>> Thursday, March 3, 2022
TIMUN CINO
ANTARA
PENAWAR DAN
PENYAKIT
Apakah Timun Cino itu?
Ia panggilan Orang Kelantan untuk
buah tembikai, bahasa penulisan atau panggilan orang luar Kelantan.
Dalam bahasa orang Putih dia
sebut watermelon.
Alihbahasa secara langsung
maksudnya timun air. Kerana perkataan melon itu ialah pokok timun, dan water
itu air. Maka jadilah timun air.
Dalam bahasa Indonesia timun Cino
itu dipanggil semangka.
Timun Cino rasanya manis, isinya
lembut, sedap dimakan.
Ia boleh dimakan begitu sahaja,
atau dikisar untuk dijadikn minumn yang lebih istimewa. Kalau perlukan rasa
lebih manis, masukkan gula sekadar yang dikehendaki.
Ada beberapa cara makan buah timun Cino, antaranya ialah sebiji buahnya dibelah dua, kemudian isinya dikecilkan dengan sudu tanpa memindahnya ke dalam pinggan, dan kalau suka lebih manis masukkan gula ke dalamnya dan kacau hingga rata, kemudian dimakan dengan sudu bersama-sama dengan airnya.
.
Kalau sukakan yang sejuk,
masukkan ke dalam peti ais sekejap, barulah dimakan dengan sudu sebanyak mana
yang mahu.
Cara yang biasa ialah isinya di
potong sekeping-keping kecil kemudian diletak dalam pinggan dan sebagainya
untuk dimakan. Lebih mudah lagi dicedok dengan sudu dan boleh terus makan kalau
mahu.
Di samping itu ia juga boleh
dibelah cara berjurai-jurai atau berkeping-keping sebesar yang dikehendaki, dan
boleh terus dimakan dengan mengiggit isinya yang lembut itu. Kanak-kanak
biasanya suka makan begini.
Di negeri Kelantan, timun Cino
ini dimakan dengan nasi seperti sayur mentah. Di majlis-majlis khawin, timun
Cino ini dihidangkan bersama dengan lauk-pauk yang lain dalam satu hidangan, bukan
sebagai pembasuh mulut, tapi sebagai sayur-sayuran mentah yang dimakan bersama
nasi.
Sebenarnya seluruh buah timun
Cino itu boleh dimakan. Kulit buahnya yang masak boleh di celur untuk buat ulam
cicah sambal atau budu, ia juga boleh dimasak lemak dan masak tumis air.
Sebiji buahnya yang muda pula
boleh dimasak lemak atau tumis air untuk dijadikan sebabagian dari hidangan sebagai
sayur-sayuran.
Butir timun Cino juga boleh
dimakan, antaranya ia boleh dikisar dijadikan minuman atau sebagainya. Dan
biasanya butir timun ini dijemur atau disalai kemudian dimakan dengan
memeblahnya dengan gigi untuk dimakan isi di dalamnya.
Ptada masa dulu butir timun Cino ini banyak
dijual di pasaran sebagaimana butir biji bunga matahari pada hari ini terdapat
di pasar. Kanak-kanak waktu itu sangat
suka memakan butir timun ini sebagaimana mereka suka memakan etak salai.
Perjalanan
Mengikut sejarah perkembangannya
timun Cino telah menjalani sejarah hidup
yang panjang. Ia sejenis pokok yang hidup melata dan menjalar, Ia
berasal dari bumi Afrika Selatan yang luas muka buminya itu dan sampai ke Malaysia
mungkin dibawa oleh para pedagang atau penggembara zaman lampau.
Ia mempunyai banyak jenis, dan
dikatakan ada kira-kira seribu jenis timun di dunia ini, namun kita di sini hanya
mengenali beberapa jenis timun sahaja, antaranya timun betik, dan timun batang,
iaitu timun yang dibuat sayur, cucumber kata orang sekarang.
Kenapa orang Kelantan memanggilnya timun Cino yang diloghat Kelantankan daripada perkataan timun Cina?
Ini mungkin orang Cina yang
didapati mula-mula menanam timun di negeri ini, dan juga mungkin kerana orang Cinolah
yang pertama didapati menjual buah timun di negeri ini.
Selain daripada rasanya enak dan mudah dimakan, timun Cino juga mengandungi isi yang telah lama dijadikan obat tradisional untuk merawat penyakit-penyakit tertentu.
Mengikut kajan dalam timun Cino itu terdapat beberapa bahan
yang dipanggil zat yang berguna untuk kesihatan, antaranya dikatakan
mengandungi Vitamin A.
Secara tradisionalnya timun Cino
ini telah lama digunakan untuk merawat penyakit ginjal dan kencing tak lawas.
Kerana itu orang yang mengidap penyakit
beser atau kerap kencing tidak digalakkan makan timun Cino kerana boleh
menambahkan kekerabannya kencing.
Pengidap penyakit kencing manis
juga tidak digalakkan memakan timun Cino kerana dibimbangan kencing manisnya
akan bertambah teruk.
Selain itu orang-orang yang
mengidap penyakit uluran, iaitu sejenis
gestrik juga tidak digalakkan makan timun Cino kerana boleh menyebabkan dia
kembung perut dan senak perut dan kerap membuang air besar.
Sementara itu orang-orang yang batuk-batuk tidak digalakkan makan butir timun Cino kerana boleh menyebabkan batukya bertambah rancak.
Demikian sedikit celoteh tentang
timun Cino untuk tatapan pembaca yang dikasihi.
Pondok Rahmat
Kota Bharu
Kelantan Darulnaim,
Khamis: 3 Mac
2022/
29 Rejab !443.