"Berjuang" Untuk Kemerdekaan Bangsa Dan Tanah Air

>> Monday, February 28, 2011




BERJUANG” Untuk Kemerdekaan Bangsa dan Tanah air


BERJUANG ialah sebuah majalah yang diterbitkan pada tahun 1946. Bilangan pertamanya diterbitkan pada 1 Jun 1946, dalam tulisan rumi, berharga 50 sen tertera pada muka hadapannya.


Sidang Pengarangnya terdiri daripada:


1.Mohd Mustaza


2.Mudasari


3.A.Ghani Ishak


4.A,Ghany Isaqdy


Pembantu Tetap:


1.T.C.Lengkeng


2.Samadi Tan


3.H.A.Nuruddin


Tujuan majalah ini diterbitkan ialah sebagaimana terdapat dalam “Kata Pengarang”nya antara lain ialah, “Sebabnya yang kita pilih nama ‘BERJUANG” yang sudah pun menggemparkan segologan pehak pemerintah, tak lain lagi, ialah kerana kita mahu mengajak dan menunjuk jalan kepada Bangsa kita supaya BERJUANG menentang kuasa-kuasa penjajah [imperialis], pemodal [kapitalis] dan kuasa tangan besi [Fascist] baikpun daripada Barat ataupun Timur dengan berasaskan kedaulatan rakyat [demokrasi].


“Berhubung dengan ini, di dalam tiap-tiap keluaran kita ada muatkan beberapa makalah-makalah dan pesanan-pesanan pemimpin-pemimpin dan ahl-ahli bijak pandai bangsa yang merdeka supaya boleh digunakan sebagai pedoman di dalam melaksanakan cita-cita suci kita.


“Kita mahu Bangsa kita Hidup MERDEKA dan mati BERJASA, MERDEKA dan TETAP MERDEKA”.


Moto BERJUANG ialah “Untuk kemerdekaan bangsa dan tanah air” terletak di bawah tajuk ‘BERJUANG”.


Ia mengandungi 20 muka bersama kulitnya. Di kulit hadapannya dihiasai dengan gambar Presiden Indonesia, Ir. Sukarno, bersama-sama dengan kata hikmatnya buat waktu itu berbunyi, “.......Kasikanlah padaku 1,000, 10,000, 100,000 bahkan 1,000,000 orang tua, maka dengan semilion orang tua itu saya paling banyak bisa memindahkan Gunung Gede dari tempatnya yang sekarang ini, dari sana ke sini, tapi kasikanlah kepadaku 1,000, 100, bahkan 10 orang pemuda, tapi yang hatinya betul-betul berkobar-kobar dengan jiwa pemuda maka saya boleh menggemparkan dunia”.


BERJUANG bilangan pertama itu dimuat dengan beberapa buah rencana, antaranya hasil pena tokoh-tokoh anah air, iaitu Ahmad Boestaman [Ketua A.P.I] dengan tajuk “Berjuang Sampai Hasil Cita-cita”, Ibrahim Ya’akob dengan tulisan berjodol “Terbenam 400 Tahun”.


Ia juga memuat beberapa potongan kata-kata hikmat Dr. Burhanuddin bersama dengan potretnya dan sedikit pengenalan mengenai tokoh tersebut oleh pengarangnya, dengan katanya, “Dr. Burhanuddin ialah seorang putera Melayu yang sangat cinta kepada Bangsa dan Tanah airnya. Beliau telah melawat beberapa negeri asing dan telah memegang Diploma M.D. [Homeo] daripada sebuah sekolah tinggi yang terkenal di India tetapi oleh kerana didorong oleh desakan semangat cinta kepada Bangsa dan Tanah air, beliau pada masa ini mengutamakan “ilmu perubatan” yang dituntutnya itu untuk mengubatkan “penyakit” Bangsa dan Tanah airnya. Beliau juga seorang ahli di dalam Agama Islam dan boleh bertutur beberapa bahasa asing termasuklah Bahasa Arab”.


Ia juga memuat rencana mengenai Bahasa dan puisi yang masing-masing berjodol “Jiwa Bercinta” leh O. Shawli dan “Indonesia Yang Esa” oeh Ghainy Ishaqdy.


Di sini saya petik sebuah rencana oleh seorang tokoh pejuang, Ibrahim Yaacob yang dimuat di muka surat 7, BERJUANG.


“Terbenam Empat Ratus Tahun”.


Angkatan Melayu Muda Wajiblah Bekerja Dengan Segala Tenaga Dan Daya Upaya


“Sungguhnya 10 haribulan 8 adalah menjadi tarikh yang amat menyedihkan kerana pada tarikh itu dalam tahun Masehi 1511 jatuhlah Mahkota Sultan Melaka dikalahkan oleh Pertugis. Daripada hari itu Tanahair dan Bangsa kita porak peranda. Melaka yang menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera, Brunei dan pulau-pulau di Selatan Singapura serta di Laut China Selatan telah jatuh. Dari semenjak itu timbullah dua peperangan yang besar di tanah air kita ini, iaitu:


1]Perjuangan menentang kuasa-kuasa Eropah yang telah bertubi-tubi tibanya kemudian daripada kejatuhan Melaka dan tempat itu jadi tumpuan kuasa Barat, dan


2]Peperangan saudara antara pembesar-pembesar atau wakil-wakil Sultan Melaka yang masing-masing tidak mahu menyembah kepada keturunan Sultan Melaka dan hanya hendak beraja sendiri. Dengan keadaan yang demikian bangkitlah kerajaan-kerajaan kecil di tiap-tiap satu sungai yang besar dan tiap-tiap seorang raja ini keadaannya berperang pula sama sendiri.


Umat Melayu Raya menjadi huruhara, berpecah belah dan tidak bersusun baik oleh sebab terlalu banyak raja dan terlalu banyak kerajaan yang kecil-kecil. Empat ratus tahun lamanya umat kita menderita, menderita kacau, menderita kejatuhan dan menderita kehinaan.


PENJAJAH EROPAH


Dalam hal yang demikian kuasa Barat, khasnya Inggeris dan Belanda telah menggunakan peperangan saudara di kalangan umat Melayu untuk menguasai dan mempengarui negeri kita ini dan mendatangkan dasarya “pecah-pecah dan kemudian perintah”. Kuasa Inggeris di Malaya bukannya saja memecahkan negeri Melayu ini dalam beberapa kerjaan dan puak yang kecil-kecil, tetatpi juga Singapura yang telah diambilnya dengan tipu muslihat telah dijadikannya pelabuhan terbuka untuk menyempurnakan “dasar pintu terbuka” yang dijalankannya. Maka timbullah dua desakan yang besar lagi pada umat Melayu yang sedang berserak dan berpecah-belah itu, iaitu:


1]Desakan orang dagang, dan


2]Desakan modal dan putar belit daripada luar negeri.


TIMBUL ATAU TENGGELAM


Akan tetapi, apa yang telah terjadi itu ialah menjadi pelajaran yang amat baik kepada umat ialah satu soal yang wajib dkaji sekarang. Kiranya kita yang telah terbenam selama 400 tahun itu timbul semula?”. Soal ini menjadi suatu pertanyaan yang satu-satunya wajib dihalusi, wajib difikirkan dengan cermat oleh tiap-tiap seseorang daripada kita, terutamanya gulungan orang-orang yang berpengatahuan tiap-tiap segi, tiap-tiap penjuru dan sudut pertanyaan ini, sehinggalah dapatlah kita suatu pengertian atau susunan yang akan menentukan nasib bangsa kita sama ada timbul atau terbenam selama-lamanya.


Akan tetapi mustahil umat kita boleh timbul lamun jikalau kita sendiri tidak kuasa timbul, kita sendiri tidak mahu menyumbat membetulkan yang pesok dan yang pecah berlubang di antara pergaulan dan kumpulan umat kita, kita sendiri tidak sudi mendengar petunjuk Allah yang telah menunjukkan jalan-jalan yang suci kepada kaum kita untuk bekerjasama dengan sebulat-bulatnya bagi menimbulkan semula kaum kita yang telah rusak binasa. Sebab itu segala-galanya tergantung kepada kita sendiri.


PEMUDA HARAPAN BANGSA

Adapun harapan yang digantungkan bagi pekerjaan umat ini ialah terutamanya pada orang-orang muda, tetapi orang-orang tua wajib jugalah memberi sokongan dan segala tenaganya sama serta menunjukkan jalan yang sempurna dan sayugianya tidaklah hendak memecah-mecahkan keadaan kita.


Tisp-tiap orang kita mesti mempunyai persatuan batin atau persatuan hati menuju kepada satu tujuan iaitu mengumpulkan tenaga dan dayaupayanya bangsa kita untuk kemenangan kita.


Daya upaya dan tenaga yang kuat tidak akan diperolehi melainkan dengan ikatan yang satu, sekurang-kurangnya di antara umat kita yang hampir tiga milion di Malaya, bahkan akan bertambah kuat lagi manakala umat Melayu yang hampir 80 milion di Tenggara Asia ini boleh menyatukan segala tenaga dan daya upayanya


PEMIMPIN BEKERJA DIKEHENDAKI


Adapun kaedah mendapat suatu ikatan yang teguh bagi kaum kita tidak akan diperolehi lamun jikalau umat kita masih terlalu banyak cadangan dan terlalu banyak fikiran, walhal tidak ada yang dikerjakan satu pun daripadanya; hanya yang banyak ketua-ketua cadangan dan pemimpin-pemimpin fikiran, sedangkan yang dikehendak sangat-sangat sekarang- sekarang juga – ialah pemimpin-pemimpin bekerja supaya dapat kita tumpukan segala pekerjaan-pekerjaan kita untuk meneguhkan usaha-usaha yang telah dan sedang kita buat, kerana nasib diri kita seseorang semata-mata bergantung kepada nasib bangsa kita sendiri”.


Sekian”.


Tidaklah dapat dipastikan berapa lamakah majalah ini telah diterbitkan atau sebilangan berapa. Dalam Koleksi saya hanya sebuah itu sahaja.


Semoga pendedahan ini memberi manfaat kepada para pengkaji dan peminat-peminat sastera.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalong Harmoni.



Read more...

Alahai Dari MRSM Kota Putra

>> Friday, February 25, 2011


ALAHAI Dari MRSM Kota Putra


[Baru-baru cucu saya, Nik Nur Syafiqah Zaini-“Kakak” telah mengirim SMS kepada saya bertanya khabar, dan bersama dengan itu disisipkan sebuah lagu ciptaannya berjodol "Alahai 1A". Lagu itu telah didendangkannya bersama-sama kumpulanya semepena dengan Malam Kebudayaan Tingkatan 1, Minggu Aktiviti Maktab Rendah Sains Mara, Kota Putra, Besut Terengganu. Kakak berada dalam Tingkatan Satu, mengikuti pelajaran akademik dan juga menghafal al-Quran].


Saya sisipkan pula lagu ini di sini untuk dikongsi bersama.


ALAHAI 1A !!!


Asalamualaikum, #


Kami ucapkan #


Kepada tuan puan ,#


Hadirin sekalian,#


Boria 1A kami persembahkan, #


Janganlah malu ataupun segan .#


Ewah!!!!!!! *


Inilah kisah student 1A,#


Sentiasa ceria setiap masa,#


Tiada yang skema spoting belaka,#


Kelas kami biasa #


Tapi student luar biasa *


Ha ha ha ha!! *[korus]


Muaz Maiyidin presiden kelas kami,*


Bila dia buat lawak semua geli hati,*


Orangnya murah hati dan berdedikasi,*


Time dia serius jangan didekati.*


Vice presiden kami namanya Ummi*


Orangnya sangat cantik juga berbudi,*


Dia sangat tegas tapi baik hati,*


Bila marah sikit apa-apa boleh jadi,*


Oooooo!!!*


Syarifah Natasya ahlong kelas kami,*


Kalau pasal duit no kompromi,*


Kutip duit macam ceti setiap hari,*


Siapa yang tak bayar baik cepat lari.*


Aaaaa!!!!*


Aeroposmen kami,#


[aeroposmen kami],*


Namanya Hayyi,#


[namanya Hayyi],*


Sangat slipy setiap hari,*


Siapa tak kenal Hayyi Oii.*


Irshad Zul Izzat dipanggil Izzat only,*


Sangat talktetive honey bunny teacher Aimi,*


Bila dia berdiri kakinya bergerak sekali,*


Bila dia menyanyi semua ikut sekali.*


Cewah!!!!!*


Kepada semua guru,#


janganlah ambil hati,#


jika kami semua, #


buat problem lagi.#


We’re# sorry!!*


#:solo


*:semua

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


Read more...

BERTUDUNGLAH! Kenapa Mesti Bertudung?








Bertudunglah! Kenapa Mesti Bertudung?


Persoalan pakaian wanita, khususnya wanita Islam ialah persoalan yang universal, yang hidup di segenap tempat dan masa, dari sejak dahulu hingga sekarang. Dan persoalan ini tidak akan kering-kering dibicarakan di masa-masa akan datang selagi dunia berkembang.


Salah satu topik penting yang sering dibicarakan ialah mengenai pakaian yang menutup aurat wanita, dan salah satu daripadanya ialah pemakaian tudung kepala yang menjadi tajuk mahkota kaum wanita.


Baru-baru ini ketika mengemas-ngemas buku saya terbaca sebuah rencana dalam sebuah fail di rumah saya yang diterbit secara sikolstil. Berdasar kertasnya yang telah lusuh dan berubah warna saya duga usianya telah lebih dari 30 tahun. Rencana itu berjodol “Pakaian Wanita Islam”. Jutseru sebahagian besar daripada kandunganya masih relevan dengan hari ini, maka rencana tersebut saya titipkan dalam Blog ini sebagai gratis kepada pembaca sekalian.


Oleh pada pada rencana tersebut tidak terdapat nama penulisnya, maka tidaklah diketahui hasil karya siapa, yang saya percaya diedar secara percuma pada waktu itu yang telah saya lupa tarikhnya. Didoakan semoga Allah mengurniakan pahala untuk penulisnya. Amin.


Pendedahan Aurat Diharamkan


“Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 55 yang bermaksud,“Apakala kamu memohon sesuatu dari isteri-isteri Rasulullah hendaklah kamu pohon dari sebalik hijab [tabir]”.


Allah berfirman di dalam al-Quran, pada ayat 59, Surah alAhzab yang bermaksud, “Wahai Nabi, suruh isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu, serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuhnya [semasa mereka keluar]:Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal [ sebagai perempuan yang baik-baik] maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan [ingatlah ] Allah adalah amat pengampun lagi amat mengasihani”.


Pengharaman ini bukan bermakna menyempit dan membelenggu wanita Islam dari bergerak bebas di dalam batas-batas yang dibenarkan kepadanya, dan juga tidak bermakna Allah tidak menghargai kejujuran wanita, tapi adalah kerana sifat kemuliaan Allah S.W.T. dan kasih sayangNya kepada kaum wanita itu sendiri supaya tidak dicerobohi oleh anasir yang tidak bertanggungjawab.


Apakah Aurat Menurut Islam?


Allah S.W.T. berfirman dalam Surah An-Nur, ayat 30 dan 31, menjelaskan,”Katakanlah [wahai Muhammad] kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka [daripada memandang yang haram], dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka [daripada memandang yang haram], dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua atau tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.


Pendedahan Aurat Di Malaysia.


Di mana-mana sahaja di Malaysia hari ini kita dapat lihat wanita-wanita Islam kita dengan tidak silu dan malu telah mendedahkan aurat mereka di khalayk ramai. Dengan pakaian-pakaian terbelah di sana sini, dengan fesyen rambut yang berbagai bentuk dengan aneka jenis alat perhiasan di badan, ini menunjukkan seolah-olah larangan Islam tidak dipedulikan langsung.


Pendedahan aurat di kalangan wanita Islam hari ini adalah disebabkan oleh tiga faktur besar yang melingkungi mereka. Faktur-fakur itu ialah kelemahan ibu bapa, tekanan peraturan-peraturan dan pengaruh sekitar.


A]Kelemahan Ibu Bapa


Ini bermakna kurang perhatian ibu bapa dan kurang mengambil berat di kalangan ibu bapa terhadap anak-anaknya. Ini mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan ibu bapa tersebut mengenai aurat dalam Islam, atau kerana cuai dan tidak tegas di kalangan sesetengah ibu bapa yang berpengetahuan agama. Kadang-kadang tokoh-tokoh agama juga tenggelam dalam arus ini.


B]Tekanan Peraturan


Atas alasan untuk menseragamkan pakaian-pakaian pekerja-pekerja di sebuah intitusi atau jabatan, jururawat-jururaat wanita, anggota-anggota pasukan keselamatan dan tentera dan pekerja-pekerja wanita di beberapa badan swasta yang tertentu, kerana tak tahu haram atau tidak haram, terpaksalah mereka melanggar dan tidak mematuhi perintah-perintah Allah dan Rasulnya.

[Di samping itu artis-artis wanita yang bertudung juga mendapat tekanan hebat daripada pengusaha-pengusaha drama atau filem yang menghendaki mereka membuka tudung untuk diselraskan dengan watak-watak dalam cerita mereka. Justeru itu ada di antara mereka yang terpaksa mengikut kehendak pengusaha filem tersebut untuk memperolehi pendapatan, tapi sebaliknya ada pula yang berani bertegas dan rela tidak berlakon atau muncul di kaca tv dengan menelanjangkan kepala yang telah mereka tutup dalam kehidupan sehari-hari.


Pelakon Catriona pernah meluahkan rasa terkilan hatinya kepada wartawan Hartati Hassan Basri terhadap pengusaha-pengusaha drama yang menawar beliau berlakon tapi dengan kepala yang telanjang tidak tertutup. Justeru itu katanya beliau menolak tawaran tersebut.


Katanya, “Saya tegaskan kepada mereka, saya bertudung bukan kerana fesyen tetapi inilah penampilan saya kini selepas diberi hidayah untuk berhijrah ke arah lebih baik. Tapi saya kerana ada pihak yang memperlekehkan penampilan ini dengan meminta saya membuka tudung”


“Bagi saya rezeki daripada Allah dan tidak pernah rasa dengan bertudung saya tidak boleh meneruskan kerjaya lakonan”. Tegasnya.


Kita harap beliau dan juga rakan-rakan artis yang bertudung akan terus dengan sikapnya yang tegas itu untuk bertudung buat selama-lamanya, kerana itu merupakan satu kewajipan wanita-wanita Islam yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.


Selain dari Catrion, pelakon-pelakon lain yang sering kelihatan bertudung ketika di khalayak ialah Shella, dan Aida Khalida, Noor Kumalasari.-TambahanBlogger PR].


C]Pengaruh Sekitar


Pengaruh sekitar ini berasal dari “Dasar Pembebsan Wanita”. Kononnya yang sedang diperjuangkan oleh pertubuhan pembebasan wanita dunia [The Women Lib] dengan hebatnya sekarang di dunia barat. Pengaruh sekitar ini terjelma dalam beberapa upacara, ada yang berselindung di sebalik kata-kata “kebudayaan” dengan mempertunjukkan tarian yang mendedah aurat atau dari sesuatu pesta yang dikenali dengan ratu cantik, ratu sanggul, dan berbagai-bagai ratu lagi dan tidak juga peranan akhbar, majalah dan televisyen yang menyajikan gambar-gambar lucah, yang umumnya mengheret beliawanis Islam ke arah pelanggaran dan pencabulan hukum-hukum Islam.


[Dalam hal ini pemimpin-pemimpin wanita kita yang beragama Islam, di setiap peringkat hendaklah memberi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dengan tidak sewenang-wenangnya melanggar hukum Islam yang memerintahkan kaum wanitanya menutup aurat, di mana salah satu daripadanya ialah menutup kepala dengan tudung, dan dengan itu mereka akan terselamat dari laknat Allah, Tuhan seru sekalian alam.-Tambahan Blogger Pondok Rahmat.].


Tidak bertudung ertinya menghina agama Islam



Masa Bertindak


Kita percaya bahawa penjelasan yang dipaparkan itu telah menimbulkan kesedaran di kalangan kita orang Islam baik di tingkat mana kita berada, samada sebagai suami, ibu bapa, sebagai penganjur atau pemimpin, bahawa kita adalah bertanggungjawab dalam meluaskan pencabulan ke atas perintah Allah dan RasulNya mengenai pendedahan aurat wanita-wanita ini.


Dan kesedaran ini tidak cukup tanpa usaha-usaha dan tindakan yang segera dan berkesan dapat dilaksanakan. Tindakan ini hendaklah bermula dari dalam diri sendiri, kemudian kepada anak-anak dan seterusnya kepada orang-orang di bawah kekuasan kita, berasaskan di perigkat mana kita berada.


Bagi seorang suami wajib ia menyuruh isteri dan anaknya menutup aurat. Bagi seorang ibu dia harus menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anaknya. Bagi seorang penganjur tidak harus menganjurkan peraduan-peraduan atau pertunjukan-pertunjukan yang mendorong wanita-wanita mendedahkan auratnya, dan seterusnya bagi seorang pemimpin yang berkuasa hendaklah menyesuaikan peraturan-peraturan pakaian seragamnya supaya mencerminkan ajaran Islam yang maha suci.


[Kepada para ibu bapa pula mereka hendaklah bertegas dengan anak-anak mereka dalam soal pakaian, pastikan mereka bukan sahaja bertudung, tapi bertudung dengan sempurna dan berpakaian menutup aurat. Asuhlah anak-anak dari sejak kecil lagi supaya memahamainya. Di samping itu ibu bapa hendaklah memberi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak mereka, bukannya menjadi seperti “ketam menyurh anaknya berjalan betul”. Sedangkan pendidikan menerusi contoh tauladan lebih berkesan daripada kata-kata, lebih-lebih kata-kata kosong”.Tambahan Blogger Pondok Rahmat.]


Selagi kita umat Islam tidak sanggup mengubah sikap dan pandangan kita yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam, maka selagi itu kita akan hanyut, terumbang-ambing dipukul arus “Jahiliah moden” di zaman sains dan teknologi yang sangat-sangat dibanggakan ini. Dan selama itulah kita hidup dalam kemurkaan, dan kutukan Allah di dunia dan di Akhirat seperti yang dirasai oleh Bani Israil, sebagaimana jelas dari firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 85 yang bermaksud:


“.............Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian [dari isi] kitab Taurat dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan [ingatlah] Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”


Kita menaruh kepercayaan penuh bahawa semua orang Islam, terutama mereka yang selalu mendabek dada kononnya mereka yang kuat memperjuangkan Islam, tidak akan lagi mengeluarkan pendapat-pendapat yang bercanggah dengan ajaran Islam mengenai pakaian wanita ini. Malah dengan penuh keinsafan berikhtiar supaya pendedahan aurat di kalangan wanita Islam tidak berleluasa dan akhirnya dapat dihapuskan.


Islam hanya menyuruh wanita-wanitanya menutup aurat mereka dan penutupan aurat itu boleh dibuat dengan fasyion pakaian yang termoden sekali walau pun dari kain sutera yang mahal harganya. Dalam perkara ini pakaian wanita Melayu yang tradisional lengkap dengan kain kelubung kepalanya adalah memadai.


Tulisan itu di akhiri dengan sebuah Hadis dalam tulisan Jawi dan lakaran gambar seorang wanita yang bertundung yang bermaksud,” Wahai anaku Fatimah! Ada pun perempuan-perempuaamn yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup akan rambutnya daripada dilihat oleh lelaki [yang bukan suami dan muhrim]”

[Justeru itu mana-mana wanita Islam yang masih belum bertudung, segeralah bertudung, dan bertudung hendaklah dengan sempurna menutup kepala dengan sebaik-baiknya tidak membiarkan rambut terjueh di sana, terjueh di sini, terjuntai-juntai macam lalang ditiup beliung.


Kalau sekadar bertudung hanya untuk tujuan berfesyen sahaja, tidaklah bererti, kerana bertudungnya nanti tak betul, tak cukup syarat, nanti ada bahaigan kepala itu terbuka di sana, terdedah di sini, atau rambut hanya dibungkus dengan sehelai skuf kecil sahaja sebagai syarat bertudung, dengan rambut bergerbang juga.


Janganlah ikut sesetengah wanitanya memang bertudung elok mengikut syarak, tapi pakaiannya pula tak senonah, terkoyak di sana, terdedah di sini, ketat dan sendat macam pembungkus buah nangka, memaparkan bentuk badan yang berlurah, berliku, dan membengkak serta membayangkan kulit di badan, membuka dada yang seharusnya ditutup.


Berpakaian saeperti ini adalah haram dan dilaknat oleh Allah yang mewajibkan wanita berpakaian sopan dan menutup aurat.


Sebuah Hadis meriwayatkan Rasulullah saw. telah menegur Asma’ Abu Bakar yang waktu itu berpakaian yang nipis, sabda Baginda saw., “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haid [umur baligh]. Tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini....” [sambil] Baginda Rasulullah menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda”.HR:Abu Daud.-Tambahan Blogger Pondok Rahmat.]


xxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

Ketawa Membawa Bencana Rohani & Jasmani-dikemaskini pada 26 Februari 2011

>> Wednesday, February 23, 2011


KETAWA menempah bencana rohani & jasmani?


Tanya diri sendiri apakah kita ini jika dibandingkan dengan jagat raya yang begitu besar, tidak diketahui di mana mula dan di mana hujungnya?


Keadaan kita seperti sebutir zahrah yang amat seni yang tidak bererti apa-apa berada di alam semesta. Sebiji zahrah yang berterbangan di sapu angin hingga melayang-layang di segenap ceruk dan rantau, ke hulu ke hilir, ke darat ke laut, ke langit ke bumi, ke lurah dan le jurang, ke sungai dan ke tasik...malah ke mana-mana sahaja.


Kadang-kadang sebahagian daripada zahrah-zaharah itu jatuh ke puncak gunung rahmat, dan sebaliknya ada pula terdampar dalam selut dan lumpur kekotoran yang busuk dan hanyir, dan terus terbenam di situ tanpa terangkat-angkat lagi hingga terlempar di kaki Maha Pencipta dengan keadaan berbalut lumpur kotor yang mengeluarkan bau yang amat busuk.


Dalam keadaan yang kotor berlendir itulah zahrah-zahrah itu akan diletak di atas neraca keadilan yang Maha Adil untuk penentukan nasibnya, ke lubang neraka atau ke tasik syurga yang keadaannya kekal dan abadi buat selama-lamanya?


Hitung-hitungkanlah diri kita sebelum kita dihitung. Timbang-timbangkanlah diri kita, sebelum kita ditimbang. Hisab-hisablah diri kita sebelum kita dihisab.


Biasanya kita memiliki seuntai tasbih untuk membilang zikir dan tahmid yang kita lakukan ke hidarat Allah setiap hari. Dan kita merasa gembira dengannya. Tapi rasanya kita tidak cukup dengan hanya memiliki seuntai tasbih. Kita perlu memiliki seuntai tasbih lagi untuk menghitung-hitung segala kemunkaran-kemunkaran kita terhadap Allah, khususnya berupa perbuatan-perbuatan kita yang tidak comel yang telah kita lakukan setiap hari?


Kalau setiap hari kita hanya melakukan sebuah kemunkaran, dalam setahun kita telah melakukan lebih daripada 363 dosa, bagaimana kalau 10 tahun? Jawabnya 3,630 dosa, dan berapa banyak pula dalam masa 30 tahun, atau dalam usia kita 70 tahun ? Itu baru satu dosa untuk satu hari. Tapi kalau yang kita lakukan itu 10 atau 15 dosa sehari berapa banyak?


Kita mesti sudah tahu apakah perkara-perakara berdosa yang dilarang kita melakukannya? Sebaliknya kita juga sudah tahu perbuatan-perbuatan baik yang boleh mendatangkan pahala, iaitu menunaikan kewajipan-kewajipan yang diperintahkan oleh Allah kepada kita.


Di samping itu ada pula perkara-perkara yang perlu kita jauhi untuk mengelak hati kita daripada gelap berkarat dan tidak dapat mengenali Allah lalu melakukan apa sahaja yang kita sukai, tanpa teringatkan Allah.


Di antara perkara yang merugikan itu ialah KETAWA, iaitu ketawa yang melampaui batas.


Kenapa Ketawa?


Kenapa ketawa? Seseorang ketawa kerana dirangsangkan oleh sesuatu yang datang dari luar dirinya atau sesuatu yang datang dari dalam dirinya sendiri. Kerana itu ketawa itu mencerminkan keadaan hati seseorang, dan keadaan hati itu pula menjadi cermin kepada jiwa seseorang. Bagaimana hatinya, begitulah jiwanya.


Bila seseorang itu ketawa, maka berlakulah perubahan pada fizikalnya yang melibatkan beberapa anggota, seperti muka, jantung dan dada yang meletakkannya dalam tegang dan kendur yang terlibat dalam proses ketawa itu.


Seseorang itu ketawa bila hatinya diselimuti oleh kesenangan, kegembiraan atau kepuasaan kerana kehendak-kehendak peribadinya telah tercapai atau dipenuhi yang menjadi pendorong kepadanya untuk ketawa.


Namun ada juga ketawa seetengah orang yang dapat dijadikan cermin hati atau keadaan jiwanya yang sebenar. Mereka hanya pura-pura ketawa untuk menyembunyikan keadaan hati dan jiwanya yang sebenar. Mereka mendustai diri sendiri untuk menipu orang sekitarnya, kerana waktu mereka sepatutnya bersedih atau menangis tapi sebaliknya mereka ketawa-ketawa terbahak-bahak. Ada perbezaan yang jauh antara ketawa sengoti [sungguh hati] dengan ketawa yang dibuat-buat. Ada seseorang telah terjatuh, lututnya tecedera, menyebabkan dia tak boleh berjalan kesakitan, dan dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba dia ketawa terbahak-bahak, adakah anda fikir ketawanya itu jujur dan dapat menjadi cermin jiwanya?


Kajian


Satu kajian telah dibuat mengenai ketawa dan kesan-kesannya kepada kesihatan seseorang. Yang membuat kajian itu ialah Dr.William A.Fry Jr. Pada masa itu beliau adalah seorang penyiasat sains di Stanford Universiti, California.


Hasil kajian itu beliau telah membuat kesimpulan awal bahawa ketawa boleh menganggu kesihatan seseorang, terutama kepada orang-orang yang mungkin terdedah kepada penyakit-penyakit jantung dan penyakit-penyakit pernafasan.


Ini memanglah wajar kerana ketika seseorang itu ketawa beberapa anggota penting turut terlibat, antaranya jantung dan pembuluh darah, kerana itu ketawa mempunyai kesan terhadap anggota jasmani seseorang. Justeru itu kepada kanak-kanak ketawa itu amat penting sebagai satu cara untuk membina kesihatan jasmani dan ruhani mereka.


Beliau membuat kesimpulan awal itu setelah selesai melakukan penyiasatan terhadap 100 orang sukarelawaan yang telah diperdengarkan dengan rakaman lawak jenaka yang menggelikan hati.


Dalam penyiasatan itu, Dr.William telah mengguna sejenis jentera yang disambungkan kepada sukarelewaan-sukarelewaan itu dengan seurat wayar utuk mengetahui riaksi mereka bila mendengar rakaman lawak jenaka itu.


Walau bagaimana pun menurut beliau kajian-kajian yang lebih lanjut perlu dilakukan untuk mendapat jawapan yang lebih konkrit terhadap ketawa dan hubungannya dengan jasmani dan juga jiwa manusia.


Ada seorang sahaba-t saya menyatakan sudah lama dia tidak boleh ketawa kuat terbahak-bahak, kerana katanya bila dia ketawa seperti itu air matanya akan keluar mencurah-curah dengan banyak dan kerongkongnya akan terasa sakit, dan keadaann ini akan hilang bila dia berhenti ketawa.


Ramai yang Suka Ketawa


Tapi hari ini sebahagian besar daripada manusia suka ketawa.-bukan sekadar ketawa sahaja, tapi ketawa terbahak-bahak. Andainya tidak ada benda yang secara spontan boleh membuat mereka ketawa, maka mereka mencari sesuatu yang boleh membuat mereka ketawa. Itulah antara sebabnya kenapa ramai manusia mencari hiburan untuk membuat mereka riang ria dan ketawa gembira.


Kesukaan kepada hiburan ini telah diambil kesempatan oleh kaum pemodal atau orang-orang yang berkepentingan dengan mengexploitasikan bidang tersebut sebagai satu peluang untuk meraih keuntungan yang lumayan baik berbentuk kebendaan ataupun bukan.


Dalam siaran radio dan tv banyak disediakan ruangan hiburan untuk orang bergelak ketawa.


Dalam siaran tv kita hari ini ada satu rancangan yang populer di kalangan masyarakat, iaitu rancangan yang dikenali dengan nama “Raja Lawak”. Rancangan yang berjalan sekarang adalah merupakan rangkaian daripada program yang lalu dalam usaha untuk mencari tokoh-tokoh lawak yang berbakat untuk diketengahkan. Sudah tentu peminat-peminat rancangan ini terdiri daripada pencari-pencari sesuatu untuk membuat mereka ketawa sebagai salah satu alat hiburan yang populer hari ini.


Saya sentiasa tertanya-tanya kenapa program ini dinamakan raja untuk orang yang pandai berlawak. Saya merasa amat janggalnya memanggil Raja untuk pelawak-pelawak, sedangkan program-program lain yang bertujuan yang sama, pemenangnya tidak dipanggil raja, tapi sebagai juara atau johan sahaja, seperti jura lagu, juara memasak dan sebagainya. Tapi kenapa untuk bidang kelakar ini dipanggil Raja Lawak? Alangkah tingginya penghormatan yang diberikan kepada pelawak- orang yang pandai membuat orang “tak kering gusi” dengan gelak ketawa? Kenapa tidak dipanggil “juara” sahaja atau seumpamanya?


Dilarang Banyak Ketawa


Ingatlah! Kita manusia Islam tidak sama sekali digalakkan untuk banyak ketawa di dunia yang fana ini, kerana dengan banyak ketawa itu boleh menyebabkan kita lupakan diri kita dan seterusnya lupakan Allah kerana dihanyut oleh hati yang riang gembira.


Baginda Rasuullah s.a.w.bersabda, “Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati”.


Kalau dari segi kepentingan jasmani banyak ketawa yang melampau itu boleh mengancam keselamatan, maka dari segi rohani pula ia menimpakan kesan yang jauh lebih buruk lagi, kerana banyak ketawa boleh menyebabkan lampu hati malap dan suram, dan akhirnya akan padam tanpa cahaya lagi. Bila lampu hati telah padam, necaya kehidupan ini akan kehilangan pedoman dan akan membuat manusia meraba-raba dalam kegelapan.


Dalam bergelak ketawa itu sudah tentu kita akan lupa kepada alam barzakh dan alam akhirat yang akan ditempuh oleh setiap orang yang hidup di dunia. Kita tidak dapat mempastikan bagaimana corak kehidupan kita di sana nanti setelah melalui jalan yang panjang untuk sampai ke sana- ke dunia yang kekal abadi. Dunia yang tidak dapat digambarkan bagaimanakah bentuknya yang sebenar yang harus dijadikan matalamat setiap orang dari kita yang bijaksana.


Dunia yang menjadi matlamat kita itu dunia yang kekal abadi yang tidak mempunyai kesudahan lagi, tapi dunia yang kita hidup adalah dunia sementara, dan akan tiba pada penghujungnya nanti. Justeru kesusahan yang kita tanggung di dunia ini hanya buat jangkaan waktu yang tertentu, tapi derita di akhrat nanti adalah derita yang abadi; demikian juga senang di dunia ini hanya buat sementara sahaja dan akan hilang dengan tercabutnya roh dari jasad kita, tapi kesenangan dan kebahagian di akhirat adalah kebahagian yang abadi, tanpa berkesudahan.


Inilah yang menjadi perhitungan setiap orang yang waras. Tapi melibatkan diri dalam ketawa yang melampu boleh membuatkan kita lupakan semua itu- dan yang ada hanya dunia yang sementara, yang Allah gambarkan sebagai tempat bermain-main yang sementara itu.


Kita diberi pilihan untuk memilih akhirat atau dunia? Untuk gembira di dunia, tapi bersedih di akhirat? Pilihlah kerana jalan menuju ke neraka lebih mudah daripada jalan menuju ke syurga yang penuh dengan berbgai-bagai rintangan dan halangan.


Khutbah Jumaat yang saya dengar beberapa hari yang lalu, khatibnya membicara tentang ancaman-ancaman dan bahaya-bahaya syaitan terhadap manusia, dan cara-cara untuk berlindung darinya. Di antara berbagai-bagai cara untuk menutup pintu kemasukan syaitan yang disebut ialah “jangan ketawa berlebihan”.


Saya teringat pada suatu ketika dahulu ketika hadir dalam satu majlis ceramah oleh Allahyarhman Mufti Kerajaan Kelantan, Dato’ Hj. Islamil Yusoff dengan pegawai-pegawai kerajaan di Pejabat SUK, Kota Bharu yang ada kaitannya dengan hiburan. Bila peluang bertanya dibuka, saya turut menyatakan kemusyiklan saya bagaimanakah kedudukan orang-orang yang mencari rezeki dengan membuat orang ketawa? Beliau antara lain dengan tegas menjawab, “Tidak boleh. Islam tidak membenarkannya”.


Andainya setiap satu dosa nerupakan seketul batu, berapa banyak pula dosa yang kita lakukan andainya kita berada dalam usia 60 atau 70 tahun? Dan andainya setiap dosa berupa setongkol batu dilonggokkan semuanya di hadapan kita, kalau tidak jatuh pengsan pun, kita mungkin tidak mampu lagi untuk bangkit, apa lagi untuk berjalan dengan sombong dan angkuh.


Menyedari itu semua bagaimana lagi kita mampu untuk ketawa terbahak-bahak atau berdegar-degar?


Untuk mengakhiri tulisan ini izinkan saya memetik beberapa lagi Hadis yang melarang manusia ketawa.


-“Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur”.


Namun begitu masih ramai lagi orang yang berada dalam masjid, sementara menunggu waktu solat rancak berbual-bual yang membuat mereka ketawa terbahak-bahak. Malah ketika azan masjid dikemudndangkan pun mereka masih lagi berbual-bual dan ketawa sama naik dengan muazim berazan.


-“Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah [Al-Jabbar]. Mereka yang banyak ketawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat”.


Namun begitu kita tidak dilarang untuk menunjukkan kesukaan kita kepada sesuatu yang memang mencuit hati kita. Kita tidak dilarang bergembira melihat telatah anak-anak kecil kita atau cucu-cucu kita yang melucukan. Kita tidak dilarang untuk bergembira bersama-sama dengan isteri kita yang tersayang atau dengan suami kita yang tercita. Apa yang sebenarnya dilarang ialah kita hanyut dalam arus ketawa yang berpanjangan dan berlarutan yang menyebabkan kita lupakan diri kita sedang dalam perjalanan menuju ke suatu destinasi yang tidak dapat kita jangkau dan dalam keadaan yang kekal dan abadi yang memerlukan persiapan yang mencukupi untuk sampai ke sana dengan aman dan bahagia.


Contoh ketawa yang paling baik ialah ketawa Baginda Rasulullah s.a.w. yang hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa mengeluarkan suara yang kuat.


Jangan ketawa seperti syaitan yang tergaelak-gelak dan terbahak-bahak. Ketawa begitulah yang dikatakan “kerasukan syaitan”. Dan ingatlah tempat syaitan ialah neraka jahnam yang telah dijanjikan Allah untuk mereka.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

Hantu Raya Menggoda

>> Monday, February 21, 2011




HANTU RAYA MENGANGGU


Sihir ada berbagai-bagai jenis sihir, dan cara melakukannya ada berbagai-bagai jenis dan kesan yang ditimpanya juga berbeza sebagaimana berbezanya bahan-bahan yang digunakan untuk melakukan sihir itu .


Tapi yang tetap sama ialah semua sihir menggunakan makhluk halus yang dipanggil dengan nama jin, hantu atau syaitan. Makhluk-makhluk halus inilah yang diminta kerjasama oleh tukang-tukang sihir untuk menjayakan sihirnya yang terkutuk itu.


Hantu-hantu atau jin-jin yang dipergunakan itu pula ada berbagai-bagai nama, seperti afrid, polong, langsuir, putar ranggah, hantu raya dan sebagainya yang dipergunakan untuk mengkhianati mangsa mereka yang biasanya tidak berdosa.


Kesan-kesan sihir itu digunakan ke atas seseorang juga berbeza, iaitu tergantung kepada tujuan penyihir itu sendiri. Antaranya menimbulkan kasih sayang yang melampau mangsa terhadap penyihirnya; mencetuskan kebencian mangsa terhadap orang-orang yang dimaksudkan oleh penyihir, biasnya suami bencikan isteri atau sebaliknya isteri bencikan suami supaya mereka bercerai-berai; membuat mangsa atau mangsa-mangsa menderita berbagai-bagai jenis penyakit yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan klinikal yang biasa, atau merosakkan perniagaan seseorang, dengan menghalang orang ramai berkunjung ke premis perniagaan tersebut, dan sebagainya lagi.


Tidak jarang pula mangsa sihir itu menjadi bingung atau gila atau jatuh sakit teruk yang boleh membawa kepada kematian mangsa jika ajalnya memang telah ditakdirkan demikian.


Keluraga kami pernah dijadikan mangsa sihir dengan menggunakan hantu raya oleh orang-orang yang berniat jahat kepada kami. Kira-kira seminggu sebelum isteri saya, Asiah Yaacob meninggal dunia [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya], satu perubahan telah berlaku ke atasnya.


Beliau telah diserang oleh penyakit sejuk yang melampau-lampau yang menyebabkan dia menginggil tanpa diketahui sebabnya. Kami telah membawa beliau menemui empat orang doktor tapi mereka tidak dapat mengesan puncanya. Doktor-doktor tersebut juga merasa hairan kerana dalam masa kesejukan yang amat sangat itu sekujur tubuhnya akan berpeluh dengan banyaknya, terutama di bahagian belakangnya.


Beberapa helai tuala yang digunakan untuk mengelap peluhnya itu tidak juga kering. Sebaik-baik sahaja dilap, keluar lagi peluh yang baru yang entah dari mana datangnya.


Saya memanas tubunya dengan mengguna dompet plastik berisi air panas untuk mengeringkan limpahan peluh pada badannya, tapi tidak juga berguna. Peluh akan keluar buat beberapa waktu.


Saya juga pernah menggunakan tungku panas untuk memanaskan badannya bagi menahan peluh daripada keluar, tapi tidak berjaya juga. Peluh sejuk tetap membanjiri keluar dari badannya, seperti tuala kecil yang dicelup dalam air batu kemudian diperah.


Biasanya serangan itu berlaku pada waktu malam, menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga untuk menunggu kedatangannya supaya dapatlah kami memberi bantuan semampu yang boleh.


Pada suatu malam beliau meminta saya memeluknya erat-erat untuk memanaskan badannya yang dibasahi oleh peluh yang dingin itu. “Peluklah Yah ni”, katanya. Saya lakukan seperti apa yang dimintanya itu, dalam masa yang sekejap sahaja peluhnya telah melimpah dan membasahi baju dan kain pelikat yang saya pakai.


Oleh sebab keadaan terus berlanjutan, kami pun bersetuju membawa beliau menemui seorang pengamal perubatan tradisional yang tidak jauh daripada tempat kami tinggal.


Pemeriksaan yang dijalankan oleh pengamal perubatan itu menunjukkan beliau telah dikhianati orang, iaitu disihir dengan menggunakan hantu raya. Itulah yang menyebabkan beliau merasa terlalu sejuk. Katanya memang begitulah tanda orang diserang hantu raya.


Ketika ditanya apakah makanan yang diberi oleh tuannya kepada hantu raya peliharan itu, hantu itu memberitahu dia diberi makan air batu.


Jawapan ini membuat pengamal perubatan itu ketawa sinis dan memperli tentang kebodohan hantu raya itu yang sanggup makan air batu.


Dengan izin Allah hantu raya itu telah dihalau oleh beliau daripada bersarang pada isteriku. Selepas itu keadaannya kelihatan lebih tenteram. Untuk semalaman itu dia dapat tidur dengan agak selesa, tapi dalam keadaan berhati-hati.


Untuk mengalih rasa, pada malam keesokannya kami menumpang tidur di rumah menantu kami, isteri kepada anak kami Ahmad Faris Zaini di MU., kira-kira 35 km. dari rumah kami di SD.


Tapi malam itu, beliau kembali tidak dapat tidur kerana diserang kesejukan yang bermandikan peluh dingin.


Namun begitu, dia tidak pernah merungut, tidak pernah mengeluh malah terus sabar, dan seperti biasa, terutama sejak tahun-tahun kebelakangan ini mulutnya tidak pernah lekang daripada berzikir mengingati Allah.


Di tangannya sentiasa tergengam buah tasbih berbilang yang digunakan untuk menghitung zikirnya. Bila sampai bilangan yang tertentu dia akan menukar dengan zikir yang lain pula.


Pagi besoknya, saya bawa beliau menemui doktor. Hasil pemeriksaan doktor itu juga beliau tidak ada mengidap apa-apa penyakit. Kata doktor itu tekanan darahnya elok, kencing manis tak ada dan denyutan jantungnya juga normal.


Pada sebelah petangnya pula kami bawa beliau menemui seorang imam pengamal perubatan tradsional. Iman itu juga memberitahu isteri saya pernah diganggu oleh hantu raya, tapi buat waktu itu beliau telah bebas daripada makhluk halus itu. Hantu raya didapati tidak bersarang lagi pada jasadnya.


Beliau memberitahu beberapa jenis makanan yang patut dihindar oleh isteri saya dan sebaliknya beberapa jenis makanan pula patut dimakannya. Katanya tujuannya ialah untuk mengembalikan kesihatannya dan untuk menguatkan badannya kembali.


Dalam perjalanan pulang dari rumah imam itu tiba-tiba isteriku diserang sesak nafas, dan atas cadangannya sendiri kami membawa beliau ke rumah sakit, di mana beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan wajahnya tenang dan tersenyum terukir di bibirnya.


Seorang jiran yang berkunjung ke rumah yang menyedari tentang hantu raya itu antara lain, “Kita percaya Kak Yah meninggal bukan kerana hati raya.....Allah melindunginya. Dia pergi kerana jalnya telah sampai.....dan dia pun bosan melihat keadaan dunia yang kucari-kacir seperti ini.......”.


Semoga Allah cucuri rahmatNya yang melimpah dan berkekalan ke atas rohnya.

Tidak sampai sebulan selepas pemergian isteri saya, salah seorang daripada cucu lelaki saya mendapat gangguan yang agak teruk. Pada suatu malam itu dia tidak dapat tidur dan bila terlelap sahaja dia akan menggelepar-gelepar di tempat tidurnya dengan mulut meracau-racau.


Bila kami tempelkan sejenis bahan daripada sejenis pohon pada mana-mana bahagian badannya dia mengaduh kesakitan, tapi bila benda itu kami jauhkan daripadanya secara automatik dia berhenti mengaduh.


Setelah kira-kira dua jam berlalu keadaannya tidak juga berubah kami pun bersetuju berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional. Menurut beliau cucu saya itu telah diganggu oleh makhluk halus, iaitu hantu raya kepunyaan seseorang. Daripada usaha yang dilakukan oleh beliau kian jelaslah siapakah tuan punya hantu raya yang telah menganggu keluarga kami selama ini, iaitu seorang wanita.


Beliau telah memberi amaran kepada hantu raya itu supaya tidak menganggu kami lagi, dan kalau janji itu dilanggar, hantu itu akan didera dengan lebih teruk lagi, dan hantu raya itu memang berjanji tidak akan berbuat jahat lagi kepada keluarga kami. Tapi bolehkah kita mempercayai janji hantu dan syaitan?


Bila sampai ke rumah aku teringat pada suatu hari, selepas solat Zohor, bila melihat tingkap di bahagian hadapan rumah tertutup, aku pun pergi membukan cermin nakolnnya. Dalam jarak yang begitu dekat aku nampak seoran wanita berdiri betul-betul di tengah-tengah pintu pagar rumah kami. Bila melihat saya membuka tingkap itu dia segera berlalu tanpa kata.


Aku merasa hairan dan sak apakah tujuan wanita itu berdiri di muka pintu pagar rumah kami, dan terus berlalu bila melihat aku membuka tingkap tanpa sebarang kata? Memang terlintas dalam kepalaku dia melakukan sesuatu yang tidak baik atau berniat jahat terhadap kami. Tapi aku tidak memanjangkannya dan tidak pula segera memberitahu kepada sesiapapun peristiwa tersebut. Lagi pun aku tidak menduga sama sekali dia boleh berbuat sedemikian rupa terhadap kami sekeluarga, apa lagi isteriku yang tidak pernah memusuhinya.


Hanya kemudian aku percaya sangkaan burukku itu memang ada asasnya bila aku patut-patut dan kait-kaitkan dengan peristiwa itu dengan berbagai-bagai peristiwa lain yang berlaku kemudiannya kepada kami. Semua keluargaku juga menyakininya.


Wanita itu selalu mengelak daripada bertembung atau berselisih jalan dengan kami, terutama jika isteriku ada bersama. Andainya kami menaiki kenderaan sekalipun, jika dia dari jauh melihat kami ada di dalamnya dia akan mengelak daripada berselisih jalan dengn kami, walaupun jalan lain yang diambilnya menyimpang jauh dari jalan biasa yang dilaluinya.


Dia malu atau takut untuk berjumpa kami kerana menyangka bahawa kami telah menghidu rancangan-rancangan kejahatan yang telah dilakukannya terhadap kami sekeluarga. Memang benar kami tahu akan perbuatan makarnya terhadap kami.


Hanya selepas kematian isteri saya barulah dia kelihatan berani bertemu kami seoalh-olah tidak ada apa-apa yang pernah berlaku, sedangkan dia telah melumur kedua belah tangannya dengan najis yang kotor kerana didorong oleh hasad dan dengki.


Biasanya hantu raya ini dipelihara oleh orang lelaki, dengan beberapa tujuan antaranya untuk memusnahkan orang yang tidak disukai, merasuk seseorang dan disuruh menjadi pembantu menjalankan kerja-kerja berat, seperti kerja-kerja pertanian.


Biasanya hantu raya ini diperolehi secara saka yang turun temurun, seperti daripada ayah kepada anak dan seterusnya. Hantu yang diperlihara khusus oleh orang perempuan tidak dipanggil hantu raya, tapi dipanggil putar rangah atau pelesit. Tujuannya supaya dia kelihatan cantik dan serta awet muda dan disayangi oleh suami atau digilai oleh lelaki. Amalan yang sesat.


Tapi bila seseorang lelaki pemelihara hantu raya mati, tapi mereka tidak mempunyai anak atau anak-anaknya itu enggan menerima saka tersebut, maka isterinya mungkin bersedia menerima saka tersebut dan memeliharanya.


Hantu raya ini dipercayai boleh menjelma sebagai haiwan-haiwan tertentu, dan boleh juga menjelma sebagai manusia, khususnya pemeliaharanya. Kadang-kadang hantu raya yang menjelma menjadi pemeliharanya itu membuat isterinya menjadi keliru, dan melayan hantu raya suaminya itu seperti melayan suaminya, khususnya di tempat tidur.


Pemelihara-pemelihara hantu raya itu terpaksa memberi makan kepada makhluk-makhluk halus peliharannya itu, antaranya termasuk ayam pangang, telur, pulut kuning dan sebagainya mengikut perjanjian mereka ketika menerimanya, seperti air batu kepada wanita yang disebut tadi.


Walau bagaimana ada petuanya untuk menghalau hantu raya itu dari kampung, dan ini memang diketahui oleh pengamal-pengamal perubatan tradisional.


Ya Allah lapangkanlah kubur isteriku bersama-sama dengan semua orang yang kami kasihi, terang benderanglah kubur mereka, dan jadikan kubur mereka semuanya sebagai Taman-taman Syurga.


Sila klik:


Impotent.Mati Pucuk.Kenapa?

xxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP