temenggong Amat!”.

Di saat itulah si Rabit memesong diri ke kanan Temenggong itu, kerbau Jebat pula berpusing ke kanan. Sekarang Temenggong itu telah berdiri di tengah-tengah antara kedua ekor  kerbau yang garang itu, dia tak sempat mengelakkan diri, si Rabit sepantas kilat menikam perut Temenggong itu dan dijunjung badan Temenggong itu ke atas, kemudian dihempas ke bumi.

Pertarungan kedua-dua kerbau itu makin hebat dan dasyat, bunyi sorak manusia seolah-olah meruntuhkan menara masjid, sewaktu ini pulalah Permaisuri itu memekik:

-“Bala dicari sudah dapat kau padah dibunuh”.

Berakhirlah temasya itu dengan kenangan-kenangan yang pahit dan menyedihkan, walaupun kerbau Rabit menang dan Temenggong Amat mati.

Demikianlah serba ringkas, petikan daripada tulisan Alyubi Ismail, Pengarang “Kalau Syaitan Mogok”], mengikut cerita yang disampaikan kepadanya oleh Pak Cik Omar Pendekar Kelantan.








disampaikan  oleh Pak Cik Omar Pendekar Kelantan.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP