UTHMAN EL-MUHAMMADY DALAM LINTASAN KENANGAN

>> Wednesday, March 27, 2013






UTHMAN El-MUHAMMADY DALAM LINTASAN KENANGAN


Ketika membaca tulisan ringkas Subky Latif pagi kelmarin dalam Facebooknya, saya terpaksa mencari fakta-fakta tambahan mengenai kata-kata singkatnya itu dan ini membuat saya melayari Malaysiakini. Dan bila saya meniliti tajuk-tajuk baru Malaysiakini hari itu, saya tidak menemui apa yang saya cari, tapi sebaliknya menemui berita yang mengejutkan tentang pemergian abadi seorang cendekiawan negara dan tokoh pemikir, Dr.Muhammad Uthman El-Muhammady.


Berita mengharu ini telah membuka otak fikiran saya untuk mengenang beberapa episod pengenalan saya dengan tokoh cendekiawan itu yang timbul tenggelam dalam ingatan saya.

 
Saya pertama kali menenal beliau ketika masuk belajar di Sultan Ismail Kolej [SIC], Kota Bharu seputar tahun 1970-an. Waktu itu saya berada di kelas peralihan yang dikenali dengan “Remove Class”.


Pada tahun tersebut pelajar-pelajar darjah lima di Sekolah-sekolah Melayu di seluruh negeri Kelantan diarah memasuki peperiksaan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di sekolah aliran Inggeris. Hasil daripada peperiksaan itu saya adalah salah seorang daripadanya yang berjaya. Oleh sebab kami tidak mengetahui bahasa Inggeris, maka kami ditempatkan di darjah peralihan itu untuk mendalami bahasa Inggeris dan juga belajar mata-mata pelajaran yang biasa selama setahun. Selepas setahun barulah kami dimasukkan ke tingkatan satu atau Form 1.

Pada masa itu saya telah pun mulai menulis dalam akhbar-akhbar, antaranya Utusan Pemuda. Saya tidak begitu ingat, bagaimana saya dan Uthman El-Muhammady oleh berkenalan. Yang saya ingat ialah pada suatu hari beliau memanggil saya dari arah belakang dalam satu lorong berteduh di maktab itu. Sejak itulah persahabatan kami mula terjalin.


Dalam pertemuan yang singkat itu beliau memberitahu saya, salah seorang jawatankuasa penubuhan persatuan penulis Kelantan yang berada dalam rangka penubuhannya, dengan nama Asmupati ingin bertemu dengan saya. Beliau memberitahu orang tersebut namanya Tajul dan tempat tinggalnya di kuarter Balai Bomba, Kota Bharu.


Selepas itu perhubungan kami agak rapat. Beliau pernah sekali berkunjung ke rumah saya di Kg. Salor atas jemputan saya. Dari SIC, selepas sekolah tamat, kami berdua berbasikal sejauh kira-kira 12 km ke rumah saya.


Ibu saya, Maimunah [ya Allah cucurilah rahmat-Mu ke atasnya] menyediakan makan tengah hari untuk kami berdua. Saya tidak ingat apa lauknya, tapi agak istimewa  juga sebagai masakan orang kampung.


Selepas berihat sekejap dan selepas solat Asar, kami terpaksa menggatih basikal ke Kota Bharu, kerana beliau akan meneruskan perjalanan balik ke rumahnya di Kg. Teluk Panji. Saya ikut menemaninya hingga ke Kota Bharu, kemudian selepas itu berbasikal pula balik sendirian ke Kg.Salor.


Selepas itu, saya pula berkunjung ke rumah beliau di Kampung Teluk Panji, dan bertemu dengan keluarga beliau, salah seorang daripada mereka yang sempat saya temui ialah ayahanda beliau. Beliau juga menceritakan sedikit latar belakang keluarganya di masa-masa yang lalu.


Kemudian kami menghadiri, kalau tidak silap saya mesyuarat penubuhan Asmupati yang telah saya lupa di mana tempatnya. Mesyuarat hari itu diadakan pada hari Jumaat. Ia mengambil masa yang agak panjang, hingga waktu solat Jumaat hampir tiba, mesyuarat masih belum juga selesai.


Bila beliau menyedari waktu Jumaat telah masuk, Uthman terus mengangkat tangan mencadangkan supaya mesyuarat ditangguhkan buat sementara waktu untuk membolehkan para perserta Solat Jumaat, kerana masa itu waktu Jumaat telah pun masuk.


Kami pernah berpakat untuk membuat sebuah antologi cerpen. Kalau tidak silap saya, dua puluh buah cerpen, dibahagi sama banyak, sepuluh buah cerpen seorang. Kami memang berjaya menyelesaikan cerpen-cerpen itu dalam masa yang kami tetapkan.


Beliau menjadi juru salinnya. Saya menulis dalam askara rumi, dan disalin semula oleh beliau ke dalam tulisan Jawi, kerana tulisan Jawi saya tidak memuaskan.Tempat kami bekerja ialah selepas sekolah, di bilik bacaan Carnege Libray, Kota Bharu.


Bila semuanya selesai kami kirim antologi cerpen itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dipertimbangkan untuk dicetak. Tapi tidak lama kemudian, antologi itu dipulangkan kembali kepada saya oleh Dewan Bahasa, dan saya telah lupa apakah alasan yang diberikan oleh Dewan ketika itu. Saya berihtahu beliau tentang hal itu, dan beliau tidak mengatakan apa-apa.


Manuskrip itu tidak saya serahkan kembali kepada beliau, dan saya simpan elok-elok dalam laci  berkunci meja tulis saya di rumah ibu di kampung. Bertahun-tahun saya simpan bersama-sama dengan sekumpulan sajak-sajak guntingan dari akhbar, termasuk sebuah sajak saya yang saya sayangi menggambarkan keindahan kampung saya yang ditebritkan oleh Utusan Kanak-kanak.


Ketika saya bekerja di Kota Bharu, di DIAN saya tidak berulang alik ke rumah setiap hari, tapi saya tinggal di Kota Bharu. Oleh sebab terlalu sibuk dengan kerja kadang-kadang seminggu sekali pun saya tidak berpeluang untuk balik ke rumah, kecuali ada urusan penting.


Tiba-tiba pada suatu hari, bila saya balik ke rumah, saya dapati laci meja berkunnci yang mengandungi sedikit barang-barang peribadi saya yang berharga  telah pun diumpil, dan lacinya pun sudah tidak ada lagi, dan yang tinggal hanya meja tanpa laci. Barang-barang saya di dalamnya telah lesap menjadi abu dibakar. Bagaimana kecewanya hati saya tidaklah dapat digambarkan.


Kadang-kadang ketika melihat gambar Uthman El-Muhammady di dada-dada akhbar dan majalah  saya teringatkan antologi cerpen yang kami usahakan itu.


Tapi bila kami berjumpa berkali-kali selepas itu beliau tidak pernah menyebut atau menanyanya, dan saya juga tidak teringat untuk memberitahu tentang perkara tersebut sehingga  beliau meninggal dunia kelmarin.


Waktu saya berada d tingkatan satu, beliau telah berhenti sekolah kerana tamat peperiksasan Senior Cambridge dan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya.


Selepas tamat pengajian universiti, beliau menyertai sebuah pertubuhan dakwah dan tinggal di Kg. Tal Tujuh, Pasir Mas. Saya pernah sekali berkunjung ke rumah beliau di situ, tapi waktu itu beliau tidak ada di rumah.


Sejak itu kami tidak banyak lagi bertemu, kecuali secara kebetulan di tempat-tempat atau di majlis-majlis tertentu.


Pada suatu ketika, kami bertemu di sebuah tokoh buku kepunyaan sahabat kami. Allahyarham M. Amin di Buluh Kubu, Kota Bharu. Pada masa itu beliau sedang menyelesaikan terjemahan kitab suci al-Quran Yusuf Ali. Beliau menaip dengan menggunakan sejenis taip elektrik yang kecil.


Saya ceritakan kepada beliau Allahyarham Ustaz Yusof Zaky [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] juga sedang berusahakan menterjemah tafsir al-Quran Sayid Qutb. Tapi katanya, beliau lebih sukakan terjemahan Yusof Ali yang tenang dalam penyampaiannya.


Beliau juga memberitahu, beliau sedang mencari buku terjemahan al-Quran oleh Pick Hall. Bila saya beritahu saya memiliki terjemahan itu, beliau meminta diberikan kepadanya kalau saya tidak keberatan. Tapi saya tidak menjawab apa-apa, dan terjemahan al-Quran itu tidak pernah saya serahkan kepada beliau dan masih ada lagi dalam simpanan saya sehingga sekarang.


Saya juga teringat, ketika Allahyaramah isteri saya, Asiah Yaacob [ya Allah cucirilah rahmat ke atasnya] mengurus kanten Jabatan Agama Islam, di Kompleks Balai Islam, Kota Bharu, beliau beberapa kali berhenti makan bila beliau pergi ke Majlis Agama Islam Kelantan [MAIK] yang bangunannya terletak bersebelahan sahaja. Beliau pada masa itu adalah salah seorang penulis tetap Pengasuh, majalah yang dikeluar oleh MAIK, sebuah majalah yang telah lanjut usianya tapi masih hidup sampai ke hari ini.


Saya masih ingat pada suatu hari, hari itu hari Khamis, bila saya sampai di kanten itu, beliau sedang minum sendirian di sebuah meja. Saya duduk di sbelahnya selepas bersalaman. Beliau mempelawa saya minum, dan katanya beliau ingin membelanja saya makan, walaupun dia tahu, isteri saya yang berjualan di kanten itu.


Dan memang selepas selesai makan, beliau membayar minuman saya, dan beberapa orang lain lagi yang makan di meja berhampiran dengan meja kami makan itu. Beliau memanggil isteri saya “Mek”, sebuah panggilan umum untuk wanita-wanita Kelantan.
 

Setelah tidak berjumpa sekian lama, beberapa bulan yang lalu, secara kebetulan saya bertemu dengan beliau secara kebetulan di Lapangan Terbang Subang. Pada masa itu saya sedang menunggu-nunggu kesampaian beg saya di pelatar berpusing, tiba-tiba saya melihat beliau sedang berjalan menuju ke pintu keluar dengan membawa sebuah beg. Agak terkebelakang sedikti, ada seorang lelaki yang tidak saya kenali berjalan di sebelahnya. Rupanya dia berada dalam satu penerbagnan dengaan saya dari Pengkalan Chepa tadi.


Saya melangkah ke arah beliau, setelah memberi salam, kami bersalaman. Oleh sebab beliau nampak begitu sibuk, saya pun tidak memperkenalkan diri saya, kerana itu beliau pun tidak berkata apa-apa dan hanya tersenyum. Kalau tidak, beliau tentu akan bercakap juga sepatah dua seperti biasa. Saya percaya beliau masih tertanya-tanya pada waktu itu siapakah saya sebenarnya.


Anak saya Arhman Zaini yang menunggu kesampaian saya di luar kawasan masuk untuk berlepas turut bersalaman dengan beliau, bila dia melihat saya bersalam dengannya. Katanya dia cam orang itu salah seorang daripada sahabat saya.


Itulah pertemuan saya yang terakhir dengan beliau sehinggalah saya mendengar kabar kematiannya pada malam 26 Mac 2013 kelmarin kerana sakit jantung. Beliau meninggal dalam usia 70 tahun di kediamannya di Kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa [ISTAC].


Semasa hayatnya beliau adalah Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia dari tahun 1995 hingga tahun 2000, dan dilantik semula ke jawatan tersebeut pada tahun 2010. Beliau juga Felo Amat Utama Akademik ISTAC, UIA.


Beliau bertugas sebagai Pensyarah Sambilan peringakt Ijizah Sarjana dalam perbandingan agama Universiti Teknologi Mara [UiTM].


Di samping itu, beliau adalah salah seorang anggota Pemegang amanah Yayasan Karyawan.


Uthman El-Muhammady adalah mantan Profesor Adjung Pengajian Islam Universiti Petronas.


Beliau telah ditabal menjadi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2005 [1426 Hijriah].


Demikianlah perginya seorang cendekiawan Islam meninggalkan seorang balu Mariam Hussin, 65 tahun, serta 12 orang anak berusia antara 30 hingga 45  tahun.


Beliau meninggalkan jejak-jejak bertapak sebagai seorang cendekiawan Islam yang banyak memberi sumbangan buah fikiran dan penulisan yang berkaitan Islam dan ketamadunan Islam menerusi ceramah-ceramah, tulisan-tulisan di dada-dada akhbar,majalah-majalah dan buku-buku, termasuk buku-buku terjemahan daripada bahasa Arab dan Inggeris ke bahasa Melayu.


Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan UIAM, Gombak. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.


Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang bekas Profesor Universiti Malaya yang pernah berkata kepada kami dalam satu pertemuan di Kota Bharu, ketika itu Uthman masih lagi berada di kampus UM, antara lain katanya, “Kalau Uthman itu pandai berpidato seperti Anuar Ibrahim, dia juga akan menjadi seorang pemidato yang handal”.


Sekian.







Read more...

APA BEZA ANTARA UMNO DAN PAS

>> Monday, March 25, 2013




UMNO DAN PAS, APA BEZANYA?

Tulisan ini adalah getusan daripada risalah  Setiausaha PAS Kawasan Tumpat Kelantan [tanpa nama].

Ia ditulis dalam bentuk soal jawab dan bertarikh pada 21 April 1985.

Tulisan ini asalnya berjodol "Soal Jawab Beberapa Persoalan UMNO-PAS di Masa Kini", dan diedarkan kepada orang ramai.

Sekian. 


1.Soalan


Apakah tujuan kita mengundi dalam pilihanraya memilih wakil rakyat melalui parti?

Jawab:

Tujuannya untuk membolehkan menjadi Ahli Mesyuarat serta dapat membuat atau melaksanakan bagi memerintah negeri atau negara. Mengundi inilah boleh kita katakan dengan perkataan memilih wakil parti untuk menjadi kerajaan.

Sekiranya parti yang bedasarkan Islam dapat berkuasa, maka dia memerintah mengikut undang-undang Islam, dan sekiranya parti yang tidak berdasarkan Islam, maka dia memerintah mengikut dasar yang ia pegang [dasar bukan Islam].

Selain dari itu, seseorang yang mengundi adalah ia telah menggunakan haknya sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab kepada ugama dan negara, dan bagi orang yang tidak mengundi ianya adalah tidak bertanggungjawab kepada ugama dan negara, juga kepada dirinya sendiri.

2. Soal :

Apakah kita mengundi pun dikira dengan Islam [ugama]?

Jawab:

Bagi orang-orang Islam wajib dikira dengan Islam [Hukum Islam] kerana dalam Islam sebarang pekerjaan tidak boleh lari hukum-hukum yang lima:-

1.Wajib

2.Sunat

3.Haram

4.Harus

5.Makruh.

Kalau anda tidak mahu kira dengan Islam dalam sebarang perkara, maka anda sudah berfikir dengan cara tidak Islam, maka layakkah anda dikira sebagai seorang bukan Islam.

3.Soal


Bagaimana orang-orang alim yang mati sebelum ada parti PAS dan tidak sempat berjuang dalam PAS berdosakan mereka ini?

Jawab:

Misalnya, kata seseorang itu ia meninggal dunia sebelum masuknya waktu Zohor, apakah ia menanggung sembahayang fardu Zohor itu?

Sekarang kita tidak mahu membicarakan orang-orang yang sudah mati, apa yang kita mahu ialah orang Islam yang masih hidup ini supaya menerima Islam dalam semua perkara dengan tidak syak dan ragu-ragu. Jadi soalan seperti ini tidak patut ditimbulkan.

4.Soal:

Apakah betul orang-orang PAS ini selalu memutar belitkan ayat Quran seperti yang dikatakan oleh setengah-setengah pemimpin UMNO?

Jawab

Dalam enam ribu enam ratus enam puluh enam ayat Quran itu tolong tunjukkan ayat mana dan dalam surah mana yang dikatakan diputar belit oleh orang PAS?

Jangan pandai berkata tetapi tidak pandai menunjuk, nanti jadi burung tiong atau burung kakak tua yang pandai berkata-kata tapi tidak pandai menunjuk.

5.Soal:

Apakah betul dalam kita menentu [memilih politik] ini termasuk di dalam kita ijtihad, kalau betul dapat dua pahala dan kalau sekiranya salah dapat juga satu pahala?

Jawab:

Ini memilih dan bukannya ijtihad. Lagipun mengikut dalam sejarah  orang dulu-dulu berijtihad mengikut lunas-lunas Quran, tidak ijtihad untuk menolak Quran.

6.Soal:

Bagaimana undang-undang Islam nak dilaksanakan dalam negara ini sedangkan rakyat tidak pandai berbahasa Arab?

Jawab:

Persoalan anda ini semata-mata untuk menolak Islam setengah dan menerima setengah, sebab kalau hujah ini nak dipakai, mengapakah undang-undang berbahasa Ingeris boleh dipakai, sedangkan rakyat dalam negara ini tidak semua pandai bahasa itu [orang puteh]. Dengan ini tidak boleh menjadi hujah.

7.Soal:

Apakah perbezaan di antara menghukum dengan menerang sesuatu itu kepada orang?

Jawab:

Menghukum ertinya menetap. Adapun menghukum ertinya menentu. Ada pun menerang ertinya menjelas [penjelasan].

8.Soal:

Apakah boleh kita menetapkan kepada seseorang itu begitu atau begini, umpamanya tetapkan ke atas seseorang atau golongan itu kafir?

Jawab:

Menetap atau menentu memang tidak hak kita [Tidak Boleh]. Perkara menentu atau menetap itu adalah hak mutlak Allah S.W.T.

Ada pun menerang sesuatu atau menjelaskan sesuatu itu memang boleh, bahkan diwajibkan bagi orang-orang yang tahu dan mengerti, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara mengenai akidah Islam.

Nabi kita bersabda, “Ballighu Anni walau ayah”, ertinya hendaklah kamu sampaikan dariku walaupun satu ayat”.

9.Soal:

Saya melihat kedua-dua parti, iaitu UMNO dan PAS sama-sama berjuang dengan sungguh-sungguh untuk mempertahankan perjuangan masing-masing. Jadi ini apakah tujuan yang sebenarnya?

Jawab:

Parti PAS ini berjuang dengan semangat al-Quran [Islam] untuk menegakkan undang-undang  syariat Islam di dalam pemerintahan negara.

Parti UMNO pula berjuang untuk mempertahankan perlembagaan [berjuang dengan semangat perlembagaan [undang-undang barat].

10.Soal:

Apakah betul untuk perpaduan semua kaum dalam negara ini cukup dengan undang-undang yang ada [perlembagaan]?

Jawab:

Undang-undang yang dipertahankan oleh orang-orang UMNO ialah untuk perpaduan semua kaum dan semua agama, tapi hukum-hukum yang dipegangkan oleh orang-orang PAS untuk perpaduan umat Islam.
Islam ini sendiri [orang Islam] belum wujud perpaduan yang sejati, bagaimana nak diujudkan perpaduan pada semua kaum yang ada dalam negara ii. Undang-undang Barat ini sudah 30 tahun bahkan lebih tetapi tidak pernah berjaya, ini jawabnya tidak cukup.

11,Soal:

Salahkah kalau saya berkata parti PAS ini fahaman politiknya sempit dan perkauman?

Jawab:

Politik PAS ini berdasarkan kepada Islam dan Islam sudah tentunya luas dan sempurna.

Dan kalau parti yang tidak berdasarkan kepada Islam itu sungguhnya sempit dan perkauman.

Oleh itu perkataan sempit kepada parti PAS itu samalah juga anda berkata Islam itu sempit. Sebab apa yang dipegang oleh PAS itu ialah Islam, jadi fikirlah sendiri salah atau tidak terhadap Islam.

12.Soal:

Mengapakah baru selepas merdeka timbul wajib bagi orang-orang Islam berjuang dan memilih parti Islam, pada hal sebelum ini tidak timbul?

Jawab:

Orang-orang Islam [rakyat] sebelum merdeka tidak berhak memilih kerajaan kerana pada masa itu kerajaan dipilih dan dilantik oleh Tuanku Al-Sultan untuk mewakili baginda memerintah negeri.

Jadi persoalan ini tidaklah patut ditimbulkan kalau anda boleh mengerti cara-cara wujudnya sesebuah kerajaan sebelum merdeka dengan sesudah merdeka.

13.Soal:

Adakah boleh seseorang itu menghukum kepada seseorang atau golongan, umpamanya ia berkata kafir, zalim, fasik dan seumpamanya?

Jawab:

Menghukum tidak dibolehkan tetapi kalau kita menerang atau memberitahu hukum-hukum Allah memang boleh bahkan disuruh kita berbuat begitu.

14.Soal

Mengapakah orang-orang PAS selalu menuduh orang-orang UMNO kafir?

Orang PAS tidak pernah menuduh orang-orang UMNO kafir, tapi orang PAS mengata kafir kepada orang yang jadi murtad, sebagaimana di bawah ini:-

Terkeluarlah dari Islam sesiapa sahaja yang rosak salah satu daripada tiga perkara, iaitu:

1]Rosaknya iktikad

2]Rosaknya perbuatan

3]Rosaknya perkataan

Keterangan hukum seperti ini sudah lama, iaitu bermula dari zaman Nabi kita Muhammad SAW. yang mana Baginda mengajak orang-orang Arab pada masa itu kembali kepada Allah yang satu serta taat kepada-Nya di dalam semua perkara.

15.Soal

Bilakah bermulanya perpecahan yang berlaku sekarang di negeri kita ini?

Jawab:

Pecah belah yang dikatakan itu berlaku di negeri ini [Kelantan] bermula apabila kuasa pemerintahan bertukar kepada UMNO [Barisan Nasional] bermula pada tahun 1978 setelah berlakunya, atau dilakukan satu jenis darurat dan selepas itu tidak beberapa hari diadakan pilihanraya bagi negeri Kelantan sahaja.

Punca yang sebenarnya ialah apabila pehak yang berkuasa UMNO mulai bertindak mengenepikan segala hak yang sepatutnya oleh rakyat, tetapi tidak diberi kepada sebahagian rakyat.

Umpamanya subsidi baja padi dan ain-lain subsidi dari kerajaan, terlebih dahulu ditanya mengenai politik parti mana yang orang itu menyokong, kalau jawabnya menyokong parti Islam, maka tidak akan dapat segala bantuan. Tapi kepada orang-orang yang bukan Islam tidak payah ditanya dan diberi terus.

16.Soal:

Ada orang mengata parti PAS ini tidak sesuai dengan keadaan yang ujud dalam negara kita, seperti rakyat berbilang keturunan dan menganut berbagai ugama ini bagaimana?

Jawab
 
Sebab itu perjuangan parti PAS ini mahu kepada kuasa pemerintahan negara untuk mengadili kepada rakyat semua kaum dan keturunan. Ugama Islam tidak memaksa tetapi memberi keamanan dan keadilan.

Sayang kebanyakan orang tidak mengenal Islam dengan secara keseluruhan. Saya yakin dan percaya kalau orang-orang dapat mengenal Islam ini secara keseluruhan maka manusia itu tidak akan menerima perjuangan selain dari perjuangan Islam [Parti Islam].

17.Soal:

Mengapa parti PAS menerima sistem pilahnraya di negeri kita sekarang, pada halnya sistem ini bukan sistem Islam?

Jawab:
Perjuangan untuk mendapat kuasa ialah satu kewajipan dalam Islam. Mengikut saluran yang ujud sekarang untuk mendapat kuasa pemerintahan itu hanya dengan melalui piihanraya. Maka berlaku hukum wasilah [yakni jalan untuk mendapat sesuatu] bagi tujuan perjuangan selama ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan itu.

18.Soal:

Ada pemimpin UMNO mengatakan orang-orang PAS pun menerima wang gaji  dengan kerajaan ini bagaimana?

Jawab:

Wang gaji yang diterima oleh seseorang itu adalah imbangan [upahan] daripada kerja-kerja yang telah dibuat dan itu adalah satu keharusan dalam Islam. Kalau seseorang Islam menerima upahan dripada seorang majikan Yahudi pun dilulus oleh ugama kita [Islam], maka tidak patut timbul soalan seperti ini.

19.Soal:

Apakah betul Quran itu bukan perlembagaan seperti yang dikatakan oleh sesetengah pemimpin parti UMNO di tempat kita ini?

Jawab:

Yang dikatakan perlembagaan ialah pokok atau perdu undang-undang. Dalam pengertian mana undang-undang atau peraturan atau sebagainya bahawa yang dibuat kemudian lalu bertentangan dengan perlembagaaan dikira tidak sah dan ia tidak boleh dilakasanakan.

Maka bertepatanlah dengan kehendak al-Quran bahawa mana-mana undang-undang atau peraturan yang bersalahan dengan hukumnya, maka undang-undang atau peraturan itu tidaklah boleh dilaksanakan.

Jadi al-Quran itu ianya adalah perlembagaan hidup manusia yang akan dipedoman dan dipatuhi oleh orang-orang yang beriman sepanjang ayat.

20.Soal:

Apakah ada atau tidak ada politik yang tidak boleh campur dengan Islam [Ugama suku politik suku]?

Jawab:

Memang ada politik yang tidak boleh campur dengan ugama,  iaitu politik suku ugama suku. Politik ini ialah yang dipegang oleh orang-orang bukan ugama Islam dan juga ada dipegang oleh orang-orang atau badan politik yang tidak berdasarkan Islam [sekular].

Padahalnya ajaran Islam itu adalah mencukupi seluruh bidang kehidupan manusia, termasuklah hal-hal mengenai pemerintahan negara. Tetapi bagi orang-orang yang tidak penuh keyakinan mereka terhadap Islam maka timbul di dalam pemikiran mereka berbgai-bagai alasan untuk menolak fahaman politik tidak boleh dipisahkan dengan ugama [Islam].

“Katanya lagi” ugama bersih dan politik kotor, tentu tidak boleh campur barang yang bersih dengan barang yang kotor. Saya berani berkata di sini, inilah suatu tafsir harga murah namanya.

21.Soal:

Mengikut sesetengah pemimpin UMNO berkata perlembagaan UMNO tidak ada bercanggah dengan Islam, dan kalau ada bercanggah cuba tunjuk di mana dan bagaimana?

Jawab:

Jika dipandang pada lahir memang tidak ada bertentangan dengan Islam. Tetapi dalam hal ini saya katakan bahawa tidak bercanggah sesuatu itu bukan bermakna betul. Seperti seseorang tidak melanggar larangan Tuhan tapi dia juga tidak betul kerana tidak membuat suruhan itu adalah ianya sudah melanggar perintah Allah S.W.T.

22.Soal:

Apakah betul parti PAS ini mejadi pemecah belah umat Islam dalam negara ini?

Jawab:

Parti PAS mengajak umat Islam bersatu mengikut cara-cara Islam dalam semua bidang kehidupan.

Adapun yang menjadi pecah belah umat Islam dalam negara kita ini ialah kerana ada golonan parti [UMNO] tidak mahu melaksanakan hukum Islam dalam sistem pemerintahan negara.

Golongan parti Islam [PAS]  mahu hukum-huikum Islam dilaksanakan dalam pemerintahan negara yang dikuasai oleh UMNO  lebih kurang 30 tahun sehingga hari ini.

Kerana pehak PAS yakin dan percaya hanya dengan Islam sahajalah yang dapat menyatupadukan seluruh umat, bukan sahaja umat Islam bahkan seluruh manusia yang berakal.

23.Soal:

Apakah betul parti PAS menjadikan  agama sebagai alat untuk mendapat kursi dalam pilihanraya?

Jawab:

Perjuangan parti PAS adalah berdasarkan kepada Islam adalah sangat wajar sekiranya orang PAS menjaga ayat-ayat Quran dan Hadis-hadis Nabi untk menyatukan orang-orang Islam kepada partinya.

Sekiranya parti yang tidak berdasarkan Islam seperti UMNO dan dia bercakap menggunakan Islam selalu menggunakan ayat-ayat Quran, padahalnya dia tidak melaksanakan hukum-hukum Islam maka parti seperti inilah yang membuat alat  kepada agama [Islam] untuk mendapat kursi [kuasa] dengan melalui pilihanraya.

24.Soal:

Apakah betul dalam majlis parti politik kita tidak boleh bertakbir?

Jawab:

Takbir itu ialah mengingatkan Allah serta membesarkan Allah S.W.T. Dan agama kita menyuruh kita mengingtkan kepada Allah di waktu siang dan di waktu malam.

Sila rujuk al-Quran:

1.Surah Al-Imran ayat 91

2.Surah al-Muddatsir ayat 3

Lagi pula di dalam undang-undang tubuh parti PAS itu  sendiri bab yang kedua fasal [4] ada menyebut seruan PAS ialah Allahu Akbar dan bukan menepok tangan seperti yang diamalkan oleh orang-orang bukan Islam.

25.Soal:

Adakah betul mana-mana parti serupa belaka, iaitu sama-sama nak makan gaji?

Jawab:

Tidak serupa kalau serupa tentu ia tidak berlawan, umpama orang sembahayang dengan tidak pakai uduk tidak sama dengan sembahayang memakai uduk [ air sembahayang]. Nampak zahirnya sama tetapi hakiktnya sangat jauh bezanya.

Kalau parti Islam [PAS] perlakasanaan pemerintahannya mengikut dasar partinya, iaitu Islam dan kalau parti UMNO pula ia mengikut dasar partinya, iaitu dasar kebangsaan [bukan Islam].

26.Soal:

Tidakkah parti UMNO itu mahu juga kepada Islam seperti penerapan niai-nilai Islam?

1.Universiti Islam       

2.Bank Islam

3.Insuran Islam dan lain-lain sebagainya

Jawab:

Kita tidak menafikan yang orang-orang UMNO itu mahu juga kepada Islam tetapi yang menjadi persoalannya ialah asas pemerintahan itu hendaklah Islam. Kalaulah cakap sahaja mahu kepada Islam tetapi dasar partinya tidak Islam, samalah ibarat seorang yang menanam benihnya jagung diharap berbuahkan kacang.

27.Soal:

Parti PAS memerintah negeri Kelantan selama 18 tahun mengapa tidak memerintah secara Islam?

Jawab:

Yang sebenarnya parti PAS dapat memerintah negeri Kelantan lebih kurang 15 tahun dan bukannya 18 tahun. Sebagai jawabnya, kuasa yang ada di pehak krajaan negeri tidak boleh mengatasi kuasa kerajaan pusat.

Jika sekiranya didapati undang-undang kerajaan negeri bercanggah dengan undang-undang kerajaan pusat, maka pada ketika itu undang-undang kerajaan itu terbatal sendiri tidak boleh dilaksanakan.

28.Soal:

Manakah politik yang betul dengan Islam, dalam parti  politik UMNO juga ada orang-orang alim?

Jawab:

Parti politik yang betul dengan Islam ialah parti yang berdasarkan mengikut Quran dan Hadis Nabi SA.W.

Ada pun orang alim banyak macam, oleh kerana itu tidak semua orang alim mesti kita ikut, kecuali orang alim yang mengajak kita kepada dasar hidup mengikut Quran dan Hadis Nabi SAW.

29.Soal:

Kalau Parti PAS itu baik bagi orang-orang Islam, mengapakah tidak semua orang-orang Islam masuk dan menyokong Parti PAS?

Jawab:

Sebelum saya menjawab soalan ini, ingin saya kemukakan soalan untuk difikirkan, iaitu Islam ini dicipta oleh Allah S.W.T. untuk semua makhluk, terutamanya makhluk manusia, tetapi tidak semuanya memeluk ugama Islam. Maka samalah juga dengan Parti PAS ini walaupun ditubuhnya untuk umat Islam, tetapi ternyata tidak semua umat yang mengaku dirinya Islam memasuki parti Islam [PAS], bahkan orang yang mengaku dirinya Islam itu juga yang menentang perjuangan Islam.

Inilah yang dikatakan oleh Syikh Muhammad Abduh, seorang mufti besar negara Mesir, dengan perkataan ”Al Islamu Mahjjubuh Bilmuslimin”, ertinya Islam ini ditutup dan disembunyikan oleh orang-orang Islam sendiri. Inilah yang menyedihkan kita orang Islam yang mahukan kepada hukum-hukum Islam ini dilaksanakan sepenuhnya dalam pemerintahan negara.



Parti politik Islam [PAS] ini sepatutunya menjadi kepunyaan bagi semua orang-orang Islam Melayu, orang-orang Islam China, orang-orang Islam India, dan semua orang yang menganut Islam sebagai “Addinu Waddaualah” [Ugama yang menunjukkan seluruh cara hidup].

30.Soal:

Bagaimana boleh terjadi sembahayang dua imam yang berlaku di negeri ini?

Jawab:

Perkataan sembahayang dua imam ini tidak betul dan ini boleh jadi keliru sehingga boleh jadi fitnah kepada umat Islam.

Yang sebenarnya apa yang berlaku ialah sembahayang berlainan imam dan bukannya dua imam seperti yang diistilahkan oleh orang-orang UMNO.

Dalam Islam itu sendiri tidak pernah berlaku sembahayang dua imam.

Kalaupun berlaku sembahayang lain imam tidaklah menjadi pelek atau heran kerana dalam jumaah perjuangan untuk Islam sudah berpecah.

30.Soal:

Apakah betul di dalam perlembagaan UMNO itu ada menyebut syarat-syarat bagi keahlian hanya ialah orang Melayu dan Bumiputera. Dan apakah pula syarat-syaratnya untuk menjadi ahli parti PAS?

Jawab:

Syarat-syarat untuk menjadi ahli UMNO yang disebut oleh anda itu betul.

Adapun syarat-syarat untuk menjadi ahli PAS itu ialah seorang Islam dan sudah masuk akil baligh.

Dengan ini bermakna semua bangsa boleh masuk menjadi ahli PAS asalkan orang itu Islam. Tetapi parti UMNO tidak boleh masuk menjadi ahli walaupun seorang Islam kalau dianya tidak Bumiputra.

Buat akhirnya saya mengajak saudara dan saudari Muslimin dan Muslimat marilah kita sama-sama mengajak diri kita supaya rajin dan minat membaca serta mengambil faham dan membuat pertimbangan jujur  serta ikhlas kerana setiap amalan kita [Perbuatan, perkataan dan niat] tidak ketinggalan semuanya dikira oleh Allah S.W.T.

Sekian Inssa Allah kita akan berjumpa lagi.









Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP