Lelaki Nak Jadi Perempuan, Kenapa Pula?
>> Wednesday, November 30, 2011
LELAKI NAK JADI PEREMPUAN, KENAPA PULA?
Anda seorang lelaki, tapi kenapa nak jadi perempuan, berpakaian macam perempuan, makeup macam perempuan, gerak laku macam perempuan?
Kenapa anda suka menyerupai perempuan, bergelang tangan, berantai leher dan berrtindik telinga?
Andakan lelaki, kenapa tak jadi lelaki, anda boleh jadi suami, anda boleh jadi ayah dan anda boleh menjadi pemimpin keluarga anda?
Lagi pun Islam mengharam lelaki berpakaian seperti wanita, sebagaimana wanita diharam berpakaian menyerupai lelaki. Larangan itu merangkumi dalam segi berpakaian, dalam segi berhias, dalam segi berbicara dan bersuara, dalam gerak geri, seperti berjalan, dan juga dalam mengubah bentuk fizikal badan.
-----------------------------------Aduhai, haibatnya "Ayah Teh"
Dalam kontak perhiasan, lelaki tidak boleh memakai perhiasan-perhiasan menyerupai kaum wanita, seperti gelang tangan, subang, rantai dan gelang kaki.
Dan mereka juga diharam memakai perhiasan-perhiasan yang dibuat dari emas, seperti cincin emas.
Tapi hari ini kita lihat di pasar-pasar raya ada sebahagian daripada lelaki, terutama golongan muda, memakai berbagai-bagai perhiasan yang dikhusus untuk wanita, kebanyakannya memakai rantai leher, gelang tangan dan subang di telinga.
Keadaan yang sedemikian juga kita boleh lihat dalam media-media massa, dalam majalah-majalah, akhbar-akhbar, tv dan internet di mana lelaki behias seperti wanita, terutama sekali memakai rantai dan gelang tangan.
Lelaki yang berhias diri seperti wanita ini termasuklah selebriti dan para artis.
Beberapa hari yang lepas, saya masuk ke sebuah tandas lelaki di sebuah pasar raya. Saya lihat ada seorang pemuda yang tampan sedang menghadap cermin, sedang membentuk wajahnya menjadi lebih cantik seperti perempuan. Dari dalam cermin yang dihadapinya itu saya nampak keningnya sudah dilentur melentik dan waktu itu dia sedang menyapu bedak ke muka, sambil meniliti wajahnya secara terperinci.
Masyallah! Seru saya dalam hati, tapi tak berani menegurnya, takut disalah faham dan boleh mencetuskan kekecohan yang tidak diingini.
Di samping memakai perhiasan wanita, ada pula sebahagian kecil dari mereka berpakaian seperti wanita, baju dan kain wanita, menukar pendedahannya daripada seorang lelaki kepada seorang wanita. Mereka adalah golongan pondan dan mak nyah yang biasanya mempunyai profession yang tersendiri.
Lelaki atau wanita hari ini, jika mereka “menukar” pakaian, seimbas pandang sukar untuk dibezakan mana seorang lelaki dan mana seorang perempuan, tapi lembu atau kambing, kalau dipakai dengan pakaian cantik sekalipun, dengan mudah kita dapat membezakan mana jantan dan mana betinanya. Masyallah.
Dilarang
Islam melarang lelaki berpakaian seperti wanita. Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Rasulullah S.A.W. mengutuk lelaki memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.HR:Abu Hurairah.
Sebuah Hadis Rasulullah SAW lagi, “Ibnu Abbas berkata, “Telah melaknat Rasulullah SAW. akan lelaki yang berlagak seperti wanita, dan wanita yang berlagak seperti lelaki. Dalam riwayat lain Rasulullah SAW melaknati orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyeupai lelaki”.HR:Bukhari.
Selain daripada melarang lelaki memakai pakaian yang berfesyen wanita, Islam juga melarang lelaki memakai pakaian dari sutera.
Tapi adakah semua orang Islam mematuhi larangan itu, lelaki dilarang memakai pakaian dari sutera?
Mengikut pengalaman, memang ada orang lelaki Islam yang memakai baju dari sutera, terutama di kalangan atasan, dan di kalangan orang yang berada dan mempunyai kemampuan.
Keluarga kami pernah menerima sumbangan baju lelaki terpakai yang diperbuat daripada sutera untuk diedarkan kepada orang-orang kampung yang susah dan hidup melarat.
Tidaklah dapat dipastikan kenapakah mereka memakai baju sutera yang bukan pula murah harganya. Mungkin mereka menghidap penyakit-penyakit tertentu yang memerlukan mereka memakai pakaian sutera?.
Di samping itu, orang lelaki juga dilarang memakai pakaian melepasi buku lali dengan tujuan untuk berlagak, menunjuk-nunjukkan dirinya seorang yang alim dan warak, atau untuk membezakan dirinya daripada orang ramai yang dianggapnya dangkal dan cetek ilmu agamanya, jika dibandingkan dengan dirinya yang banyak ilmu agama dan alim.
Menutup Aurat
Bukan sahaja wanita, malah lelaki juga diperintah supaya berpakaian menutup aurat. Lelaki yang sudah akil baligh diwajibkan oleh agama supaya menutup aurat.
Yang dikatakan anggota aurat pada lelaki ialah antara pusat dan lutut. Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda, “Bahagian atas daripada lutut adalah aurat dan terkebawah daripada pusat juga aurat”.
Pakaian lengkap lelaki. Ilustrasi salinan
Dan sebuah Hadis lagi, “Aurat lelaki ialah bahagian yang di antara pusat dan lutut”.HR:Al-Bahaiqi.
Justeru bila anda berpakaian anggota-anggota yang dikelaskan sebagai aurat itulah yang perlu ditutup dengan sebaik-baiknya, terutama di hadapan kaum wanita yang bukan muhrimnya.
Sesungguhnya Islam mempunyai peraturan dan dispilin yang ketat tentang perhiasan dan pakaian, terutama kepada kaum wanita. Ini tidak lain tidak bukan demi menjaga kepentingan umatnya, terutama kaum wanita itu sendiri daripada rosak dan binasa akibat pakaian.
Dunia Terbalik
Sesungguhnya dunia sudah lama terbalik, lelaki ingin jadi perempuan dan sebaliknya perempuan pula ingin menjadi lelaki. Ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada warga dunia ini telah dilanda oleh krisis kejantinan yang menyebabkan mereka kehilangan identiti kejenisannya lelaki atau perempuan. To be a man or a woman?
Melihat keadaan dunia yang tonggang-langgang seperti itu menyebabkan orang-orang yang insaf merasa sedih dan terharu, tertikam kalbu dan tertosok hatinya. Kasihan golongan-golongan tersebut telah terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang telah berjaya menipudaya mereka di sebalik kemajuan moden yang disebarkan oleh orang-orang kafir yang memang menaruh kebencian terhadap umat Islam lalu mempromosikan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam yang mulia dan suci supaya menjadi ikutan dan contoh tauladan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Selama kita berada dalam keadaan tonggang-langgang atau terbalik kok seperti itu, lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki, maka selama itulah kita berada dalam kemurkaan Allah S.W.T. kerana hamba-hambaNya sanggup melanggar larangan dan tegahanNya atau melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan perintahNya yang meletakkan diri kita hidup dalam zaman jahiliah moden. Selama penyempangan ini tidak kita ubah, maka selama itulah kita hidup di dalam kehinaan di sisi Allah S.W.T., bukan sahaja di dunia, tapi juga di akhirat nanti, sebagaimana telah menimpa Bani Israil yang bongkak dan sombong itu.
Allah berfirman dalam Kitab Suci al-Quran,”............maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian [dari isi] kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tikadlah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan [ingatlah] Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”. Al-Baqarah:85.
Marilah kita bersama-sama berusaha membetulkan segala kepincangan yang sedang berlaku sekarang yang menyebabkan kita selama ini hidup dalam kucar-kacir dan porak peranda kerana umatnya telah kehilandan identiti diri mereka sebagai seorang lelaki atau sebagai wanita. Semoga keadaan songsang ini akan segera berubah dan kembali ke jalan yang banar.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.