Orang Besar yang istimewa
>> Wednesday, January 30, 2013
Gajah [Elephas maximus] adalah haiwan yang paling besar
daripada ribuan haiwan daratan. Justeru ia boleh dianggap sejenis haiwan
raksaksa. Kerana besarnya gajah itu, maka diperpatahkan orang tua kita, “Gajah
mati meninggalkan tulang”,dan “Bangkai gajah mana boleh ditutup dengan nyiru”.
Gajah sejenis binatang yang istimewa, ia gagah dan kuat, mempunyai ingatan yang luar biasa, bijaksana dan memiliki sifat-sifat jasmaniah yang menarik.
Seperti sesetengah haiwan
yang lain juga, gajah mempunyai nama jolokannya yang tersendiri. Di kalangan
penduduk-penduduk di pendalaman gajah dikenali dengan gelaran “Orang Besar”.
Pemberian nama-nama gelaran kepada haiwan-haiwan seperti itu biasanya ada pertalian
dengan kepercayaan bahawa binatang-binatang bisa atau merbahaya itu tidak boleh
disebut namanya secara langsung, terutama pada waktu malam, kerana itu ular dipanggil “cewer”, dan harimau dipanggil “pak
belang”, tikus dipanggil “cik siti”, takut-takut sebutan nama itu memberi erti
menyeru atau memanggil binatang-binatang itu supaya datang.
Surah
Al-Fil: Dalam kitab suci al-Quran terdapat sebuah surah yang
berhubung dengan gajah. Allah S.W.T. menceritakan dalam Surah “Al-Fil” [Gajah]
tentang seorang pengganas yang bernama Abrahah, Gabenor Yaman yang hendak
menyerang dan menghancurkan rumah suci Allah, Kaabah. Tapi sebelum pasukan
pengganas itu berjaya memasuki kota Mekah, Allah telah mengirim burung-burung
yang menyerang tentera-tentera pengganas itu dengan melempari mereka dengan
batu-batu kecil yang menyebabkan mereka binasa dalam keadaan yang ngeri.
Ayat itu sepenuhnya
bermaksud:
1.“Tidakkah
engkau [Muhammad] perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan
bergajah
2,Bukankah
Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?
3.dan
Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong
4.yang
melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar
5.sehingga
mereka dijadikan-Nya seperti daun-daun yang dimakan [ulat]”. Al-Afil: 1.5
Berbagai-bagai
Budaya: Gajah juga terdapat dalam berbagai-bagai budaya dunia
yang dihubungkaitkan dengan berbagai-bagai tahyul, legenda dan kepercayaan. Ada
juga gajah itu dikaitkan dengan sejarah sesebuah kerajaan atau pemerintahan.
Dalam kisah ini, gajah dikatakan dapat memilih seorang bakal raja pemerintah
dari kalangan rakyat jelata, terutama yang masih kanak-kanak, jika pada waktu itu tidak ada pewaris takhta kerajaan
yang sah yang layak menaiki takhta nanti.
Dalam kepercayaan agama
Hindu, terdapat gajah yang bermuka dewa Ganesha yang mereka puja dan sembah.
Gajah
Putih: Gajah putih adalah sejenis gajah yang amat istimewa
kedudukannya. Untuk memeliharnya pula tidak mudah dan memerlukan perbelanjaan
yang amat besar.
Sesetengah suku kaum di
negara Thailand dan Burma [Myamar]. pula menyembah gajah putih, kerana mereka
percaya gajah putih mempunyai pertalian
tertentu dengan dewa-dewa yang mereka sembah.
Dalam cerita-cerita dari
Thailand terdapat sebuah kisah yang menyatakan bila seseorang raja bencikan
seseorang dan ingin membinasakannya, maka dikurniakan kepada orang itu gajah
putih yang memerlukan perbelanjaan yang amat besar untuk memelihara dan
menjaganya yang boleh menyebabkan orang itu terbinasa pada akhirnya.
Maka orang-orang tua kita
memperpatahkannya dengan kata-kata, “Seperti gajah putih ditambat”.
Gajah
Mencari Kubur: Menurut kepercayaan umum, seekor gajah yang hendak
mati, akan memasuki ke kawasan perkuburan komunal mereka, untuk menunggu
kematian di situ. Tapi sampai ke hari ini, para penyiasat masih belum menemui
kubur gajah yang mati beramai-ramai di sesuatu tempat seperti kepercayaan
tersebut.
Hidung
Panjang: Gajah adalah satu-satunya haiwan yang mempunyai hidung
yang bukan sahaja panjang, malah paling panjang, dipanggil belalai yang
digunakan untuk memegang sesuatu, seumpama tangan, seperti untuk menyuap
makanan ke mulut atau menganggkat benda-benda yang ringan dan berat, seperti
sebiji kacang atau sebatang kayu balak yang beratnya 270 kilogram.
Di hujung hidung atau
belalai gajah itu dilengkapkan dengan
saraf yang amat sensitif, yang dapat mengecami bentuk sesuatu benda, kasar atau
licin dan panas atau sejuk. Dengan belalai juga gajah membelai kekasih dan
anak-anaknya sebagai tanda kasih dan sayang.
Kulit: Sebagimana diketahui umum, gajah mempunyai kulit yang tebal, iaitu 2.5
sentimeter [1 inci].
Namun begitu gajah
mempunyai sistem pemanas badan yang lemah, oleh itu andainya sukatan suhu alam
turun ke tahap hampir beku, gajah akan mengalami sakit perut kerana kesejukan.
Telinga
Besar: Gajah Afrika mempunyai telinga yang besar yang
digunakan untuk melaburkan kepanasan pada keseluruhan badannnya yang besar itu,
dan di samping itu telinga yang besar itu juga digunakan sebagai kipas untuk
mengipas-ngipas badannya supaya dingin ketika cuaca panas.
Bunyi
Gajah: Gajah dapat mengeluarkan bunyi “berdaum” dan bunyi ini
keluar dari dalam perutnya. Ia dipercayai kerana makan terlalu banyak
tumbuh-tumbuhan. Namun begitu, mengikut pengamatan, gajah dapat mengawal suara daumannya itu. Justeru bila seekor gajah
dalam sesuatu kumpulan mendengar kemunculan bahaya, maka gajah itu pun akan
berhenti berdaum yang diterima sebagai amaran kepada gajah-gajah yang lain lagi
supaya diam dan bersiap siaga untuk menyambut ketibaan musuh bila-bila masa
sahaja.
Gading:
Raksaksa daratan ini dilengkapkan dengan sepasang gading yang
kuat dan amat berguna kepadanya. Biasanya panjang gading itu ialah 2 meter dan
beratnya kira-kira 140 kilogram.
Gading inilah digunakan
sebagai senjata bila meletus perkelahian antara seekor gajah dengan gajah yang
lain. Dan gading ini juga digunakan sebagai penggali untuk menggorek lubang-lubang
bila takungan air kering dalam musim kemarau untuk mencari air.
Di samping gadingnya
berguna untuk menjaga kepentingan gajah, tapi dengan gading ini jugalah gajah
meraih petaka dan bencana, kerana gading inilah manusia dari sejak dahulu
hingga sekarang, berebut-rebut memburu dan membunuh gajah untuk mengambl
gadingnya. Sehingga dipepatahkan oleh orang-orang tua “Gajah mati kerana
gadingnya”.
Kuat
Ingatan: Menurut penyiasatan, seperti kebanyakan binatang-binatang
yang lain juga, gajah mempunyai ingatan yang kuat. Oleh itu ia dapat mengingati
dengan lama wajah seseorang yang pernah menyakiti atau mencederakannya.
Ketika tinggal di Lebir,
sebuah kampung pendalaman Gua Musang, saya mendengar berbagai-bagai kisah
menarik berhubung dengan kecerdikan sang gajah yang didakwa cerita yang benar
oleh penceritanya kerana mereka terlibat sama di dalam peristiwa tersebut.
Suatu hari seorang
daripada peneroka itu amat marah bila melihat anak-anak getahnya yang sedang
membesar telah dimusnahkan oleh gajah. Di situ juga dia mengutuk, memaki hamun
dan mencabar gajah-gajah itu supaya keluar berlawan dengannya.
Pada waktu itu para
peneroka tinggal di rumah panjang, termasuklah peneroka tadi. Dia juga membuka
kedai runcit di tempat dia tinggal itu.
Tiba-tiba pada malam itu
datang sekumpulan beberapa ekor gajah menyerang rumahnya, merosakbinasakan
barang-barangnya, termasuklah barang-barang runcit yang dijualnya. Gajah-gajah yang
naik minyak itu menelan botol-botol kicap dan budu di samping memusnahakn barang-barang
lain.
Nasib baik dia dan
keluarga, sempat lari menyelamatkan diri. Yang menjadi tandatanya, bagaimana
gajah-gajah itu dapat mencari rumah peneroka tersebut daripada sederet rumah
panjang itu, dan gajah-gajah itu tidak pula sedikit pun menyentuh rumah-rumah orang
lain, walaupun terletak di sebelah menyebelah rumah orang itu. Setelah
bermaharajalela beberapa ketika, gajah itu pun berundur diri.
Usia
Gajah: Sejauh yang diketahui,
gajah mempunyai usia yang paling lanjut, kadang-kadang menjangkau usia
lebih dari 70 tahun, seperti Gajah Afrika.
Bantu
Manusia: Sejak zaman berzaman lagi, haiwan raksaksa ini telah
dipergunakan untuk membantu manusia dalam menjalankan pekerjaan-pekerjaan yang
berat, seperti untuk menganggkut dan mengeluarkan balak-balak dari dalam
hutan-hutan, terutama sekali di India, Sri Lanka, Burma dan Thailand, yang
sampai hari ini pun dipercayai masih lagi menggunakan tenaga gajah untuk
menjalankan pekerjaan-pekerjaan tersebut.
Masa
Perang: Dalam masa Perang Dunia II dahulu, gajah-gajah telah
dipergunakan untuk menganggkut alat-alat senjata melalui kawasan-kawasan hutan
di Burma dan India.
Mengikut catatan sejarah
juga, seorang jeneral di zaman purbakala, Carthage, iaitu Hannibal membawa
pasukan gajah melintasi gunung Alps dan menakluki Itali.
Gajah
Sirkas: Selain daripada menjalankan kerja-kerja berat, gajah
juga dipergunakan sebagai bahan penghibur, untuk pertunjukkan di dalam
sirkas-sirkas, kerana gajah dapat menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang luar
biasa, seperti menari, bermain bola tampar, meletakkan kakinya yang berat di
atas badan manusia tanpa mencederakannya, dan baring sambil begolek-golek
seperti yang dilakukan oleh manusia.
Lemah: Sungguh pun gajah itu termasuk dalam golongan haiwan yang cerdik dan
perkasa, tapi ia mempunyai daya cium, daya lihat dan saya dengar yang sangat
lemah jika dibandingkan dengan tubuhnya
yang besar itu.
Gajah
Dunia: Pada masa-masa yang lalu jumlah gajah di seluruh dunia
amatlah banyak, bertaburan di sana sini. Tapi mengikut kajian, pada hari ini
bilangannya amat merosot sekali, antara sebabnya kerana gajah selalu terdedah
kepada ancaman pemburu-pemburu yang amat berminat untuk merampas
gading-gadingnya yang amat berharga kepada manusia, terutama sekali untuk
dijadikan perhiasan dan hulu senjata.
Pada hari ini, hanya
terdapat dua jenis gajah sahaja yang didapati banyak jumlahnya di dunia ini,
iaitu Gajah India dan Gajah Asia yang terdapat di Tenggara Asia, dan Gajah
Afrika yang terdapat di kebanyakan tempat di benua itu dan juga di Selatan
Padang Pasir Sahara.
Jenis
Gajah: Gajah Afrika lebih besar dari Gajah India, dan
kadang-kadang ada yang besarnya sampai 3.6 meter jika diukur pada bahagian baunya.
Gajah inilah yang biasa kita lihat di zoo-zoo dan juga di dalam sirkas-sirkas.
Selain daripada perbezaan
ukuran saisnya, Gajah India mempunyai telinga yang lebih kecil, dan
mempunyai empat jari pada kaki belakangnya, bukannya tiga jari seperti
kebanyakan gajah.
Undang-undang: Untuk mengatasi daripada ancaman kepupupusan gajah di dunia ini, sesetengah
negara memperlindunginya dengan undang-undang khusus yang melarang keras
sebarang penangkapan, pembunuhan dan pemeliharan gajah tanpa mendapat kebenaran
yang khusus daripada pehak yang berwajib. Tanpa sebarang tindakan yang
tegas, suatu masa nanti, kita mungkin tidak dapat melihat gajah lagi, kecuali
di dalam zoo-zoo sahaja, itu pun dengan jumlah yang amat terbatas.