Red Warrior Kena Godam

>> Saturday, June 30, 2012


RED WARRIOR KENA GODAM..



Sebenarnya saya bukan peminat bola. Saya hampir tidak pernah pergi ke stadium atau ke padang bola untuk menonton perlawanan bola, kecuali semasa saya kanak-kanak dahulu.



Kali akhir saya menonton bola ialah bersama dengan Datok Yusuf Zaky Yacob dalam tahun 1970-an di Stadium Sultan Muhammad IV untuk menonton perlawanan pasukan tempatan. Bersama kami ada seorang lagi yang telah saya lupa siapa. Saya rasa itulah satu-satunya perlawanan bola yang pernah beliau tonton di mana-mana stadium.



Ketika siaran bola dipancar secara langsung menerusi siaran radio, saya juga tidak mendengarnya, walaupun pendengar-pendengar yang mengikuti sesuatu perlawanan itu bersorak-sorak. Masa itu nama pemain bola yang terkenal ialah Awang Bakar.



Demikian juga ketika perlawanan bola disiar secara live atau langsung menerusi kaca tv saya juga hampir tidak pernah menontonnya, baik siaran perlawanan luar negara atau dalam negara.



Saya tidak tahu kenapa saya tidak sukakan perlawanan bola, kecuali semasa saya kanak-kanak, belajar di sekolah rendah dahulu.



Tapi sejak kebelakangan ini, bila pasukan Kelantan menjulang harum dalam persada permainan bola tanah iar, kadang-kadang saya curi-curi juga menonton sesuatu perlawanan. Tapi saya tidak pernah menonton sepenuhnya dari awal hingga akhir sesuatu perlawanan itu. Saya hanya menontoton sekejap-kejap saja, bila suara cucu saya kedengaran “bertempek” ketika menonton sesuatu perlawanan, maka saya pun meninggalkan kerja saya dan pergi menonton sekejap sambil berdiri bersama mereka di hadapan tv. Untuk kira-kira selama lima minit saya pun beredar dari kaca tv.



Walau bagaimana pun keputusan sesuatu perlawanan itu, dan perkara-perkara penting yang berlaku, seperti pemain-pemian Kelantan yang tercedera akan dimaklumkan oleh cucu saya, Nik Muhammad Syafiq Zaini yang sejak “merah” suka tengok dan main bola. Sekarang Abang Syafiq dalam tahun empat dan masih sukakan bola.



Perlawanan semalam [malam Jumaat 29 Jun 2012] berlangsung antara pasukan Kelantan, Red Warrior dengan Pasukan Selangor, berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, dan disiar secara langsung menerusi kaca tv.



Pada perlawanan separuh masa pertama saya tonton siaran itu sekejap-sekejap untuk beberapa kali. Ketika pasukan Red Warrior menyumbat gol itu saya tidak berada di hadapan kaca tv. Penyumbat gol itu adalah Mohammed Ghaddar.



Mohammed Ghaddar penyumbat gol



Saya tonton selama beberapa minit bahagian akhir separauh masa pertama itu. Saya nampak para pemain kedua-dua belah pihak bermain dengan sungguh-sungguh, dan saya lihat permainan menjadi lebih aggersif.



Bila permainan disambung semula selepas rehat, timbul minat saya untuk menontontnya sampai habis. Saya rasa inilah buat pertama kalinya saya berbuat semikian.



Saya merasa tidak puas hati bila menonton pemain-pemain Red Warrior dikasari oleh pemain-peman Selangor dan sedih dengan corak tindakan pengadil terhadap pengkasar-pengkasar itu. Dalam hati saya timbul kebimbnagan, pasukan Red Warrior akan bertindak balas menyambut cabaran dengan kekasaran juga. Tapi mujurnya tidak.



Salah satu pemandangan kekasaran yang masih ternamapk-nampak di mata saya ialah bila salah seorang pemain Selangor mengangkat kakinya begitu tinggi hingga menyentuh muka pemain Red Warior, Muhammad Ghaddar. Tapi tidak ada apa-apa tindakan yang dikenakan ke atas pemain tersebut, walaupun perbuatan demikian menyalahi undang-undang permainan bola dan boleh dikenakan tindakan, kerana ia membahayakan.



Pemain Selangor, Mohd Bunyamin Umar mengasari pemain Red Warrior, Muhmmad Ghaddar diabaikan oleh pengadil dari sebarang tindakan.



Saya lihat juga bagaimana jurulatih pasukan Red Warrior yang menunjukkan rasa tidak puas hatinya dengan tindakan pengadil yang mengadili perlawanan semalam.



Nik Mohammed Syafiq Zaini peminat bola no satu



Cucu saya yang menonton perlawanan itu dari awal sampai akhir, Nik Muhammad Syafiq Zaini melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan perlawanan malam itu.



Walau pun kena godam, Red Warrior tetap memenangi perlawanan, menewaskan Pasukan Selangor 1-0 dalam Liga Super itu. Kelantan hanya memerlukan 6 mata sahaja lagi dalam 4 perlawanan untuk muncul sebagai juara.



Saya juga melihat bila perlawanan selesai, salah seorang pengulas di kaca tv itu juga melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap mutu pengadilan malam itu.



Saya harap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi untuk masa-masa akan datang dalam siri perlawanan bola di tanah air kita.



Saya teringat, kalau seseorang hakim pembicara di mahkamah tersilap membuat perkiraan dan pertimbangan, nasib orang yang didakwa mungkin berakhir di tali gantung, walau pun dia mungkin tidak bersalah.



EndPr.Pr.Pr.Pr.P

Read more...

Tok Guru Yang Perasan

TOK GURU YANG PERASAN


Seorang guru yang terkenal dalam sebuah wilayah di India telah menemui ajalnya.



Seperti biasanya murid-muridnya akan berusaha mencari seorang guru baru sebagai penggantinya. Mereka telah memilih seorang anak muridnya yang masih muda dan pernah berkhidmat kepada guru itu, dan juga seorang yang pintar. Mereka melayannya dengan hormat dan takzim sebagaimana mereka melayan guru mereka yang telah meninggal itu.



Guru muda ini pandai mengambil hati murid-muridnya lebih dari gurunya dulu. Setiap tahun dia melawat dari setempat ke setempat, berkunjung dari rumah ke rumah murid-muridnya serta mendoakan untuk mereka. Dan mereka pula menyambutnya dengan semangat yang berkobar-kobar.




Di Kampung Chandapur tinggal seorang petani miskin, murid guru itu, Ramdas namanya.Dia terlalu amat gembira bila mengetahui gurunya akan datang ke kampungnya. Pada hari itu dari pagi sampai petang dia sibuk mendirikan pentas untuk gurunya itu duduk dan berwacana. Tidak cukup dengan itu, dia menghiasinya dengan bunga-bungi untuk gurunya itu.



Waku itu, anak lelakinya sedang sakit berat. Tapi dia tidak ada masa untuk melayannya. Katanya lawatan guru lebih penting kepadanya. Katanya dia percaya, tuhan akan menyembuhkan anaknya itu, kerana dia sibuk berkhidmat untuk gurunya itu.



Kesampaian guru itu disambut oleh orang-orang yang berpengaruh di kampung it. Sang guru tidak mengetahui usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Ramdas untuk menyambut ketibaannya. Ketika mereka semua sibuk menyambut kedatangan sang guru, tiba-tiba datang seorang wanita tua menemui Ramdas dan membeitahu anak lelakinya itu telah mati.



“Jangan bimbang,”katanya, “Ini guru saya, tuhan yang hidup, keanggunannya dapat segera menghilangkan dukaku”.



Ramdas mengambil sedikit air dalam sebuah bejana, membawa ke hadapan guru, sambil membongkok dan merayu supaya guru itu meletakkan kakinya ke dalam bejana itu. Sang guru mengikut sahaja apa yang dikatakan Ramdas walaupun tidak mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Ramdas. Sementara itu keluarga Ramdas telah membawa mayat anakhya tu ke situ. Mereka menyeru-nyeru nama guru itu dengan kuat, sambil Ramdas merenjis air itu ke atasnya dan menyeru-nyeru namanya.



Kebanyakan hadirin menganggap Ramdas telah gila. Tapi amat mengejutkan, bila anak Ramdas itu membuka matanya, dan bangun dengan sendiri seperti baru tersedar dari tidur. Satu-satunya orang yang tidak kaget ialah Ramdas. “Ini pasti berlaku”, katanya, “adakah sebarang masalah besar yang tidak dapat diselesaikan oleh keanggunan guru?”



Tapi sang guru merasa amat ajaib.” Bagaimana aku tidak mengetahui aku memiliki begitu banyak kuasa?”, dia tertanya-tanya sendirian. Secara zahir dia menunjukkan dia yang melakukan keajaiaban itu secara sedar, kerana kasihankan muridnya yang miskin itu.



Berita keajiban itu cepat tersebar merata-rata. Ratusan orang menyerbunya dan terus menjadi muridnya. Berita itu juga sampai kepada seorang kaya di kampung itu. Dia secara peribadi menjemput guru itu menjadi tamunya yang istimewa, dan pelawaan itu diterima oleh sang guru dengan senang hati.



Di rumah orang kaya itu sang guru dilayan seperti raja-raja. Disediakan dengan pelayan-pelayan dan pakain dari sutera yang baru. Dia dan keluarganya menyembah guru itu pagi dan malam.



Sang guru yang kagum dengan kemasyurannya itu yakin bahawa dia memang layak menerima layanann begitu istiimewa itu.



Pada suatu hari anak lelaki orang kaya itu yang berusia lima tahun telah mati kerana ditempeleng oleh sang guru yang berang kerana meditasinya diganggu. Isteri orang kaya itu semua wanita dalam rumah itu meratap dan menangis, tapi disabar oleh orang kaya itu, serta mengingatkan mereka tentang kuasa ajaib yang dimiliki oleh sang guru.



Bila sang guru membuka matanya dari meditasi, orang kaya itu pun meletakkan mayat anaknya itu di hadapan sang guru, dan memohon supaya anaknya itu dimaafkan, dan minta nyawanya dikembalikan kepadanya.



Orang ramai mulai berhimpun. Sang guru menjeling mereka dengan bangga dan senyuman dan meminta sedikit air. Air pun dibawakan kepadanya dalam sebuah bejana perak, dan sang guru amat gembira merendamkan kakinya ke dalam benjana itu.



“Nah ambillah, renjiskan air ini ke atas anakmu itu. Semuanya akan beres. Sekarang, pergilah”, katanya.



Tapi bila air itu direnjis tidak ada sebarang keajaiaban yang berlaku. Anak itu tidak hidup, Akhirnya sang guru merendamkan kakinya dalam sebeldi air, tapi tidak juga berjaya menghidupkan anak itu.



Akhirnya orang kaya itu naik radang, dan mengancam untuk membunuh sang guru kalau dia tidak berjaya menghidupkan anaknya itu.



Dalam keadaan tegang itu seorang anak murid sang guru telah bergegas menemui petani Ramdas memberitahu hal tersebut. Ramdas tiba tepat pada waktunya, sebelum kemarahan orang kaya itu yang sedang membara sampai ke puncaknya.



“Wahai guru! Kasihanilah kami dan hidupkan anak ini.“ kata Ramdas sambil menyentuh kaki guru dengan jari-jari tangannya yang telah disapu dengan air matanya sendiri, kemudian mengosok-gosokkan tangannya ke atas anak yang mati itu.



Tiba-tiba kanak-kanak itu pun membuka matanya. Ibunya pun segera mengambil dan mendakapnya.



“Ini semata-pmata permainan guru”, kata Ramdas sambil memandang orang ramai yang kehairanan.



Sang guru lalu meninggalkan tempat itu pada hari yang sama juga. Dia mengucapkan terima kasih kepada Ramdas. Tapi Ramdas hanya menjawab, “Kenapakah guru jadikan hamba guru yang miskin ini sebagai bahan jenaka, wahai guru? Bukankah itu semua permainan guru?”.



Tapi sang guru amat memahami bahawa kejaiban itu datangnya dari Ramdas, hasil daripada kepercayaan dan kebaktiannya. Sang guru pun lalu menangis dan berkata, “Apa yang aku tahu Ramdas adalah muridku. Tapi wahai tuhan, aku tahu engkau bermaksud untuk mengajarku menerusi Ramdas satu pelajaran yang penting tentang merendah diri”.



[Kisah ini dipadankan secara bebas dari sebuah legenda India yang membawa mesej yang tersendiri, bukan sahaja kepada orang India tapi juga kepada semua orang, bagaimana seorang manusia yang merasa dirinya pandai, power dan bijaksana dan akhirnya menyedarinya bahawa dia sebenarnya tidak sebagaimana disangkakanya].



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr



Read more...

Ummu Jamil Terjun Neraka Bersama Suami

>> Wednesday, June 27, 2012


UMMU JAMIL TERJUN NERAKA BERSAMA SUAMI



Adakah anda pernah mendengar nama Ummu Jamil? Seorang artiskah? Seorang biduankah? Seorang budayankah? Atau seorang ahli akademik ulungkah?



Jawapannya yang sebenar Ummu Jamil ialah seorang ahli neraka. Itulah teket yang istimewa yang diperolehinya semasa hidup di dunia, dikurniakan oleh Maha Pencipta kepadanya kerana kerja-kerja jahatnya yang terus diingati hingga sekarang dan masa-masa akan datang yang panjang.



Ummu Jamil adalah isteri kepada Abu Lahab, seorang musuh Islam dan musuh Rasulullah yang unggul, seorang yang paling kuat menentang dakwah Rasulullah S.A.W. Nama timang-timangnya ialah “Hammadalah al-Hatob” yang bermaksud “pembawa kayu api”.



Nama sebenarnya ialah Arwa binti Harb, dan adik perempuan kepada Abu Sufyan bin Harb, yang juga seorang musuh ketat Islam sebelum beliau memeluk agama Islam. Dia mempunyai dua orang anak lelaki, iaitu Utbah bin Abu Lahab dan Utaybah bin Abu Lahab, dan seorang “saudara anjing”, iaitu Harith ibnu Harb ibnu Harb.



Dia sebenarnya bermata sebelah. “Mata kecen” kata orang Kelantan. Itulah sebabnya dia membenci seluruh umat manusia di dunia ini.



Dia adalah seorang wanita yang amat bangga dengan asal dan keturunannya. Hobinya yang istimewa ialah membuat fitnah dan mengdudomba orang supaya bersengketa.



Dia amat membenci anak saudaranya Muhammad S.A.W. kerana Baginda S.A.W. berdakwah mengajak manusia menyembah hanya Allah, Tuhan yang tunggal, pemerintah seru sekalian alam.



Untuk menghalang dan menyakti Rasulullah daripada berdakwah ke jalan Allah, maka setiap pagi dia akan mengumpul dan memungut kayu-kayu berduri untuk ditaburkannya di hdapan pintu rumah baginda S.A.W. yang berjiran dengannya. Setelah selesai menjalankan kerja terkutuk itu barulah dia merasa puas hati dan pulang ke rumahnya. Tujuannya ialah untuk menyakiti Rasulullah S.A.W., keluarganya dan para sahabatnya.



Allah menurunkan Surah “al-Masad” yang ditujukan kepada suaminya Abu Lahab dan juga kepada dirinya sendiri, seorang wanita yang jahat. Surah Al-Lahab itu terdiri dari lima ayat yang pendek, yang bermaksud:



“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah bermanafaat baginya harta benda dan apa yang diusahakannya. Kelak dia akan masuk dalam api neraka yang bergolak. Dan begitu pula isterinya, pembawa kayu bakar, yang dilehernya ada tali dari sabut”. Al-Lahab: 1-5.



Menurut Sayyid Qutb kita membicara Surah Al-Lahab berkata, “Bertemunya bunyi kalimah-kalimah itu dan bunyi harakat gerak-geri dan berlakunya keselarasan gambaran dengan keselarasn kata-kata yang sebanding dengannya. Pengungkapan ini juga selaras dengan suasana surah dan sebab nuzul. Dan semua keselarasan ini tercapai dalam lima ayat yang pendek dalam surah dari surah-surah al-Quran yang pendek”.



Seterusnya ulas Sayyid Qutb, “Pengungkapan selaras yang kuat yang membuat Ummu Jamil mengira Rasulullah S.A.W. telah mengejeknya dengan sajak teruatama apabila surah ini tersiar dengan luas membawa ancaman, kecaman dan gambaran yang khusus menghinakan Ummu Jamil”.



“Gambaran ini benar-benar menghinakan seorang wanita yang angkuh dan bongkak dengan asal usul keturunannya. Ia digambarkan dengan gambaran “seorang perempuan yang memabwa kayu api dengan seutas tali terikat di lehernya”, iaitu mengikut uslub yang kuat di sisi orang-orang Arab”’



Bila Ummu Jamil mendengar ayat-ayat al-Quran itu mencaci dirinya dan suaminya, dia pun lantas mencari Rasulullah S.A.W. Pada masa itu Baginda S.A.W. sedang duduk di masjid di sisi Kaabah bersama dengan Saidina Abu Bakar as-Siddik. Dalam gengaman Ummu Jamil terdapat batu-batu kecil yang keras.



Ketika berada di hadapan Rasulullah S.A.W., dia tidak nampak Baginda S.A.W. kerana pengelihatannya telah ditutup Allah dan dia hanya nampak Saidina Abu Bakar.



Maka berkatalah Ummu Jamil, “Hai Abu Bakar, mana temanmu [Rasulullah]? Telah sampai ke pengetahuanku, dia telah mencaciku. Kalau aku berjumpa dia, sudah pasti aku akan balingkan mulutnya dengan batu. Demi Allah aku ini sememangnya seorang penyair”.



Kemudian dia pun bersyair yang kira-kira bermaksud:



“Kami mengingkari dia yang sangat tercela, dan enggan mentaati suruhannya, dan kami membenci agamanya”.



Kemudian dia pun berpaling dan terus beredar dari situ. Maka Saidina Abu Bakar pun bertanya Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah, tidakkah tuan nampak bahawa dia melihat tuan?”.



Jawab Rasulullah S.A.W. “Dia tidak dapat melihatku. Sesungguhnya Allah telah menutup pandangannya terhadapku”.



Kehidupannya berakhir dengan penuh kehinaan. Pada suatu hari dalam keadaan lemah dia memaksa dirinya menbaur duri di hadapan rumah Baginda S.A.W.,tapi belum selesai dia menjalankan kerja durjana itu, datanglah malaikat maut menyambar nyawanya.



Kehidupan Ummu Jamil berakhir di pinggir jalan dalam keadaan memalu dan hina ketika sedang melakukan kerja keji dan terkutuk untuk menyekat dakwah Islamiah Rasulullah S.A.W.



Demikianlah nasib manusia yang menentang dakwah Allah yang berkahir dengan penuh kehinaan di dunia dan di akhirat yang digambar oleh Allah dalam kitab suci al-Quran.



“Walau bagaimanapun gambaran yang memberi sepenuh penghinaan itu telah dirakamkan dalam kitab suci al-Quran yang kekal dan dalam lembaran alam al-wujud, iaitu rakaman kemurkaan Allah dan perisytiharaan perangnya terhadap Abu Lahab dan isterinya sebagai balasan atas tipu dayanya menentang dakwah Allah dan Rasul-Nya. Kebinasaan dan kehinaan itulah balasan penentang-penentang dakwah Allah di dunia, sementara balasan neraka dilakukan pada hari akhirat. Balasan kehinaan yang dilambangkan oleh kata-kata tali adalah berlaku kepada mereka di dunia dan di akhirat kedua-duanya sekali”. Demikian kesimpulan yang dibuat oleh Sayyid Qutb.



End Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



Read more...

Adakah Amalan Malam Nisfu Sya'ban Ajaran Islam Atau Bid'ah?

>> Monday, June 25, 2012



ADAKAH AMALAN MALAM NISFU SYA’BAN AJARAN ISLAM ATAU BID’AH?


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pada malam pertengahan bulan Sya’ban, iaitu pada malam 15 Sya’ban yang dikenali dengan nama Malam Nisfu Sya’ban ada segolongan umat Islam mengadakan ibadat yang khusus pada malam itu dengan membaca Surah Yasin, sembahayang hajat dan berdoa yang khusus untuk malam itu untuk meminta dilanjutkan umur dan dimurahkan rezeki.



Majlis ini biasanya diadakan di masjid-masjid, di surau-surau atau di madrasah-madrasah yang dianjurkan oleh pihak yang berkenaan.



Kamus Dewan Edisi Keempat memberi makna Nisfu Sya’ban itu sebagai berikut:



“Nisfu Syabaan [pertengahan bulan Syabaan [hari kelima belas dalam bulan Syabaan], iaitu antara hari yang dimuliakan oleh Allah dan digalakkan melakukan pelbagai ibadah [seperti membaca al-Quran, berzikir, berselawat, bristighfar dan sebagainya pada malamnya dan berpuasa pada siangnya”.



Tapi adakah amalan umat Islam di malam Nisfu Sya’ban itu benar-benar menepati dengan kehendak syariat, atau ia hanya merupakan rekaan yang termasuk dalam golongan perbuatan bid’ah yang terkeluar daripada ajaran al-Quran dan As-Sunnah yang sebenarnya?



Untuk mengetahui perkara yang sebenarnya sila ikuti tulisan yang diterbitkan dan diedarkan oleh Darul Qur’an Was-Sunnah, Masjid Purnama, Kota Bharu Kelantan yang kita titipkan di sini untuk renungan bersama.



Selamat membaca dan semoga memberi manfaat.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.



Puji-pujian bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah sallahu ‘alaiwasallam.



Hidayat untuk seluruh manusia berada di dalam dua perkara: Pertama seluruh usul yang mengandungi hukum-hukum dan amalan-amalan yang tetap terpelihara bagi setiap zaman supaya manusia mendapat hidayat dengannya. Sumber ini adalah al-Quranul Karim. Kedua: iaitu apa yang dipanggil “Hadis Nabawi” yang mengandungi kehidupan suci murni Baginda Nabi Sallahu ‘Alaihi Wasallam dalam setiap aspek kehidupan manusia yang boleh memimpin mereka ke arah tauladan yang sebaik-baiknya yang dikenal juga dengan “Sunnatur-Rasul”, manakala di dalam al-Quran ia disebut juga dengan “al-Hikmah”.



Agama adalah nama bagi suatu peraturan hidup yang lengkap dan diasaskan di atas hakikat kebenaran yang merangkumi seluruh kehidupan manusia. Agama ang benar ialah yang datang dari sisi Allah Taala dan boleh diterima oleh fitrah manusia yang sihat. Ia bukan dari apa ang diada-adakan oleh mana-mana pihak. Ajaran agama ang salah dapat dikenali kerana ia berdasarkan khayalan-khayalan dan sangkaan yang timbul dari hati yang cenderung kepada dunia dan bergelumang dengan hawa nafsu. Ia memang tersingkir jauh dari sifat fitrah manusia yang sempurna dan hakikat kebenaran yang jelas.



Perkara yang sangat ditentangi oleh Baginda Nabi kita Sallallahu ‘alaihi wasallam selepas syirik ialah bid’ah [rekaan dalam urusan agama]. Kerana dengan adanya bid’ah, keaslian agama yang benar boleh bertukar corak dan tidak boleh lagi dikenal pasti atau dibezakan antara yang asal dengan yang palsu dan antara yang hak dengan yang batil. Allah Subhanahu Wata’ala telah menyebutkan dalam beberapa ayat al-Quran bahawa agama ang benar akan terhapus dengan dua sebab: Pertama, menyembunyikan kebenaran. Kedua, mengelirukan kebenaran. Disebabkan adanya kesamaran begini, agama Allah dapat dipermainkan oleh kehendak nafsu manusia, iaitu dengan menjadikannya sebahagian daripada agama jika dikehendakinya atau mengeluarkannya daripada agama jika tidak menghendakinya.



Maka jadilah agama di waktu itu suatu bentuk amalan rekaaan yang dianggap berpahala jika diamalkan dan bersalah jika ditinggalkan, sedangkan seluruh anbiya’ ‘alaimus-salam diutuskan untuk mengeluarkan manusia dari syirik dan bida’ah sehingga menyebabkan mereka menanggung segala kesusahan. Amat mendukacitakan sekarang ini orang-orang yang digelar ulama’ yang menentingkan dunia terlibat sama dalam syirik dan bid’ah. Hakikat sebenarnya ahlul-bid’ah telahpun mengadakan berbagai-bagai bentuk bid’ah dan adat resam dalam urusan agama, termasuklah upacara di malam “Nisfu Sya’ban”. Dalam masalah ini dua perkara yang perlu dibincangkan.



Pertama, apakah yang dimaksudkan dengan “Lailatun-Mubaraokah” di awal Surah Ad-Dhukan. Mengikut kaedah “Tafsir al-Quranul-Karim bil Quran”, yang dikatakan darjat tafsir yang paling utama, iaitu sekiranya sesuatu masalah itu disebutkan dalam sesuatu ayat itu secara mujmal, yakni secara ringkas maka terdapatlah di dalam ayat lain penerangan tentang ayat tadi. Maka, dalam masalah ini Allah Taala sendiri menerangkan dalam Surah al-Baqarah dan Surah Al-Qadr bahawa apa yang dimaksudkan dengan “Laitun-Mubarokah” itu ialah “Laitul-Qadr” yang berlaku pada bulan Ramadan bukan malam “Nisfu Sya’ban”. Perkara ini telah disebutkan oleh ahlul-Tafsir dalam kitab- kitab mereka, seperti Allamah Alusi dan Allamah Abu Hayyan Andalusi rahmatullahi ‘alahim. Hafis Ibnu Kathir mengatakan sesiapa yang menyebut bahawa maksud “Laitun-Mubarakoh” itu berlaku pada malam Nisfu Sya’ban, maka ia telah menyimpang jauh daripada kebenaran.



Oleh kerana telahpun dinyatakan di dalam al-Quran bahawa apa yang dimaksudkan dengan “Lailatun-Mubarokah” itu ialah “Laitul-Qadr”, sebagaimana yang terdapat keterangannya dalam Tafsir Ibn Kathir rahimahullah, muka surat 137, jilid 4, Allamah Syaukani rahimahullah menulis dalam kitabnya, “Fathul-Qadr”, muka surat 570 jilid 4, bahawa di sisi jumhur mufassirin, “Lailatun-Mubarokah” itu ialah “Laitul-Qadr”, bukannya malam Nisfu Sya’ban. Allamah Ibnu Jarir At-Thabari rahimahullah di dalam Tafsir Jami’ul-Bayan, muka surat 108, jilid 4, menyatakan sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan “Laitun-Mubarakoh” itu ialah Lailatul-Qadr. Begitullah apa yang ditegaskan oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi rahimahullah dan Allamah Qurtubi rahimullah. Allamah Muhammad Amin rahimahullah mengatakan di dalam kitabnya Adhwa’ul-Bayan bahawa sesiapa ang mendakwa bahawa “Lailatun Mubarakoh” itu ialah Malam Nisfu Sya’ban, maka dakwaannya batal kerana bertentangan dengan al-Quran, bahkan tiada sak lagi bahawa sesiapa yang menyalahi al-Quranul-Karim, maka dakwaannya batal dan tertolak.



Oleh itu ditinjau kepada keputusan yang dikeluarkan daripada kitab-kitab tersebut jelas menunjukkan bahawa jumhur mufassirin dari kalangan sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa “Lailatun-Mubarakoh” itu adalah “Laitul-Qadr”.



Kedua, benarkah malam “Nisfu Sya’ban itu mempunyai fadhilat sebagaimana yang tersebar di kalangan orang awam? Berkenaan dengan parkara ini tidak terdapat suatu ayat pun daripada al-Quran atau Hadis-hadis Nabi ‘alaihis-solatuwas-salam yang sahih yang menerangkan tentang fadhilat malam “Nisfu Sya’ban. Juga tidak kedengaran berkenaan dengannya daripada kata-kata sahabat atau imam mujtahidin, hanya ahlul-bid’ah mengambil dalil fadhilat “Nisfu Sya’ban” daripada beberapa riwayat yang dibawa oleh perawi-perawi majhul [tidak dikenali latar belakangnya] dan pendusta. Tiada suatupun daripada riwayat-riwayat tersebut yang sampai kepada Nabi sallallahu ‘alahi wasallam dengan sanad ang sahih.



Berikut ini diberikan beberapa petikan yang bersumber daripada kajian muhaddisin dan fuqaha’ mengenai kelemahan dalil-dalil tersebut:



-Allamah Alusi rahimahullah pernah mengatakan dalam tulisannya bahawa semua perawi riwayat fadhilat “Nisfu Sya’ban” adalah majhul [Tafsir Kabir muka surat 111 jilid 25].



-Imam Fakhrul-Razi rahimahullah mengatakan bahawa sebarang dalil bagi orang yang mengatakan fadhilat “Nisfu Sya’ban”, bahkan ia hanya bersandar kepada kisah-kisah yang dicipta oleh sesetengah pihak [Tafsir Kabir, muka surat 238 jilid 25].



-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah berkata, “Mana-mana riwayat yang mengatakan fadhilat “Nisfu Sya’ban” maka ia menyalahi petunjuk al-Quran [muka surat 137 jilid 4].



-Allamah Ibnu ‘Arabi mengatakan bahawa tiada satu riwayat pun berkenaan dengan “Nisfu Sya’ban” yang boleh diterima, oleh itu tidak patut diberi perhatian ke arahnya [Ahkamul-Quran muka surat 179 jilid 4].



-Hafiz Ibni Taimiyah rahimaullah berkata bahawa semua ulama di kalangan salaf, khalaf dan ahli Madinah mengingkari fadhilat malam “Nisfu Sya’ban” [Iqtidha’us-Siratil-Mustaqim, muka surat 302].



-Mulla Ali Al-Qari rahimaullah berkata, “Fadhilat malam “Nisfu Sya’ban” diada-adakan dalam Islam hanya selepas empat kurun berlalu dan riwayat mengenai fadhilat itu adalah maudhu’, satu pun tidak sahih [Maudhu’at Kubra muka surat 462.



-Allamah Syaukani berkata, “Mana-mana riwayat yang ada menyebut tentang fadhilat malam “Nisfu Sya’ban, semua perawinya adalah majhul dan dhaif” [Al-Fawaidul-Majmu’ah Fil-Ahadisi-Maudhu’ah, muka surat 151.



-Allamah Muhammad Amin rahimahullah berkata, “Mana-mana riwayat yang terdapat fadhilat malam “Nisfu Sya’ban maka ia adalah menyalahi al-Qurannul-Karim dan tidak ada sebarang bukti tentang kesahihannya, oleh itu sungguh menghairankan bila mana orang-orang Islam sedang melaku satu pertelingkahan tanpa berdalilkan al-Quran dan As-Sunnah [Adhwa’ul-Bayan, muka surat 319 jilid7].



-Alamah Qurtubi rahimaullah berkata bahawa tiada sebarang Hadis yang sahih tentang fadhilat “Nisfu Sya’ban”, oleh itu janganlah diberikan sebarang perhatian ke arahnya [Qurtubi muka surat 86 jilid 8].



Oleh itu berdasarkan keterangan di atas ternyatalah bahawa beberapa amalan atau upacara tertentu seperti memabca Yasin, bersembahayang hajat secara berjemaah dan berdoa untuk dipanjang umur, dimurahkan rezeki dan mati dengan Husnul-Khatimah adalah “bid’ah sayyi’ah, dhalala” [rekaan dalam urusan amalan agama yang tak berasaskan al-Quran dan As-Sunnah dan boleh membawa kepada kesesatan]. Ia tidak pernah wujud dalam Islam. kecuali hanya selepas empat kurun berlalu. Bahkan sebenarnya dalam perkara “Nisfu Sya’ban" ini ahlul bid’ah telah meniru dan bertaklid kepada golongan “Rafidhah” [Syiah] ang mana dalam kitab Syi’ah ada menyebut bahawa di malam Nisfu Sya’ban itulah Imam Mahdi Al-Muntazhar dilahirkan kemudian ghaib menghilangkan dirinya hingga sekarang. Oleh yang demikian malam Nisfu Sya’ban itu mempunyai fadhilat yang tersendiri mengikut kepercayaan mereka.



Sayang seribu kali sayang orang-orang Islam sedang mengikut jejak langkah golongan Syi’ah yang sesat lagi menyesatkan dan membelakangkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para ulama mu’tabar.



Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menyelamatkan kita semua daripad amalam bid’ah dan khurafat. Amin ya Rabbal-‘alamin.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP