Cahaya Intan Berlian,Memadam Cahaya Iman

>> Monday, October 31, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG




CAHAYA INTAN BERLIAN, MEMADAM CAHAYA IMAN



Pada suatu masa heboh menjadi perbualan di kampung tentang seorang wanita suka menggunakan tangan kirinya ketika bercakap atau berbual-bual. Tangannya itu ditayang-tayangkannya di hadapan orang yang bercakap dengannya. Dia juga suka benar mengambil kesempatan untuk meneggunakan jari-jemarinya itu supaya dilihat orang. Kadang-kadang jarinya itu ditempelkan ke pipinya ketika bercakap.



Rupa-rupanya di jari manisnya tersarung sebentuk cincin permata berlian yang baru diperolehinya. Cincin berlian serupa itu masih jarang dipakai oleh wanita-wanita kampung tersebut pada waktu itu. Mungkin kerana harganya mahal, mereka tidak bersedia untuk membelinya walaupun mempunyai kemampuan.



Gemarkan Perhiasan


Wanita memang menggemari perhiasan diri. Salah satu alat-alat perhiasan yang amat digemari oleh wanita ialah batu permata. Dan batu permata ini pula ada beraneka jenisnya, termasuk intan dan berlian.



Adalah dipercayai ada perhubungan yang kental antara wanita dan batu permata, intan dan berlian. Memang ada hubungan yang erat antara batu permata dan emosi kaum wanita. Siapakah wanita yang tidak sukakan batu permata, intan dan berlian, siapakah wanita yang tidak suka memakai cincin, subang, gelang dan rantai untuk menambahkan kecantikan diri?



Malah kadang-kadang, terutama di kalangan kaum wanita yang berada, batu permata, intan berlian merupakan sebahagian daripada kehidupan harian mereka, di mana mereka bangun, dan tidur dan bergerak bersama dengannya. Terutama di kalangan wanita berada yang suka menampilkan diri di khalayak ramai.



Kepada wanita-wanita seperti ini, dikatakan hubungan mereka dengan batu permata, ibarat irama dengan lagu, jika keduanya dipisah, maka mereka akan rosak. Oleh sebab itu di mana sahaja mereka berada, dan bila-bila masa sahaja, ada mereka, adalah batu permata di kalangan mereka.



Sememangnya batu permata sentiasa bertakhta di hati wanita. Pancaran sinarnya sentiasa menyejukkan mata dan menyenangkan hati mereka, mencetuskan kerinduan yang tidak dijangka.



Bagaimana eratnya pertalian antara batu permata dengan manusia itu kian terserlah dengan adanya ibu bapa yang menamakan anak mereka dengan nama-nama batu permata yang mahal harganya. Batu permata yang sering menjadi pilihan ibu bapa untuk menamakan anak-anak perempuan mereka ialah intan, nilam delima, fairus, dan marjan.



Intan Sarafina adalah seorang penyanyi wanita yang terkenal pada tahun 2002.



Dalam kehidupan seharian, biasa juga panggilan manja terhadap seseorang anak yang disayangi dipanggil dengan nama batu permata, seperti intan, walaupun nama sebenarnya bukan intan.



Batu Kegemaran



Mengikut pengamatan, antara batu-batu permata yang menjadi kegemaran kaum wanita ialah berlian, intan, zamrud, nilam, jed, dan jet yang sentiasa menyinar gemerlapan, mempesona dan menggoda kaum wanita pada umumnya.



Batu-batu permata itu diukir dan diolah dalam berbagai-bagai bentuk hiasan untuk disalutkan ke badan, seperti dalam bentuk cincin untuk dipakai di jari-jemari, dalam bentuk kalung untuk dipakai di leher atau gelang untuk dibelit di tangan dan di kaki, dalam bentuk subang untuk digantung di telinga, dan dalam bentuk kemucak sanggul untuk diselit di rambut di kepala. Permata-permata yang telah dicanai itu dilekatkan pada kerangka-kerangkanya yang telah disiap khas daripada emas yang bermutu untuk menampung batu-batu permata itu.



Harga-harga perhiasan batu permata itu bukan pula murah, lebih-lebih lagi pada hari ini di mana nilai emasnya telah melambung naik. Ada di antaranya berharga bukan sahaja ribuan ringgit, atau beratus-ratus ribu ringgit tiap-tiap satu, malah mungkin berjuta-juta ringgit.



Faktor-faktor penting


Sudah tentu sebagai seorang wanita anda juga gemarkan batu permata yang beraneka ragam rupa dan bentuknya.



Sebelum anda membeli dan memakai batu-batu permata ingatlah beberapa perkara penting yang berhubung dengan batu permata



-Sebelum membeli bata-batu permata yang mahal harganya, berfikirlah sejenak tentang ekonomi keluarga, mampu atau tidak anda memilikinya? Ukur jari sebelum membeli cincin, ukur telinga sebelum membeli subang, ukur leher sebelum membeli rantai dan kalung, atau ukur baju di badan sendiri sebelum membeli pakaian.



Jangan sampai merosakkan ekonomi keluarga, kerana anda terpesona dengan batu dan permata. Jangan sampai terpaksa melakukan kerja-kerja haram, baik anda sendiri atau suami anda kerana hendak memenuhi selera anda kepada batu dan permata yang hanya menjadi kemegahan dunia.



-Anda hendaklah bijak dalam memilih batu permata yang hendak dibeli, iaitu yang sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan anda yang biasanya lemah dan lembut.



Oleh itu janganlah membeli semua permata yang anda jatuh hati atau berkenaan, kerana bukan semuanya sesuai dengan anda sebagai seorang wanita, tapi lebih sesuai kepada kaum lelaki untuk memakainya, seperti permata-permata yang diperbuat daripada kayu, tulang-tulang dan taring-taring haiwan.



Mengikut pakar-pakar batu permata, antara batu-batu permata yang sesuai dengan anda sebagai seorang wanita ialah mutiara, berlian, yakut, nilam, topaz, baiduri, kecubung, zamrud dan permata-permata dari laut, iaitu batu permata yang melambangkan kelemahlembutan anda sebagai seorang wanita.



-Anda hendalah berhati-hati ketika hendaklah membeli batu permata, kerana ditakuti terbeli batu-batu tiruan yang disangka tulin. Sejak kebelakangan ini terlalu banyak barang-barang tiruan yang dikeluarkan dengan harga barang tulin, bukan sahaja batu permata tapi juga barang-barang keperluan lain. Kalau dibeli dengan harga yang wajar sebagai barang-barang tiruan tidaklah menjadi masalah.



Keindahan Dalaman


Walaupun batu-batu permata itu sinarnya gemerlapan mempesonakan mata memandang, hakikat keindahan dalaman seorang wanita jauh lebih unggul daripada keindahan luaran yang memancar dari emas dan perak, dan intan berlian itu.



Keimanan, ketakwaan, keindahan akhlak merupakan keindahan dalaman yang tidak ada taranya, mempunyai aura kekal dan abadi, yan tidak akan padam-padam walaupun pemiliknya telah tiada. Itulah cahaya dan itulah aura insan yang sebenarnya, baik dia lelaki atau perempuan.



Tapi kalau anda tidak hati-hati, cahaya batu permata dan intan berlian itu dapat memadamkan cahaya keimanan dan ketakwaan anda.



Kalau anda telah bersuami, keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan anda pada suami anda sinarnya memancar terang lebih berharga daripada sebutir berlian yang jutaan ringgit harganya.



Keindahan dalaman menjadi nilaian Allah, sedangkan cahaya luarannya hanya menjadi penghargaan mata manusia.



Keizinan Terhad


Jangan anda tidak mengetahui, walaupun anda dizinkan memakai perhiasan intan dan berlian di badan anda, dan keizinan yang diberikan itu bersyarat. Tujuannya semata-mata utnuk menjaga kesucian dan kemuliaan anda sebagai seorang wanita.



-Sebagai wanita anda dilarang keras memperaga-ragakan kecantikan dan perhiasan yang anda miliki kepada lelaki yang bukan muhrim anda, iaitu lelaki yang boleh anda bernikah dengannya.



Agama Islam bukan sahaja melarang wanita berbuat demikian, tapi juga dengan keras mengancam mereka yang berani melanggarnya.



Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah”. Al-Ahzab: 33.



Allah berfirman, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian pengelihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya [tubuhnya] selain dari yang nyata [mesti terbuka”.An-Nur:31.



Menurut ahli tafsir apa yang dimaksudkan dengan perhiasaan itu ialah mencakupi pakaian yang cantik, solekan dan juga perhiasan yang dipakai oleh seseorang wanita.



Mengingkarinya


Tapi berapa ramaikah wanita mematuhi perintah Allah itu?



Hari ini kian ramai wanita yang bertindak melanggari larangan tersebut, malah mereka seolah-olah bertindak mencabarnya dengan mempersetankan segala larangan Allah itu.



Wahai kaum wanita, berhati-hatilah anda ketika memakai perhiasan, emas perak dan intan berlian, supaya tidak melanggar perintah Allah.



Wahai para suami, berhati-hatilah anda, supaya isteri yang anda kasihi itu tidak melakukan pelannggaran terhadap perintah Allah dan RasulNya ketika mereka menghias diri.



Rasulullah S.A.W. bersabda mengingatkan kaum lelaki dan juga wanita dengan sabdanya, “Wahai manusia, tegahlah isteri-isteri kamu dari memakai perhiasan dan bermegah-megah di masjid. Sesungguhnya Bani Israil dilaknat kerana isteri-isteri mereka memakai perhiasan dan bermegah-megah di masjid”.



Baginda S.A.W. pernah memberi amaran bahawa wanita-wanita yang keluar rumah dengan berpakaian yang tidak menutup aurat dan mengenakan solekan yang terlalu menarik, mereka tidak akan menikmati kecantikan di hari akhirat kelak, di mana pada hari itu setiap wajah orang yang beriman kelihatan bercahaya-cahaya, bersinar-sinar dan indah dipandang.



Sebagaimana dikatakan di atas tadi, cahaya keimanan itu, cahaya yang tidak akan sirna, malah akan terus gemerlapan dari dunia hingga ke akhirat, sedangkan cahaya permata, intan dan berlian tidak berkekalan dan akan padam bila tiba waktunya, malah cahayanya mungkin akan bertukar menjadi cahaya yang panas membakar di akhirat nanti.



Wahai kaum wanita, berhati-hatilah engkau supaya tidak termasuk dalam golongan kaum wanita dalam sabda Nab S.A.W., “Sejahat-jahat wanita ialah mereka yang suka keluar dengan memakai perhiasan serta suka menipu dirinya sendiri dengan memakai perhiasan palsu, dan mereka adalah wanita-wanita yang munafik, dari antara mereka itu tidak akan ada yang masuk syurga seorang pun, melainkan sebagai burung gagak putih”. HR:Bahaiqi.



Jangan biarkan cahaya intan dan berlian memadam cahaya imam dan aura takwa anda.



Sebaliknya, nyalakan cahaya iman, menyinari hati dan jiwa anda, menembusi langit dan angksa untuk kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda dan meredakan sebagai seorang wanita yang unggul di dunia dan di akhirat; di dunia anda dicintai suami dan di akhirat anda dikasihi Allah.



Amin.



xxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

Janggut-janggutku

>> Sunday, October 30, 2011


JANGGUT-JANGGUTKU




Seorang Syeikh yang terkenal, memakai janggut putih dan panjang, dan kelihatan begitu haibatnya, pada suatu hari berkata kepada salah seorang daripada muridnya yang sedang mengandam janggut gurunya itu supaya kelihatan kemas, kedengaran berkata kepada muridnya itu, “Wahai anakku, tahukah engkau apakah janggut itu sebenarnya? Andainya pada janggut ini terletaknya iman, maka sudah tentu, Castrol lebih imannya dari kita”.



Fidel Castro adalah Perdana Menteri/ Presiden Cuba yang berfahaman komunis, beliau menyimpan janggutnya sampai ke hari ini.



Pada kebelakangan ini kian ramai para pemimpin dan tokoh-tokoh dunia dan negara, khususnya umat Islam yang memakai janggut menghiasai wajah mereka, termasuk tokoh-tokoh agama.



Datok’Yusuff Zaky Tegur Janggut


Berhubung dengan janggut, saya terkenangkan kepada Dato’ Yusuff Zaky Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya], seorang penulis dan pemikir Islam tanah air pernah menegur janggut saya.



Pada suatu hari, kerana urusan penerbitan, saya pergi ke kilang percetakan Dian yang terletak di Lundang, KB. Sebaik-baik sahaja saya masuk ke pejabat DIAN, saya lihat Dato’ Yusuff Zaky pun ada di situ bersama-sama dengan beberapa orang kakitangan-kakitangannya. Bila saya selesai berurusan dengan salah seorang dari mereka, Dato’ Yusuff Zaky menghampiri saya dan antara lain menegur janggut saya yang pada masa itu dalam keadaan sedikit panjang dan tidak terurus.



“Janggut ni tak boleh lebih dari segenggam tangan, “ katanya sambil menggenggam tangannya dan meletakkan ke dagunnya, yang tidak berjanggut itu.



Saya hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala sahaja membenarkannya, kerana saya sedar pada masa itu janggut saya panjangnya telah lebih dari segenggam.



Dua hari kemudian saya pergi lagi ke kilang DIAN dan bertemu pula dengan Dato’ Yusuff Zaky. Setelah berbual-bual dengan beliau yang saya panggil “Abang Soh”, saya meminta diri.



Pada masa itu beliau sekali lagi menegur janggut saya kerana membiarkannya memanjang, Saya tidak tahu kenapa saya membiarkannya panjang, tidak seperti masa-masa yang lalu, kemungkinan besar saya tidak berkesempatan untuk mengguntingnya kerana terlalu sibuk.



Tegurannya itu didengar oleh semua mereka yang ada dalam pejabat itu. Saya tidak juga berkata apa-apa dan menyambutnya dengan senyum ketawa.



Demikian janggut saya. Sejak itu saya selalu mempastikan janggut saya tidak tumbuh memanjang dan meliar.



Orang Dakwah


Pada suatu hari, sekumpulan lima orang-orang dakwah datang ke rumah menjemput kami pergi ke madrasah di belakang rumah kami. Mereka mulai berkampung di madrasah tersebut sejak semalam, dan akan berada di situ sampai dua hari lagi. Tapi oleh sebab rumah kami lebih dekat dengan masjid, tidak jauh maka kami lebih suka pergi ke masjid daripada ke madrasah, demikian juga dengan sebahagian besar orang lain.



Jurucakap kumpulan dakwah itu adalah bekas imam yang meletak jawatannya untuk bergiat sepenuh masa dalam gerakan dakwah. Dalam bicaranya dia menyentuh tentang janggut yang katanya salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW.



Pada masa itu beliau berjanggut panjang, berjubah dan berserban seperti orang-orang dakwah di negara kita.



Sambil mengenggam janggutnya dengan sebelah tangannya beliau berkata, “Ini hanya satu-satunya sunnah Rasulullah S.A.W. yang boleh dibawa mati. Sedangkan sunnah yang lain, seperti berserban, kita terpaksa tinggalkan serban bila kita mati”.



Saya hanya diam sahaja. Saya pun pada masa itu sudah berjanggut juga, tapi janggut saya hanya pendek sahaja.



Walau bagaimanapun dalam fikiran saya terlintas sesuatu, bahwa sunnah Nabi S.A.W. yang berkekalan hingga ke akhirat dan lebih haibat dari janggut ialah, senitasa menginggati Allah di dalam hati di sepanjang masa.



Tapi untuk mengelak daripada terlibat dalam kontraversi, saya tidak berkata apa-apa.



Mulai Menyimpan Janggut


Saya mulai memakai janggut pada tahun 1980an selepas balik dari menunai ibadat Haji di Makkah. Demikian juga saya botakkan kepala saya ini selepas balik dari Makkah. Selepas bercukur kerana bersaie di hadapan Masjidilharam saya terus berbotak kepala sampai ke hari ini.



Isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] bukan sahaja tidak membantah, malah menyukai saya berkepala botak.



Tok Guru Nik Abdul Aziz pun berjanggut



Ada suatu perkara yang melucukan telah berlaku ketika saya bercukur selepas bersaie, iaitu berulang alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali, ketika menunai ibadah haji. Oleh sebab saya bercadang untuk menggondolkan kepala saya, maka selepas saie kami pun terus mencari kedai gunting di sekitar Masjidilharam itu.



Sebaik-baik keluar dari tempat bersaie itu, pada masa itu ada sederet kedai gunting. Bila melihat saya, dua orang daripada tukang gunting itu yang tidak mempunyai pelanggan melambai-lambai tangan mereka memanggil saya bergunting.



Ketika saya menimbang-nimbang singkat, mana satu kedai gunting yang hendak saya masuki, tiba-tiba salah seorang daripada tukang gunting itu berlari keluar kedai dan menarik tangan saya ke kedainya, dan hampir masa yang sama juga, tukang gunting yang seorang lagi itu pun keluar juga, dan menarik tangan yang sebelah lagi.



Saya terasa panik, demikian juga isteri saya yang berada di belakang. Saya menjadi mangsa tarik menarik antara kedua-dua tukang gunting, menyebabkan saya merasa terseksa dan bertambah cemas, tidak tahu apa hendak di buat dalam keadaan seperti itu.



Tapi mujurnya dalam keadaan trauma itu, seorang anggota polis yang berkebetulan berada tidak jauh dari situ segera datang menyelamatkan keadaan. Beliau menghalang salah seorang daripada tukang gunting itu mengheret tangan saya, dan menyerahkan saya kepada tukang gunting yang seorang lagi.



Kami tidak tahu bagaiamana kesudahannya, andainya polis itu tidak segera datang membantu.



Demikianlah peristiwa itu berakhir dengan menyebabkan kami senyum dan ketawa setiap kali mengingatinya.



Janggut Dalam Islam


Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda tentang janggut, “Hendaklah kamu membezakan diri daripada orang-orang yang musyrik, peliharalah janggut dan guntinglah misai”.



Hadis ini memberi faham bahawa di zaman Rasulullah S.A.W. orang-orang musyrik menyimpan dan membiarkan janggut dan misai mereka menjadi panjang dan tidak terurus dengan baik. Justeru Rasulullah S.A.W. menyuruh para sahabat mengunting misai dan menjaga janggut mereka untuk membezakan diri mereka daripada orang-orang musyrik dan Majusi.



Tapi bagaimana pula dengan hari ini, di mana orang-orang kafir juga menyimpan janggut dengan rapih dan menggunting misai mereka?



Pada menjawabnya, ahli-ahli fuqaha tidak lagi menyuruh umat Islam menyimpan janggut, kerana janggut tidak lagi dapat memebzakan umat Islam dengan orang bukan Islam seperti di zaman Rasulullah S.A.W.



Kesimpulannya, umat Islam hari ini harus menyimpan atau mencukur janggut mereka.



Tapi ulama salaf menggalakkan umat Islam supaya menyimpan janggut mereka.



Namun begitu mereka melarang umat Islam menyimpan janggut dengan tujuan untuk memperagakan diri mereka sebagai seorang yang beriman atau bertakwa.



Di samping itu, panjang janggut juga hendaklah tidak melebihi kadar segenggeman tangan.



xxxxxxxxxxxxi



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

Rumahku, Syurgaku

>> Saturday, October 29, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG





RUMAHKU, SYURGAKU


Memiliki rumah yang besar dan tinggi letaknya adalah lambang kebanggaan dan kemegahan manusia hari ini. Itulah antara sebabnya di kota-kota besar, termasuk ibu negara kita, dihutani oleh rumah-rumah besar dan tinggi-tinggi. Justeru bukit bukau kian sukar untuk diperolehi dan tidak begitu strategik pembinaan di atasnya, maka dibinalah bangunan-bangunan pencakar langit di atas bumi yang biasa, untuk dijadikan lambang kemegahan dan kemewahan itu.



Di bangunan-bangunan tinggi itulah warga kota yang berada membuat istana-istana kediaman mereka. Justeru itulah makin tinggi bangunan itu dibina, maka makin tinggilah nilai dan harga pasarannya. Kemuncak bangunan kediaman mewah yang berpuluh-puluh tingkat tingginya itu harganya lebih mahal daripada rumah-rumah di tingkat bawahnya. .



Sudah tentu para penghuninya mengharapkan mereka akan hidup bahagia di istana-istana yang tinggi dan dihiasai mewah itu. Mereka semua mendamba kebahagiaan di celah-celah rasa kebanggan dengan hidup di kelilingi oleh awan-awan gemawan, bukannya dikelilingi pokok-pokok menghijau seperti di bumi yang rata.



Wahai puteriku!


Bolehkah istana besar dan mewah itu memberi kebahagian kepada mereka? Memberi ketenangan kepada mereka? Memberi keselesaan hidup kepada mereka?



Anda tentu tahu istana yang mereka diami itu bukanlah sedikit harganya, bukan berpuluh atau beratus tinggit, tapi berjuta ringgit, dan biasanya ia tidak dibeli tunai, tapi secara berhutang-hutang, dan dibayar secara bulanan berangsur; dan setiap bulan bukan beratus ringgit, atau beribu ringgit yang perlu dibayar, tapi beratus-ratus ribu ringgit sebulan, dan masanya pula bukan setahun dua, tapi berbelas-belas atau berpuluh-puluh tahun untuk langsai.



Kalau hal ini tidak menimbulkan sebarang keraguan atau kebimbangan terhadap pemiliknya dan keluarga keluarganya, syukur alhamdulillah, kerana dengan itu bererti mereka dan keluarga mereka dapat hidup dengan tenang dan bahagia bersama-sama dengan hutang yang mereka bina sendiri bersama ruamhnya. Tapi kalau ia menganggu ketenangan hidup mereka, khususnya suami yang membiayai pemebelian istana itu, memaksanya untuk mencari dana melunaskan hutang-hutang itu, tentulah sedikit sebanyak akan menguggatkan ketenteraman hidup anda sekeluarga.



Apa akan jadi sepuluh tahun akan datang? Apa akan jadi lima belas akan datang? Persoalan ini mngkin akan menerpa dalam kepala mereka yang terlibat, wahai puteri kesayanganku.



Memiliki istana besar memenuhi bumi, atau menjulang naik mencecah angkasa, atau menjunam ke perut bumi sampai ke keraknya, tidak menjadi masalah utama, kiranya ada kemampuan dan tidak membebankan yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang dan membawa syaitan tinggal bersama di dalam rumah itu dan membolehkan mereka bergerak aktif merosakkan mereka dan keluarga dengan menjadikan rumah mereka sebagai markas pusat operasi mereka yang ampuh.



Wahai puteriku!


Anda hendaklah mengisi rumah anda bukan sahaja dengan memenuhinya dengan segala keindahan-keindahan duniawi yang mempesonakan mata dan menyegar dan menghanyutkan emosi anda dengan rasa megah dan puas lahiriahnya, tapi anda mesti mengisinya dengan sesuatu yang boleh memberi kepuasaan kepada batiniah anda, rohani anda dan jiwa anda. Ini yang selalu menjadi pelupaan kita ketika mengisi rumah.



Tapi malangnya wahai sayang, kita boleh membeli kaca tv yang besar, bukan hanya sebuah, tapi lebih dari sebuah untuk ditempatkan di istana kita dan siarannya akan dibuka sepanjang hari dan malam tanpa henti-henti walaupun penghuni-penghuninya telah diulit mimpi, malah tv itu terus juga berjalan, walaupun pemuja-pemujanya telah lama terlena di hadapan kaca tv.



Anda boleh mengisi istana anda dengan barang-barang antik yang mhal-mahal harganya, yang dipesan dari luar negara, termasuk patung-patung yang berbagai bentuknya, tapi anda terlupa untuk membeli kitab suci al-Quran. Anda melanggan akhbar-akhbar dan majalah-majalah tertentu, dan mengambil masa untuk membacanya, tapi anda tidak ada masa untuk membaca al-Quran.



Anda ada masa untuk membuka komputer bermain games,terutama anak-anak anda, tapi anda tidak ada masa untuk membuka kitab suci al-Quran.



Anda ada masa untuk melayari internert, menonton gambar-gambar porno, cerita lucah, mencari teman dan gewang, tapi terlalu sibuk untuk membuka kitab-kitab agama yang dapat memberi kefahaman yang lebih jelas terhadap selok belok agama anda.



Anda sediakan sebuah kamar khusus untuk beriadah, berkaroke, bererobik dan sebagainya, tapi anda terlupa kamar tempat anak-anak anda belajar agama, dan tempat bersolat? Tak ada, dan tak perlu semua itu.



Sekali sekala anda adakan majlis-majlis jamuan di istana kayangan anda, dan yang anda jemput ialah rakan dan sahabat-sahabat sehaluan dengan anda, yang juga mewah dan berada, dengan melupakan orang-orang susah dan miskin yang ada di bumi di sekitar perumahan anda, sedangkan Baginda Rasulullah melarang orang-orang yang dijemput menghadairi majlis-majlis yang hanya mengundang orang kaya, tapi melupakan orang miskin yang memang memerlukan makan dan minum.



Justeru adalah satu kesilapan besar kalau anda menyangka istana besar anda itu, dan harta kekayaan yang anda miliki akan memberi kebahagian kepada anda dan keluarga anda. Anda hendaklah selalu tunduk ke bumi, dan jangan selalu mendongak ke langit, nanti kaki anda akan terserandung langkah dan anda akan jatuh tersembam muka.



Wahai Sayang!


Di mana letaknya kebahagian itu kalau bukan kepada rumah besar, kereta besar dan harta kekayaan yang timbun menimbun?



Sesungguhnya seorang wanita ahli ibadat, yang solat dan berpuasa jauh lebih mulia daripada seorang wanita ahli dunia yang melupakan solat dan melupakan puasa



Seorang wanita yang membilang buah tasbih dalam menginggati Allah lebih mulia daripada wanita yang menghitung rantai dan cincin beliaan yang dimilikinya.



Seorang wanita yang membilang-bilang jari-jarinya dalam menginggati Allah, jauh lebih tinggi nilainya daripada wanita yang menyurung tarik cincin-cincin emas dan berlian di jari jemarinya.



Seorang wanita yang sering menadah tangannya dalam berdoa, jauh lebih anggun daripada wanita yang sentiasa mengangkat tangan menyapu bedak ke muka dan dan memerah bibirnya dengan gincu.



Seorang wanita yang sering mencecahkan dahinya ke lantai dalam sujudnya kepada Allah lebih mulia daripada wanita yang menekurkan kepala ke bumi kerana menghormati manusia yang tidak beriman.



Tegasnya seorang wanita yang sentiasa mengingat Allah, dalam tidur dan bangunnya, wanita yang selalu menyambungkan dirinya dengan tali Allah dalam gerak dan diamnya lebih mulia, lebih anggun dan lebih terpuji daripada wanita yang memutuskan hubungannya dengan Allah.



Wahai puteriku!


Jadikan dirimu seorang Mukminah yang beriman dan bertakwa yang menjunjung segala perintah-perintah Allah dalam segala suasana.



Sebagai seorang Muslimah, anda sayangkan rumah anda, istana anda, tapi dalam batas-batas ketentuan yang telah disediakan Allah dalam wadah iman dan takwa.



Dengan itu rumah anda akan menyintai anda, menyayangi anda dan mendoakan anda untuk berbahagia di dunia dan akhirat.



Sebaliknya jangan jadikan rumah anda memusuhi anda, selalu mengutuk anda, menyumpah anda dan mendoakan anda supaya pergi dari sisinya tanpa kembali-kembali lagi, kerana anda seorang yang melupakan Allah dan menderhakai Allah SWT.



Wahai Sayang!


Jangan engkau lupa pada manusia yang dinamakan Karum yang hidup mewah dan membangga-bangga harta kekayaannya di zaman Firaun, dan akhirnya Allah membenamkan dia ke dalam perut bumi, dan terus menetap di sana sampai sekarang yang menjadi lubang penyeksaan untuknya.



Jangan engkau lupa kepada kaum-kaum masa yang lalu yang bijaksana dan pandai, yang kaya raya, tinggal di rumah-rumah yang besar dan mewah semuanya dimusnahkan oleh Allah kerana mereka menjadi umat yang menderhaka kepadaNya.



Wahai puteriku!


Jjadikan rumahmu, syurga, dan jangan jadikan rumahmu, neraka, kelak kamu akan menderita di dunia di akhirat.



Rumahku, impianku, dan rumahku syurgaku yang menjadi pengakalan anda di dunia untuk memasuki syurga di akhirat nanti.



Wahai Puteriku!


Ingatlah seorang wanita yang bersolat lima kali sehari semalam, berpuasa dan sentiasa berzikir kepada Allah di gobak-gobak di pinggir sawah lebih berbahagia daripada wanita yang tinggal di istana-istana besar yang dilayan oleh inang dan dayang-dayang.



Wahai sayang, adakah anda sedar bahawa kebahagian itu tidak seperti sangkaan kebanyakan orang, terletak rumah besar, istana kayangan, kereta mewah, dan di atas timbunan wang ringgit, tapi ia terletak pada hati, iaitu hati yang beriman dan bertakwa, hati yang sentiasa dibasahi oleh rahmat Allah yang sentiasa melempah ruah ke atas insan yang berhati mulia.



Berapa ramai isteri-isteri yang hidup mewah di sisi suami yang kaya raya, tapi tidak pernah merasa nikmat kebahagian hidup, tidak pernah merasa ketenteraman hati dan jiwanya, malah menyebabkan mereka berada dalam keresahan dan kegelisahan yang merosakkan kebahagian hidup mereka.



Ada wanita, isteri seorang lelaki yang kaya raya, tapi tidak pernah merasa bahagia di samping suaminya, kerana suaminya selalu sibuk dengan urusan-urusan hartanya, meninggal dia keseorangan dalam kesepian macam tunggul mati di istana kayangannya, dan kerana merasa amat tertekan lalu berusaha untuk berpisah dengan suaminya.



Ada wanita, isteri kepada seorang lelaki yang berada, hidup mewah, tapi hatinya selalu berada dalam keragu-raguan, kerana suaminya selalu menghamburkan wangnya tanpa mengira keperluan. Tindakan lelaki itu memberikan wang seberapa banyak pun yang diminta oleh anak-anaknya yang masih kecil dan berada di bamgku sekolah amat mencemaskannya, kerana dia merasa bimbang wang yang banyak itu akan merosakkan anak-anaknya. Dek merasa terlalu tertekan, dia pernah memohon untuk berpisah dengan suaminya demi masa depan anak-anaknya.



Dan banyak lagi kisah-kisah seperti itu yang menunjukkan ketidakbahagiaan wanita kerana wang dan harta kekayaan, dan kerana mereka telah memutuskasn dirinya dengan tali Allah, dan hanyut dalam wadah keduniaan yang melekakan.



Wahai Sayang!


Rumah anda banyak menyimpan rahsia anda, rahsia kebahagiaan anda, rumah anda adalah syurga anda, kerana itu berhati-hatilah ketika anda hendak meninggalkan rumah anda. Jangan tinggalkan rumah anda, tanpa tujuan yang wajar, semata-mata kerana untuk memuaskan nafsu anda, untuk bersama kawan-kawan yang akan mengheret anda ke lembah neraka kerana melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral.



Bahagialah orang-orang yang membina rumahnya dengan keimanan dan takwa, walaupun ianya merupakan sebuah gobak usang yang di dalamnya memancar dengan aura keimanan dan ketakwaan yang menjadi pakaian orang-orang yang beriman.



Jangan jadi seperti Firaun yang tidak beriman itu, memeritnah pembesar-pembesrnya supaya membina sebuah bangunan tinggi mencecah langit, untuk membolehkannya melihat Tuhan Nabi Musa yang dimusuhinya, dan kemudiannya, dia sendiri kerana keingkarannya itu telah terbunuh ditelan laut yang bergulung-gulung kerana kekafirannya kepada Allah,



Rumah anda adalah syurga anda, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya dengan bunga-bunga iman dan takwa yang sentiasa semerbak mewangi di seluruh rumah anda.



Itulah rumah yang bahagia, yang sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah yang meliputi hati seluruh penghuninya, di mana anda adalah ibu surinya yang unggul yang menjadi pusat impian seluruh keluarga anda.



Hiduplah dengan iman dan takwa baik anda tinggal di istana kayangan atau di gobak usang, kerana keimanan dan ketakwaan itu dapat menenangkan jiwa anda, dapat membahagiakan anda, membuat anda reda dengan apa yang Allah kurniakan kepada anda, sebuah istana atau sebuah gobak, tanpa merasa bangga memiliki harta yang bertimbun-timbun atau tanpa tamak dan haloba untuk memiliki harta berkarun-karun tanpa mengira dari hasil usaha secara halal atau haramnya.



Ada yang baiknya dipetik kata-kata seorang jutawan ketika dia berbicara mengenai harta kekayaannya, “Saya mempunyai harta yang banyak. Tinggal di rumah besar. Saya tidak lagi perlu bekerja, harta yang saya miliki itulah yang bekerja mencari harta untuk saya. Penambahan sebarang kekayaan terhadap harta saya yang sedia ada itu tidak apa-apa makna lagi keapda saya. Kalau hari ini saya makan sepinggan nasi, kalau harta saya bertambah pun, saya makan sepinggan nasi juga. Kalau hari ini saya merasa sakit kerana ditimpa penyakit, dan kesakitan itu akan saya rasai juga walaupun harta saya terus meningkat dari masa ke masa. Harta tidak dapat mengubah apa-apa keadaan saya sekarang. Kalau harta saya tak menambah pun, saya boleh terus hidup juga, sampai mati pun harta itu tidak akan habis-habis saya gunakan”.



Amin! Semoga anda berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat.



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Seja,bak Mahabah,Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP